15 Mac 2011, Petaling Jaya – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan supaya sebuah suruhanjaya ditubuhkan sebagai penyelaras program pendidikan kewangan di negara ini. Suruhanjaya tersebut dikenali sebagai Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan. 

Cadangan tersebut dikemukakan oleh Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA dalam sidang media yang diadakan sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2011 di sni hari ini. Tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia bagi tahun 2011 ialah Pengguna Berhak Mendapatkan Perkhidmatan Kewangan Yang Saksama.

Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan akan memberikan tumpuan kepada empat fungsi utama, iaitu:

  1. Membina Kesedaran Awam terhadap Sumber-sumber yang Sedia ada.
  2. Membangunkan Strategi Penyebaran Maklumat Secara Khusus dan Mengikut Golongan Sasar.
  3. Mewujudkan Kerjasama antara Sektor Awam dan Swasta.
  4. Kajian dan Penilaian terhadap Program Pendidikan Kewangan.

Manakala tanggungjawab Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan pula, ialah:

  1. Menggalakkan dan membantu sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dalam usaha pendidikan pengurusan kewangan;
  2. Mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan;
  3. Membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia;
  4. Menubuhkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan yang setara berkenaan dengan pengurusan kewangan, pendidikan, kaunseling hutang dan semua program sokongan yang dijalankan oleh kerajaan atau agensi yang berkaitan;
  5. Mewujudkan satu talian bebas tol untuk orang ramai mendapatkan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Dato’ Indrani Thuraisingham, Ketua, Pejabat Consumers International Kuala Lumpur dan Cik M. Matheevani, Pengurus Kanan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)