FOMCA akan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang penstrukturan semula konsesi lebuh raya. Sebagai permulaannya, dua buah lebuh raya tidak akan dinaikkan kadar tol dalam tempoh lima tahun, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.

Selain itu, tempoh konsesi tol bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught,Kuala Lumpur, akan dipendekkan kepada Mei tahun 2011, berbanding tempoh yang sepatutnya pada 2018.

Usaha kerajaan untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya ini pernah ditimbulkan sebelum ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakop. Ia dilakukan akibat daripada rungutan pengguna tentang kenaikan kadar tol yang sering berlaku. Berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya, kadar tol akan dnaikkan setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, maka kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.

FOMCA telah lama mendesak supaya perjanjian konsesi lebuh raya dikaji semula kerana perjanjian yang sedia ada lebih memberi keuntungan kepada pemegang konsesi. Sekiranya perjanjian konsesi itu dipatuhi, pengguna akan mengalami kenaikan kadar tol pada setiap tiga tahun sehingga tempoh konsesi tamat. Begitu juga kerajaan perlu menanggung kos pampasan yang tinggi kerana menangguhkan kenaikan kadar tol.

Memang disedari bahawa pemegang konsesi terpaksa menanggung hutang yang tinggi untuk membiayai pembinaan lebuh raya, namun dengan jumlah pengguna lebuh raya yang semakin meningkat setiap tahun, menyebabkan ada pemegang konsesi yang melangsaikan hutangnya lebih awal. 

Kerajaan diharapkan supaya meneruskan usaha untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya bagi 21 lebuh raya yang lain. Bagi konsesi lebuh raya yang telah selesai menjelaskan hutangnya, maka kadar tol tidak perlu dinaikkan dan tempoh konsesi wajar dipendekkan.

Lebuh Raya Utara Selatan merupakan lebuh raya yang terpanjang dan paling banyak digunakan oleh pemilik kenderaan. Sebarang kenaikan kadar tol yang lebuh raya ini amat dirasai oleh pemilik kenderaan. Tawaran pengambilalihan pegangan PLUS Expressways Bhd oleh UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diharapkan sebagai usaha untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya ini.

Sebelum itu, sebuah syarikat iaitu Asas Serba bercadang untuk mengambil alih semua pemegang konsesi lebuh raya di negara ini. Syarikat ini memberi jaminan akan menurunkan kadar tol sebanyak 20 peratus sekiranya usaha pengambilalihan berjaya dilakukan. Malahan syarikat ini juga mendakwa tidak akan meminta tempoh lanjutan konsesi.

Walaupun usaha syarikat ini gagal, namun ia seolah-olah menunjukkan bahawa kadar tol bagi semua lebuh raya boleh distrukturkan semula dan masih boleh memberikan keuntungan kepada pemegang konsesi. Mungkin syarikat ini mempunyai agenda tertentu, tetapi akhirnya yang mendapat keuntungan adalah pengguna lebuh raya sendiri, termasuk juga kerajaan

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)