Penyakit Legionnaire merupakan penyakit yang melibatkan sistem pernafasan, iaitu disebabkan oleh sejenis bakteria daripada genus Legionella yang menjangkiti paru-paru. Bakteria Legionella ini berbentuk bacilli, iaitu berbentuk seperti rod. Ia lebih kecil daripada bakteria bacillus dengan lebar 0.5-1.0 µm dan panjang 1-3µm.

Bakteria Legionella ini mempunyai dua fasa kitaran hidup, iaitu fasa replikasi dan kemudian fasa infektif, yang dalam fasa infektif bakteria tersebut mula tumbuh flagella untuk memudahkan pergerakan.

Penyakit Legionnaire pertama kali dikesan pada tahun 1976 di Philadelphia, apabila pada ketika itu seramai 221 orang telah dijangkiti. Daripada jumlah tersebut, 34 orang telah meninggal dunia. Wabak ini mula menular ke negeri lain, seperti Sepanyol dan Ibiza, malah Malaysia juga tidak terkecuali.

 

Walaupun hanya terdapat satu kes yang dilaporkan di Malaysia, dan tidak menyebabkan kematian, namun penyakit ini akan terus menular, sekiranya tidak ada langkah-langkah pencegahan dilakukan.

Satu kajian kes telah dilakukan di Malaysia oleh Fakulti Perubatan UiTM Shah Alam, iaitu sampel darah dan urin telah diambil daripada seorang mangsa. Hasil diagnosis mendapati mangsa telah menghidap penyakit Legionnaire. Jangkitan bakteria Legionella yang serius boleh mengakibatkan pneumonia.

Namun jangkitan yang kurang serius hanya akan menyebabkan mangsa menghidap demam Pontiac, iaitu penyakit sistemik sederhana dengan gejala menyerupai influenza dan tidak akan menghidapi pneumonia.

Simptom-simptom penyakit Legionnaire dan demam Pontiac adalah sama, iaitu:

• Batuk

• Sesak nafas

• Demam panas

• Sakit otot

• Sakit kepala

Bakteria ini boleh ditemui dalam sistem perairan tabii, iaitu sungai dan tasik serta sistem perairan buatan manusia, seperti hot tub, spa, sauna, cooling tower, water fountain dan shower head. Bakteria ini akan tersebar melalui titisan air di udara dan memasuki sistem pernafasan manusia.

Bangunan-bangunan besar, seperti muzium, hospital, hotel dan bangunan pejabat, lebih mudah mengalami pencemaran Legionella. Namun begitu, ia juga boleh berlaku di rumah-rumah atau sekolah. Sistem pengurusan air yang lemah di bangunan-bangunan tersebut merupakan salah satu punca penyebaran bakteria ini.

Persekitaran yang menggalakkan pembiakan bakteria ini ialah suhu yang sederhana panas (20°C - 45°C), air yang bertakung, enapcemar, produk yang berkarat, dan biofilm. Biofilm ialah sekumpulan bakteria yang melekat sesama sendiri di atas sesuatu permukaan.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom telah menguatkuasakan tataamalan industri kualiti udara dalaman seperti ASHRAE Standard 188-2015 (US) dan Singapore Standard Code of Practice 13:1980 (Singapura), iaitu di bawah kod ini kerajaan telah mewajibkan pemilik bangunan dan kontraktor mematuhi syarat dan rekaan sistem pengudaraan serta sistem pengurusan air di bangunan mereka.

Di Malaysia juga terdapat tataamalan yang perlu dipraktikkan, iaitu Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010, iaitu di bawah kod A.1.4.3, dinyatakan mengenai penyakit berkaitan bangunan, iaitu penyakit Legionnaire. Walau bagaimanapun, Malaysia tidak mewajibkan tataamalan diamalkan sepenuhnya berbanding di negara-negara tersebut.

Di bawah kod ini, dinyatakan bahawa pemilik bangunan hendaklah memeriksa rangkaian salur, pengenyahlembab, permukaan dalaman bangunan, lingkaran pendinginan, penapis dan mana-mana komponen sistem pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara (MVAC) secara berkala sekurang-kurangnya setiap 6 bulan.

Memandangkan belum terdapat vaksin yang ditemui bagi penyakit ini, maka dicadangkan supaya langkah-langkah pencegahan diamalkan kerana “Prevention is better than cure”.

 

Nur Imani Abdullah

FOMCA