Setiap negara sudah pasti tidak terlepas daripada mengalami bencana alam, sama ada dalam skala kecil ataupun dalam skala besar. Keadaan yang serupa turut dialami oleh Malaysia. Banjir merupakan bencana alam yang sinonim dengan Malaysia. Kebiasaannya, Malaysia akan ditimpa banjir pada musim tengkujuh, iaitu sekitar bulan November hingga Mac.

Malaysia mengalami iklim khatulistiwa, namun bagi sesetengah tempat di Malaysia, terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia (Kedah dan Perlis) dan utara Sabah (Beaufort, Tawau, Kudat dan Sandakan), mengalami iklim monsun tropika. Secara amnya, iklim di Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan menerima purata hujan yang banyak sepanjang tahun.

Semasa musim monsun timur laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh, kawasan yang terdedah adalah seperti kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Pahang), kawasan Sarawak Barat dan kawasan Timur Laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat.

Monsun Timur Laut atau lebih dikenali dengan musim tengkujuh ini dijangka akan berakhir pada Mac 2016, iaitu negara akan mengalami empat episod hujan lebat yang menyeluruh selama tiga hingga empat hari. Oleh sebab itu, para penduduk yang tinggal di kawasan tersebut dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah menghadapi banjir.

 

Berikut adalah langkah-langkah menghadapi banjir :-

Sebelum banjir :

• Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat kediaman masing-masing

• Periksa lubang air, seperi longkang atau saluran najis, bagi mengelakkan air banjir memasuki saluran tersebut

• Kenal pasti pusat pemindahan dan pusat bantuan bencana

• Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya

• Pastikan telefon bimbit dalam keadaan baik ketika musim hujan

• Pindahkan perabot dan barang berharga ke tempat yang selamat.

• Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.

 

Semasa :

• Berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan setelah menerima arahan.

• Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang.

• Jangan terus mengharungi kawasan banjir ketika memandu kenderaan dan mengikut laluan yang ditentukan.

• Jika kenderaan terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergi ke tempat yang selamat

• Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.

• Awasi kanak-kanak daripada main atau minum air banjir.

 

Selepas Banjir :

• Periksa kerosakan pada siling, dinding, lantai, pintu dan tingkap.

• Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang berbahaya.

• Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.

• Periksa peralatan elektrik dan wayar elektrik yang terendam di dalam air.

• Buang bahan-bahan makanan yang terendam dalam banjir.

• Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.

• Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.

 

Kesimpulannya, pihak berkuasa dan orang awam di Malaysia masih boleh mengambil langkah-langkah keselamatan apabila menghadapi musim tengkujuh bagi mengelakkan berlakunya kes yang tidak diingini. Pihak berwajib perlu secara terus-menerus memantau di kawasan yang sering mengalami banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) harus bekerjasama dengan pihak media agar maklumat terkini mengenai banjir disampaikan kepada penduduk sekitar supaya mereka lebih peka dan berjaga-jaga.

Pihak kerajaan juga perlu menyediakan pusat pemindahan banjir yang lebih kondusif bagi mengelakkan mangsa-mangsa banjir mendapat wabak penyakit. Banjir juga akan menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa-mangsa banjir. Oleh sebab itu, adalah disarankan juga kepada pihak kerajaan agar meningkatkan kadar pampasan ganti rugi kepada mangsa.

 

Nurul Naim Razali

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)