Pada 7 November lalu, genap 100 hari saya menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Saya mengambil peluang untuk berterima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak dan percaya bahawa barisan kabinet dan kerajaan akan terus komited dan fokus dalam merancang dan melaksanakan usaha-usaha pembangunan negara sebagaimana yang telah dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Amanah dan tanggungjawab baharu tersebut telah cuba saya jalankan dengan sebaik mungkin setakat ini, di mana peranan KPDNKK di masa ini semakin besar dan mencabar terutamanya dalam menangani isu berkaitan kos sara hidup rakyat, isu perdagangan dalam negeri dan isu kepenggunaan.

Bagi saya, pemerkasaan dalam menjalankan fungsi dan bidang tugas KPDNKK sentiasa menjadi agenda utama, di mana penekanan telah diberi kepada pendekatan “Kementerian Prihatin” atau “Caring Ministry” bagi menunjukkan bahawa KPDNKK akan terus meningkatkan usaha mendekati dan memahami denyut nadi rakyat, khususnya dari perspektif meningkatkan pendapatan dan mempertahankan hak-hak rakyat sebagai pengguna.

Umum mengetahui bahawa kumpulan sasar KPDNKK terdiri daripada pengguna, perusahaan kecil dan sederhana, koperasi, komuniti dan persatuan perniagaan, organisasi perdagangan, badan serantau dan antarabangsa.

Rakyat Malaysia  kesemuanya adalah pengguna yang berjumlah 30.26 juta orang dan dianggar akan meningkat kepada 32.44 juta orang pada tahun 2020.

Dalam menetapkan perancangan baharu, KPDNKK telah menetapkan Lima Teras Strategik bagi mendukung misi dan visi kerajaan.

Lima Teras itu ialah meningkatkan sumbangan perdagangan dalam negeri kepada pendapatan negara kasar; mewujudkan masyarakat yang berdaya upaya dan beretika; memupuk ekonomi berteraskan inovasi melalui sistem dan perundangan yang efektif; mewujudkan persekitaran pasaran yang kondusif untuk pengguna dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan kecemerlangan organisasi.

Kita juga telah merangka strategi baharu untuk diperkenalkan. Antaranya adalah dengan penubuhan University of Trade and Co-Operative, pemantauan harga barang-barang import dan harga barangan di peringkat antarabangsa dengan cadangan semua barangan import perlu memohon permit import (AP) bagi tujuan pemantauan, cadangan supaya harga gas petroleum cecair (LPG) termasuk caj pengangkutan ditetapkan mengikut zon dan dimaklumkan kepada umum.

Cadangan strategi lain adalah supaya insentif diberikan kepada pengusaha stesen minyak yang telah mencapai tahap jualan tertentu bagi membangunkan perniagaan, menubuhkan kumpulan Friends of KPDNKK sebagai mata dan telinga kerajaan dan banyak lagi.

Suka saya berkongsi dengan semua mengenai Friends of KPDNKK. Ia merupakan inisiatif kementerian untuk menjalinkan hubungan yang utuh dengan pengguna di luar sana.

Malah, ia juga satu platform untuk penyebaran dan pengumpulan maklumat tentang kepenggunaan lebih-lebih lagi berhubung isu harga barang. Boleh dikatakan Friends of KPDNKK adalah mata dan telinga kementerian. Melalui Friends of KPDNKK ia dapat menghimpunkan pengguna di seluruh Malaysia bagi satu-satu acara atau aktiviti yang dianjurkan oleh kementerian.

Acara pertama yang telah dianjurkan adalah Fun Run Friends of KPDNKK yang telah diadakan pada 24 Oktober lalu bersempena penganjuran Hari Pengguna Kebangsaan 2015 dan kempen Cintai Buatan Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi mata dan telinga KPDNKK dengan menyertai Friends of KPDNKK. Saya ingin umumkan bahawa pihak kementerian akan memberi anugerah dan penghargaan kepada ahli-ahli yang betul komited membantu kementerian.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,753,217 premis perniagaan telah diperiksa. Kita dapati sebanyak 6,435 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1,243,527.60 dan nilai kompaun sebanyak RM888,506.

Sebanyak 2,268 notis dikeluarkan terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 manakala 136 kerta siasatan melibatkan kesalahan pencatutantelah dibuka di bawah akta yang sama.

Daripada jumlah ini, sebanyak 14 kes telah didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Antipencatutan iaitu masing-masing enam kes di bawah Seksyen 14(1), Seksyen 21(5) sebanyak 7 kes dan baki satu kes di bawah Seksyen 53 AKHAP 2011.

 

Penulis  : Datuk Hamzah Zainudin , Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sumber : Kosmo – Analisis – (20 November 2015, Jumaat)