Dalam lebih masa kurang seminggu pada pertengahan tahun ini, ada dua kes renjatan elektrik berlaku di negara kita. Kedua-kedua kes ini membabitkan anak beranak, iaitu kes pertama berlaku di Kota Kinabalu, membabitkan seorang cucu dan nenek, manakala kes kedua pula di Banting, membabitkan seorang bapa dengan anak berusia dua bulan.

Kes di Kota Kinabalu berlaku pada 2 April lalu, dipercayai kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik akibat wayar elektrik terputus dan jatuh mengenai pagar kawat duri yang memagari kawasan sawah padi di kawasan kejadian.

Pada kejadian itu, nenek berkenaan dipercayai tergelincir ke dalam parit, menyebabkannya terkena renjatan elektrik. Cucunya yang berhasrat ingin membantu, turut ditimpa malang menerima nasib yang sama.

Bagi kes di Banting, dipercayai akibat renjatan elektrik dari sebuah kipas. Bapa dan anaknya terkena renjatan elektrik ketika membaiki sebuah kipas di rumah. Hal ini tidak dapat dikenal pasti sama ada kemalangan ini berlaku disebabkan oleh kerosakan pada barangan elektrik itu atau disebabkan oleh kecuaian mangsa itu sendiri.

 

Kerosakan Barang Elektrik

Kerosakan pada barangan elektrik adalah perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna. Pengguna perlu membeli barangan elektrik yang mempunyai label keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) kerana peralatan elektrik yang mempunyai label berkenaan sudah diuji tahap keselamatan untuk digunakan.

Bagaimanapun, adakah pengguna mengetahui ada produk ada produk elektrik yang perlu ditarik balik berikutan laporan kemalangan yang membabitkan keselamatan pengguna?

Jika dilihat pada sistem amaran yang dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah (EU), iaitu Sistem Amaran Segera bagi Bukan Makanan (Rapid Alert System for non-food, RAPEX) atau Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna (Consumer Product Safety Commission, CPSC) Amerika Syarikat, kedua-dua badan ini mempunyai senarai produk ditarik balik.

Pengguna hanya perlu melayari laman sesawang RAPEX atau CPSC untuk mendapat maklumat produk yang sudah ditarik balik.

Model sistem seperti ini amat penting kepada pengguna kerana ia berupaya untuk melindungi pengguna daripada membeli produk yang boleh membahayakan keselamatan. Ada pelbagai produk yang bukan makanan yang sudah ditarik balik berikutan masalah teknikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna, terutama barangan membabitkan produk elektrik dan elektronik. Kebanyakan produk yang ditarik balik itu disebabkan oleh laporan kemalangan kejutan elektrik dan kejadian litar pintas.

Kewujudan sistem ini memudahkan pengguna di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mendapatkan maklumat mengenai produk yang ditarik balik di pasaran.

 

Komputer Riba

Sebagai contoh, berdasarkan satu laporan mingguan RAPEX, ada produk yang ditarik balik membabitkan peralatan komputer riba (laptop) yang boleh menyebabkan risiko litar pintas. Peralatan komputer riba, antara jenama model yang sering menjadi pilihan pengguna di Malaysia.

Malangnya Malaysia masih belum mempunyai sistem penarikan balik seperti yang wujud di negara berkenaan. Hal ini menyukarkan pengguna untuk memastikan sama ada produk yang dimiliki itu mempunyai risiko sama seperti produk yang ditarik balik.

Jika kerajaan Malaysia berupaya menjadikan 169 negara sebagai contoh bagi perlaksanaan GST, sewajarnya kerajaan juga mengambil contoh daripada perlaksanaan sistem ini untuk dilaksanakan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Sistem ini sangat penting untuk memastikan keselamatan produk di tangan pengguna dan pihak industri juga boleh menggunakan sistem ini bagi meningkatkan lagi kualiti produk mereka.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Selasa,  17 November 2015)