Pernahkah anda terlihat sebuah objek keras di atas jaIan raya ketika sedang memandu kereta, terutamanya di lebuh raya? Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), iaitu bahagian aduan FOMCA, sering menerima pelbagai aduan membabitkan kemalangan kecil di lebuh raya, hingga menyebabkan kerosakan pada kereta mereka.

Antara aduan yang diterima ialah keadaan jalan berlubang, menyebabkan kerosakan pada tayar dan bahagian bumper kereta mereka. Selain itu, ada juga aduan mengenai kewujudan objek keras di atas jalan raya yang turut merosakkan kereta mereka.

 

 

Tanggungjawab PLUS

Persoalannya, siapakah yang akan membayar pampasan atas kerosakan yang berlaku kepada kereta akibat melanggar lubang atau objek di atas jalan raya atau lebuh raya? Jika di lebuh raya di bawah konsesi PLUS, mungkin PLUS yang akan terlintas pada fikiran kita. Keadaan jalan yang berlubang itu menjadi tanggungjawab PLUS atau kontraktornya untuk membaikinya kerana pengguna yang membayar tol untuk menggunakan lebuh raya berkenaan.

Namun begitu, jika tayar atau sebarang objek keras yang tidak diketahui dari mana punca ia datang secara tiba-tiba muncul di atas jalan raya sehingga menghalang lalu lintas dan perjalanan kenderaan awam, maka siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mengutip objek terbabit?

Secara logiknya, pemilik objek keras itu yang sepatutnya mengutipnya. Jika dengan tiba-tiba sebarang objek keras telah tertanggal daripada bahagian kereta dan disedari pemilik kereta, maka menjadi tanggungjawab pemilik itu untuk mengutip objek berkenaan.

Namun, hal ini boleh membahayakan pemilik itu kerana dia mungkin akan dilanggar oleh kereta lain ketika sedang mengutip objek berkenaan. Sebaliknya, jika tidak dikutip, ia akan membahayakan nyawa pengguna kenderaan yang lain kerana menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan ada pemandu yang hilang kawalan ketika cuba mengelaknya. Jadi, siapakah yang perlu bertanggungjawab   terhadap hal ehwal jalan raya, terutama di lebuh raya?

 

Kemalangan Jalan Raya Meningkat

Kita imbas kembali kemalangan yang berlaku pada awal tahun 2015, iaitu sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang dari Perak menuju ke Genting Highlands cuba mengelak sebuah tayar lori di tengah jalan. Namun,  bas malang itu terbabas ke dalam gaung lalu terbakar di Kilometer 326.3 Lebuhraya PLUS arah Selatan berhampiran Plaza Tol Tapah. Kemalangan ini meragut lapan nyawa.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Institut Penyelidikan KeselamatanJalan Raya Malaysia (MIROS) pada tahun 2014, jumlah kemalangan jalan raya ialah sebanyak 476,196 kes dengan jumlah kematian 4,432 orang. Jika dilihat daripada statistik itu bagi tahun 1997 sehingga tahun 2014, kemalangan jalan raya dilihat naik, sejajar dengan peningkatan jumlah kenderaan serta peningkatan penduduk Malaysia yang kini berjumlah 30 juta orang.

Demikian juga, jumlah kenderaan yang berdaftar di Malaysia yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Apabila jumlah kenderaan di jalan raya semakin banyak, maka kebarangkalian kemalangan jalan raya juga akan semakin tinggi. Jika pihak yang bertanggungjawab atas pengurusan lebuh raya masih tidak mengambil iktibar daripada kemalangan maut akibat daripada kewujudan objek keras di lebuh raya, dikhuatiri punca kemalangan yang sama akan terus berulang.

Oleh itu, pengurusan hal ehwal jalan raya, terutama lebuh raya amat penting bagi melicinkan lagi masa perjalanan orang awam, di samping memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Jumaat, 12 Jun 2015)