Kini telah wujud di pasaran pelbagai produk yang 'sub-standard' atau tiruan. Ia merangkumi ubat-ubatan, alat gantian kereta, jam, minyak wangi, barangan sukan, cakera padat (CD) cakera optik dan sebagainya. Yang terbaru yang hangat diperkatakan ialah telur dan beras palsu. Hal ini telah mendatangkan kerugian kepada pengguna, industri dan ekonomi negara. Adalah menjadi kesalahan untuk membuat dan menjual barangan tiruan seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Produk tiruan diperbuat untuk menyerupai barangan asli dengan menggunakan logo asli dan trademarks daripada pengilang untuk memperdaya pengguna. Mengapa produk tiruan tidak diiktiraf dan pengguna pula cenderung untuk membeli produk tiruan? Produk tiruan dijual pada harga yang rendah, yang sehingga setengah harga produk asli. Seringkali pengguna menjadikan taraf hidup yang tinggi menyebabkan mereka menggunakan produk palsu atau produk sub-standard. Namun, ini sebenarnya bukan sahaja merugikan mereka dari segi kualiti produk, tetapi turut membahayakan keselamatan diri sendiri dan orang di sekeliling mereka.

 

Baru-baru ini penguatkuasa KPDNKK telah melakukan rampasan sebanyak 80,000 unit produk perkakasan pintu tiruan bernilai RM2.46 juta selepas menyerbu sebuah gudang di Sungai Buloh, Selangor. Pintu tiruan daripada jenis material pyro, antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan biasanya digunakan untuk Pintu kaca dan Pintu rintangan api. Bayangkan apa yang akan terjadi sekranya Pintu tiruan jenis ini, apabila digunakan di rumah atau pejabat, gagal berfungsi ketika berlaku kejadian yang tidak diingni.

 

Produk Asli Lebih Selamat

Banyak sebab produk asli adalah lebih baik dan selamat. Pihak industri melaburkan kos yang banyak untuk memastikan setiap produk yang dikeluarkan mematuhi standard kualiti dan keselamatan. Tambahan pula, standard yang menetapkan bahan yang digunakan, terutama bahan kimia, adalah mengikut skala yang dibenarkan berdasarkan uji kaji yang amat teliti ke atas penggunaannya. Standard untuk reka bentuk juga adalah satu daripada keperluan bagi pihak industri untuk memastikan produk mereka tidak akan membahayakan keselamatan. Malang memang tidak berbau, tetapi inovasi manusia mungkin boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecelakaan.

Penggunaan produk tiruan seperti minyak wangi tiruan boleh menyebabkan tindak balas alahan yang teruk dan kesan terbakar kepada kulit; alat mainan kanak-kanak tiruan pula menggunakan bahagian kecil yang mungkin longgar dan boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik atau mempunyai kandungan bahan kirma yang tinggi pada pewarna yang digunakan; dan ubat-ubatan palsu seperti vitamin kanak-kanak dan pil untuk mengurangkan atau melegakan kesakitan yang mungkin mengandungi bahan tidak asli dan tahap keselamatannya yang tidak diuji.

 

Permintaan Tinggi

Permintaan pengguna terhadap produk tiruan sebenarya membantu peniaga yang tidak beretika untuk meneruskan perniagaan mereka, selain daripada menyumbang kepada kehilangan kerja kerana pengilang barangan asli tidak berupaya untuk menandingi harga produk tiruan ini. Perniagaan yang membayar cukai secara sah mengalami kerugian yang banyak dan ini sebenarnya sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Pengguna sepatutnya lebih bijak dalam pembelian sesuatu produk. Dengan adanya teknologi, proses mendapatkan maklumat sepatutnya lebih memudahkan. Teknologi sepatutnya digunakan untuk mendapatkan maklumat yang boleh menambahkan pengetahuan dan mengelakkan daripada tertipu.

Semak terlebih dahulu kualiti mana-mana produk yang hendak dibeli dan juga label yang pada produk berkenaan. Contohnya untuk barangan elektrik, label yang digunakan di Malaysia ialah logo SIRIM-ST (ST ialah singkatan untuk Suruhanjaya Tenaga).

 

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA

Sumber : Berita Harian – Rencana – (Selasa, 23 Jun 2015)