‘Air Boring’ ini merupakan salah satu air alternatif yang banyak digunakan di negeri Kelantan. Ia sebenarnya ialah air yang dipamkan melalui proses pengerudian (boring) dari air bawah tanah ke permukaan melalui laluan paip.

Sumber air bawah tanah di sesuatu kawasan itu akan diambil dari lapisan batuan keras granit atau batuan keras lain dan air disedut dari dalam tanah lebih 20 meter atau berates meter dari permukaan bumi. Air yang diekstrak dipercaya lebih berkualiti kalau dibandingkan dengan air dari permukaan sungai dan kolam. Air boring (telaga tiub) telah menjadi bekalan air yang banyak digunakan di Negeri Kelantan sebagai bekalan harian.

 

PILIHAN LOKASI ADALAH SANGAT PENTING

Perkara yang penting untuk menentukan air mata di kawasan untuk digali telaga tiub ini adalah lokasinya. Bukan semua kawasan adalah sesuai untuk digali kerana di sesetengah tempat, airnya akan berbau busuk dan berwarna merah disebabkan mengandungi toksik logam yang tidak sesuai digunakan sebagai air minuman.

Selain itu, kawasan yang berhampiran dengan sistem kumbahan seperti tangki kumbahan adalah tidak sesuai digali kerana air kumbahan mungkin akan diserap masuk ke dalam air bawah tanah itu dan tercemar air bawah tanah kawasan tersebut. Tambahan pula, kawasan yang terdapat air paya, sawah padi, kawasan tanah gambut dan berhampiran laut juga tidak sesuai untuk digali telaga tiub.

Menurut laporan berita daripada Bernama menyatakan bahawa rasa dan warna air boring adalah berbeza dengan air paip yang dibekalkan daripada pihak pembekal air Kelantan. Selalunya, tempat yang sesuai adalah di kawasan tanah liat dan di bawahnya terdapat lapisan pasir yang bertindak sebagai penapis semula jadi sebelum air tersebut disedut ke permukaan bumi.

 

KUALITI AIR HARUS DIUTAMAKAN

Kualiti air yang disedut dari air bawah tanah adalah mempunyai risiko untuk diminum terus. Ia mempunyai kebarangkalian pengguna yang meminum air bawah tanah tanpa rawatan terdedah dengan bakteria leptospira. yang akan menyebabkan penyakit leptospirosis atau dikenali sebagai penyakit kencing tikus. Di samping itu, air tanpa rawatan mungkin mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh mengancam kesihatan pengguna jika menggunakannya dalam masa jangka panjang.

Pihak berkenaan pembekal air Kelantan haruslah sentiasa meningkatkan kualiti air yang dibekalkan ke rumah kediaman. Air yang bersih merupakan salah satu hak dan syarat utama untuk kehidupan manusia, kualiti air dari syarikat pembekal air haruslah sentiasa bersih dan berterusan, dengan itu ia dapat mengurangkan kegunaan air bawah tanah tanpa rawat di kalangan ramai penduduk di situ dan memilih air terawat yang dibekalkan.

Bagi pihak yang menggunakan air boring juga haruslah mendapat lesen penggunaan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa air tersebut adalah selamat diminum mengikut standard yang ditetapkan bawah Air Minuman Berbungkus dan Air Mineral Semula Jadi Jadual ke-25 dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.