Air merupakan satu keperluan asas untuk manusia dan alam sekitar. Mengikut MaIaysia Water Industry Guide, kita menggunakan hampir 5390 Billion Liter air mentah untuk tujuan pemprosesan dalam setahun.

Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water-NRW) boleh diketegorikan sebagai kehilangan dalam pengagihan untuk setiap industry bekalan air. Langkah-langkah untuk mengurangkan NRW perlu dipertingkat kerana NRW menyebabkan pembaziran air serta pendapatan. Pengurangkan NRW juga bermaksud kebolehan untuk menampung permintaan air yang kian meningkat tanpa pelaburan baru untuk membina infrastruktur perawatan ai

Mengikut Malaysia Water Industry Guide 2009, nilai NRW purata di Malaysia adalah 37 %. Tarif purata untuk pengguna domestik adalah RM 0.645 dan pengguna industri adalah RM 1.318. Mengikut statistik penghasilan air terawat, kita menghasilkan 13243 Juta Liter air sehari. Maka, NRW mencecah nilai RM 1.57 Billion hanya untuk tahun 2008. Ini bermaksud, penjimatan yang tinggi dapat dilakukan hanya melalui pengurangan nilai NRW. Walau bagaimanapun, ini tidak akan menjadi satu kokus jika keuntungan menjadi agenda utama. Tetapi, rakyat perlu memahami bahawa RM 1.57 Billion adalah sebahagian daripada tarif air kita.

Pengurangan NRW lebih bergantung kepada mekanisme pengawasan kuantiti air di sesuatu sistem perpaipan. Berpandukan kajian penggunaan air, satu analisis punca (root cause analysis) boleh membantu mengenalpasti sistem yang membazir air. Dalam sesetengah kes, penggunaan kaedah X-Ray dan Ultrasonic membantu mengenalpasti kebocoran. Terdapat juga kesalahan bacaan meter oleh meter-meter yang lama yang menambahkan nilai NRW.

Kebocoran dalam sistem perpaipan juga memberikan impak kepada kualiti bekalan air. Ini adalah berpandukan Prinsip Bernoulli. Pada lengkok-lengkok paip di mana tekanan dalam paip lebih rendah dari luar paip disebabkan kelajuan aliran air, bahan atau air dari luar paip dapat mangalir masuk ke dalam sistem perpaipan. Pengurangan NRW sememangnya mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

WECAM berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dapat menjalankan kajian terperinci untuk memastikan semua syarikat air dapat mengurangkan nilai NRW. Ini juga dapat membantu pengenalan Indeks Pencapaian Utama (KPI) berdasarkan saiz operasi. Pencapaian mereka patut disiarkan untuk makluman umum, ini adalah bagi membantu pengguna untuk mengetahui tahap perkhidmatan syarikat air mereka.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)