Semua pihak sedia maklum bahawa pihak Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) dan Forum Air Malaysia telah menyiapkan satu laporan kajian mengenai pengekstrakan air bawah tanah. Maklumat yang digunapakai adalah daripada agensi-agensi antarabangsa yang bertauliah. Pihak kami juga menyampaikan maklumat ini kepada semua ahli-ahli parlimen, semua menteri besar dan ketua menteri, ketua-ketua agensi kerajaan, exco-exco kerajaan negeri dan juga syarikat-syarikat bekalan air.

Pihak kami agak terkilan dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan Sime Darby melakukan kerja-kerja ’eksplorasi’ untuk menyediakan bekalan air daripada sumber air bawah tanah di Pulau Labuan walaupun teknologi lain wujud untuk tujuan kecemasan. Apakah kos ’ekplorasi’ ini? Adakah ia boleh dimaklumkan kepada rakyat

Mengikut kajian, bagi setiap 1 kaki penururan aras air tawar akan menyebabkan peningkatan 40 kaki air masin. Ini akan menyebabkan kon pemesongan atau ’cone of depression’. Inilah kaedah percampuran air laut kepada air tawar. Satu laporan bagi Pulau Lopez (Lopez Island, USA) menunjukkan kemasukkan air laut hampir 46 peratus dari 185 sampel air tawar yang dilakukan. Saiz Lopez Island adalah 76.4 km2 dan saiz Pulau Labuan secara keseluruhan adalah 75 km2. Sebenarnya, pelan pengurusan permintaan air patut dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di Labuan. Kita dapat lihat bahawa Labuan mempunyai air tidak terhasil (Non-revenue Water – NRW) sebanyak 33.1% berbanding Pulau Pinang sebanyak 16.9 % pada tahun 2008. Jika Labuan dapat mengurangkan nilai NRW hampir separuh berbanding dengan nilai sekarang, ia sememangnya dapat memenuhi permintaan air. Pengurusan permintaan air merupakan penyelesaian jangkamasa panjang dan ia merupakan langkah penting untuk Malaysia untuk mencapai status negara maju.

Pihak kami juga telah memeriksa dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). SPAN merupakan agensi pelesenan untuk perawatan dan bekalan air kepada pengguna. Walau bagaimanapun, pihak kami telah dimaklumkan bahawa, SPAN tidak menerima sebarang permohonan untuk pelesenan daripada Sime Darby. Bahagian II Peruntukan Pelesenan, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dengan jelasnya memberikan penerangan mengenai keperluan mendapatkan lesen untuk beroperasi. WECAM mengalu-alukan keputusan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk bekerjasama dengan Kementerisn Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menwujudkan garispanduan yang ketat dalam penggunaan air bwah tanah seperti yang dipraktikkan di negara-negara contoh yang diberikan oleh Sime Darby.

Perbincangan pihak kami dengan pihak Sime Darby baru-baru ini hanya menyimpulkan bahawa mereka masih di peringkat awal kajian projek dan tidak sepatutnya diberikan kelulusan. Pakar mereka sendiri menyokong kerisauan kami semasa hujah mempertahankan projek ini.

Satu contoh ringkas kepada rakyat adalah cuaca di kesemua negara contoh yang digunakan oleh Sime Darby adalah jauh berbeza daripada iklim tropika.  Ini akan menyebabkan kadar aliran masuk yang berbeza. Apabila kita merujuk kepada Semarang dan Jakarta di Indonesia serta Bangkok, Thailand yang merupakan negara yang mempunyai iklim yang sama dengan Malaysia, kita dapat melihat kesan pengekstrakan air bawah tanah.

Kelulusan yang diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah untuk pengekstrakan 500 Juta Liter sehari untuk keseluruhan Mukim Batang Padang tetapi proses pengekstrakan adalah di satu lokasi sahaja. Sememangnya air bawah tanah dari seluruh Batang Padang tidak mengalir ke Slim River sahaja. Semasa perbincangan dengan pihak kami dengan Sime Darby mereka memberitahu bahawa mereka masih dalam proses mengumpul data untuk menjalankan model simulasi. Model simulasi merupakan langkah pertama dan bukannya sesuatu yang dilakukan selepas kelulusan.

Secara bersama WECAM, FOMCA dan Forum Air Malaysia, kami telah memberikan pandangan yang bebas. Kini, ia adalah bergantung kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dan juga mengambil tanggungjawab bersama-sama dengan Sime Darby dalam kebolehan projek ini serta impak kepada alam sekitar.

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)