Petaling Jaya, 5 Ogos 2011 - Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Marimuthu Nadason akan terlibat dalam sidang meja bulat 1Malaysia dari 8 Ogos hingga 14 Ogos 2011.

Datuk Marimuthu adalah antara 25 pakar bidang yang dipilih khas untuk terlibat dalam perbincangan sidang meja bulat ini. Datuk Marimuthu akan terlibat dalam perbincangan yang berkaitan dengan topik kepenggunaan. 

Untuk perbincangan sidang meja bulat tersebut, Datuk Marimuthu telah memilih tema ”Perubahan Bermula Dengan Saya’. Pengenalan dengan topik dan tema telah bermula pada 1 Ogos 2011 sehingga 7 Ogos 2011. Manakala perbincangan akan bermula pada 8 Ogos sehingga 14 Ogos 2011.

Sidang Meja Bulat 1Malaysia merupakan inisiatif Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib bin Tun Razak, bagi mendapatkan maklum balas tentang pelbagai topik. Perbincangan yang dibuat secara atas talian ini melibatkan 25 pakar bidang yang akan diberi tempoh tertentu untuk mendapatkan maklum balas dan komen. Pakar bidang akan memberikan maklum balas terhadap persoalan yang ditimbulkan sepanjang tempoh sidang meja bulat itu.

Antara isu yang akan dibincangkan dalam sesi meja bulat 1Malaysia Datuk Marimuthu adalah perubahan minda pengguna dalam menghadapi cabaran global, kesan inflasi, subsidi, harga barang dan sebagainya.

Para pengguna diseru supaya terlibat dalam perbincangan meja bulat 1Malaysia untuk memberikan sebarang komen dan mendapatkan maklum balas yang berkaitan dengan isu kepenggunaan.

Sila klik disini untuk menyertai sidang meja bulat 1Malaysia atau layari http://www.1malaysia.com.my/roundtable/view/11/perubahan-bermula-dengan-saya

Mohd Yusof Abdul Rahman 
Pengarah Komunikasi 
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

 


1MALAYSIA ROUNDTABLE DISCUSSION

Topik: PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA

Memang tidak dapat dinafikan kehidupan para pengguna di seluruh dunia pada masa ini semakin sukar dan mencabar. Harga minyak yang tidak stabil dan bahan makanan yang tinggi, ekonomi yang gawat serta peningkatan kes-kes jenayah merupakan isu-isu yang meresahkan para pengguna. Isu-isu ini bukan sahaja mempengaruhi kualiti kehidupan pengguna secara langsung, tetapi juga menyebabkan pengguna berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu pada masa hadapan. 

Bagaimanakah rakyat Malaysia menghadapi cabaran-cabaran ini? Tabiat dan amalan lama mereka yang suka menyalahkan orang lain, dan mengharapkan pihak yang lain (biasanya kerajaan) untuk memberikan bantuan, tidak lagi boleh digunakan pada masa ni. Dalam keadaan global kini, kuasa kerajaan semakin terbatas. 

Pelbagai kejadian yang berlaku di peringkat antarabangsa dan keputusan yang ditentukan oleh badan-badan antarabangsa di Washington, London dan sebagainya boleh membawa kesan kepada para pengguna Malaysia, sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung. 

Pengguna perlu melihat semula gaya hidup mereka dan bersedia untuk melakukan perubahan yang besar kepada gaya hidup mereka mengikui kesesuaian keadaan yang berlaku pada masa ini. Banyak cabaran berbentuk  struktur yang berlaku di peringkat dunia yang memberikan kesan negatif kepada pengguna di Malaysia. Sebelum ini, isu global adalah berbentuk putaran, namun kini isu pengguna lebih berbentuk struktural, yang akan sentiasa wujud. Oleh itu, pengguna perlu melakukan perubahan gaya hidup bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baru ini. Corak penggunaan pengguna adalah sumber masalah dan juga punca jalan penyelesaian kepada masalah pembangunan lestari.

Berikut adalah beberapa cabaran baru dunia, iaitu:

  1. Peningkatan harga minyak dan gas – peningkatan ini memberi kesan kepada semua sektor ekonomi, termasuk pengeluaran makanan dan pengangkutan.
  2. Peningkatan pengambilan bijirin – khususnya berlaku di negara China dan India. Pengambilan bijrin yang meningkat ini berikutan daripada peningkatan dalam 'disposable income' golongan penduduk kelas tengah yang juga meningkat
  3. Tanaman Makanan kepada bahan api bio – di kalangan negara membangun dan negara sedang membangun, banyak tanaman makanan telah digunakan untuk menghasilkan bahan api bio. Oleh itu, ia menyebabkan kurangnya pengeluaran makanan.  Petani / peladang  tanaman makanan untuk menghasilkan bahan api  bio mendapat harga yang lebih tinggi untuk hasil tanaman mereka berbanding dengan penghasilan makanan untuk kegunaan manusia.
  4. Perubahan iklim – banyak kawasan tanah yang sebelum ini mengeluarkan bahan makanan yang melimpah ruah, kini tidak lagi mengeluarkan hasil akibat daripada perubahan iklim.
  5. Masyarakat “Fast Food” – semakin ramai golongan muda yang mengamalkan pola pemakanan cara barat menyumbang kepada kadar obesiti yang meningkat dalam kalangan remaja - akibat nilai permakanan yang rendah dan kekurangan bersenam.

Ringkasnya, masa bagi harga minyak yang rendah dan makanan yang murah telah berlalu. Harga beras telah meningkat sebanyak 141%, manakala gandum pula 120% semenjak beberapa tahun ini. Terdapat  37 buah negara yang sedang menghadapi masalah kekurangan makanan. Selain itu, lebih daripada 100 juta orang di seluruh dunia yang berada pada paras kemiskinan jika harga makanan terus meningkat.  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menyatakan dengan jelas bahawa pengeluaran makanan hendaklah meningkat sebanyak 50% bagi memenuhi peningkatan kepada permintaan bahan makanan. 

Bagi pengguna di Malaysia pula, kesan peningkatan ini bermaksud:

  1. Peningkatan kos hidup
  2. Kualiti hidup kian berkurangan
  3. Hutang semakin meningkat
  4. Bankrap
  5. Isu kesihatan mental
  6. Masalah jenayah semakin berleluasa

Perlunya perubahan minda di kalangan pengguna di Malaysia. 
Masyarakat pengguna di Malaysia perlu memberikan reaksi yang berbeza terhadap cabaran-cabaran ini berbanding pada masa lalu. Mereka perlu melihat semula gaya hidup mereka dan bersedia untuk melakukan perubahan yang besar kepada gaya hidup mereka mengikui kesesuaian keadaan yang berlaku pada masa ini. 

Bagi menghadapi cabaran baru ini, salah satu daripada kekangan besar ialah minda rakyat Malaysia. Lantaran rakyat Malaysia telah terbiasa dengan kehidupan yang selesa, yang disebabkan jumlah subsidi yang besar diberikan oleh kerajaan, maka mereka terus beranggapan bahawa ini merupakan hak mereka. Oleh itu mereka terus berharap, malah mendesak, agar kerajaan campur tangan bagi memastikan harga barang berada pada paras rendah. 

Pengguna di Malaysia perlu mengambil tanggungjawab dalam menghadapi cabaran ini. Mereka perlu mengubah gaya hidup berdasarkan harga pasaran sebenar. Sekiranya harga sebenar minyak adalah RM3.00 seliter, maka pengguna perlu membuat keputusan, apakah jenis kereta yang ingin mereka beli, ke mana mereka ingin pergi, berapa kerap mereka ingin membuat perjalanan menggunakan kereta. Gunakan pengangkutan awam dan beberapa keputusan lain yang berasaskan kepada harga sebenar. Pembuatan keputusan yang berdasarkan kepada subsidi adalah tidak mampan pada jangka panjang.

Begitu juga dengan makanan. Apabila harga makanan di pasaran antarabangsa meningkat, walaupun apa juga alasannya, pengguna tidak boleh menjangka kerajaan akan menyerap kenaikan harga tersebut dan mengekalkan harganya pada paras yang rendah. Ini juga tidak bersifat realistik. Pengguna perlu membuat perubahan terhadap gaya hidup mereka yang mencerminkan situasi semasa.

Kerajaan sudah semestinya turut mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan yang berhadapan dengan kesulitan hidup, melalui sistem keselamatan sosial yang menyeluruh. Bagi kebanyakan pengguna, peningkatan harga barang bermakna mereka perlu memikirkan semula gaya hidup dan keutamaan hidup mereka. 

Perubahan sikap yang diharapkan termasuk:

  1. Perubahan dalam pembelian produk berjenama kepada produk generik
  2. Perubahan kepada jenama berharga rendah
  3. Perubahan kepada produk yang mempunyai kualiti yang setimpal.
  4. Memasak di rumah berbanding makan di luar
  5. Menginap di hotel yang lebih murah
  6. Menggunakan perkhidmatan kapal terbang yang lebih murah
  7. Mengurangkan penggunaan barangan mewah
  8. Membeli belah di kedai yang menjual barangan lebih murah (mekanisme pemantauan harga untuk membantu pengguna membuat keputusan pembelian)
  9. Lebih kerap menggunakan pengangkutan awam
  10. Menjimatkan penggunaan tenaga
  11. Mengurangkan penggunaan air
  12. Melakukan kegiatan bercucuk tanam di rumah
  13. Memberikan perhatian terhadap perancangan dan pengurusan kewangan yang baik
  14. Gaya hidup yang sihat
  15. Pengurusan sampah bertanggungjawab seperti kitar semula, kompost, dan lain-lain

Soalan untuk diskusi:

  1. Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk “Perubahan Bermula Dengan Saya”?
  2. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menyemai semangat “Perubahan Bermula Dengan Saya” di kalangan rakyat Malaysia?
  3. Siapakah yang menentukan harga dan permintaan barangan dan perkhidmatan?
  4. Bolehkah kerajaan menentukan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan?
  5. Adakah subsidi perlu diberikan kepada semua orang, termasuk golongan kaya dan warga asing?
  6. Adakah Sistem Jaringan Keselamatan Sosial “Safety Net” pada masa ini mencukupi?
  7. Jika subsidi dimansuhkan, ke manakah wang untuk subsidi itu harus diperuntukkan?
  8. Apakah yang perlu dilakukan supaya negara tidak perlu bergantung kepada bahan makanan daripada luar negara?