Pada zaman moden ini kebiasaannya mangsa akan ditawarkan untuk melabur dalam skim yang memberikan pulangan yang lumayan dan jaminan yang tinggi seperti pelaburan emas dan pelaburan berbentuk sijil dividen. Pada mulanya,syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid).

Syarikat-syarikat ini dikatakan melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Ada antara syarikat-syarikat ini yang sedang disiasat, manakala ada pula yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia, yang aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.

Biasanya, hukuman yang tetapkan adalah tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, boleh dikenakan denda harian tidak melebihi RM100 ribu sehari.

Pengguna diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran yang tidak munasabah daripada mana-mana syarikat, hanya kerana ingin cepat mengejar keuntungan. Adalah dinasihatkan supaya orang ramai membuat semakan atau rujukan dengan pihak Bank Negara Malaysia sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan untuk menentukan sama ada mempunyai lesen yang sah atau tidak.

Jayasilan Kandasamy
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)