Kerja-kerja penyelenggaraan berjadual semasa kekurangan bekalan gas merupakan antara sebab Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli tenaga elektrik sebanyak 180MW dari Singapura. Demikian menurut syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini.

Petronas mengatakan bahawa ia telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual ke atas kemudahan gas asli luar pantai bermula 19 hingga 26 April, manakala bagi kilang pemprosesan minyak mentah pula pada 26 Mei hingga 4 Jun 2011. 

Penyelenggaraan tersebut dilakukan untuk memastikan keutuhan sistem dan proses di kedua-dua kemudahan tersebut dan memerlukan penutupan operasi sepenuhnya. Ini mengakibatkan bekalan gas asli tidak mencukupi untuk menampung keperluan pelanggan PETRONAS sepanjang tempoh penyelenggaraan tersebut.

Dengan mengehadkan bekalan gas, termasuk untuk sektor penjanaan elektrik, ia dapat memastikan setiap sektor pelanggan akan menerima bekalan gas asli secara optimum.

Petronas juga telah mengadakan perbincangan dengan pelanggan-pelanggannya dan telah memberikan notis awal tentang penutupan sepenuh operasinya untuk membolehkan mereka mengambil langkah-langkah mitigasi yang sepatutnya.

”Kerja-kerja penyelenggaraan berjaya dilaksanakan mengikut jadual dan keadaan pembekalan kepada pelanggan semakin pulih”, menurut Kenyataan Petronas lagi. 

TNB telah melaporkan bahawa ia akan membeli tenaga elektrik daripada Power Seraya Ltd di Singapura, iaitu sebuah unit YTL Power International Bhd disebabkan penutupan sepenuhnya akibat kerja-kerja penyelenggaraan oleh Petronas.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Che Khalib Mohd Noh berkata, TNB hanya membeli 180MW yang mana ia merupakan 1.5 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan permintaan tenaga elektrik.

Business Times Singapura melaporkan, pembelian tenaga elektrik oleh TNB telah dilanjutkan sehingga 15 Jun, yang menandakan jualan kuasa komersial yang pertama pernah dilakukan di antara kedua-dua negara. 

Laporan itu juga mengatakan, pembelian itu dilakukan selepas TNB mengadakan rundingan pembelian pada bulan April dengan Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (Singapore Energy Market Authority) dan syarikat penjana tenaga bagi bekalan elektrik yang diperlukan bagi mengatasi kekurangan untuk tempoh beberapa bulan. 

Hal ini disebabkan oleh kekurangan bekalan gas asli yang dihadapi oleh loji jana kuasa TNB kerana penutupan bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang mungkin akan berkurang sebanyak 30%  pada bulan Mei dan Jun.

(Diterjemahkan daripada Malaysian Insider, diterbitkan pada 10 Jun 2011 bertajuk: ’Petronas explains Tenaga's Singapore power deal’)

Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia