KUANTAN, 15 MAC - ERA Consumer Malaysia telah menganjurkan Sesi Rundingan Umum Kebangsaan SUHAKAM bagi laporan tahunan 2007 dan 2008 di Hotel Grand Continental, di sini semalam. Sesi rundingan yang dibuat secara tahunan ini telah memilih Kuantan sebagai lokasi kelapan. Seramai 117 peserta daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta fahaman politik yang telah hadir menjayakan sesi rundingan ini.

Dalam sesi rundingan kali ini, ERA Consumer telah menjemput Cik Nora Murat dari Amnesty International sebagai perantara, manakala ahli-ahli panel terdiri daripada individu-individu yang berpengaruh dalam bidang masing-masing. Mereka terdiri daripada Puan Haslinah Ya’cob  (All Women’s Action Society Malaysia), Encik Jerald Joseph (KOMAS), Encik Faisal Mustaffa (REFSA), Dr Shamrahayu Ab Aziz (UIA) dan Encik Hon Kai Ping (Majlis Peguam Pahang).

Topik-topik yang dibincangkan berkisar kepada ulasan terpilih daripada penerbitan terkini ERA Consumer Malaysia iaitu SUHAKAM Selepas 8 Tahun: Hanya Perkataan, Tiada Tindakan dan SUHAKAM Selepas 9 Tahun: Masanya untuk SUHAKAM mendapatkan kembali kepercayaan Rakyat.

Antara topik tersebut adalah Advokasi SUHAKAM dalam Kesamarataan Gender, Ulasan dalam Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Hak Pilihanraya dan Anda, Tahanan Tanpa Bicara dan Pentadbiran SUHAKAM dalam mempertingkatkan Pentadbiran Keadilan.

Sesi rundingan ini turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden ERA Consumer Malaysia, Encik Timo Karmakallio, wakil Kedutaan Finland ke Malaysia, Dato’ Siva Subramaniam, pesuruhjaya Suhakam.

Dalam sesi soal jawab dan maklum balas, Pesuruhjaya SUHAKAM telah memberikan jawapan yang sedikit sebanyak menjelaskan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh peserta.

ERA Consumer Malaysia merupakan salah satu NGO pemerhati SUHAKAM yang telah menganjurkan sesi rundingan ini secara tahunan sejak tahun 2000. ERA Consumer memfokuskan kepada pendidikan hak asasi manusia selama lebih daripada 10 tahun. Dengan mengadakan sesi rundingan ini ERA Consumer Malaysia mendapatkan maklum balas daripada masyarakat tentang pemahaman mereka mengenai isu hak asasi manusia.

Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia
16 Mac 2010

 

 

Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, berkesefahaman dan penyayang.

Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan  mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk  disediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya.

Mereka berhak ke atas perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.

Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Pendapat kanak-kanak sering tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Berapa banyak kes yang dilaporkan oleh media massa tentang kes penderaan dan pembuangan bayi? Bagaimana pula dengan kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang tidak dilaporkan?

Apa itu Hak Kanak-kanak?
Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai ratifikasi paling banyak antara instrumen PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak-kanak. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari 1995,  namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37.

Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara Pihak dan juga masyarakat.

Perjanjian ini menggariskan empat pengelasan hak utama iaitu;

Kehidupan
Hak kanak-kanak kepada kelangsungan hidup dan keperluan-keperluan asas untuk hak tersebut seperti makanan, air bersih dan tempat tinggal.

Ibu bapa mestilah menyediakan keperluan-keperluan asas kepada kanak-kanak mengikut kemampuan mereka. Kanak-kanak memerlukan tempat tinggal yang baik, pemakanan yang seimbang dan air yang bersih, Persekitaran yang positif, harmoni dan penyayang perlulah diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak dapat membesar dengan baik.

Ibu bapa juga perlu menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat yang mengandungi zat seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral dalam memangkinkan tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa harus mengajar kanak-kanak untuk memilih makanan yang berkhasiat daripada memakan makanan ringan yang kurang berkhasiat.

Perkembangan
Hak kepada pembangunan potensi individu menyeluruh seperti hak kepada pendidikan, hak untuk bermain dan hak untuk menyuarakan pendapat.

Ibu bapa mestilah memberikan pendidikan kepada kanak-kanak. Pendidikan ini termasuklah mengenali tuhan, nilai-nilai murni dan persekolahan. Ibu bapa harus memupuk minat membaca dan cintakan ilmu kepada kanak-kanak. Ilmu-ilmu yang baik dan bermanfaat ini adalah untuk menyediakan kanak-kanak pada masa hadapan. 

Kanak-kanak juga diberikan kebebasan untuk bermain mengikut kesesuaian. Melalui interaksi bermain, kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu yang bermanfaat. Sebagai contoh, mereka dapat belajar menghormati orang lain; sesuatu yang mudah seperti beratur ketika bermain atau berkongsi alat permainan bersama-sama rakan. 

Kanak-kanak juga perlu didengari. Pendapat mereka yang diambil kira oleh ibu bapa akan membuatkan mereka berasa dihargai. Dengan ini mereka bersedia untuk meluahkan perasaan atau masalah kepada ibu bapa. Terdapat banyak kes yang menunjukkan kanak-kanak atau remaja yang lebih mempercayai rakan sebaya daripada ibu bapa sendiri dalam berkongsi masalah. Ini disebabkan oleh kurangnya komunikasi di antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka sehingga menyebabkan kanak-kanak ini tidak berminat untuk menceritakan masalah mereka kepada ibu bapa dan keluarga.

Perlindungan
Hak kepada perlindungan daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi dan sebagainya.

Kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi seksual.

Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapatnya salah laku terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.

Penyertaan
Hak kepada penyertaan sepenuhnya dalam keluarga, budaya dan kehidupan sosial masyarakat setempat.

Kanak-kanak perlu diberi hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal dan pembesaran mereka. Contohnya mereka ingin mendapatkan sesuatu barangan, sekiranya difikirkan sesuai, ibu bapa perlulah menyediakan barangan tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyertakan kanak-kanak dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat memupuk sifat-sifat murni dalam diri kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak juga perlu dididik untuk berbuat baik dan bertoleransi dengan anggota masyarakat.

Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir kepada kanak-kanak. Seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan kanak-kanak ini dapat menjalani kehidupan yang baik. Kesedaran terhadap hak kanak-kanak perlulah dipupuk ke dalam diri setiap individu agar mereka mengerti bahawa setiap dari kita mempunyai hak tersendiri. Kesedaran ini juga perlu dalam mengurangkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusian sesetengah individu terhadap kanak-kanak.

Nor Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia,
ERA Consumer Malaysia

Pendidikan Hak Asasi Manusia atau PHAM didefinisikan sebagai pendidikan, latihan dan informasi yang bertujuan untuk membina budaya hak asasi manusia yang universal melalui perkongsian ilmu, kemahiran dan pembentukan sikap kepada menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas.

 

  1. Pendidikan Hak Asasi Manusia juga menerapkan nilai-nilai seperti:
  2. Mempromosikan toleransi mengenai kesamaan jantina dan pertalian antara semua kaum tidak kira agama, keturunan atau bahasa.
  3. Membentuk personaliti kemanusiaan dan rasa timbang rasa dan maruah.
  4. Membolehkan semua individu untuk menyertai secara efektif dalam masyarakat yang bebas dan berdemokrasi di bawah undang-undang yang terbentuk.
  5. Membangunkan dan mengekalkan keamanan.
  6. Mempromosi kepada masyarakat yang berteraskan pembangunan mapan dan keadilan sosial.

(Sumber: unesco.org) 

Dalam erti kata lain, Pendidikan Hak Asasi Manusia adalah ilmu yang perlu diterapkan kepada setiap individu dalam membentuk sikap hormat-menghormati terhadap hak yang dimiliki setiap orang. Ia juga meliputi tanggungjawab bersama masyarakat berbilang kaum dengan lanjutan kehidupan yang praktikal. 

PHAM bukan bertujuan untuk melahirkan generasi yang suka memberontak melalui penulisan yang sinis/kritikan atau sekumpulan individu yang mengadakan demonstrasi di jalanan untuk mendapatkan hak mereka. Sebaliknya, untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak mereka dan hak orang lain. Ia juga dapat memberikan kefahaman para pelajar dalam menghormati dan menerima perbezaan masing-masing. Begitu juga, ia dapat membantu mengurangkan masalah-masalah sosial seperti keciciran sekolah, kemiskinan, kes buli dan diskriminasi, penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga.

PHAM Meningkatkan Kesedaran mengenai Hak Sendiri

Melalui PHAM, para pelajar dapat diterapkan dengan nilai-nilai kemanusiaan melalui hak yang dapat dipelajari mereka. Majoriti para pelajar tidak mengetahui hak-hak mereka. Disebabkan kejahilan ini, maka mereka selalu menyalah anggap dan menyalahgunakan sesuatu yang mereka anggap sebagai hak. Sebagai contoh kes yang berlaku terhadap pelajar ASWARA dan Adukataruna yang mendakwa menggunakan hak kebebasan bersuara.

ERA Consumer telah mengadakan latihan literasi undang-undang dengan sokongan Open Society Institute pada 2009. Latihan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak perundangan mereka yang terbahagi kepada enam sesi undang-undang berbeza. Apa yang mengejutkan ialah hampir 65 peratus peserta tidak sedar mereka mempunyai hak-hak tersebut, manakala 55 peratus telah menyalah anggap hak yang mereka miliki.

Kita perlu mengetahui hak setiap individu, yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu hak persendirian dan hak kolektif. Kita mempunyai hak peribadi, hak politik, hak perundangan, hak ekonomi dan hak sosial.

Sebagai contoh, hak untuk menyuarakan pendapat. Hak ini boleh dilakukan apabila kita mempunyai sesuatu pendapat atau pernyataan yang ingin dibuat. Tetapi, tatacara dalam mengeluarkan pendapat juga memerlukan kita untuk menyedari bahawa kenyataan tersebut tidak boleh menyentuh sesuatu yang sensitif dan berbaur provokatif. Ini tersenarai dalam hak masyarakat yang kita seharusnya menghormatinya.

Justeru, melalui PHAM sebagai sebuah subjek yang diajarkan di sekolah, maka para pelajar dapat mengetahui hak mereka sekaligus tatacara dalam menggunakan hak tersebut.

PHAM Menanamkan Rasa Hormat dan Penerimaan kepada Perbezaan Orang Lain  

Objektif utama PHAM adalah menghormati dan menerima perbezaan setiap daripada individu dalam sesebuah masyarakat. Mengambil pendapat seorang kenalan semasa sebuah seminar anjuran Friedrich Nauman Foundation pada awal bulan lalu; ”Bukankah lebih baik daripada kita bertoleransi dengan sesuatu perbezaan, kita menerima perbezaan itu dan menghormatinya?”

Toleransi dan penerimaan adalah dua perkara berbeza. Toleransi adalah bila kita ”menyabarkan diri” dengan sesuatu perbezaan, sama ada kita suka atau tidak. Di sini ia bermaksud kita tidak ikhlas menerima perbezaan ini kerana kita diminta untuk bertoleransi. Walau bagaimanapun, jika kita menghormati perbezaan dan menerima, ia akan lebih memudahkan dan kita tidak akan melalui keadaan yang tidak menyenangkan pada kemudian hari.

Kita memang mempunyai pelbagai perbezaan. Kita mempunyai pemikiran, pendapat tersendiri dan definisi hidup yang berlainan. Kita juga mempunyai warna kulit, kepercayaan agama dan bahasa pertuturan yang tidak sama. Jika kita boleh menghormati pendapat orang lain, mengapa kita tidak dapat menerima perbezaan mereka? Dan sekiranya kita mahu dihormati, mengapa kita juga tidak melakukan perkara yang sama? Pengetahuan seperti ini amat perlu diserapkan ke dalam diri para pelajar. Mereka tidak akan menyedari jika keindahan di sebalik ciptaan ini tidak diterangkan kepada mereka.

PHAM Dapat Mengurangkan Masalah-masalah Sosial seperti Keciciran Persekolahan, Kemiskinan, Buli dan Diskriminasi, Penderaan Kanak-kanak serta Keganasan Rumah Tangga.


Para pelajar juga perlu memahami hak mereka kepada pendidikan. Contohnya, jika mereka tidak mempunyai kewangan untuk meneruskan persekolahan, mereka boleh memohon untuk mendapatkan bantuan. Melalui kesedaran kepentingan hak kepada pendidikan juga, mereka boleh menikmati taraf hidup yang lebih baik pada masa hadapan dan mengeluarkan keadaan keluarga yang tersepit dengan kemiskinan. Para pelajar juga mengetahui bahawa mereka mempunyai hak sebagai kanak-kanak yang mempunyai perlindungan dari pengabaian dan penderaan.

Ramai ibu bapa yang tergolong dalam ”kumpulan terdedah” (vulnerable group) seperti pekerja ladang dan orang asli yang tidak mengetahui kepentingan sijil kelahiran dalam menentukan kehidupan anak-anak mereka pada masa hadapan. Kegagalan untuk mendaftarkan anak bukanlah disebabkan mereka tidak peduli tetapi kerana mereka tidak tahu. Lantas, dengan program khas PHAM, mereka ini dapat diberikan maklumat tentang hak kepada kewarganegaraan, yang sekali gus diakui kewujudan mereka sebagai warganegara.

PHAM juga dapat menerapkan penghormatan kepada hak jantina dan dapat mengurangkan masalah keganasan rumah tangga yang banyak berlaku pada masa ini. Masih terdapat segelintir golongan lelaki yang menganggap wanita adalah harta. Menerusi pendidikan mengenai hak antara jantina ini juga dapat memberikan pemahaman kepada wanita supaya tidak diekploitasi dan dipergunakan untuk sebarang tujuan yang tidak baik.

Kepentingan PHAM

Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan ianya adalah sebuah aset sosial yang sangat berharga. Hidup bermasyarakat dengan latar belakang yang pelbagai budaya ini, memerlukan kita mempunyai kesedaran tentang persamaan, kesamarataan, kemanusia, keadilan dan nilai-nila demokrasi. (Heru Susetyo, 2006).

Secara lebih konkrit, kesedaran pelbagai budaya ini bertujuan, pada antara lain untuk: menghormati hak dalam beragama, memahami kepelbagaian bahasa, membangun sikap sensitif jantina, membangun pemahaman kritis terhadap ketidakadilan dan perbezaan status sosial, membangun sikap anti diskriminasi etnik dan keturunan, menghargai perbezaan kemampuan fizikal, dan menghargai perbezaan usia (Ainul Yaqin, 2005). Justeru, PHAM bolehlah dijadikan teras dalam menghidupkan konsep 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri.

Penutup

PHAM boleh dijadikan subjek yang berasingan ataupun dimasukkan ke dalam subjek-subjek yang lain seperti; Pendidikan Moral, Pendidikan Agama Islam ataupun subjek-subjek bahasa. Apa yang penting ialah kesungguhan kerajaan dalam menerapkan nilai-nilai kemanusiaan kepada generasi akan datang; pemimpin yang bakal mencorak kehidupan berharmoni yang lebih baik.  Bak kata hikmat daripada Bertrand Russell: The good life is inspired by love and guided by knowledge.

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
19 April 2010

Pangkor,  17 Mei 2010 – Bahagian Hak Asasi Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer) telah mengadakan siri program “Memperkasa Kepimpinan Wanita melalui Pendidikan Undang-undang dan Advokasi” baru-baru ini.

Program tiga hari dua malam ini telah memilih Pangkor Laut sebagai destinasi pertamanya. Beberapa orang penceramah yang berlatar belakang undang-undang dan berpengalaman telah menjemput bagi memberikan ceramah dalam program ini.


Program ulung yang dianjur dengan kerjasama Yayasan Friedrich Naumann, serta mendapat pembiayaan daripada Kesatuan Eropah ini, telah dihadiri oleh 26 orang wanita India, berumur antara 21 tahun hingga 45 tahun. Sebanyak tujuh buah topik telah dibincangkan, antaranya Hak Asasi Wanita, Pengenalan Sistem Perundangan Malaysia, Undang-undang Pengguna, Undang-undang Keluarga Sivil, Undang-undang Syariah, Undang-undang Pekerja dan Undang-undang Jenayah.

Menurut Pengarah Program dan Pembangunan Kemasyarakatan (Wanita) ERA Consumer, Nanthini Ramalo, ”Program ini merupakan antara program yang paling dinanti-nantikan oleh masyarakat India terutama sekali untuk memahami konsep perundangan dan mengetahui lunas-lunas serta prosedur yang betul dalam menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami.”

Selain itu, program ini juga akan memberikan tumpuan kepada golongan wanita orang Asli. ERA Consumer dalam proses untuk mendapatkan kerjasama daripada  Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi mengenal pasti peserta-peserta program.

“Kumpulan sasaran kami adalah wanita India dan Orang Asli. Sebanyak 12 program akan diadakan. Kami berharap dapat mencapai objektif program ini dalam usaha untuk melengkapkan peserta-peserta program dengan pengetahuan undang-undang dan pendidikan hak asasi wanita,” tambah Nanthini lagi

Salah seorang peserta program ini, Puan Loges, 43 tahun, amat menghargai program yang dianjurkan oleh ERA Consumer. ”Banyak perkara yang sebelum ini kita tidak tahu, telah kita pelajari. Program ini bukan setakat memberi syarahan dan penerangan, tetapi juga pelbagai aktiviti dijalankan untuk menambahkan pemahaman. Jika boleh, saya mahu anak saya sertai program ini juga,” ujar beliau.

Program seterusnya akan diadakan di Taiping, Perak dan Pontian, Johor pada bulan Jun nanti.

Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer, merupakan sebuah organisasi yang memberikan tumpuan kepada pendidikan hak asasi manusia. Antara program-program utama lain yang diadakan adalah Program Latihan Hak Asasi Manusia, Program Literasi Undang-undang dan Program Hak Sivil dan Perlembagaan. 

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia
18 Mei 2010

{morfeo 4}

 

United Nations Children's Fund (UNICEF) menggangarkan bahawa terdapat sebanyak 158 juta kanak- kanak buruh yang berumur dari 5-14 tahun iaitu dengan nisbah 1 kepada 6 kanak- kanak di seluruh dunia.

Jutaan kanak-kanak terlibat dalam situasi berbahaya seperti bekerja di tapak perlombongan, pendedahan kepada bahan kimia dan racun perosak dalam pertanian atau bekerja dengan menggunakan mesin yang berbahaya.

Kanak- kanak ini kadang- kala bekerja dalam keadaan yang tersembunyi iaitu sebagai pembantu rumah, bengkel membaiki kereta dan motosikal, dan ladang- ladang pertanian.

Di Sub-Sahara Afrika sekitar satu daripada tiga kanak-kanak terlibat dalam perburuhan kanak-kanak yang membawa kepada 69 juta kanak - kanak. Di negara Pakistan, terdapat kira- kira 12 juta buruh kanak - kanak dan  di Asia Selatan, sebanyak 44 juta kanak - kanak terlibat dalam perburuhan. Anggaran antarabangsa terkini untuk petunjuk ini telah dilaporkan dalam (Perlindungan Kanak- Kanak ) Jadual 9 -penerbitan tahunan UNICEF.

Di sesetengah negara, terdapat syarikat- syarikat yang menggunakan buruh kanak- kanak. Terdapat beberapa negara yang mempunyai undang- undang yang mengawal atau mengalang penggunaan buruh kanak –kanak. Tetapi sesetengah negara mempunyai undang- undang yang lemah dan penguatkuasaan yang tidak efektif dan tidak dapat membendung pengunaan kanak- kanak untuk berkerja.

Syarikat – syarikat seperti ini harus mempunyai tanggungjawab sosial terhadap pekerja mereka. Walaupun tidak ada undang- undang di sesebuah negara yang melarang penggunaan buruh kanak- kanak, mereka dengan sendiri harus mempunyai kesedaran ini dan tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan kanak – kanak untuk bekerja . 

Laporan UNICEF juga menyatakan bahawa kanak- kanak perempuan mempunyai kecendurangan untuk dieksploitasi dan didera barbanding kanak-kanak lelaki. Sesebuah syarikat yang bertanggungjawab sosial boleh menyumbang kepada pelbagai pembangunan masyarakat dan ini secara langsung akan dapat membantu menaikkan imej syarikat tersebut.

Di negara- negara Barat, pengguna- pengguna mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap perkara ini dan mereka akan memboikot sesuatu barangan atau perkhidmatan jika ianya dikeluarkan oleh syarikat yan melibatkan buruh kanak- kanak.

Oleh itu , adalah penting untuk pengguna- pengguna di Malaysia untuk memperkasakan diri mereka dengan maklumat- maklumat seperti ini dan menjadi seorang pengguna yang lebih bertanggungjawab dan membantu membendung buruh kanak- kanak

Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

 

enggunaan teknologi telekomunikasi dan internet kini kian hebat disalahgunakan oleh pembuli siber. Buli siber tidak melibatkan fizikal tetapi lebih kepada emosi. Melalui teknologi ini, terdapat ramai remaja yang dibuli, sama ada diejek, dibenci dan dipulaukan oleh orang lain melalui laman sosial, laman video dan sistem pesanan ringkas (sms).

Definisi buli siber adalah gangguan yang berterusan, sebarang penghinaan yang dilakukan di alam siber iaitu internet, tanpa wayar atau telefon ke atas remaja. Pembuli di alam siber lebih agresif kerana identiti mereka yang tidak diketahui. (AITI Cyber Safety)

Alia (bukan nama sebenar) telah memberitahu yang seorang kawannya telah memuat naik sebuah videonya ke dalam laman video Youtube. Terdapat beberapa kawan sekolahnya yang lain telah menulis beberapa komen negatif mengenai pakaiannya dan menyebutnya sebagai seorang yang pelik. Dia sangat terganggu dan tidak mahu ke sekolah kerana kejadian itu.

Buli siber boleh memberikan impak yang sangat besar kepada remaja/mangsa. Bagi sesetengah orang, sesuatu pernyataan atau video itu mungkin dianggap sebagai bahan gurauan. Tetapi kepada mangsa, perkara itu boleh memalukan dan sehingga boleh menyebabkan seorang remaja membunuh diri kerana baginya, gurauan itu adalah melampau.

Di Missouri, Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan bernama Megan Meier, 13 tahun, telah berkenalan dengan seorang remaja lelaki melalui laman Myspace. Malangnya “remaja lelaki” berkenaan sebenarnya adalah beberapa individu dan telah mempermainkannya. Megan yang berasa kecewa akhirnya telah membunuh diri. Kejadian ini telah mengejutkan masyarakat setempat.

Ryan Halligan, 15 tahun dari Vermont pula telah dituduh sebagai gay oleh kawan sekelasnya dan dia juga telah membunuh diri kerana tidak tahan dengan tuduhan yang dilakukan melalui sistem pesanan ringkas.

Anda juga mungkin pernah mendengar kisah tentang Ghyslain Raza atau Budak Starwars yang menghabiskan satu semester persekolahannya di wad psikiatri kerana video peribadinya sedang bermain pedang dimuat naik oleh kawannya. 

Walau bagaimanapun di Malaysia masih ramai yang tidak mengetahui atau tidak menganggap bahawa buli siber sebagai sesuatu yang serius. Kes yang dilaporkan kepada pihak penguatkuasa juga amat sedikit. Sehingga pada Oktober 2007, terdapat 60 kes buli siber telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia (ReaderDigest Asia, Phil McKenna)

Oleh itu, masyarakat, terutamanya sekali ibu bapa, perlulah memberi perhatian kepada anak-anak dan penggunaan teknologi seperti internet dan telefon bimbit. Ibu bapa perlu bertanya tentang aktiviti mereka dan memantau penggunaan internet di rumah. Mereka juga boleh memasukkan perisian yang boleh menyimpan data internet yang dilayari anak-anak (kerana jenayah ini selalunya tidak diberitahu).

Walaupun terdapat undang-undang yang digubal seperti Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun pada yang sama, pihak berkuasa juga perlu mengambil inisiatif untuk menghalang kejadian ini daripada terus berlaku melalui kempen atau program kesedaran. 

Nota: S223, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998: Penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan jaringan. Sebarang komen, permintaan, atau mana-mana komunikasi yang berbaur lucah, kurang sopan, tidak benar, mengganggu atau menyinggung perasaan  dengan niat untuk menyerang peribadi, menyalahguna, mengugut dan menyakitkan orang lain adalah satu jenayah. Sekiranya disabitkan, seseorang itu boleh dikenakan hukuman – saman tidak melebihi RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

 

Azwa Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

Hak merupakan sesuatu milik semula jadi, manakala kebebasan adalah sesuatu yang kita mahukan. Pelbagai tafsiran yang dibuat dalam mendefinisikan kedua-duanya. Hak dan kebebasan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi berada di dalam konteks yang sama. Hak adalah satu senarai hak dasar/idea abstrak mengenainya dan dimiliki oleh seseorang individu, sedangkan kebebasan adalah kemampuan individu tersebut untuk melakukan hak tersebut bilamana mahu. 

Definisi dan Takrifan Kebebasan
Dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948, empat kebebasan utama yang dinyatakan adalah kebebasan kemahuan, bersuara, bebas daripada ketakutan dan kepercayaan, manakala hak asasi dihuraikan dalam 22 fasal dalam dokumen itu. Apakah definisi yang menakrifkan maksud sebenar kebebasan?

Definisi kebebasan telah menjadi perdebatan sepanjang zaman dalam kalangan pengkaji sejarah,  ilmuan ahli akademik, ahli politik dan artis. Pelbagai definisi yang telah diberikan.

“Hak untuk memilih, hak untuk menciptakan diri sendiri kepada sesuatu pilihan yang berbeza. Tanpa kemungkinan dan pelaksanaan untuk memilih seseorang itu bukanlah manusia tetapi sebuah alat, benda”(Archibald MacLeaish)

“Kebebasan adalah kemampuan individu untuk diakui tentang diri mereka … Kita tidak akan bebas sehingga kita mula membebaskan pemikiran dan kehidupan dari perkara negatif di sekeliling kita” (Yasene Shpherd, 2007)

Jadi apa yang dapat ditakrifkan sebagai kebebasan bukannya mengenai hak asasi (rights) tetapi sama ada betul atau tidak (right). 

Antara hak dan kebebasan
“Manusia dilahirkan bebas, namun, di mana-mana pun dia dirantai” (Jane Rousseau)

Dalam kata lain, Rousseau menyebut kebebasan adalah satu peluang kepada kita untuk membentuk diri tetapi dengan kekangan tertentu. Seseorang mempunyai kuasa untuk memilih dan melakukan apa yang mereka fikirkan. Tetapi, kebebasan “perlu” diseimbangkan dengan moral dan aturan.

Kita diberitahu bahawa kita mempunyai kebebasan untuk berfikir, berbicara, membuat pilihan, mengeluarkan pendapat dan bergerak ke mana pun yang disukai. Namun, kita dihalang dalam pelbagai cara.  Sebagai contoh, kebebasan dalam memilih calon perwakilan. Demokrasi adalah ejen kepada kebebasan yang bermakna sekiranya pemilihan diadakan dengan adil yang membolehkan pemilih memilih siapapun selagimana calon yang dipilih itu adalah calon yang benar-benar akan menjalankan tugas untuk menjaga kepentingan mereka yang memilihnya. Tetapi apa yang terjadi, kita mungkin tidak bebas memilih calon layak, dan terhalang oleh konsep tiket parti politik.  Perlu diingatkan bahwa, hak untuk mengundi adalah di mana keutamaan istimewa (privilege) diberikan untuk kita memilih.  

Kita juga diberikan pelbagai hak yang disebut dalam dokumen penting negara dan PBB tetapi setiap satunya mempunyai kekangan dengan penjelasan. Sebagai contoh Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan menyebutkan hak tersebut bukan untuk diberi, tetapi untuk diambil kembali (Harding) kerana ia tertakluk kepada Perkara (10)2 iaitu kerajaan boleh mengawal dan mengekangnya dengan lapan hak ramai. (Wong Hon Wai, 2006)

Masyarakat terdahulu mengagungkan hak dan kebebasan dan telah berjuang bagi menyediakannya untuk generasi seterusnya. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan tradisi ini walaupun terhalang oleh pihak-pihak tertentu. Pilihan adalah di tangan kita.

 

Nor Azwani binti Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

Laporan Panel Iklim Antarabangsa menyebut terdapatnya pelanggaran hak asasi manusia terutamanya yang melibatkan penurunan suhu kawasan bersalji di tanah rata dan kutub; kenaikan aras laut, suhu air, cuaca dan ombak panas, paras takat hujan, musim kemarau panjang dan juga ribut tropika (IPCC 2007, 44-47).

Hak kepada Air
Antara perkara-perkara yang menjadi kerisauan utama berkenaan hak asasi manusia adalah hak kepada air, makanan dan kesihatan. Laporan tersebut menyebut, 20 peratus manusia di dunia ini bergantung kepada sumber air sungai yang terdedah kepada banjir, manakala beratus juta penduduk India, China dan Andes bergantung kepada air berpunca daripada glasier yang mencair yang juga terdedah kepada banjir dan dan kemudiannya musim kemarau. Penduduk di kawasan Mediteranean, Amerika Barat, Afrika Selatan dan Brazil Timur akan mengalami musim kemarau yang teruk pada masa hadapan. Dalam kata lain, pembahagian dan akses kepada air akan berubah secara dramatik dalam tahun-tahun akan datang.

 

Hak kepada Makanan
IPCC menjangkakan bahawa yang mereka yang berhadapan dengan masalah kelaparan bakal meningkat daripada 50 juta orang pada tahun 2020 kepada 200 juta pada tahun 2080. Peningkatan suhu yang mendadak dan cuaca yang tidak menentu menyebabkan hak makanan penduduk diugut dengan kebakaran dan kerosakan tanaman. Hal ini akan memberikan impak kepada kumpulan petani dan nelayan kecil – terutamanya di Afrika dan Asia serta Australia – manakala pengeluaran makanan secara industri akan meningkat di kawasan-kawasan lain.

Hak kepada Kesihatan
IPCC menyatakan kerisauan mereka dengan peningkatan kes peningkatan kekurangan zat di Afrika, Asia dan negara tropika yang rata-rata akan memberikan kesan yang besar terhadap tumbesaran kanak-kanak. Kes malaria dijangka akan meningkat antara 200-400 juta kes tambahan dan mungkin akan merebak ke Britain, Australia dan Portugal. Seramai 3.5 bilion penduduk dunia akan terdedah kepada demam denggi. Pertubuhan WHO menjangkakan, sehingga kini, terdapat antara 150,000 penduduk dunia mati setiap hari disebabkan perubahan iklim.

Perjanjian hak asasi manusia antarabangsa tidak menyebut dengan jelas hak kepada persekitaran yang selamat dan sihat. Walau bagaimanapun, badan triti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memantau perlaksanaan kovenan telah beberapa kali memberi penekanan kepada hubungkait antara alam sekitar dan pelaksanaan standard hak asasi manusia.

Hak untuk hidup berpaksi kepada Artikel 6, Kovenan Hak Sivil dan Politik. Dalam penjelasan umum ke6 dan 14, Majlis Hak Asasi Manusia melihat kepada cadangan hak untuk hidup tidak sepatutnya dilanggari walaupun pada masa kecemasan atau darurat.

Sumber: Climate Change violate Human Rights, Theodor Rathgeber

 

Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

Perumahan merupakan keperluan asas pengguna. Oleh itu, cadangan yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan pendahuluan untuk membeli rumah daripada 5-10% kepada 20% akan menyusahkan pengguna Malaysia untuk memiliki rumah sendiri dan tidak sewajarnya diterima oleh kerajaan.

Jika sebuah rumah bernilai RM100,000, maka pembeli terpaksa mengeluarkan RM 20,000 sebagai wang pendahuluan untuk membeli rumah tersebut. Sudah tentu ini akan menyusahkan pengguna daripada membeli rumah sendiri. Setiap pengguna berhak untuk memiliki tempat berteduh untuk diri dan keluarganya. Kerajaan harus menggalakkan pengguna membeli rumah untuk diduduki sendiri, dan bukan mengadakan peraturan yang menyulitkan mereka.

Walaupun sebegitu, kita harus menyokong usaha untuk mengenakan bayaran pendahuluan yang lebih tinggi bagi pembeli rumah untuk tujuan  mendapatkan keuntungan ataupun apa yang disebut sebagai spekulasi. Tindakan spekulasi telah menyebabkan harga rumah meningkat dan menyusahkan orang lain untuk membeli rumah untuk diri sendiri. Melalui spekulasi, orang tertentu boleh menjadi kaya, manakala orang lain yang ingin membeli rumah untuk kediaman diri akan mengalami kesusahan.

Pada masa kini, walaupun pembeli rumah perlu hanya membayar 10% atau kadangkala hanya 5% sebagai pendahuluan untuk membeli rumah, institusi kewangan yang berkaitan akan menyelidiki latar belakang dan personaliti peminjam bagi memastikan bahawa mereka boleh membayar balik pinjaman tersebut.  Dalam hal ini untuk mengelak  pengguna daripada dianiaya oleh bank tersebut, Bank Negara sebagai pengawal (regulator) harus memastikan bahawa institusi kewangan tersebut hanya selidiki latar belakang bakal peminjam daripada sumber yang sah dan dikemas kini. 

Seringkali rujukan penyelidikan untuk mengetahui latar belakang peminjam dibuat sumber-sumber yang tidak sah dan data mereka tidak dilemas kini. Sebagai contoh seseorang yang  pada masa dahulu telah membuat pinjaman, Namur disebabkan oleh hal yang tidak dapat dielakkan, telah gagal membayar balik pinjaman beliau pada masa yang ditetapkan. Hal ini telah menjadi rekod awam.  Walau bagaimanapun, kemudiannya peminjam tersebut dapat menyelesaikan hutang tersebut dengan sepenuhnya.  Tidakkah pengguna itu akan dianiayai, walaupun beliau telah selesai hutang, tetapi pihak yang mengendalikan rekod tersebut tidak mengemas kini datanya. Apabila datanya dirujuk oleh institusi kewangan, maka pengguna tersebut masih dianggap sebagai tidak boleh dipercayai atau credit risk dan menyebabkan permohonan beliau ditolak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa kini, harga rumah di beberapa tempat seperti Lembah Kelang dan Pulau Pinang adalah terlalu tinggi sehingga menyebabkan golongan berpendapatan pertengahan sukar untuk membeli rumah. Satu sebab utama mengapa harga rumah adalah begitu tinggi adalah spekulasi – orang yang membeli rumah bukan untuk kediaman sendiri tetapi untuk menjual dan mendapatkan keuntungan yang besar. Amalan ini meningkatkan harga rumah secara mendadak.

Kegiatan spekulasi ini mesti dikurangkan jikapun tidak boleh dihapuskan. Di Singapura, pengguna yang ingin membeli rumah yang kedua terpaksa membayar pendahuluan yang lebih tinggi serta membayar beberapa caj lain.  Di negara China pula, bagi pembelian rumah yang kedua, pembeli terpaksa membayar 50% pendahuluan dan bagi rumah yang ketiga, pembeli terpaksa membeli dengan tunai.  Tindakan-tindakan seperti ini telah meminimumkan spekulasi dan mengekalkan harga rumah pada paras yang mampu dibeli oleh orang lain.

Jika diperhatikan iklan-iklan rumah di surat-surat khabar, kebanyakan rumah yang sedang dibina disasarkan kepada golongan kaya,  Kadangkala harga yang minimum bagi kondominium adalah RM350,000.  Sudah tentu pada harga ini, pengguna kelas pertengahan tidak mampu membeli dan memiliki rumah tersebut.

Bagi pemaju projek perumahan, mereka ingin mendapatkan keuntungan yang berlebihan dengan membina rumah yang terlalu mahal. Sudah tentu sikap ini akan meminggirkan pengguna kelas pertengahan dan pekerja muda yang baru memasuki pekerjaan dan berhasrat untuk membeli rumah sendiri. Di peringkat persekutuan dan negeri, satu dasar dan peraturan harus digubal untuk memastikan bahawa terdapat agihan perumahan secara adil kepada semua golongan bagi memastikan hak untuk memiliki rumah dapat dinikmati oleh semua pengguna, dan bukannya untuk golongan kaya sahaja.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa semua rakyat Malaysia mampu memiliki rumah. Dasar-dasar awam harus memastikan kaedah pembiayaan yang mudah bagi yang mereka yang layak dan kesediaan yang mampu dibeli oleh semua golongan, iaitu golongan miskin, kelas pertengahan dan kaya.  Dengan itu hak perumahan untuk semua rakyat akan tercapai.


Dato’ Paul Selva Raj
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Pada masa ini Malaysia mengamalkan dua sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan;. Pertama adalah sistem yang dibiayai oleh cukai dan dikendalikan oleh kerajaan. Ia merupakan sistem perubatan dan kesihatan yang dapat dinikmati oleh semua rakyat. Satu lagi sistem pula yang dikendalikan oleh sektor swasta yang bertujuan untuk mendapat keuntungan. 

Terdapat juga sistem yang ketiga iaitu  hospital berasaskan kebajikan dan tidak berasaskan keuntungan. Namun pertumbuhan hospital ini agar terbantut kerana pertumbuhan aktif hospital swasta.

Hospital swasta telah mengalami perkembangan yang begitu pesat. Pada tahun 1980 terdapat 10 hospital swasta. Jumlah ini telah meningkat kepada 128 pada tahun 2003.

Pertumbuhan pesat hospital swasta disebabkan dua faktor utama.  Pertamanya, pada tahun 1980-an, kerajaan melalui dasar penswastaan telah menggalakkan penglibatan swasta dalam pengendalian hospital.  Yang kedua, dengan peningkatan pendapatan rakyat, golongan yang berpendapatan tinggi telah memilih hospital swasta berbanding  hospital kerajaan.

Pada tahun 1980-an, kerajaan telah menyumbang hampir 76% kepada jumlah perbelanjaan kesihatan di negara. Pada tahun 2000-an dianggarkan sumbangan swasta kepada perbelanjaan kesihatan telah meningkat kepada lebih kurang 40%.  Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, sumbangan swasta kepada jumlah perbelanjaan kesihatan adalah lebih kurang 46.2%.

Walaupun, hospital swasta telah tumbuh dengan pesat, majoriti rakyat iaitu 78% masih menggunakan perkhidmatan hospital kerajaan, manakala hanya 18% menggunakan hospital swasta.

Adakah Malaysia telah memberikan peruntukan jumlah yang  terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan? Menurut laporan WHO 2006, Malaysia telah membelanjakan kurang daripada 4% daripada KDNK, dan seterusnya 3.8% pada tahun 2003 dan 3.7% pada tahun 2004. WHO mencadangkan bahawa sesebuah negara harus memperuntukan paling minimum 5% hingga 6 % daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan. 

Pada tahun 1997, purata perbelanjaan dunia untuk penjagaan kesihatan adalah 7.9% daripada KDNK.  Oleh itu, Malaysia bukannya berbelanja terlalu tinggi untuk penjagaan kesihatan, sebaliknya memberikan peruntukan yang  terlalu rendah.

Adakah pertumbuhan hospital swasta yang terlalu pesat menimbulkan masalah? Pertamanya, ramai doktor dan pakar yang akan meninggalkan hospital kerajaan untuk meraih pendapatan yang lebih lumayan di hospital swasta.

Dalam satu laporan dianggarkan terdapat dua pertiga pakar bedah dan perubatan yang berkhidmat di hospital swasta berbanding dengan hospital kerajaan.  Dalam laporan yang lain pula mengatakan bahawa terdapat dua kali ganda onkologis (yang merawat kanser) dalam sektor swasta berbanding dengan hospital kerajaan. Penghijrahan ini telah mengakibatkan kekurangan doktor dan pakar di hospital kerajaan. Ini menyebabkan doktor yang masih bertugas di hospital kerajaan seringkali terpaksa bekerja secara berlebihan (overworked) dan mengalami tekanan.

Keduanya, hospital swasta diwujudkan untuk mendapatkan keuntungan.  Oleh kerana caj rawatan masih belum dikawal oleh kerajaan, maka seringkali bayaran perkhidmatan yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar oleh rakyat biasa.  Maka perkhidmatan ini lebih tertumpu kepada pesakit yang berada sahaja.

Hospital swasta boleh dianggap sebagai satu kontradiksi terhadap peranan kerajaan untuk menjamin kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia dalam isu kesihatan.

Keadaan ini bertambah buruk apabila kerajaan berura-ura untuk menukar sistem yang berasaskan cukai yang diamalkan pada masa ini kepada sistem insurans, iaitu rakyat terpaksa menangggung kos kesihatan sendiri melalui sistem insurans kesihatan. 

Walaupun sistem kesihatan kerajaan mempunyai banyak kelemahan, termasuk pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendaptkan rawatan, namun tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini adalah sistem yang membolehkan semua rakyat khususnya golongan miskin untuk mendapat kemudahan rawatan dan perubatan.  Sewajarnya kerajaan memperbaiki sistem yang sedia ada daripada mencari kaedah lain untuk membiayai sistem kesihatan.

Kerajaan tidak harus melepaskan hak kepada keperluan asas ini kepada sektor swasta. Percubaan Sime Darby untuk `merampas’ Institut Jantung Negara pada satu ketika dahulu menunjukkan ketamakan sebuah syarikat berasaskan kerajaan untuk mencari keuntungan daripada kesusahan rakyat, Bantahan terhadap `rampasan’ ini oleh FOMCA dan pertubuhan sivil yang lain telah mematikan usaha syarikat ini.

Pengguna di Malaysia hendaklah bersedia untuk berjuang bagi memastikan, sama ada syarikat yang tamak atau kawal selia kerajaan yang lemah, tidak menjejaskan hak mereka untuk menikmati kemudahan kesihatan.  Hak kepada kesihatan adalah hak asasi manusia. Kita tidak sekali-kali boleh membenarkan sesiapapun mencabul hak kita ini.



Dato’ Paul Selva Raj
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia