Mulai 1 Januari 2012, Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) akan mula berkuat kuasa. Akta yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai 2011 ini adalah bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972. 

APD 2011 mengandungi beberapa peruntukan seperti berkaitan salah laku amalan perdagangan, perlanggaran cap dagangan, pelantikan pihak berkuasa berwibawa untuk perakuan dan pengecapan barang serta penalti.

Perkara lain yang terdapat dalam APD 2011 ialah peruntukan yang berkaitan  dengan penyalahgunaan sijil dan perakuan halal. APD 2011 telah mewujudkan perundangan subsidiari seperti Perintah Perihal Dagangan (takrifan ‘halal’) serta (perakuan dan penandaan ‘halal’ bagi makanan dan barangan) 2011.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tahun 2012 sebagai Tahun Antarabangsa untuk Penggunaan Tenaga secara Lestari untuk Semua (2012:The International Year of Sustainable Energy for All).

"Tenaga Lestari" bermaksud tenaga yang dihasilkan dan digunakan dengan cara yang boleh menyokong pembangunan manusia dalam jangka panjang dan merangkumi dimensi sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Agensi Tenaga Antarabangsa meramalkan sekiranya tidak terdapat komitmen yang mencukupi di peringkat global, bilangan penduduk yang tidak mendapat kemudahan bekalan elektrik hanya akan jatuh secara perlahan daripada 1.4 bilion pada masa kepada 1.2 bilion pada 2030.

Kebanyakan pengguna di Malaysia masih belum mengetahui tentang saluran aduan yang sedia ada untuk sampaikan maklum balas mereka.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional berfungsi untuk menerima aduan yang berkaitan dengan pelbagai penyedia perkhidmatan dan produk pengguna.

Walaupun sebagai pengguna, anda mungkin tidak berpuas hati terhadap terhadap produk atau perkhidmatan, namun anda juga perlu mempunyai tanggungjawab dan nilai murni ketika membuat aduan.  

Memang pengguna mempunyai hak untuk membuat aduan. Namun pengguna juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendapatkan maklumat dan membuat pilihan sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Persediaan Sebelum Banjir:

  1. Elakkan daripada membina bangunan di kawasan yang berisiko banjir;
  2. Selenggara parit/longkang/saliran air supaya tidak tersumbat;
  3. Simpan nombor-nombor perhubungan penting seperti nombor ahli keluarga, jiran, balai polis terdekat, bomba untuk kegunaan semasa kecemasan;
  4. Peka kepada keadaan sekeliling, bunyi/ isyarat-isyarat amaran serta kenal pasti laluan tinggi dan selamat untuk ke pusat pemindahan;
  5. Bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa;
  6. Dapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet;
  7. Simpan semua dokumen penting di dalam bekas/beg/fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan;

Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami sepenuhnya jenis sistem pembetungan yang terdapat di negara ini.

Mereka beranggapan bahawa jika mereka berjaya mengepam bahan buangan mereka melalui tandas, maka mereka percaya ada pihak yang akan menguruskan segalanya.

Anggapan seperti ini menyebabkan ramai yang belum dapat menghayati kepentingan perkhidmatan pembetungan memandangkan ia tidak memberi apa-apa kesan secara terus kepada mereka.

Kefahaman terhadap sistem pembetungan yang terdapat di Malaysia akan membantu masyarakat menilai tentang perkhidmatan pembetungan dan memahami peranan masing-masing ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan yang diinginkan.

Sistem Bersambung dan Tangki Septik
Terdapat dua jenis sistem pembetungan di Malaysia, iaitu sistem bersambung dan tangki septik. Sistem bersambung adalah satu sistem yang rangkaian paip pembetungan akan membawa kumbahan dari premis ke suatu loji rawatan kumbahan yang terletak di luar kawasan premis. Manakala sistem tangki septik pula tidak melibatkan rangkaian paip di luar kawasan premis kerana rawatan dilakukan di kawasan premis.

Sistem tangki septik telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Sistem rawatan kumbahan oleh tangki septik tidak menyeluruh dan tidak berupaya untuk mematuhi piawaian yang telah ditentukan. Penggunaan sistem jenis bersambung adalah lebih efisien dan sesuai untuk merawat kumbahan dalam kuantiti yang lebih banyak dan boleh dirancang bagi menerima kumbahan dari kawasan-kawasan berhampiran.

Pengesahan Jenis Sistem
Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti jenis sistem pembetungan yang sedang dinikmati di premis masing-masing, maka perlu bagi penghuni premis untuk mengetahui sistem pembetungan yang digunakan di premis mereka. Oleh itu, cara yang paling mudah adalah dengan meneliti penutup lurang yang terdapat di luar premis. Sekiranya terdapat konfigurasi penutup lurang yang selari dan melebihi 1 buah penutup (2 atau 3 buah), maka premis berkenaan mempunyai sistem tangki septik.

Kebanyakan sistem jenis bersambung tidak mempunyai penutup lurang yang berdekatan di antara satu dengan yang lain.

Tanggungjawab Penyelenggaraan
Semua sistem bersambung yang telah diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) perlu diselenggara dengan baik supaya sistem pembetungan dapat berfungsi dengan berkesan. Bagi kawasan yang belum diambil alih oleh IWK, maka Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan masih bertanggungjawab terhadap semua sistem pembetungan bersambung.

Pada masa yang sama, terdapat juga sistem bersambung yang dimiliki oleh pihak tertentu secara persendirian, contohnya hotel, institusi pengajian dan perubatan.

Oleh itu, pemilik sistem bersambung persendirian perlu mempunyai lesen kelas dari SPAN serta mempunyai permit khas bagi tujuan menyelenggara sistem tersebut.

Tanggungjawab Pemilik, Perbadanan Pengurusan dan Penghuni
Di bawah Seksyen 3, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik, penghuni atau perbadanan pengurusan mana-mana premis yang bersambung ke tangki septik perlu :

Mengenyahenap cemar tangki septik dalam premis sekurang-kurangnya 1 kali setiap 36 bulan. Disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
Memberi akses kepada tangki septik untuk dinyahenap cemar oleh IWK / Majaari ataupun kontraktor mengenyahenap cemar yang berdaftar dengan SPAN.
Menyimpan salinan perakuan penyiapan perkhidmatan penyahenap cemar.
Enapcemar perlu dilupuskan di tempat yang telah diluluskan oleh JAS / SPAN.
Tidak boleh melepaskan, melupuskan dan meletakkan sisa bukan domestik ke dalam tangki septik. Disabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih daripada 1 tahun.
Bayaran Perkhidmatan Mengenyahenap cemar
Tuan punya premis boleh berunding dengan pemegang permit / kontraktor yang berdaftar dengan SPAN untuk jumlah serta cara bayaran yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sekiranya tuan punya premis memerlukan perkhidmatan IWK, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 bagi setiap meter padu.

Bayaran yang lebih tinggi yang dikenakan oleh IWK berbanding dengan kontraktor lain adalah disebabkan IWK tidak boleh menolak mana-mana permintaan perkhidmatan nyahenap cemar yang dibuat oleh tuan punya premis.

Bahaya Kelimpahan Kumbahan atau Efluen
Sehingga kini, lebih kurang 10% daripada 1.3 juta tangki septik yang telah dinyahenapkan di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan efluen yang dikeluarkan tidak dapat mencapai tahap yang dikehendaki.

Ia merupakan punca pencemaran alam sekitar yang ketara bagi sesuatu kawasan perumahan. Selain itu, risiko kesihatan umum juga timbul memandangkan tanpa rawatan kumbahan yang sempurna, efluen yang mengandungi bakteria boleh merebak dengan cepat.

Oleh sebab itu, nyahenap cemar mesti dilaksanakan dengan kadar yang segera sekiranya premis tersebut tidak pernah dinyahenap cemar tangki ataupun lebih daripada 3 tahun tidak dilakukan nyahenap cemar demi kesejahteraan hidup pengguna premis dan masyarakat setempat.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Setiap hari rakyat Malaysia berhadapan dengan risiko terdedah kepada gejala radiasi di persekitaran mereka, terutamanya masyarakat yang tinggal di kawasan-kawasan yang telah dibangunkan seperti di bandar-bandar. 

Sebahagian besar masyarakat masih percaya bahawa radiasi hanya berlaku di bilik tertutup, seperti dalam bilik  X-Ray di hospital ataupun disebabkan oleh kemalangan yang berlaku secara besar-besaran seperti di loji janakuasa sebagaimana  kemalangan loji nuklear Fukushima baru-baru ini. 

Sebenarnya terdapat sejenis radiasi yang boleh merbahayakan manusia jika terdedah kepadanya dalam tempoh yang amat lama dan keterlaluan. Radiasi yang dimaksudkan itu adalah radiasi paras rendah (low-level radiation) ataupun nama lainnya EMR (Electromagnetic Radiation).

Pemikiran kanak-kanak muda diibaratkan sebagai sekeping kertas putih. Sebarang maklumat yang diberikan kepada mereka secara berulang kali akan kekal dalam sanubari mereka dan akan berkekalan seumur hidup. Jika tabiat baik ingin dipupuk dalam diri mereka, maka ia hendaklah dilakukan semenjak mereka kecil lagi. 

Banyak kajian telah dijalankan tentang perkembangan badan dan minda, tabiat dan tingkah laku kanak-kanak. Misalnya kajian yang dilakukan oleh  ’Institute for the Study of Child Development,  Department of Pediatrics at UMDNJ-Robert Wood Johnson Medical School’ dan ‘Department of Pediatric Dentistry, School of Dentistry, Aichi-Gakuin University, Nagoya, Japan’ dan banyak lagi di negara-negara lain. Secara amnya, semua kajian ini merujuk kepada pembentukan tabiat dalam kalangan anak-anak muda, khususnya dari umur 2 hingga 6 tahun.

Kuala Lumpur, 31 Oktober 2011 - Sebagai penutup Kempen Bulan Kewangan Berhemat 2011, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menganjurkan Majlis Dialog antara Pengguna dan Industri Kewangan di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Majlis Dialog, yang dihadiri oleh hampir 140 orang wakil daripada industri perbankan, insurans dan takaful ini, telah dipengerusikan oleh Encik Abu Hassan Alshaari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Majlis Dialog dimulakan dengan ucapan Encik Abu Hassan Alshari dan Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, serta diikuti dengan pembentangan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) , Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Malaysia adalah antara negara-negara di rantau Asia yang banyak menyumbang kepada pemanasan dunia melalui pelepasan gas rumah hijau (GHG emission) melalui pelbagai industri dan sistem pengangkutan.

Secara langsung atau tidak langsung, negara sedang menyumbang ke arah perubahan iklim dunia yang mendadak dan tidak menentu disebabkan oleh peningkatan dalam GHG. Antara gas-gas rumah hijau (GHG) penyumbang terbesar kepada pemanas global dunia ialah karbon dioksida (CO2).

Pelepasan karbon dalam negara telah melepasi  tahap kitar semula yang normal, iaitu gas karbon dioksida di udara (CO2) diserap balik oleh tumbuh-tumbuhan dari atmosfera secara semula jadi.

Gas CO2 yang melepasi tahap semula jadi ini akan kekal sebagai gas berlebihan di atmosfera dan memerangkap haba daripada cahaya matahari yang dibalikkan oleh bumi. Haba yang terperangkap melalui gas CO2 inilah yang menyebabkan berlakunya pemanasan global.

FOMCA amat mengalu-alukan saranan yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terhadap ahli-ahlinya supaya memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara senyap. Saranan ini telah mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan lain, seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (PERKASA).

Saranan ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna. Jika mereka mendapati berlakunya kenaikan harga barang sehingga tidak setimpal dengan nilai wang mereka, maka mereka perlu menggunakan kuasa untuk tidak membeli dan mencari alternatif lain.

Namun begitu, FOMCA agak bersikap skeptik dengan saranan memboikot ini kerana ia telah berulang-ulangkali diutarakan, tetapi gagal mendapat sambutan daripada masyarakat pengguna. FOMCA sendiripun pada tahun 1990-an sering menyarankan pengguna supaya memboikot barangan yang naik harganya, tetapi tidak mendapat sambutan baik daripada pengguna.