Dalam bulan pertama tahun 2011 ini, banyak bencana alam dan malapetaka yang dikaitkan dengan iklim telah berlaku. Banjir besar yang hampir melumpuhkan seluruh bahagian timur Australia, musim kemarau yang melanda bahagian barat Australia, tanah runtuh di Brazil yang meragut hampir 700 nyawa dan ribut salji yang melanda di negara-negara hemisfera utara seperti Amerika Syarikat dan England.

Tahun 2010 sepatutnya merupakan tahun yang memberangsangkan dan penuh dengan harapan bahawa kebanyakan pencinta alam sekitar percaya bahawa dunia akan menurunkan kadar pelepasan gas karbon dioksida melalui perjanjian iklim baru. Namun, perbincangan iklim yang berlangsung di Cancun, masih tidak menghasilkan satu perjanjian iklim antarabangsa baru yang mewajibkan negara-negara untuk menurunkan kadar pembebasan gas rumah hijau. 

Adakah pula perubahan yang lebih baik untuk dilihat tahun 2011 ini? Adakah perjanjian iklim yang akan menggantikan Kyoto Protokol dapat dihasilkan? Atau percanggahan pendapat di antara negara maju dan negara-negara sedang membangun akan terus berlaku dan menjadi penghalang utama untuk pemimpin-pemimpin dunia untuk bersatu?

Negara telah melalui 7 pilihan raya kecil bagi DUN (Permatang Pauh, Bukit Selambau, Batang Ai, Menanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas) dan 6 bagi Parlimen (Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi) semenjak Pilihanraya Umum ke-12. Satu lagi pilihan raya akan diadakan pada DUN Tenang.

Kebanyakan pilihanraya kecil ini diadakan kerana ahli dewan undangan negeri atau ahli parlimen di kawasan-kawasan tersebut meninggal dunia atau melepaskan jawatan mereka kerana masalah kesihatan. Begitu juga dengan DUN Tenang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sulaiman Taha, yang meninggal akibat jangkitan dalam darah dan komplikasi lain disebabkan diabetes. (Sumber: Wikipedia)

Memang kita tidak dapat menjangkakan kematian setiap orang, namun adalah lebih baik sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambahkan satu lagi kelayakan kepada bakal calon yang bertanding, iaitu mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Pada waktu ini, antara kelayakan-kelayakan yang perlu dipenuhi oleh bakal calon adalah:

i) warganegara Malaysia;
ii) berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon;
iii) tinggal di negeri di mana dia akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dimana-mana dalam Malaysia bagi kerusi Parlimen; dan
iv) tidak hilang kelayakan (tidak siuman, bankrap, memegang jawatan “office of profit”, gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihanraya, telah mendapat kewarganegaraan asing, dan telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari 1 tahun atau kurang dari RM2000 dan belum mendapat keampunan)

Jika dilihat kepada kelayakan calon yang bertanding, ia terlalu asas sehingga boleh dikatakan, ‘Sesiapa pun boleh bertanding, asalkan berpengaruh dan berwang”.

Di dalam Islam, antara syarat-syarat bagi seseorang pemimpin adalah pemimpin mestilah berpegang kepada ajaran agama, sihat tubuh badan, adil, berilmu, mempunyai teladan yang baik, melaksanakan hukum, memberi perhatian kepada orang bawahan, matang dalam tindakan dan tidak zalim.

Contoh lain yang mudah, sekiranya dalam perkahwinan sekalipun, suami yang bakal mengetuai sebuah bahtera rumah tangga diwajibkan mempunyai tubuh badan yang sihat, apatah lagi pemimpin yang akan memimpin rakyat?

Oleh itu, bakal calon yang akan bertanding wajiblah menjalankan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya dan memberikan laporan kesihatan tersebut kepada SPR. Laporan ini kemudiannya akan dinilai oleh panel khas kesihatan calon. Sekiranya calon mempunyai penyakit kronik, maka beliau tidak dibenarkan untuk bertanding. Ini juga baik bagi calon untuk membolehkan beliau merawat penyakitnya yang mungkin tidak diketahuinya sebelum ini.

SPR wajar memberikan pertimbangan terhadap syarat ‘sihat tubuh badan’ untuk dimasukkan ke dalam kelayakan seorang calon yang bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

 


Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia

Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat memberi amaran tentang ubat baru yang baru dilancarkan. Ubat tersebut didakwa telah menyebabkan kerosakan hati. 

Pihak Berkuasa Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengatakan mereka telah menerima beberapa laporan tentang kerosakan hati yang disebabkan oleh tablet Multaq yang dikeluarkan oleh Sanofi-Aventis.

Dua kes berlaku pada pesakit yang telah menjalani pembedahan hati. Kedua-dua pesakit wanita itu berusia lebih kurang 70 tahun. Mereka telah mengambil ubat ini dalam tempoh antara 4 setengah bulan hingga 6 bulan.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) akan melancarkan  album lagu dan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2011 pada 25 Januari ini.

Tahun ini merupakan tahun ke-10 FOMCA menganjurkan pertandingan kepenggunaan ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sebanyak 9 jenis pertandingan kepenggunaan diadakan, iaitu Melukis Poster, Buku Skrap, Fotografi, Menulis Esei, Kartun, Blog, “Speak Up”, Mewarna dan Anugerah Terbanyak Peringkat Sekolah.

Iklan produk yang mengelirukan semakin berleluasa dalam pelbagai media. Kewujudan banyak produk kesihatan di pasaran menyebabkan pengeluar produk ini menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan pengguna memilih produk mereka.

Dakwaan tentang khasiat produk yang keterlaluan dalam iklan tersebut menyebabkan semakin ramai pengguna yang terperdaya. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan tidak ada peraturan yang mengawal tentang iklan yang mengelirukan di negara ini.

Sebenarnya banyak peraturan yang wujud berkaitan iklan produk. Sebagai contoh, produk kesihatan dan ubat-ubatan tertakluk kepada Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956. Begitu juga Akta Perihal Dagangan 1972 dan Akta Perlindungan Pengguna 199 boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap penjual yang mengiklankan produk yang mengelirukan.

Namun persoalannya siapakah yang memantau iklan-iklan yang mengelirukan ini. Pada masa ini wujud sebuah badan yang dikenali sebagai Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia yang ditubuhkan oleh syarikat pengiklanan sebagai badan pengawal selia kawalan kendiri dalam industri pengiklanan. Sebarang aduan iklan yang mengelirukan dikemukakan kepada badan ini. Walau bagaimanapun, badan ini yang mengendalikan iklan yang berkaitan ahli mereka sahaja.

Menyedari semakin berleluasanya iklan yang mengelirukan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999, dengan memasukkan klausa penubuhan Jawatankuasa Pengiklanan bagi memantau iklan-iklan yang disasarkan kepada pengguna.

Pindaan yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen pada tahun 2010, akan berkuatkuasa pada 2011. Apabila jawatankuasa ini diwujudkan kelak, iklan-iklan yang disiarkan dalam pelbagai media ini akan dipantau dan diambil tindakan. Pengguna juga mempunyai saluran yang jelas tentang pihak boleh mereka adukan sekiranya mereka mengenal pasti kewujudan iklan-iklan yang mengelirukan.

Walaupun peraturan kawalan kendiri wajar menjadi amalan dalam sektor perniagaan, namun kewujudan sebuah badan bebas juga perlu diwujudkan bagi memastikan tiada ada pihak yang cuba memanipulasi pasaran, yang akhirnya nanti pengguna juga yang teraniaya.

 


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Label pemakanan yang terdapat pada makanan segera tidak akan menghentikan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Melabelkan fakta pemakanan pada bungkusan burger, kentang goreng dan produk lain yang mengandungi lemak tinggi, tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam pemilihan restoran yang ingin dikunjungi.

Walaupun peraturan mewajibkan pelabelan mandatori ini, tetapi kajian yang dijalankan selama 13 bulan menunjukkan cita rasa pengguna masih tetap sama, iaitu menggemari makanan yang berkalori tinggi.

Profesor Eric Finkelstein dari Duke-National, University of Singapore berkata, hasil kajian yang dilakukannya menunjukkan tiada sebarang perubahan dalam corak pembelanjaan yang dapat dikesan, walaupun peraturan telah dilaksanakan.

Pelabelan wajib ini tidak akan dapat untuk mempengaruhi gejala obesiti. Namun jika ia digabungkan dengan langkah-langkah lain, maka ia dapat mengurangkan kes kegemukan.

Sebanyak 15 restoran telah mengambil bahagian dalam projek obesiti yang dilakukan di Washington.

Restoran makanan segera hendaklah mendedahkan maklumat kalori bagi setiap makanan yang dijual. Beberapa syarikat makanan segera di England, termasuk McDonald’s, mencetak fakta tentang kalori, lemak, garam dan kandungan karbohidrat makanan untuk membantu orang ramai membuat pilihan yang sihat.

Walaupun begitu, menurut American Journal for Preventive Medicine, penjualan dan purata kalori per transaksi tidak berubah dengan pelaksanaan pelabelan mandatori itu.

Ini mungkin disebabkan oleh maklumat pemakanan yang terperinci ini bukan cara terbaik untuk menyampaikan isu kesihatan tentang makanan segera dengan berkesan.

Sebagai contoh, jika anda mengetahui restoran yang menawarkan minuman soda diet yang biasa, tetapi adakah maklumat kalori dalam minuman soda diet ini berguna. Golongan yang memerlukan minuman kalori rendah pasti inginkan minuman soda diet ini.

Sebelum peraturan ini dikuatkuasakan, sesetengah restoran telah mengenal pasti logo kesihatan yang akan diletakkan pada menu makanan.

Logo yang ringkas ini menunjukkan jenis makanan yang lebih sihat. Maklumat ini hanya berguna bagi mereka yang ingin memilih makanan yang lebih sihat, tetapi tidak menyumbang kepada usaha untuk menangani isu obesiti.

Prof Finkelstein menyatakan bahawa walaupun panel fakta pemakanan diwajibkan untuk semua makanan dibungkus, tetapi kadar obesiti masih meningkat di Amerika Syarikat.

Kajian lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan punca dan maklumat yang dapat memupuk pengguna untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Di Malaysia, Peraturan-Peraturan Makanan mewartakan bahawa semua makanan dibungkus perlu mempunyai panel fakta pemakanan. Kebanyakan makanan dibungkus mempunyai panel fakta pemakanan, tetapi ada juga makanan dibungkus yang dikeluarkan oleh industri kecil dan sederhana yang tidak mempunyai sebarang panel fakta pemakanan.

Masalah ini perlu ditangani agar pengguna dapat menikmati makanan yang sihat untuk tubuh mereka. Jika maklumat pada panel tidak dibekalkan, jenis khasiat makanan yang diambil tidak akan diketahui.

Walaupun kajian terhadap peraturan pada panel fakta pemakanan di Amerika Syarikat tidak menunjukkan keputusan yang menggalakkan, tetapi Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia tetap yakin bahawa maklumat yang dicetak itu dapat memberi panduan pada pengguna agar bersikap berhati-hati terhadap makanan yang mereka ambil.

Pengguna digalakkan untuk meneliti panel fakta pemakanan sebelum membeli suatu produk makanan. Elakkan produk yang tidak mempunyai sebarang label.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Terdapat peniaga yang mengetuk pintu rumah anda untuk menjual produk mereka dengan menggunakan bahasa yang manis, kelihatan ikhlas dan sangat meyakinkan. Namun terdapat juga kegiatan tidak beretika yang dilakukan oleh jurujual seperti ini, contohnya  jualan paksaan, kontrak yang tidak adil, harga berlebihan atau penyelenggaraan dan pembaikan rumah yang lebih rendah daripada standard yang ditetapkan, tinjauan palsu kepada pengguna dan kutipan derma palsu.

Apa yang perlu dilakukan oleh peniaga?

  1. • Menunjukkan identiti peribadi dan pihak yang diwakili.
  2. • Menyatakan dengan jelas dari luar rumah sekiranya mereka menjual sesuatu.
  3. • Menyertakan maklumat bertulis mengenai tempoh bertenang dan hak pembatalan pembelian.
  4. • Tidak memaksa untuk menjual barang atau perkhidmatan.
  5. • Tidak meminta pengguna membuat keputusan serta merta.
  6. • Pergi sebaik sahaja diminta oleh pengguna.

Semasa berborak secara maya dengan seorang kawan yang kini belajar di Universiti Monash, Melbourne, salah satu topik perbualan adalah berkisar tentang jadual pengambilan sampah di kawasan bandar raya Monash. Kawan saya menceritakan bahawa lori sampah di tempatnya akan mengutip sampah-sampah tertentu pada hari yang ditetapkan. Tong sampah diletakkan dalam tiga warna berbeza – merah (sisa domestik), kuning (barangan kitar semula) dan hijau (rumput, dahan pokok, bunga dan sebagainya).

Tong kuning dan tong hijau akan dikutip pada satu hari tetap setiap minggu secara bergilir. Sekiranya penghuni rumah tersalah meletakkan tong di hadapan rumah untuk dikutip, mereka akan dihon oleh pemandu lori sampah. Keadaan ini akan memberi ingatan pada bila-bila tentang jadual berkala yang telah disediakan.

Majlis perbandaran Monash juga mempunyai Pelan Strategik Pencegahan Pembuangan Sampah di kawasan kota rayanya yang berkuatkuasa semenjak Julai 2009. Pelan strategik ini bertujuan untuk mengurangkan pembuangan sampah di tempat-tempat awam. Ini sekaligus mengurangkan kos dan waktu pengutipan sampah. Elemen yang dikenal pasti untuk menjayakan strategik ini adalah pendidikan, infrastruktur dan penguatkuasaan..

Bercerita dengan situasi yang sama di kawasan rumah saya, lori sampah akan datang setiap hari pada kira-kira 8.30 pagi. Semua sampah dimasukkan ke dalam dua tong besar yang disediakan. Apabila ditanya mengenai sama ada tong kitar semula disediakan, saya tidak menjawab. Saya tidak pasti sama ada budaya mengitar semula wujud dalam kalangan penduduk perumahan itu, walaupun saya berusaha membahagikan dua plastik; sampah dan barangan kitar semula. Saya juga tidak pernah melihat tong kitar semula. Yang pasti, di luar pejabat saya mempunyai tong kitar semula itu. Teman sepejabat akan menelefon lori kitar semula apabila tong-tong itu telah dipenuhi. Begitu juga kurang kelihatan iklan di televisyen mengenai kempen kitar semula kini. Adakah kita mula melupakannya?

Kajian (William at el 1997) menunjukkan tingkah laku pembuangan sampah oleh seseorang individu bergantung kepada lokasi, sampah yang dibuang dan pergerakan secara berkumpulan atau individu. Maka, menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghidupkan semula budaya kitar semula ini demi menjaga kebersihan bersama. Kita tidak seharusnya menunggu kempen, atau berita orang cedera di baling plastik sampah dari tingkat atas atau kes denggi. Kita harus mulakan kerana ‘perubahan bermula dengan saya’

 


Azwa Abdul Rahman
ERA Consumer Malaysia

Industri pengiklanan sepanduk atau kain pemidang telah berkembang di Malaysia. Setiap orang menggunakan jenis media ini untuk mempromosikan perniagaan mereka, sama ada sah atau tidak sah dari segi undang-undang. Kehidupan kita telah dipenuhi dengan sepanduk iklan, walau di mana kita pergi, kita akan mendapati sepanduk ini dipasang di serata tempat.

Kewujudkan sepanduk ini adalah untuk memberi maklumat, mengiklankan produk dan perkhidmatan, menyewa dan menjual rumah, mempromosikan sesuatu acara dan sebagainya.

Industri sepanduk juga memberi peluang kepada sindiket yang terlibat dalam peminjaman wang. Maklumat yang mudah dicapai ini mungkin satu faktor yang menyumbang kepada tragedi kes “Ah Long” di negara ini. Walaupun terdapat usaha untuk membuang sepanduk peminjam wang ini, tetapi ia tidak berkesan kerana terlalu banyak sepanduk seperti ini masih tergantung di mana-mana tempat.

Selain itu, terdapat juga fakta yang mengelirukan digunakan dalam sepanduk. Banyak pusat tiusyen menggunakan slogan inovatif untuk mempromosikan pusat mereka. Sebagai contoh, jaminan pulangan balik wang ataupun pasti dapat A program.

Tambahan pula, terdapat juga pusat pelangsingan badan yang menyatakan bahawa mereka dapat mengurangkan berat badan dalam masa yang singkat. Ada juga pelekat di tiang lampu, lampu isyarat ataupun pagar yang menyatakan “Ubat Kuat Lelaki”.

Tiada sesiapa yang dapat menjaminkan kualiti tentang produk dan perkhidmatan yang dinyatakan ini, dan tiada sesiapa yang dapat membuktikan kebenaran kenyataan ini.

Jika perkara ini tidak dikawal, pengguna akan dikelirukankan kepada kenyataan yang tidak benar ini.

Spanduk yang digunakan untuk promosi sesuatu acara adalah bermanfaat untuk masyarakat. Namun, apabila satu acara telah berakhir, sepanduk teresbut tidak ditanggalkan, malah terus tergantung dari tahun 2010 sehingga 2011. Sememangnya keadaan ini merupakan sesuatu yang boleh mengganggu pandangan.

Pihak berkuasa mungkin telah hilang kawal terhadap masalah ini. Pengguna sukar untuk membezakan antara bahan yang boleh diiklan dan tidak boleh diiklan. Semua orang boleh memohon lesen dan mengiklan apa-apa sahaja menggunakan sepanduk.

Persoalannya, adakah begitu banyak sepanduk diperlukan di sekitar bandar?

Justeru, satu kod amalan perlu dibangunkan untuk industri sepanduk. Manakala, penguatkuasaan perlu diketatkan terhadap pelanggaran kod amalan ini.

Ini bukan sahaja dapat mengawal industri sepanduk dengan lebih berkesan dan memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Daripada ’walkman’ pada tahun 80-an sehingga MP3 pada zaman sekarang, kebanyakan orang menggunakan MP3 ketika menunggu bas dan LRT, semasa berjalan, semasa membaca, bekerja, berlari dan malah semasa tidur.

Hampir semua orang terutama golongan remaja akan memiliki satu MP3 atau MP4, iPod, atau pemain CD. Tambahan pula, kebanyakan telefon bimbit sekarang dilengkapkan dengan fungsi MP3. Ini memudahkan kaum remaja untuk mendengar kepada MP3 pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Mereka akan menghabiskan masa selama beberapa jam dalam sehari untuk mendengar kepada lagu kegemaran mereka. Adakalanya lagu tersebut dimainkan dengan bunyi yang kuat.