Cadangan Puspakom supaya motosikal terpakai perlu melalui pemeriksaan terlebih dahulu perlu dipertimbangkan.

Ini merupakan langkah pencegahan bagi memastikan pembeli motosikal terpakai tidak teraniaya apabila motosikal yang dibeli itu adalah motosikal palsu.

Dalam hal ini, penjual motosikal diwajibkan untuk menghantar motosikal terpakai tersebut ke Puspakom sebelum dibenar untuk dijual.

Langkah ini dilakukan supaya tidak membebankan para pengguna. Tambahan pula jika pengguna sendiri yang perlu menghantarnya dikhuatiri ramai yang tidak akan berbuat sedemikian.

Peraturan mewajibkan penjual motosikal terpakai menghantar ke Puspakom untuk membuat pemeriksaan juga selaras dengan peraturan dikenakan terhadap penjual kereta terpakai. Pemeriksaan ini perlu dilakukan untuk mengelak daripada kejadian kereta terpakai yang dijual itu adalah kereta potong.

Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh pihak berkuasa, secara purata sebanyak 42 motosikal dicuri pada setiap hari atau 51,830 unit setahun. Motosikal ini kemudiannya akan dijual semula atau dileraikan untuk dijadikan sebagai alat ganti motosikal.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia

Pengguna di Malaysia perlu berhati-hati terhadap wujudnya sindiket yang menjual telefon bimbit jenama Nokia E71 dan E72 palsu.

Menurut pengalaman yang dialami oleh penulis sendiri yang dihampiri oleh penjual telefon bimbit palsu ini, kegiatan ini didalangi oleh warga Indonesia berdasarkan dialek percakapan mereka.

Biarnya, penjual telefon bimbit palsu ini bergerak secara berkumpulan, tetapi mencari mangsa secara bersendirian.

Pengalaman penulis sendiri yang telah dihampiri sebanyak tiga kali dalam tempoh dua minggu di tempat yang berasingan, iaitu di pasar malam, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta pusat membeli-belah di sekitar Puchong dan Lebuhraya.

Pada mulanya, ahli sindiket ini akan mengenal pasti mangsa mereka terlebih dahulu akan mengekori mangsa dari belakang. Mereka akan menghampiri mangsa dan menunjukkan telefon bimbit palsu yang ingin dijual itu. Apa yang menghairankan penulis ialah kegiatan ini disertai oleh golongan muda dalam lingkungan usia 18 tahun hingga 23 tahun.

Mereka menghampiri penulis dan menunjukkan dua model telefon bimbit tersebut. Mereka akan menerangkan fungsi dan harga telefon bimbit ini yang didakwa sebagai masih baru.

Harga yang ditawarkan kepada penulis bagi E 71 ialah RM 300.00 dan E72 pula RM 450.00. Bukan itu sahaja, mereka juga mengatakan bahawa harga itu masih boleh dirunding.

Penulis berlagak seolah-olah berminat untuk memiliki telefon bimbit tersebut dan berunding harga. Apabila penulis meminta harga sebanyak RM 100.00, dia berkata tidak mendapat untung jika dijual RM 100.00. Sementara itu, penulis juga memeriksa telefon bimbit tersebut sama ada ia “original” atau tidak dan diluluskan oleh SIRIM (CE). Penulis mendapati kedua-dua model telefon bimbit itu tidak mempunyai kriteria tersebut.

Penulis berharap pengguna Malaysia berhati-hati dengan ejen penjualan model telefon bimbit palsu tersebut. Jangan sesekali terperdaya dengan sindiket ini.

“Jadi Pengguna yang Bemaklumat”


Mageswaran Senderal
FOMCA

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang merangka untuk mewujudkan sebuah skim kesihatan yang menggabungkan pengurusan perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta yang dikenali sebagai Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care.

Apabila skim ini dilaksanakan setiap keluarga diwajibkan untuk memilih atau melantik doktor di klinik pilihan sebagai doktor keluarga.

Melalui sokongan daripada doktor keluarga tersebut, pesakit akan dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Pengguna mempunyai pilihan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta pilihan mereka tanpa mengambil kira status sosial dan kedudukan kewangan mereka.

Bagi membiayai skim ini, kerajaan akan menubuhkan sebuah dana kesihatan nasional melalui peruntukan kerajaan hampir 90 peratus, sementara selebihnya berdasarkan sumbangan gl0ongan yang berkemampuan menerusi bayaran bulanan (premium insurans), potongan cukai atau kaedah lain yang akan ditetapkan. Sebuah badan khas akan ditubuhkan untuk mengendalikan dana ini. Pesakit mungkin akan dikenakan bayaran tertentu apabila mendapatkan rawatan.

Pelaksanaan skim ini amat wajar sekali memandangkan pada masa ini wujudnya jurang bagi pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan khususnya di hospital swasta. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana caj rawatan yang tinggi, walaupun penyakit yang dihadapi mungkin dapat disembuhkan kerana hospital tersebut mempunyai kepakaran dalam merawat penyakit tersebut.

Namun begitu, kerajaan perlu memperincikan tentang skim ini agar pengguna memahami keseluruhan konsep skim ini. Begitu juga pelaksanaan ini perlulah telus agar ia dapat mencapai matlamatnya. Lebih penting lagi, pengurusan dana ini diuruskan oleh sebuah badan yang tidak berunsurkan keuntungan, sebagaimana kewujudan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Skim yang dikatakan berdasarkan kepada model Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom itu perlu menjurus kepada tanggungjawab sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai tahap kesihatan yang baik. Perkhidmatan kesihatan merupakan kemudahan asas bagi pengguna. Setiap pengguna berhak untuk mendapatkan rawatan bagi merawat penyakit yang dihadapi tanpa mengira sama ada di hospital kerajaan atau swasta.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia

Selepas pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikuatkuasakan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pada semua kenderaan yang melanggar undang-undang di semua jenis jalan.

Sebelum ini, JPJ hanya mempunyai kuasa pada kenderaan yang melanggar undang-undang di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran.

Namun, dengan pindaan yang baru ini, JPJ juga boleh bertindak di semua tempat, sebagai contoh, jalan-jalan di dalam ladang, taman, kampung dan taman kediaman.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Datuk Ismail Ahmad, pegawai JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap kenderaan di dalam tempat meletak kereta dan tepi jalan jika mereka melanggar undang-undang.

Pindaan akta ini memberi lebih kuasa kepada pegawai JPJ agar dapat bertindak pada kenderaan yang melanggar undang-undang. Namun, ia perlu pengawalan yang ketat agar penguatkuasaan yang efektif dapat diwujudkan untuk menolong rakyat.

Sebagai contoh, sering kali terdapat bahawa motosikal yang diletakkan dengan sesuka hati di kaki lima, tepi jalan ataupun di stesen bus. Terdapat juga penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar di dalam kampung. Apakah pegawai JPJ boleh bertindak pada pemandu motorsikal seperti ini?

Di samping itu, apabila sesebuah kenderaan melanggar undang-undang jalan raya di dalam kawasan persendirian. Adakah tindakan boleh diambil ke atas mereka?

Demikian juga terhadap kenderaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU). Apakah JPJ boleh mengambil tindakan terhadap mereka?

Terdapat banyak persoalan yang timbul daripada penguatkuasaan pindaan akta ini. Persoalan ini perlu diperjelaskan agar pelaksanaannya meyakinkan dan tidak menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Selain itu, satu garis panduan perlu dibangunkan bagi memperincikan peraturan yang terdapat dalam pindaan baru ini bagi mengelakkan sebarang kemusykilan yang timbul semasa penguatkuasaan dilakukan.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Akta Persaingan 2010 melarang wujudnya perjanjian anti-persaingan seperti perjanjian mendatar dan perjanjian menegak yang menghalang atau menyekat persaingan di pasaran. Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melarang terhadap perjanjian anti-persaingan. Contoh aktiviti antipersaingan adalah penetapan harga barangan di pasaran.

Menurut seksyen 10 Akta Persaingan 2010 penyalahgunaan kedudukan dominan adalah dilarang. "Kedudukan dominan" ditakrifkan sebagai kemampuan sesebuah perusahaan untuk melaraskan harga atau terma perdagangan dalam pasaran.

Contoh penyalahgunaan kedudukan dominan adalah seperti menetapkan harga barang lebih tinggi daripada harga pasaran. Keadaan ini menyebabkan pesaing terpaksa keluar daripada pasaran dan menghalang pesaing baru memasuki pasaran.

Sebuah Suruhanjaya Persaingan ditubuhkan untuk mengawasi pelaksanaan Akta Persaingan 2010. Suruhanjaya ini dikuatkuasakan di bawah Akta Suruhanjaya Persaingan 2010.

Menurut seksyen 11 Akta Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan mempunyai kuasa untuk menjalankan kajian semula di atas pasaran. Kajian ini akan dibuat apabila terdapat ciri-ciri yang menghalang atau menyekat persaingan di pasaran.

Seksyen-seksyen 4, 10 dan 11 Akta Persaingan 2010 merupakan peruntukan terpenting dalam mengawal perjanjian anti-persaingan dan penyalahgunaan kedudukan dominan ini.


Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, krisis makanan sekali lagi akan menyelubungi dunia pada tahun 2011. Berdasarkan laporan FAO, harga tanaman bagi makanan utama akan meningkat sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008.

Bil import makanan global dijangkakan melonjak kepada AS$1 bilion (RM 3.13bilion). Sementara peningkatan harga komoditi berlaku secara mendadak buat kali kedua (yang pertama berlaku pada tahun 2008).

Peningkatan ini juga dikatakan berlaku lebih pantas berbanding pada tahun 2007 dan 2008. FAO menegaskan, masyarakat antarabangsa sedang berusaha dengan gigih untuk mempersiapkan langkah-langkah bagi menangani krisis peningkatan pengeluaran tanaman makanan utama secara signifikan pada 2011.

Badan ini meramalkan bahawa bil import makanan bagi dunia "negara termiskin" akan naik 11 peratus pada 2010, sementara untuk negara-negara pengeluar makanan akan naik sebanyak 20 peratus. Ini bermakna, dengan melewatkan satu trilion dolar, bil import makanan global kemungkinan akan naik ke tahap yang tidak diduga sejak harga makanan mencapai kemuncaknya pada tahap rekod pada 2008.

John Stephenson, penulis buku Pelaburan Komoditi juga bersetuju inflasi makanan akan menjadi isu utama pada tahun 2011. Menurut beliau, perubahan diet makanan dengan pertambahan penduduk dunia serta penurunan stok bijirin global dalam 15 tahun terakhir akan meningkatkan harga gandum, jagung dan kacang soya.

Kenaikan harga makanan global turut disokong oleh pakar ekonomi dari RAM Holding Berhad. Pakar ekonomi tidak dapat memastikan sama ada peningkatan ini akan kekal atau bersifat sementara. Namun situasi ini akan menjadi lebih baik jika permintaan untuk harga makanan bergerak secara normal di negara-negara membangun. Harga yang tinggi di negara Barat telah mendorong wujudnya spekulasi harga makanan di negara ini turut akan menjadi mahal. Malaysia adalah pengimport makanan bersih dengan jumlah import sebanyak RM15.8 billion pada tahun 2009. Kenaikan harga makanan global turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan. Apatah lagi hakikatnya jenis barangan keperluan yang dikawal oleh kerajaan sangat minimum.

Sebagai pengguna, pembelian panik seharusnya tidak berlaku disebabkan khabar angin yang menyatakan minyak masak akan naik sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Pemerhatian yang dilakukan kawasan Batu Caves, Sentul dan Batu Muda, minyak kampit 1 kilogram sudah tidak dijual hampir satu bulan. Minyak sawit dan minyak kacang yang dipek secara botol juga sukar diperolehi. Walau bagaimanapun, minyak Cap Bunga Matahari (jenama mahal) lagi masih dijual. Hakikatnya, kerajaan tidak boleh mengawal harga pasaran sekiranya harga minyak dunia meningkat disebabkan pengeluar utama dunia juga mengalami masalah yang sangat meruncing.

Oleh itu, pengguna disarankan mengubah gaya hidup dan cara pemakanan yang lebih sihat dengan mengambil makanan kurang minyak. Pengambilan makanan berminyak boleh membebankan fungsi hati yang antara lain berfungsi sebagai detoksifikasi dan mengurangkan nutrien seperti vitamin dan mineral dalam tubuh. Badan akan mudah terdedah kepada penyakit akibat daripada proses detoksifikasi yang berkurangan ini.

Mengubah gaya hidup adalah cara terbaik bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat. Menuding jari ke arah orang lain tidak mampu mengubah sesuatu yang berlaku. Oleh itu, mari bersama-sama kita mengamalkan prinsip “ PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA”

Siti Rahayu Zakaria
FOMCA

Akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa Persatuan Pedagang Makanan dan Alat Mainan Malaysia (Malaysia Foodstuff and Toys Merchants’ Association) meminta kerajaan bahawa menangguhkan lagi tarikh penguatkuasaan standard alat mainan yang bermula pada 1 Februari 2011. Sekiranya permintaan ini diterima, ini merupakan satu amaran kepada pengguna pada isu keselamatan.

Masih terdapat banyak alat mainan yang dijual di pasaran masih belum mempunyai label Pematuhan Malaysia (Malaysian Conformity, MC). Tarikh penguatkuasaan telah ditangguh dari tahun 2010 kepada 2011. Alasan yang diberikan bagi penangguhan ini adalah sama, iaitu masih banyak stok alat mainan yang ada di pasaran.

Apa yang membimbangkan ialah alat mainan stok lama ini mungkin tidak mematuhi garis panduan standard keselamatan. Oleh itu, ia boleh membahayakan pada kanak-kanak. Jika stok lama ini masih dijual di pasaran, apakah jaminan terhadap keselamatan kanak-kanak?

Tidak sewajarnya alat mainan yang tidak berlabel dengan MC ini terus dijual kepada pengguna, kerana kualiti dan keselamatannya tidak dapat dipastikan. Jika berlaku sebarang kecederaan kanak-kanak akibat daripada alat mainan ini, siapa akan menanggung kosnya? Siapakah yang akan bertanggungjawab pada kemalangan itu?

Sekiranya penangguhan ini berterusan, tidak ada makna pendidikan yang diberikan kepada pengguna agar memilih alat mainan yang bertanda MC. Pengguna akan bertanya apakah alat mainan yang perlu saya pilih? Kenapa alat mainan tanpa label MC masih dijual di pasaran?

Kerajaan telah menyatakan bahawa mereka tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini kerana telah memberi masa lebih satu tahun untuk membolehkan pengilang dan pengimport mematuhi standard keselamatan mainan kanak-kanak, dengan meletakkan label MC di setiap alat permainan tersebut (Utusan Malaysia, 20 Disember 2010).

Pengeluar dan pengimport alat mainan perlu mematuhi arahan yang telah dibuat oleh kerajaan tentang pelaksanaan standard alat mainan ini. Mereka tidak sepatutnya meminta supaya penguatkuasaan akta ini ditangguhkan. Terdapat cara alternatif yang boleh dilakukan oleh pengilang dan pengimport terhadap stok lama alat mainan ini, iaitu dengan mengitarnya semula. Ia bukan bermaksud alat mainan itu dikitar untuk kegunaan semula, tetapi dikitar semula di kilang untuk menghasilkan produk yang lain.

Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan standard khusus untuk alat mainan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula telah menguatkuasakan standard mandatori bagi alat mainan. Pengguna telah lama menunggu untuk mendapatkan penguatkuasaan terhadap standard itu. Oleh itu, janganlah mengecewakan pengguna sekali lagi.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Apa itu Demam Denggi?

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.

Bagaimanakah penyakit ini merebak?

Demam denggi didapati berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara-negara rantau tropika.

Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat denggi. Demam denggi menyerupai demam selsema dan ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Kumpulan 20 atau G20 ditubuhkan untuk menangani krisis kewangan pada akhiran 1990. Ia terdiri daripada menteri kewangan daripada negara-negara berikut:

• Argentina • Australia • Brazil • Kanada • China • Perancis • Jerman • India • Indonesia • Itali • Jepun • Mexico • Rusia • Arab Saudi • Afrika Selatan • Korea Selatan • Turki • Great Britain • Amerika Syarikat

G20 merupakan forum antarabangsa yang bertujuan untuk menggalakkan perbincangan terbuka tenang kestabilan ekonomi sedunia.

Bank Dunia menyatakan bahawa G20 yang merupakan badan ekonomi utama dunia ini perlu bertindak secara pratikal untuk menolong berjuta-juta penduduk dunia ini daripada penderitaan.

Tanpa tindakan daripada pemimpin dunia, penduduk di Negara miskin ini akan terus menderita daripada kekurangan makanan yang berzat akibat kenaikan harga makanan.

Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan indeks harga makanan pada masa ini telah melebihi indeks pada tahun 2008 semasa krisis makanan sedang memuncak.

Presiden Bank Dunia, Robert B. Zoellick menyatakan bahawa makanan merupakan bahagian yang besar dalam perbelanjaan sesebuah keluarga yang miskin di sebuah negara miskin. Jadi, peningkatan harga makanan merupakan ancaman kepada pembangunan sedunia dan kestabilan sosial.

Bagi memastikan golongan miskin ini ini dinafikan hak mereka untuk mendapatkan makanan berzat, maka G20 boleh membantu untuk mencapai tujuan ini jika semua ahli G20 mengambil langkah pratikal dan saling berkaitan.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

 

Sistem ingatan manusia terbahagi kepada dua jenis iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang. Ramai antara kita yng tertanya-tanya cara atau kaedah untuk meningkatkan memori seseorang. Namun, ramai yang tidak memahami atau kurang pendedahan tentang sifat semula jadi ingatan.

Ingatan jangka pendek adalah proses yang membolehkan maklumat diterima dan disimpan dalam tempoh yang singkat di antara 30 saat sehingga 24 jam. Ini berlaku kerana had muatan menyimpan maklumat adalah terhad. Sesetengah maklumat dalam sistem ingatan jangka pendek akan memasuki sistem ingatan jangka panjang dan diberi penumpuan dan diulang-ulang. Maklumat yang masih tersimpan di sistem ingatan jangka pendek akan padam / hilang begitu sahaja.

Ingatan jangka panjang bermaksud ingatan terhadap sesuatu maklumat dalam tempoh yang lama. Hakikatya, setiap maklumat yang tersimpan dalam sistem ini adalah kekal sehingga akhir hayat seseorang, tetapi bergantung kepada daya keupayaan seseorang itu untuk ’memanggil kembali’ (recall) maklumat tersebut daripada gudang ingatan.