- Details
Satu bengkel Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) telah diadakan di bangunan Persatuan Song Kong, Seremban. Seramai 45 orang penduduk di sekitar Seremban telah menghadiri bengkel ini yang diadakan dalam bahasa Cina.
Topik yang dibentangkan ialah hak pengguna serta aduan dan ganti rugi. Sesi pembincangan telah diadakan selepas pembentangan bagi membolehkan para peserta mengutarakan pertanyaaan atau masalah yang mereka hadapi.
- Details
Pada 13 Oktober 2010, Dana Hidupan Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) telah menerbitkan Laporan Kehidupan Planet 2010 (Living Planet Report 2010). Laporan ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan setiap dua tahun terhadap tahap kesihatan bumi berpandukan kepada kesan-kesan biodiversiti dan alam sekitar.
Laporan ini meninjau perubahan dalam jejak ekologi (ekological footprint) – tempat yang diperlukan untuk membekalkan sumber, ruangan untuk infrastruktur dan tumbuhan menyerap gas karbon dioksida. Manakala Indeks Kehidupan Planet (Living Planet Index, LPI) merujuk kepada taraf biodiversiti sedunia.
Berikut adalah beberapa petunjuk penting dalam laporan ini:
Jejak Ekologi:
Keperluan terhadap sumber asli telah meningkat dua kali ganda sejak 1966. Kini penduduk dunia masih menggunakan sumber sebanyak 1.5 planet untuk menampung aktiviti-aktiviti mereka.
Sepuluh buah negara yang mempunyai jejak ekologi pada setiap orang adalah Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Denmark, Belgium, Amerika Syarikat, Estonia, Kanada, Australia, Kuwait dan Ireland.
4.5 bumi diperlukan sekiranya semua penduduk dunia mengamalkan cara hidup sebagaimana rakyat Amerika Syarikat.
Negara-negara yang berpendapatan tinggi mempunyai 5 kali jejak ekologi berbanding dengan negara berpendapatan rendah. Ini menjukkan bahawa penggunaan di negara kaya dilakukan dengan menghabiskan sumber-sumber asli yang hanya terdapat di negara tropikal.
Karbon
Sebanyak 11 kali ganda peningkatan dalam jejak karbon dunia merupakan faktor utama yang mendorong kepada pertambahan jejak ekologi manusia sejak 1966.
Sejak tahun 1998, jejak karbon sedunia telah meningkat sebanyak 3 kali ganda.
Sejak tahun 1961, jejak karbon 33 buah negara Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meningkat sebanyak 10 kali ganda.
Namun, rantau-rantau lain sedang berusaha ke arah itu: jejak karbon di negara-negara ASEAN telah meningkat sebanyak 100 kali ganda, negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India, China) telah meningkat 20 kali ganda. Pada masa yang sama, jejak karbon di negara-negara Afrika juga telah meningkat sebanyak 30 kali ganda.
Biodiversiti
Index Kehidupan bumi telah menurun hampir 30% di antara tahun 1970 dan 2007.
Negara-negara yang berpendapatan rendah telah mengalami kemerosotan biodiversiti yang paling tinggi iaitu sebanyak 60% dalam masa kurang daripada 40 tahun.
Populasi spesis ikan air tawar tropikal mengalami kesan yang paling buruk dan telah menurun hampir 70%.
Walau bagaimanapun, LPI di rantau yang beriklim sederhana telah meningkat 30%, menunjukkan keberkesanan usaha pemuliharaan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembaziran.
34 % Ketua Pegawai Eksekutif di Asia Pasifik dan 53% Ketua Pegawai Eksekutif di Amerika Latin bimbang terhadap kesan-kesan kehilangan biodiversiti terhadap pembangunan perniagaan mereka, berbanding dengan hanya 18 % di Eropah.
Air
Lebih daripada 70 negara sedang mengalami masalah kekurangan bekalan air yang bersih. Ini memberikan implikasi yang mendalam kepada kesihatan ekosistem, pengeluaran bahan makanan dan kesihatan manusia. Selain itu, perubahan iklim akan memburukkan lagi situasi ini.
Kesimpulan
Tanpa air yang bersih, tanah, makanan, bahan api dan bahan mentah yang mencukupi, manusia akan terdedah kepada belenggu kemiskinan, terutamanya penduduk di negara miskin.
Oleh itu, negara-negara kaya harus memberikan bantuan dari segi kewangan, teknologi dan pengetahuan kepada negara-negara miskin, manakala negara-negara miskin perlu bijak mengurus dan menggunakan bantuan-bantuan yang diberi.
Cara hidup manusia juga harus berubah dan penggunaan yang lestari harus diamalkan. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka bumi tidak akan berupaya untuk menampung kehidupan lagi.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Pengguna mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan terhadap barang yang ingin dibeli dan perkhidmatan yang ingin digunakan. Selain itu pengguna juga perlu diberikan maklumat yang secukupnya terhadap barang dan perkhidmatan.
Namun begitu, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan daripada pengguna bahawa mereka dipaksa untuk memilih barang atau perkhidmatan. Dalam hal ini, seorang pengguna kita bukan sahaja mempunyai hak, tetapi yang pentingnya tanggungjawab sebagai pengguna, iaitu tanggungjawab untuk memastikan hak pengguna itu dipatuhi dalam urusan seharian.
Oleh itu, apabila seseorang itu itu mengadu bahawa mereka telah dipaksa untuk menggunakan barang atau perkhidmatan, maka mereka perlu menilai semula sejauh mana mereka itu boleh dipaksa, sedangkan mereka sudah cukup dewasa untuk membuat keputusan berdasarkan kredibiliti kewangan dan kemampuan mereka.
Kebanyakan aduan yang diterima oleh NCCC jelas menunjukkan pengguna di Malaysia masih belum mempunyai pendirian yang kuat untuk mengatakan “Tidak!” untuk sesuatu barang atau perkhidmatan yang kita tidak mampu dan perlu.
Dalam pada itu, sesuatu pemasaran harus dilakukan dengan cara yang beretika, harus jujur dalam memberikan maklumat dan fakta mengenai produk dan perkhidmatan. Walaupun realitinya kebanyakannya hanya sekadar mengaut untuk untung sahaja.
Oleh itu, pengguna perlu sedar dan melakukan perubahan sikap. Merdekakan diri daripada pembaziran, kejahilan dan penipuan. Laksanakan sebagai moto FOMCA sendiri, iaitu “Perlindungan terbaik adalah perlindungan diri sendiri”. Jadilah pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Untuk membantu pengguna dalam menghadapi amalan pemasaran perniagaan yang ada kala bersikap agresif dan tidak beretika, berikut adalah beberapa peruntukan dalam Akta Kontrak 1950 yang membolehkan sesuatu kontrak boleh dibatalkan dan dianggap sebagai tidak sah.
1. Paksaan (Force)
Menurut Seksyen 15, Akta Kontrak 1950, sesuatu kontrak yang dilakukan dengan paksaan boleh dibatalkan dan dianggap tidak sah. Namun pengguna tidak boleh membiarkan orang lain memaksa mereka untuk menandatangani sesuatu kontrak tanpa mengetahui terlebih dahulu kandungannya.
2. Pengaruh Tidak Berpatutan (Undue Influence)
Mengikut Seksyen 16, Akta Kontrak 1950, `Pengaruh tidak berpatutan’ berlaku apabila seseorang memasuki perjanjian setelah dipengaruhi secara tidak wajar oleh pihak lain. Ini berlaku apabila pihak tersebut boleh menguasai kemahuan orang lain atau mempunyai autoriti yang membolehkan dia mengambil keuntungan daripada orang lain.
3. Penipuan (Fraud)
Mengikut Seksyen 17, Akta Kontrak 1950, penipuan berlaku apabila seseorang berbuat sesuatu dengan niat memperdaya dan mendorong pihak lain untuk memasuki kontrak. Empat keadaan yang membolehkan penipuan berlaku:
i. Memberikan fakta palsu
ii. Menyembunyikan fakta
iii. Membuat janji dengan niat tidak mahu menepatinya
iv. Memperdaya
4. Salah Nyata (Misrepresentation)
Seksyen 18, Akta Kontrak 1950, menyatakan salah nyata berlaku apabila orang yang membuat suatu kenyataan tidak berniat untuk menipu berkenaan suatu fakta. Jika kenyataan yang dibuat dalam bentuk pendapat, maka ia dianggap tidak melakukan salah nyata.
5. Khilaf (Mistake)
Seksyen 21, 22, 23, Akta Kontrak 1950, khilaf atau kesilapan boleh dilakukan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak atau salah seorang daripadanya.
- Seksyen 21 - Khilaf mengenai fakta (Mistake as to the fact) – kontrak boleh dibatalkan
- Seksyen 22 - Khilaf mengenai undang-undang (Mistake as to law) - kontrak tidak boleh dibatalkan
- Seksyen 23 - Hanya satu pihak khilaf mengenai fakta - Kontrak tidak boleh dibatalkan.
Walaupun Akta Kontrak 1950 merangkumi beberapa seksyen yang memberi perlindungan kepada pengguna, namun sesuatu kontrak akan dan masih dianggap sah dan mengikat kedua-dua pihak sekiranya pengguna yang mengabaikan tanggungjawabnya sendiri untuk mempertimbangkan semua kesan masa depan. Hanya apabila elemen di atas dapat dibuktikan, maka sesuatu kontrak akan dibatalkan.
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna"
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Mencuci tangan merupakan amalan kebersihan yang penting bagi setiap orang. Justeru, bagi menunjukkan kepentingannya terhadap faktor kebersihan, maka pada 15 Oktober setiap tahun telah diadakan sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia.
Hari Mencuci Tangan Sedunia telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersempena dengan Tahun Sanitasi Antarabangsa 2008.
Sejak dimulakan pada tahun 2008, Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri. Hari Mencuci Tangan Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.
Mencuci tangan dengan sabun adalah cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit seperti cirit-birit dan pneumonia, yang merupakan punca utama kematian kanak-kanak di dunia.
Walaupun semua orang mencuci tangan dengan air, tetapi tidak semua orang yang mencuci tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas atau sebelum mengendalikan makanan.
Cabaran kempen ini adalah untuk menjadikan mencuci tangan sebagai satu tabiat dalam kehidupan seharian seseorang. Ia perlu diamalkan secara semula jadi di sekolah, rumah dan komuniti.
Mengubah sikap mencuci tangan sebelum makan dan selepas keluar tandas merupakan satu langkah berpadu dan mudah untuk menyelamatkan nyawa.
Usaha meningkatkan kadar mencuci tangan dengan sabun dapat menyumbangkan kepada Sasaran Pembangunan Alaf (Millennium Development Goals, MDGs) pada tahun 2015, iaitu mengurangkan dengan dua per tiga kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
Mengapa mencuci tangan?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), lebih daripada 1.5 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun meninggal dunia akibat penyakit cirit-birit setiap tahun, iaitu punca kedua kematian kanak-kanak ini.
Mencuci tangan selepas keluar tandas, sebelum makan dan mengendalikan makanan – dapat mengurangkan kadar cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak sebanyak 40%.
Pnumonia menyebabkan kematian 1.8 juta kanak-kanak setiap tahun, dan merupakan penyebab utama kematian mereka. Sikap sentiasa mencuci tangan – dapat mengurangkan jangkitan penyakit respitori pada kadar 23%.
Di samping itu, mencuci tangan – satu parameter untuk mengawal jangkitan penyakit berkaitan dengan sistem respitori. Semasa penularan penyakit SARS pada tahun 2006, satu kajian telah dijalankan dan mendapati bahawa mencuci tangan 10 kali sehari dapat mengurangkan penyebaran virus respitori itu sebanyak 55%.
Kajian daripada Nepal menyatakan bahawa penjaga dan ibu mengandung yang mencuci tangan dengan sabun dapat meningkatkan kadar kelahiran bayi baru sebanyak 44%.
Mengguna air sahaja tidak mencukupi untuk tujuan kebersihan diri, tetapi di kebanyakan tempat, sabun tidak digunakan untuk mencuci tangan. Kebanyakan keluarga miskin mempunyai sabun, jadi bukan satu halangan untuk mencuci tangan dengan sabun.
Kajian mendapati bahawa promosi mencuci tangan di sekolah dapat meningkatkan kadar kehadiran murid ke sekolah. Di China, promosi dan pengagihan sabun di sekolah dapat mengurangkan kadar ponteng sekolah sebanyak 54% berbanding dengan sekolah yang tidak mengadakan kempen tersebut.
Hari Mencuci Tangan Sedunia tahun 2010 akan melibatkan semua sekolah dan kanak-kanak. Aktiviti kempen ini diadakan di taman permainan, kelas, pusat komuniti dan tempat awam sama ada di desa ataupun bandar.
Akitiviti mencuci tangan sedunia ini bertujuan untuk menyedarkan penduduk dunia tentang kepentingan mencuci tangan dan kebersihan diri. Berjuta-juta orang daripada 80 buah negara akan terlibat dalam kempen seminggu ini.
Tema Hari Mencuci Tangan Sedunia tahun ini memberi tumpuan pada kanak-kanak. Objektif utama hari yang khusus ini adalah:
- Memupuk dan menyokong budaya mencuci tangan dengan sabun
- Memperkukuhkan budaya mencuci tangan dengan sabun di setiap negara
- Meningkatkan kesedaran tentang kebaikan mencuci tangan dengan sabun
Lima fakta penting dalam mencuci tangan
1. Mencuci tangan dengan air sahaja tidak mencukupi
o Mencuci tangan dengan air sahaja merupakan amalan biasa dalam kehidupan, tetapi ia kurang berkesan jika dibandingkan dengan mencuci tangan dengan sabun
o Mencuci tangan dengan sabun dapat menanggalkan kotoran dan minyak yang mungkin membawa mikroorganisma
o Penggunaan sabun dengan cara yang betul merupakan cara yang berkesan untuk mengelakkan diri daripada mikroorganisma penyebar penyakit.
2. Mencuci tangan dengan sabun dapat mengelakkan penyakit yang menyebabkan kematian berjuta-juta kanak-kanak setiap tahun
o Mencuci tangan dengan sabun adalah cara yang paling berkesan untuk mengelakkan cirit-birit dan pneumonia
o Setiap tahun, cirit-birit dan pneumonia menyebabkan kematian 3.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia
o Mencuci tangan dengan sabun dapat mengelakkan jangkitan penyakit kulit, mata, SARS dan AVIAN FLU, dan bermanfaat kepada orang yang hidup dalam golongan AIDS/HIV.
3. Tahap kritikal mencuci tangan adalah selepas menggunakan tandas atau mandian kanak-kanak dan sebelum mengendalikan makanan
o Tangan perlu dicuci dengan sabun selepas mencuci bahagian bawah kanak-kanak dan sebelum menyentuh makanan
o Tangan merupakan bahagian utama pembawa penyakit. Oleh itu mencuci tangan dengan sabun dapat membantu mengelakkan sebaran penyakit, dan dapat dilakukan oleh semua orang.
4. Mencuci tangan dengan sabun adalah promosi kesihatan yang paling kos efektif
o Promosi mencuci tangan dengan sabun adalah kos efektif jika dibanding dengan promosi kesihatan yang lain
o Pelaburan RM11.40 dalam mencuci tangan membawa hasil yang sama dengan pelaburan RM37.40 dalam pembinaan tandas, pelaburan RM680 dalam pembekalan air perumahan dan beribu-ribu dalam program imunisasi.
5. Kanak-kanak adalah agen perubahan.
o Kanak-kanak lebih aktif dalam berkongsi idea tentang amalan kesihatan diri yang baik di rumah dan masyarakat
o Penglibatan kanak-kanak dalam Hari Mencuci Tangan Sedunia dapat mempengaruhi perubahan sikap yang berterusan.
Jadi, pupuk tabiat mencuci tangan dalam keluarga anda demi kesihatan anda.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Dasar luar negara bermatlamat untuk menjamin keselamatan dan kemakmuran rakyat. Sekiranya kerajaan tidak mempunyai satu perancangan yang berkesan untuk menangani perubahan iklim, maka matlamat di atas tidak akan tercapai. Selain itu, keselamatan iklim amat berkait rapat dengan keselamatan tenaga, makanan dan bekalan air.
Pada 27 September 2010 di New York, Setiausaha Luar Negara Britain, William Hague berkata bahawa sekiranya Malaysia gagal merancang untuk menangani perubahan iklim, maka hubungan dan kepercayaan antara negara akan menjadi lemah, persaingan sumber akan bertambah dan juga mengecilkan ruang politik bagi peluang bekerjasama.
Tanpa tindak balas yang berkesan, keselamatan negara akan tergugat dan ekonomi akan menjadi lemah. Golongan yang paling miskin akan menerima semua impak kesan perubahan iklim.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Setiausaha Luar Negara Britain itu, “ Kita berkongsi satu visi untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals, MDG). Jika dunia yang tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah perubahan iklim, visi itu hanyalah satu mimpi dan usaha-usaha selama sepuluh tahun ini adalah sia-sia.”
Britain telah bertindak dengan menubuhkan Green Investment Bank yang bertujuan untuk meningkatkan aliran modal swasta ke dalam infrastruktur karbon rendah dan meninggalkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Britain juga sedang berusaha untuk menukarkan rangkaian elektrik dan menggesa negara Kesatuan Eropah untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 30% pada tahun 2020.
Pada tahun ini, ekonomi karbon sedunia dianggarkan bernilai sebanyak RM15.6 trilion. Ekonomi karbon di Britain dianggarkan sebanyak RM544 bilion, iaitu sebanyak 1 juta orang Britain bekerja dalam sektor pengurangan karbon.
Namun, tindak balas yang berkesan tidak sewajarnya dibangunkan sendiri. Kita memerlukan pihak lain untuk bertindak juga. Jikalau pelepasan gas rumah hijau meningkat secara berterusan, purata suhu tempatan akan meningkat sebanyak 4°C pada akhir abad ini, dan berkemungkinan seawal tahun 2060.
Lantaran itulah satu persetujuan sedunia tentang isu iklim di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus dicapai untuk mengehadkan peningkatan suhu sedunia pada 2°C. Di samping itu, semua negara juga harus bertindak. Menurut Bank Pembangunan Asia, sekiranya tiada langkah-langkah berkesan diambil, negara-negara Asia Tenggara akan mengalami kerugian sebanyak 6.7% GDP setiap tahun pada 2100.
Semasa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ucapan di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsas Bersatu pada 27 September 2010, beliau menegaskan bahawa “keperluan untuk mengecilkan jurang adalah penting bagi menyelesaikan dan menangani isu perubahan iklim yang mempengaruhi kehidupan dan punca pendapatan penduduk dunia dan generasi masa hadapan.”
Kerjasama bagi menangani isu perubahan iklim telah terjalin antara Malaysia dan Britain iaitu Britain akan membekalkan latihan dan nasihat kepada pakar-pakar di Malaysia.
Sekiranya negara segera bertindak, kita masih boleh membentuk dunia sebagaimana yang kita ingini. Jika tidak, maka dunia yang menentukan nasib dan masa hadapan kita.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Reka bentuk sejagat (Universal Design) merupakan satu reka bentuk mesra orang ramai yang dicipta untuk kegunaan semua lapisan masyarakat, termasuk orang tua, kanak-kanak, orang yang berjalan dengan menggunakan troli, ibu mengandung, orang kurang upaya (OKU) atau orang biasa.
Ia bertujuan untuk menampung keperluan orang ramai, yang bukannya reka bentuk yang dicipta khas, tetapi reka bentuk mesra yang disetujui orang ramai. Reka bentuk sejagat tidak dikategori untuk kegunaan OKU atau kanak-kanak atau ibu mengandung sahaja, tetapi boleh digunakan oleh orang yang berupaya dan orang yang tidak berupaya.
Reka bentuk sejagat tidak sama dengan reka bentuk bebas halangan. Reka bentuk bebas halangan merupakan satu ciptaan yang memerlukan halangan dialihkan bagi tujuan kegunaan OKU dan hanya khas untuk kegunaan OKU sahaja.
Penduduk Malaysia telah mencecah 28 juta. Daripada jumlah tersebut, golongan usia emas dijangka akan mencapai lebih daripada 1.3 juta orang atau 4.8 peratus, golongan OKU pula kira-kira 2.8 juta orang atau 10 peratus dan golongan kanak-kanak yang membentuk kira-kira 8 juta orang atau 32 peratus. Justeru, kira-kira 12 juta orang penduduk memerlukan pemerhatian yang khusus.
Namun, infrastruktur yang dibina pada masa ini tidak memenuhi keperluan golongan-golongan ini. Setiap kemudahan dibina tidak mematuhi standard yang ditetapkan, ataupun kemudahan itu dibina dengan halangan.
Jika kerajaan hanya mengalihkan halangan untuk keperluan golongan OKU, bagaimana pula dengan golongan yang lain. Jadi, reka bentuk sejagat merupakan satu reka bentuk yang dapat memenuhi keperluan orang ramai.
Kerajaan sepatutnya membina sesuatu kemudahan yang dapat menampung keperluan semua golongan. Sebagai contoh, bagi pintu masuk, tangga akan dibina, tetapi jika satu lerengan dibina selain daripada tangga itu, ia memanfaatkan semua orang.
Semua pihak boleh menaikinya dengan mudah, termasuk pengguna berkerusi roda, orang tua, orang yang membawa kereta bayi. pengguna yang menolak troli, orang yang bertongkat dan kanak-kanak.
Pada masa ini negara kita mempunyai Standard Malaysia (Malaysian Standard – MS) yang dibangunkan untuk golongan OKU. Tetapi standatd ini tidak digunakan dengan meluas. Walaupun Undang-undang Kecil (Uniform Building By-Laws, UBBL) menyatakan isu kemudahcapaian dalam fasa 34A, namun ia tidak merujuk kepada MS yang sedia ada.
Akta OKU 2008 juga tidak menetapkan sebarang hukuman bagi pihak yang tidak menyediakan kemudahan mesra OKU. Jadi ia tidak dapat menjamin kesejahteraan bagi golongan OKU.
Golongan OKU merupakan sebahagian rakyat Malaysia. Oleh itu sebarang bentuk pembangunan perlu mengambil kira keperluan mereka.
Kesimpulannya, golongan OKU boleh berdikari dengan adanya reka bentuk sejagat yang sememangnya disediakan untuk menampung keperluan mereka. Selain itu, orang lain juga dapat menikmati manfaat daripada reka bentuk sejagat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malays
- Details
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengakui bahawa harga produk berasaskan tenusu akan mengalami kenaikan disebabkan oleh kenaikan bahan mentah tersebut di peringkat antarabangsa. Ini menyebabkan harga produk tenusu import dan tempatan akan meningkat.
Harga mentah tenusu telah meningkat kepada lebih AS$3,000 (RM9,630) tan pada tahun ini berbanding AS$2,100 (RM6,741) tan akhir 2009.
Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga produk berasas tenusu itu kerana ia bukan barang kawalan. Walaupun produk tersebut termasuk dalam barang kawalan sekalipun, kenaikan bahan mentah tersebut boleh menimbulkan masalah bekalan pula, apabila pengeluar boleh menghentikan pengeluarannya jika harga kawalan yang ditetapkan kerajaan itu tidak menguntungkan mereka.
Umpamanya sebelum ini kerajaan pernah mengawal harga dua jenis susu pekat manis, iaitu susu pekat manis penuh krim dan susu pekat manis isian, sebelum dimansuhkan pada 1 April 2009. Disebabkan kawalan harga tersebut, pengeluar telah menghentikan pengeluaran dan penjualan kedua-dua produk susu pekat manis tersebut, sebaliknya menjual susu pekat manis yang tidak dikawal hargannya. Ini menimbulkan masalah bekalan kepada pengguna yang ingin mendapatkan susu pekat manis yang dikawal itu. Namun begitu, kedua-dua susu pekat manis tersebut mudah diperolehi di negara jiran seperti Singapura kerana hargannya tidak dikawal.
Dalam pada itu, susu tepung rumusan bayi pula sering mengalami kenaikan harga. Bagi tidak menampakkan kenaikan harga yang ketara, pengeluar sering menukar pek bungkusan susu rumusan bayi dengan pek yang baru. Pek baru ini telah dinaikkan harganya.
Kenaikan harga produk berasaskan tenusu ini mungkin meningkat perbelanjaan pengguna. Dalam hal ini, pengguna perlu membuat perubahan dari segi pengambilan susu dalam minuman mereka.
Selain itu, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu menyusun strategi agar pengeluar susu tempatan tidak terlalu bergantung kepada bahan mentah susu daripada luar negara. Penyelidikan yang berterusan perlu dilakukan ke atas ternakan tempatan bagi membolehkan ternakan tersebut dapat menghasilkan susu yang boleh menepati keperluan pengeluar susu tempatan. Dengan cara ini perubahan harga bahan mentah susu di peringkat antarabangsa kurang menjejaskan harga produk berasaskan tenusu tempatan.
Kementerian Kesihatan pernah mewujudkan skim bantuan susu bayi kepada golongan berpendapatan rendah. Skim ini sama seperti ‘food stamp” di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat. Malahan ‘food stamp” ini juga dinikmati oleh pelajar Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat jika mereka menepati syarat yang ditetapkan.
Bagi memastikan bayi di Malaysia menikmati makanan yang berkhasiat, wajar sekiranya skim ini diwujudkan semula. Ini bertujuan untuk mengelakkan daripada bayi daripada golongan berpendapatan rendah tidak mendapat makanan yang berkhasiat disebabkan oleh harga susu rumusan bayi yang tinggi.
Sebenarnya bayi tersebut masih boleh mendapat makanan berkhasiat, walaupun tanpa susu tepung rumusan bayi, jika bayi itu diberikan dengan susu ibu. Galakan dan kempen berterusan perlu dilakukan bagi menggalakkan ibu menyusu bayi mereka dengan susu sendiri. Bayi akan lebih sihat apabila mengambil susu ibu. Begitu juga pelbagai penyakit turut dapat dielakkan sekiranya bayi diberikan susu ibu.
Namun disebabkan kebanyakan ibu pada masa ini telah kurang menyusukan bayi mereka menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada susu tepung rumusan bayi. Justeru, kenaikan harga susu tepung susu bayi sudah tentu memberikan kesan kepada mereka.
Pada masa ini kerajaan tidak boleh mengawal kenaikan harga barang yang bukan kawalan. Namun begitu, apabila Akta Anti-Pencatutan telah diwartakan kelak, kerajaan boleh mengambil tindakan kepada pihak yang menjual barang dengan harga yang keterlaluan.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
- Details
Agensi Makanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi.
Peperangan, bencana alam dan pengurusan yang lembap telah menyebabkan kekurangan makanan dan zat yang berterusan di negara-negara tersebut, termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan.
Negara yang melaporkan krisis makanan sekurang-kurangnya lapan tahun dan menerima sebanyak sepuluh peratus bantuan daripada negara asing akan dianggap menghadapi kekurangan makanan yang berterusan.
Laporan juga menyatakan bahawa krisis yang berterusan ini merupakan satu kemusnahan yang kekal. Di samping itu, pemulihan akan menjadi semakin sukar dari masa ke masa.
Di antara 22 negara ini, penduduk yang mengalami kekurangan zat makanan adalah tiga kali lebih tinggi daripada negara-negara membangun.
Menurut Pegawai PBB, 1,800 kalori per sehari dianggap sebagai pengambilan tenaga minimum untuk sehari. Sesesiapa yang tidak dapat memenuhi keperluan ini akan dianggap kekurangan zat atau menghadapi kelaparan ‘kronik’.
Negara-negara yang berhadapan dengan krisis yang berterusan ini memerlukan bantuan bagi menghadapi masalah ini. Fokusnya tidak hanya pada bantuan kecemasan tetapi juga pada bantuan jangka masa panjang, seperti menyediakan makanan untuk sesi persekolahan atau melaksanakan program makanan-untuk-pekerjaan.
Selain itu, laporan kajian menyatakan bahawa rangsangan pasaran juga merupakan pertolongan jangka panjang yang berkesan, misalnya melalui pembelian makanan atau bahan keperluan daripada pembekal tempatan.
Pada masa ini, sebahagian besar bantuan untuk negara-negara ini dalam bentuk bantuan kemanusiaan sahaja. Sebagai contoh, di Somalia, bantuan kemanusian sebanyak 64 peratus.
Namum, secara globalnya, hanya sekitar 10 peratus daripada bantuan kepada negara-negara yang terancam ini termasuk ke dalam bantuan kemanusiaan secara langsung, dan biasanya bertujuan untuk meningkatkan produktif per kapasiti.
Dalam kenyataan yang dibuat oleh Jacques Diouf, pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Josette Sheeran, pengarah Program Makanan Sedunia (World Food Program, WFP), mereka berpendapat bahawa adalah penting untuk memberikan bantuan kepada negara yang menghadapi krisis makanan secra berterusan. Ia dapat menyelamatkan nyawa dan juga menolong negara tersebut untuk membaik pulih kepada keadaan yang lebih baik.
Negara lain yang turut mengalami krisis makanan adalah: Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara, Republik Demokratik Congo, Eritrea, Ethiopia, Guinea, Pantai Gading, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe .
FAO mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia telah menurun daripada 1 bilion kepada 925 juta orang.
Di Malaysia, kita jarang mengalami kes kebuluran, tetapi yang sering kita dapati adalah orang yang membazirkan makanan.
Makanan merupakan sebahagian keperluan asas yang perlu dinikmati setiap pengguna, tetapi ramai orang di dunia ini tiada peluang untuk mendapatkan hak ini.
Kesimpulannya, hargai makanan anda, habiskan setiap makanan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Petaling Jaya, 7 Oktber 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mendesak kerajaan mewujudkan Dasar Pengangkutan Negara sebagai dasar yang menentukan hala tuju pengangkutan awam di Malaysia.
Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan bagi mengendalikan sistem pengangkutan awam darat tidak mencukupi jika tiada satu dasar yang menyeluruh mengenai sistem pengangkutan awam.
Desakan ini dibuat oleh Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA dan Datuk Mohd Ashfar Ali, presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.
Sidang media ini diadakan sebagai susulan daripada laporan media tentang peningkatan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pengangkutan awam. Dalam tempoh lapan bulan pertama 2010, NCCC menerima sebanyak 1,160 aduan berbanding 2,024 kes pada tahun 2009.
Walaupun kerajaan telah mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam, iaitu meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 25% pada akhir 2012, berbanding 16 peratus pada masa ini, namun tidak terdapat satu dasar yang jelas bagaimana NKRA ini dapat dicapai.
NKRA seolah-olah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, tetapi tanpa adanya kerjasama daripada pengusaha pengangkutan awam dan sokongan pengguna sendiri menggunakan pengangkutan awam, usaha kerajaan ini sudah tentu tidak akan tercapai.
Justeru, kewujudan Dasar Pengangkutan Negara amat diperlukan bagi sebagai panduan kepada kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, di samping pengusaha bas sendiri mengetahui perancangan berkaitan pengangkutan awam yang bakal dilaksanakan. Selain itu, pengguna juga maklum tentang usaha kerajaan dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di seluruh begara.
Dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh FOMCA, pengangkutan awam merupakan masalah kedua yang dihadapi pengguna, selain daripada masalah utama, iaitu kenaikan harga barang.
Klik disini untuk muat turun Kenyataan Media
Click here to download Media Statement
Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
- Details
Kini terdapat pekerja kedai elektrik yang mengajak pengguna yang berkunjung ke premis mereka untuk terlibat dalam peraduan gores dan menang. Mereka juga sering menarik pengguna yang lalu di hadapan premis mereka untuk tujuan yang sama.
Pekerja tersebut berjanji kepada pengguna bahawa mereka boleh membawa pulang barangan elektrik tanpa perlu membayar jika mereka berjaya menggores kad yang tertera barangan elektrik. Pengguna pun bersetuju untuk membuat sedemikian sebab mereka tidak mengalami apa-apa kerugian, iaitu sekadar mencuba nasib sahaja. Antara barangan elektrik yang ditawarkan adalah ketuhar elektrik, pengisar makanan, alat senaman perut dan set dapur elektrik.
Apabila pengguna berjaya menggores kad yang terdapat gambar barangan elektrik, semua pekerja di kedai tersebut menjadi kecoh kerana perkara seperti ini jarang berlaku. Mereka menyatakan kekaguman terhadap tuah pengguna tersebut sambil meluahkan rasa tidak percaya. Pengguna mulai terpengaruh dengan kata-kata atau reaksi mereka.
Sebenarnya semua pekedai di kedai tersebut menggunakan taktik yang sama kepada semua pengguna yang terlibat dengan peraduan gores dan menang. Lebih-lebih lagi mereka menunjukkan gambar-gambar orang yang bertuah mendapat hadiah yang menarik serta menunjukkan pengguna tersebut barangan yang baru dimenanginya itu.
Apabila pengguna hendak membawa pulang barangan elektrik berkenaan, tiba-tiba salah seorang pekerja mengatakan syarat untuk membawa pulang barangan elektrik itu adalah pengguna perlu membeli barang promosi yang yang terdapat dalam katalog mereka. Harga-harga yang tertera dalam katalog tersebut adalah lebih tinggi dari harga biasa. Untuk memastikan pengguna membeli barang tersebut, pekerja memberikan baucar bernilai RM 100 atau memperdayakan mereka dengan mengatakan harga yang tertera dalam katalog itu adalah harga promosi yang hanya diberikan dalam tempoh satu hari sahaja.
Pekerja terus mendesak pengguna membeli barang promosi dengan menggunakan kad kredit jika tidak ada wang tunai. Pengguna yang bijak dapat mengelakkan diri daripada taktik pekedai, sebaliknya pengguna yang terpengaruh akan membeli barang tersebut dengan wang tunai atau kad kredit kerana hanya hendak mendapatkan hadiah bertuah yang dimenangi.
Selepas membawa pulang hadiah-hadiah tersebut, ramai pengguna menyedari bahawa mereka tertipu dengan taktik kedai elektrik tersebut. Jumlah wang terlibat dalam penipuan seperti ini antara RM5000 hingga RM6000.
Oleh itu, jangan sekali-kali terlibat dengan peraduan seperti ini. Pengguna perlu melindungi diri sendiri.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Subcategories
Page 203 of 232