- Details
Pelancongan kesihatan dimaksudkan apabila seorang individu atau pesakit yang melancong ke negara lain untuk mendapatkan rawatan atau perkhidmatan kesihatan. Perkhidmatan tersebut biasanya mrangkumi prosedur-prosedur elektif dan juga prosedur-prosedur kompleks dan pakar seperti pembedahan kardiak, pembedahan pergigian, dan pembedahan kosmetik.
Perkhidmatan–perkhidmatan lain seperti rawatan psikiatri, perubatan alternatif, dan juga perkhidmatan pengebumian boleh didapati di luar negara.
Sehingga kini, terdapat 50 buah negara yang telah mengenal pasti industri pelancongan kesihatan sebagai satu industri nasional. Walau bagaimanapun pengakreditan dan cara penilaian kualiti perkhidmatan terhadap perkhidmatan yang diberikan adalah berbeza menyebabkan pelancongan kesihatan ini suatu perkara yang kontroversi.
Malaysia dan Industri Pelancongan Kesihatan
Menurut Association of Private Hospitals Malaysia, pada tahun 2006, pendapatan negara daripada industri pelancongan kesihatan adalah sebanyak RM 203.66 juta (USD 59 million)
Kadar pelancong ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan telah meningkat sebanyak 25.3% dari tahun 1998 ke tahun 2008 (International Medical Travel Journal).
Kerajaan telah mengenal pasti industri ini sebagai satu industri yang akan banyak menyumbang kepada pendapatan negara dan sedang berusaha giat dalam memajukan Malaysia sebagai pusat untuk industri pelancongan kesihatan di peringat serantau.
Sejajar dengan itu, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Promosi Pelancongan Kesihatan di Malaysia (The National Committee for the Promotion of Heath Tourism in Malaysia) untuk menjalankan kerja-kerja promosi. Ahli-ahli lain dalam jawatankuasa ini adalah, “Malaysian Industrial Development Authority, the Malaysian Association of Tour and Travel Agencies, Malaysian Airlines System, the Primary Care Doctors’ Organisation of Malaysia,” dan hospital- hospital tertier yang lain.
Pelancongan kesihatan di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu pelancongan perubatan dan program kesihatan. Seseorang pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di mana-mana hospital yang dikenali di peringkat antarabangsa dan tinggal di Malaysia sehingga sembuh atau mereka boleh melancong ke Malaysia untuk mengunjungi hospital-hospital untuk melihat infrastruktur yang disediakan dan yang sesuai bagi mereka sebelum menjalani perubatan.
Faktor yang menyebabkan Malaysia dipilih sebagai destinasi pelancongan kesihatan
Dua faktor penting yang menyebabkan Malaysia menjadi pilihan untuk pelancongan perubatan adalah disebabkan oleh kos perubatan yang kompetitif dan rendah serta kemudahan infrastruktur yang canggih dan moden. Sebagai contoh, pembedahan jantung di Malaysia adalah dalam lingkungan RM 18000 ke RM 21000 berbanding di Amerika Syarikat yang bernilai RM 60000.
Malaysia menawarkan harga yang lebih murah dan kompetitif jika dibandingkan dengan kos perubatan di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dan di serantau Asia.
Perbandingan kos perubatan di Malaysia dengan Negara- Negara lain.
Sumber : International Medical Tourism website
Menurut satu kajian oleh firma industri Frost & Sullivan dalam International Medical Travel Journal , pelancong perubatan memberikan perhatian terhadap tiga perkara yang penting apabila memilih destinasi untuk mendapatkan rawatan iaitu, doktor dan jururawat yang diakreditasi, kemudahan mengakses ke hospital tersebut dan kemudahan penginapan. Malaysia mempunyai kelebihan terhadap ketiga-tiga faktor tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kestabilan politik yang merupakan satu lagi kelebihan kepada Malaysia.
Krisis ekonomi yang dialami telah menyebabkan kos perubatan di negara-negara Barat meningkat dan menyebabkan ramai yang memilih untuk menjalani perubatan di negara- negara Asia yang menawarkan rawatan dan infrastruktur canggih.
Di sesetengah negara pula, pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan negara tersebut mempunyai pilihan yang terhad yang menyukarkan pesakit menyebabkan mereka memilih Malaysia sebagai desinasi mereka untuk mendapatkan rawatan.
Di Malaysia, Pulau Pinang sedang menjadi pusat utama bagi sektor ini, diikuti oleh Langkawi.
Pelancongan perubatan mempunyai pelbagai kebaikan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko dan isu etika yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang berkepentingan.
Sesetengah pesakit tidak mempunyai imuniti semula jadi terhadap persekitaran di negara-negara lain. Sebagai contoh, seorang pesakit dari negara Eropah atau Amerika Syarikat, kadangkala tidak mempunyai imuniti terhadap keadaan tropika seperti di Malaysia. Hal ini mungkin akan menyebabkan pesakit tersebut menjadi lebih lemah dan boleh hadapi komplikasi.
Pesakit yang telah selamat menjalani pembedahan dan ingin pulang ke negaranya boleh menyebabkan peningkatan risiko komplikasi. Ini kerana, perjalanan yang jauh dalam kapal tebang menyebabkan pesakit itu tidak bergerak untuk masa yang lain dan dalam keadaan duduk. Perkara ini boleh menyebabakan pembekuan darah pada urat kaki (venous thrombus & pulmonary thrombus).
Bagi sestengah pesakit pula, mereka tidak sepatutnya terdedah kepada cahaya matahari untuk jangka masa tertentu selepas pembedahan. Maka, perjalanan balik ke negara mereka tidak menjamin situasi ini.
Bagi sesetengah pesakit, insurans perubatan mereka mungkin tidak merangkumi ganti rugi bagi kesilapan, kesalahan atau sebarang situasi negatif yang disebabkan oleh pembedahan yang berlaku di luar negara dan bukan negara asal pesakit tersebut. Oleh itu, keadaan ini boleh menyukarkan lagi pesakit tersebut. Pesakit tersebut juga mungkin tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor atau hospital tersebut.
Isu-isu etika
Isu etika ini harus dilihat bukan sahaja dari sudut Malaysia, malah di seluruh dunia. Industri pelancongan perubatan ini akan menyebabkan sesetengah pihak yang tamak dan mementingkan keuntungan untuk menjalankan operasi ini secara haram iaitu mereka menjual organ dan tisu badan manusia kepada negara lain seperti yang telah berlaku di negara India dan China pada tahun 2007.
Contoh isu yang berlaku di Thailand ialah, doktor-doktor di negara tersebut lebih menumpukan perhatian terhadap hospital swasta yang pembedahan ini membawa banyak keuntungan dan rakyat biasa dan miskin di hospital kerajaan tidak mempunyai doktor yang cukup untuk merawat pesakit.
Di Malaysia, sehingga pada akhir tahun 2008 (Frost & Sullivan, International Medical Travel Journal) terdapat 144 hospital kerajaan dan 224 hospital swasta di Malaysia. Perkara ini harus diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Tidak dinafikan bahawa kerajaan sedang berusaha giat dalam mempromosikan industri ini, tetapi mereka harus memastikan bahawa terdapat doktor yang bertauliah mencukupi di hospital kerajaan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan perubatan dan keutamaan harus diberikan kepada mereka. Keseimbangan antara perkhidmatan hospital kerajaan dan hospital swasta harus dikekalkan di samping dalam memajukan industri ini.
Standard dan Akreditasi
Standard memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu produk dan perkhidmatan adalah selamat dan berkualiti. In termasuk juga standard perkhidmatan perubatan. Di Amerika Syarikat, kumpulan akdreditasi yang paling terkenal adalah Joint Commission International (JCI). Mereka mengakreditasi dan memeriksa infrastruktur kesihatan bukan sahaja di Amerika tetapi juga di luar negara.
Malaysia mempunyai badan standard kebangsaan iaitu Jabatan Standard Malaysia dan badan bukan kerajaan iaitu Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) yang menjalankan kerja-kerja pengakreditasian untuk hospital-hospital untuk memastikan standard-standard tertentu dipatuhi. Standard ISO 9002 biasanya digunakan untuk mengakreditasi hospital-hospital di Malaysia.
Terdapat beberapa hospital di Malaysia yang menggunakan standard antarabangsa negara lain contohnya dari Britain, Amerika Syarikat dan Australia. Hospital di Malaysia seperti International Specialist Eye Centre, Penang Adventist Hospital, dan Prince Court Medical Centre telah diakreditasi oleh Joint Commission International (JCI).
Menurut bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Chua Jui Meng, sehingga tahun 2000, masih terdapat banyak hospital yang masih belum mendapatkan akreditasi ISO 9002 dan menyeru mereka supaya mendapatkan akreditasi tersebut.
Untuk memastikan industri pelancongan kesihatan lebih maju, adalah penting hospital-hospital tersebut untuk mematuhi standard Malaysia dan standard-standard antarabangsa, Ini kerana, standard antarabangsa akan dapat memberikan satu keyakinan kepada para pesakit dan doktor-doktor di luar negara terhadap hospital di Malaysia. Pengakreditasian akan memberikan satu imej bahawa doktor-doktor tersebut adalah bertauliah, serta staf-staf sokongan lain seperti juruteknik makmal, jururawat dan sebagainya adalah daripada golongan yang terlatih dan dapat memberikan perkhidmatan yang selamat, berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
Cara ini juga akan dapat memastikan pesakit mendapat perkhidmatan perubatan dan rawatan yang sempurna.
MOHANA PRIYA
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Banyak produk penjagaan kulit yang ada di pasaran yang sering melabelkan produknya sebagai semula jadi (natural) ataupun organik (organic). Ia bertujuan untuk menarik perhatian ramai pengguna atas sebab yang tertentu – mengelakkan alergi kulit, mesra kepada alam sekitar dan sebagainya.
Namun, adakah dakwaan yang dibuat itu adalah benar-benar semula jadi dan organik?
Majlis Pengguna Hong Kong menyediakan tip kepada pengguna untuk pilihan yang tepat apabila ingin membeli produk kecantikan berasaskan sumber semula jadi dan organik.
Read more: WASPADA TERHADAP PRODUK KECANTIKAN YANG DIDAKWA ORGANIK ATAU SEMULA JADI
- Details
Perjanjian Pinjaman selaku Surahikatan Penyerahhakkan atau Loan Agreement Cum Assignment (LACA) merupakan salah satu dokumen perjanjian pinjaman kewangan di antara pembeli harta rumah dan institusi kewangan. Dokumen LACA ini amat penting apabila dokumen hak milik persendirian (individual title) untuk harta rumah yang hendak dibeli itu masih belum wujud dan si pembeli mahu membeli harta tersebut melalui pinjaman bank.
Dokumen ini tidak disiapkan mengikut mana-mana Akta prosidur yang sedia ada, seperti, perjanjian jual beli yang disiapkan mengikut Jadual G atau H, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966. Oleh itu kemasukan terma-terma dokumen ini terpulanglah kepada bank yang memberi pinjaman.
Dokumen ini juga berlainan daripada dokumen pinjaman kewangan / gadaian (loan agreement / charge) konvensional. Dokumen perjanjian LACA telahpun disahterima sebagai sekuriti/kolateral dalam transaksi komersial untuk sesuatu pinjaman bank. Oleh itu jual beli harta rumah tanpa hak milik di antara pembeli dan pemaju menjadi mudah.
Di sebalik kemudahan yang terdapat dalam perjanjian LACA ini, kebanyakan terma-terma terdapat dalam dokumen ini adalah berat sebelah dan terlalu melindungi kepentingan pihak bank sahaja. Contohnya, dalam pembelian harta rumah, walaupun telah mempunyai satu perjanjian jual beli, pembeli/peminjam masih duduk di harta rumah tersebut sebagai penduduk sementara (licensee ) dan tidak ada sebarang hak undang-undang ke atas harta rumah tersebut untuk tujuan menggadai, jual, serahhaj dan sebagainya sehingga selesai menjelaskan pinjaman yang telah dipinjamkan dari bank.
Menurut syarat perjanjian LACA ini, salah satu hak yang mustahak iaitu, hak menjual ataupun pindah milik, (the right of disposal) harta rumah tersebut diberi sepenuhnya kepada pihak bank melalui satu surat kuasa (power of attorney) oleh si pembeli / peminjam. Jadi, mengikut dokumen surat kuasa dalam LACA ini, secara penuh, hak / kuasa jual ataupun pindahmilik harta rumah diserah-pindah-letak ke atas pihak bank. Oleh itu, apabila seseorang peminjam gagal melangsaikan bayaran bulanan mengikut jadual bayaran dokumen LACA selama dua bulan, maka bank dengan segera melelong harta tersebut untuk menebus kerugiannya tanpa merujuk terlebih dahulu kepada mana-mana pihak seperti Mahkamah Tinggi, Bank Negara ataupun pejabat tanah. Oleh kerana masa yang singkat menyebabkan peminjam tidak ada masa dan kemampuan untuk menebus balik harta tersebut. Sebagai bukti harta rumah lelong di bawah LACA, kita boleh lihat banyak papan tanda-papan tanda di tepi jalan, lampu trafik dan persimpangan di taman-taman perumahan dengan tulisan “Bank Lelong“.
Sebaliknya, dalam senario, pinjaman kewangan / gadaian konvensional, yang harta rumah tersebut sudah ada satu dokumen hak milik persendirian (individual title), maka sesuatu pinjaman bank akan didaftarkan di pejabat tanah berkenaan mengikut Kanun Tanah Negara 1965. Apabila seseorang peminjam gagal melangsaikan pinjaman kepada bank, maka bank tersebut harus merujuk kepada kaedah Mahkamah Tinggi 1980, untuk mendapatkan satu perintah jual untuk melelong harta yang terlibat. Ini memberi satu jaminan / perlindungan kepada peminjam, iaitu Hakim Mahkamah akan meneliti kes tersebut sebelum mengeluarkan satu perintah jualan Mahkamah. Bahkan, proses ini akan mengambil satu masa dan prosedur yang agak panjang , biasanya tidak kurang daripada setahun. Dalam keadaan ini peminjam biasanya ada ruang untuk mengutarakan sebarang persoalan, tidak kemampuannya, ataupun meminta simpati Mahkamah untuk mengurangkan kebebanan kewangan. Dalam masa yang sama, peminjam mempunyai masa dan kesempatan untuk menebus kembali harta tersebut.
Sebagai peminjam kewangan di bawah LACA, peminjam haruslah berwaspada. Si peminjam tidak mempunyai satu perlindungan sapertimana yang diberi kepada peminjam kewangan Konvensional. Pastikan semua bayaran bulanan dikemaskinikan segera mengikut tempoh berdasarkan jadual bayaran perjanjian LACA. Ini disebabkan LACA memberi satu kuasa kepada bank untuk melelong harta rumah berkenaan tanpa menunggu begitu lama. Biasanya bank dapat melelong sesuatu harta rumah dalam masa yang singkat jika harta itu terletak di kawasan “hot” .
Ada peminjam memilih bayaran bulanan menerusi akaun bank bersendirian yang sedia ada, iaitu si peminjan akan memasukkan bayaran bulanan ke dalam akaun sendiri dan seterusnya bank yang telah memberi pinjaman (lender bank), akan mengeluarkan daripada akaun persendirian tersebut untuk sebagai bayaran bulanan pinjaman tersebut. Dalam keadaan ini, adakala bank peminjam tersebut gagal berbuat demikian dan akhir sekali didapati bayaran bulanan pinjaman tidak dilakukan mengikut jadual. Oleh itu penyata bank si peminjam akan menunjukkan bahawa si peminjam berhutang kepada bank dan bank dengan mudah boleh melelong harta rumah tersebut kerana tunggakan.
Si peminjam juga harus memastikan bahawa segala surat-menyurat bank sampai ke alamat si peminjam. Ini kerana ada bank yang akan mengambil kesempatan ini dan menghantar surat-surat urusan penting, saperti notis bayaran dan amaran, status akaun, surat pengyistiaran lelong dan sebagainya, ke alamat yang salah sehingga notis-notis penting seperti ini tidak sampai ke tangan si peminjam. Eloklah jika peminjam sering berjumpa pegawai bank berkenaan untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan dan kesangsian dalam urusan akaun pinjaman bank.
P. Vahsudevan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
ISO 26000, satu dokumen yang memberikan garis panduan pada pelaksanaan tanggungjawab sosial (Social responsibility) telah disetujui dan diterima untuk penerbitan sebagai standard antarabangsa (ISO International Standard). Ia dijangka akan diterbit pada 1 November.
Ketua Setiausaha Rob Steete menyatakan bahawa ISO 26000 akan membantu organisasi yang menganggap tanggungjawab sosial sekadar idea bagus demi melaksanakan dengan cara pragmatik yang menuju terhadap prestasi. Selain itu, ia juga satu alatan yang akan menolong organisasi mengarah daripada intensif tanggungjawab sosial sahaja kepada aksi yang lebih berkesan.
ISO 26000 membekalkan satu garis panduan yang harmonisasi dan yang boleh bertindak secara global kepada semua sektor awam dan sektor swasta.
Standard ini merupakan satu dokumen yang disetujui oleh semua pihak-pihak berkepentingan yang berlainan. Ia bertujuan untuk menggalakkan pelaksanaan amalan terbaik tanggungjawab sosial secara global.
Dokumen ini mengumpulkan perjanjian global seperti berikut:
Definisi dan prinsip tanggungjawab sosial
Isu utama yang perlu diatasi dalam pelaksanaan tangungjawab sosial
Panduan tentang cara untuk mengintegrasikan tanggungjawab sosial dalam operasi sesebuah organisasi
Pengundian untuk draf akhir standard antarabangsa (Final Draft International Standard, FDIS) bagi versi ISO 26000 tertutup oada 12 September. Ia telah diluluskan oleh 94% Negara yang layak untuk pengundian dan disokong oleh organisasi yang terlibat dalam pembangunan standard ini.
Pembangunan ISO 26000 bermula pada tahun 2005. Projek ini disertai oleh pelbagai kumpulan yang membentuk ISO Working Group on Social Responsibility (ISOWGSR), dimana ia termasuk ahli dan pemerhati dari 99 negara anggota ISO – 69 daripada negara mambangun – 42 sektor awam dan sektor swasta. Ini diwakili oleh 6 pihak berkepentingan yang utama: industri, kerajaan, pekerja, pengguna: diwakili oleh organisasi bukan kerajaan, perkhidmatan, sokongan, penyelidikan dan lain-lain.
Ia adalah seimbang dari segi geografi dan jantina. Secara kesimpulan. kumpulan kerja yang terbentuk ini merupakan yang terbesar dalam sejarah ISO.
ISO / WG SR ini mempunyai kepimpinan bersama oleh ahli anggota ISO iaitu dari Brazil (ABNT) dan Sweden (SIS). Menurut pengerusi pengundian kali ini, Jorge ER Cajazeira menyatakan: suatu hari nanti, organisasi akan melihat pada ISO 26000 dan bertanya bagaimana sesebuah organisasi dapat beroperasi tanpa tanggungjawab sosial. Semua yang terlibat dalam pembangunan ISO 26000 cuba membayangkan bagaimana masa depan kita, jadi mereka mengambil masa 5 tahun untuk membangunkan standard ini.
Selepas pembangunan selama 5 tahun, mereka bersetuju dengan panduan sebanyak 100 muka surat ini. Panduan tanggungjawab sosial ini mengandungi 7 prinsip, 7 isu teras dan 7 langkah untuk pelaksanaan.
ISO 26000 merupakan panduan sukarela dan ia bukan satu dokumen untuk pensijilan pihak ketiga seperti ISO 9001 dan ISO 14001.
Panduan ISO 26000 merujuk kepada amalan terbaik yang dibangunkan oleh sektor awam dan sektor swasta. Selain itu, hal ini setara dengan adanya deklarasi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan konstitusinya, terutamanya Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization, ILO), dimana ISO telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) untuk memastikan konsistensi dengan standard tenaga kerja daripada ILO.
Proses pembangunan standard ISO 26000 ini merupakan satu usaha persetujuan untuk menyediakan dokumen standard daripada draf awal sehingga kepada peringkat draf terakhir dan penerbitan. Jadi, standard ini dapat digunakan di seluruh dunia.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pada setiap musim perayaan, pengguna seringkali menghadapi kenaikan harga bagi makanan keperluan seperti ayam. Pada minggu pertama bulan Puasa tahun ini, harga ayam meningkat dari harga RM 5.50 satu kilo (ayam standard) kepada harga RM 7.00 – RM 7.50 satu kilo. Di beberapa tempat harga pernah sampai sehingga RM 9.00 satu kilo.
Kenaikan harga ayam dihadapi bukan sahaja di Lembah Kelang tetapi di seluruh negara. Harga ayam di Batu Gajah, Perak dilaporkan RM 7.50 se kilo, di Bahau, Negeri Sembilan harga adalah RM 7.00 se kilo dan di Kg. Koh, Sitiawan dilaporkan harga RM 7.50 se kilo.
Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), melaporkan bahawa terdapat tiga faktor kenapa harga ayam naik pada musim perayaan tahun ini iaitu cuaca panas yang berpanjangan yang menyebabkan kesakitan pada ayam, pengharaman penjualan bijiran oleh Rusia yang menyebabkan harga makanan ayam meningkat dan faktor-faktor peningkatan permintaan.
Walau pun kita mengambil kira faktor-faktor tersebut, harga ayam masih boleh dianggap ssebagai dijual pada paras yang terlalu tinggi. Jelaslah bahawa pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan yang berlebihan dalam musim perayaan ini.
Amalan profiteering pada tahun ini bukan satu yang baru. Pada setiap tahun pada musim perayaan penjual akan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan dan dengan itu pengguna, khususnys pengguna berpendapatan rendah akan menghadapi kesusahan.
Menurut FLFAM pada setiap hari sejumlah 1.4 – 1.5 juta ayam dijual kepada pengguna.
Siapakah pihak yang mencari keuntungan yang berlebihan? Adakah amalan ini berlaku di peringkat penternak, di peringkat pemborong atau di peringkat peruncit? Jelaslah tidak ada satu pihak pun yang sanggup mengakui merekalah pihak yang mengambil kesempatan pada musim perayaan dan seterusnya menyalahkan pihak yang lain.
Yang lebih penting bagi kita sebagai pengguna ialah apakah harus dibuat oleh pihak berkuasa dan penggua sendiri untuk memastikan pihak tertentu tidak mengambil kesempatan semasa perayaan.
FOMCA mencadangkan beberapa tindakan pencegahan pada musim-musim perayaan akan datang:
FAMA harus campur tangan terus dalam pasaran pada musim perayaan. Pada musim perayaan FAMA harus membeli ayam terus daripada penternak dan jual kepada peruncit dengan mentapkan harga jualan. Oleh kerana merekalah pembekal ayam dan mengetahui harga yang sebenarnya, mereka boleh menetapkan margin keuntungan dan seterusnya harga jualan ayam.
FLFAM atau penternak ayam diberikuasa dan peluang untuk menjual terus kepada pengguna pada masa perayaan.
Kerajaan mengumumkan harga ceiling pada musim perayaan dan menguatkuasakan harga tersebut.
Sebagai tindakan jangka penjang kerajaan harus memastikan bahawa pada setiap peringkat rangkaian bekalan makanan (food supply chain) terdapat persaingan yang terbuka. Dalam rangkaian makanan tersebut tidak harus ada sebarang kesepakatan dalam pasaran atau pihak tertentu yang dapat kebaikan melalui perlesenan atau AP atau mengamalkan amalan jualan yang tidak etika. Amalan –amalan negatif ini akan membolehkan pihak tertentu untuk manipulasi harga dalam pasaran. Persaingan terbuka akan menentukan bahawa pengguna akan dapat harga dan kualiti yang terbaik.
Sebagai langkah jangka panjang, FAMA harus memperbanyakkan dan memperkukuhkan system Pasar Tani seluruh negara, Ini akan membolehkan petani dan penternak untuk menjual hasil mereka terus kepada pengguna. Dalam Pasar Tani kedua-dua petani dan pengguna untung kerana dua-dua dapat harga yang terbaik.
Kerajaan harus juga melabor dalam pertanian untuk mengurangkan impot makanan dan menjamin keselamatan makanan pada jangka panjang. Pengguna juga harus sanggup membayar lebih untuk makanan untuk memastikan industri makanan di Malaysia akan menjadi satu yang viable dan mampan.
Pengguna harus sedar bahawa bukan sahaja harga makanan adalah penting, keselamatan makanan (food security) juga harus diberi keutamaan.
Dato' Paul Selvaraj
CEO FOMCA
- Details
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC), telah mengarahkan penarikan balik 1800 buah langsir buluh dari pasaran.
Pengedar langsir ini iaitu syarikat Jo-Ann Fabric and Craft Stores, of Hudson, Ohio sebelum ini pernah mengarahkan penarikan balik produk lain dari pasaran pada tahun 2009 dan sekali lagi pada tahun ini.
Langsir ini dikatakan boleh membawa bahaya kepada kanak- kanak di mana kanak- kanak boleh tercekik atau terjerut apabila langsir ini tidak dipasang dengan penuh.
Langsir ini dijual dalam dua bentuk saiz iaitu saiz 36”x72” dan saiz 48”x72.”
Pengguna- Pengguna dinasihatkan supaya berwaspada jika terdapat produk ini di pasaran Malaysia dan elakkan dari membelinya atau membuat laporan ke Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78764648.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
- Details
Dua produk teh hijau (green tea) telah dikaji oleh Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat kerana membuat tuntutan pemakanan yang tidak munasabah dan tidak diiktiraf. Dua produk yang dikaji adalah Lipton Green Tea dan Canada Dry Sparkling Green Tea Ginger Ale.
Lipton Green Tea tidak mematuhi peraturan pelabelan. Manakala Canada Dry Sparkling Green Tea Ginger Ale adalah minuman berkarbonat yang merupakan minuman ringan, jadi ia sepatutnya tidak dituntut untuk fungsi pemakanan.
FDA telah menghantar surat kepada Unilever yang memiliki Lipton, berkenaan dengan tuntutan yang dipaparkan di laman web syarikat. Lipton memaparkan laporan di laman web mereka bahawa empat kajian telah dijalankan dan dibukti dapat mengurangkan kolestrol dalam badan dengan teh dan “flavonoid”.
- Details
KonsumerKINI ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Terima kasih diucapkan diatas segala sokongan dan tunjuk ajar yang anda diberikan.
Kepada yang akan bertolak ke kampung halaman, diharapkan anda berhati-hati di jalan raya. Biar lambat asalkan selamat.
- Details
Menurut Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), 10% daripada penduduk dunia (650 juta orang) adalah golongan yang mempunyai kecacatan. Selain itu, satu perempat daripada seluruh warga negara di negara-negara maju adalah berusia 60 tahun atau lebih tua dan pada tahun 2050, sebahagian besar negara-negara membangun juga akan mempunyai situasi ini.
Melihat kepada kesan situasi ini yang dikatakan boleh mempunyai impak yang sangat besar kepada situasi sosial dan ekonomi di negara-negara di seluruh dunia, edisi September majalah ISO Fokus +, majalah ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi) mengeluarkan laporan khas mengenai isu ini iaitu isu Accessibility atau juga dikenali sebagai kebolehcapaian.
Dalam masyarakat bermaklumat sekarang ini, aksesibiliti yang baik diperlukan ketika menangani teknologi seharian, dari telefon bimbit sehingglah ke alat-alat kegunaan isi rumah untuk tujuan domestik.
Tema Accessibility ini dikembangkan melalui jawatankuasa kerja ISO dari pelbagai pihak- pihak berkepentingan dan dari pelbagai aspek. Terdapat beberapa jawatankuasa yang terlibat untuk melihat isu ini. Terdapat pelbagai rencana dalam terbitan ini yang merangkumi subjek seperti aksesibiliti dalam persekitaran harian manusia.
Mereka menunjukkan bagaimana standard ISO sebagai satu alat yang kukuh bagi mengatasi masalah ini dan membantu pengilang, kerajaan, penguatkuasa, perancang dan arkitek merancang produk dan perkhidmatan untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Rencana- rencana lain pula menggariskan bagaimana standard antarabangsa dapat membantu keperluan orang tua ,orang kurang upaya, dan bagaimana produk dan perkhidmatan dapat disesuaikan dengan pengguna yang berbeza.
Majalah ini juga dilengkapi dengan wawancara eksklusif dengan Dr Andrew S. Imada, Presiden Persatuan Antarabangsa Ergonomi (IEA). Beliau menyatakan, "Aksesibiliti serta ergonomik, menekankan keperluan untuk fokus pada manusia ketika merancang produk dan perkhidmatan."
Aksesibiliti juga merupakan inti dari tema tahun ini untuk Hari Standard Sedunia pada tanggal 14 Oktober iaitu - "Standards make the world accessible for all” Isu ini akan diteliti di satu bengkel antarabangsa pada 3-4 November 2010 di Geneva, Switzerland, untuk meninjau dan menyemak standard yang diperlukan untuk memudahkan pembangunan yang boleh dicapai di seluruh dunia.
Mohana Priya,
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
- Details
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC), telah mengarahkan penarikan balik 1.4 juta produk FIXIT One Million Candlepower Rechargeable Spotlights dari pasaran.
Alat pengecas pada produk tersebutdikatakan boleh retak dang menyebabkan asid bateri terkeluar. I
ni boleh menyebabkan asid tersebut membakar bahan- bahan lain dimana alat ini diletakkan. Produk ini di buat di negara Cina.
Pengguna- Pengguna dinasihatkan supaya berwaspada jika terdapat alat ini di pasaran Malaysia dan elakkan dari membelinya atau membuat laporan ke Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78764648
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
Subcategories
Page 205 of 232