- Details
Sejak kebelakangan ini terdapat banyak iklan terutamanya iklan-iklan mengenai perabot dan barangan elektronik sempena musim perayaan. Semua orang mimpikan rumah kediaman dilengkapi dengan perabot dan barangan elektronik baru.
Setiap kali melihat iklan kita boleh membaca perkataan-perkataan yang boleh menyebabkan pengguna terpengaruh seperti:
• promosi penghabisan stok perabot
• jualan mega raya
• lebih nilai untuk wang
• pemberian baucer tunai
• plan mudah bayar
• 0% faedah
• hadiah misteri
• peraduan ceria raya, hadiah-hadiah lebih bernilai daripada RM 150,000 untuk dimenangi
• jimat RM 2200
Terdapat pengguna yang membeli barangan yang dipromosikan itu walaupun tiada wang tunai di tangan. Bagaimanakah ini berlaku? Mereka membeli secara ansuran dengan menggunakan kad kredit.
Pembelian melalui kad kredit menyebabkan mereka terpaksa membayar lebih berbanding bayaran penuh secara tunai kerana bayaran ansuran mengenakan faedah setiap bulan. Tetapi berapa ramai pengguna menyedari hal ini? Bagi mereka, kaedah pembelian seperti ini membebankan kerana membuat bayaran ansuran berbanding satu bayaran keseluruhan yang besar.
Begitu juga mereka membuat perjanjian dengan syarikat tersebut untuk membuat bayaran bulanan dengan kadar faedah yang tinggi. Mereka tandatangan perjanjian tanpa membaca terma dan syarat.
Sekiranya mereka gagal membuat bayaran pada masa yang ditetapkan atau membuat bayaran lamba, pengutip hutang akan membuat panggilan ke rumah, malahan ada juga membuat panggilan ke pejabat dengan tujuan untuk memalukan penghutang. Ada juga pengguna mendapat surat daripada peguam dan saman daripada mahkamah.
Semua masalah ini bermula apabila pengguna hendak membeli barang walaupun tiada wang. Jadi pengguna mesti tahu apakah keperluan dan kehendak mereka sebelum membeli sesuatu barang.
Jadilah pengguna bijak!!!!!
Deivigarani Krishna.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
500 ribu telur telah ditarik balik di Amerika Syarikat semenjak kebelakangan ini akibat daripada tercemar oleh mikroorganisma yang berbahaya.
Lebih daripada 1,000 orang telah jatuh sakit kerana mengambil telur yang tercemar ini. Jumlah mangsa dijangka semakin meningkat di Amerika Syarikat.
Wright Country Egg of Galt telah mengumumkan penarikan balik telur keluaran ladang mereka kerana dicemari oleh Salmonella. Ujian makmal telah membuktikan pencemaran Salmonella dalam telur yang ditarik balik itu.
Telur yang dibungkus di bawah jenama Albertsons, Farm Fresh, James Farms, Glenview, Mountain Dairy, Ralphs, Boomsma, Lund, Kemps dan Pacific Coast terlibat dalam penarikan balik ini.
Antara jenama yang disenaraikan itu, Farm Fresh merupakan jenama telur yang dijual di Malaysia.
Menurut pegawai Food and Drug Administration, strain yang mengakibatkan pencemaran telur adalah salmonella enteritidis.
Punca pencemaran mungkin daripada kontaminasi tikus dan makanan ayam. Ladang yang terlibat mempunyai masalah tikus. Mungkin terdapat ayam atau makanan ayam yang tercemar dengan Salmonella.
Bakteria Salmonella tidak menjangkit daripada ayam kepada ayam, tetapi mungkin disebar daripada tahi tikus kepada ayam. Bakteria ini biasanya dijumpai di ovari ayam dan akan memasuki telur ayam.
Gejala jangkitan Salmonella adalah cirit-birit, kejang perut dan demam panas yang berlaku dalam tempoh 8 jam hingga 72 jam selepas mengambil makanan yang dijangkiti Salmonella. Ia mungkin akan membawa maut terutamanya kepada orang yang mempunyai system keimunan yang lemah.
Dr. Christopher Braden, epidemiologis daripada Federal Centers for Disease Control menyatakan bahawa ayam yang sihat mungkin akan menyebarkan bakteria ini kepada ayam yang lain, ia mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala pada ayam, tetapi ia akan berkembang dalam telur.
Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan telur yang diimport atau makanan yang berasaskan telur dari Amerika Syarikat. Sekiranya terdapat sebarang jenama atau gejala penyakit yang tersenarai di atas dijumpai, melaporkan kepada pihak berkuasa Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan di 03-8885 0600 talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Agensi pembantu rumah asing menyediakan perkhidmatan membekal pembantu rumah asing kepada majikan di Malaysia. Negara kita mendapat sumber pembantu rumah dari negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina, Sri Lanka, India, Vietnam dan Laos.
Terdapat beberapa syarat kelayakan untuk menjadi majikan dan pembantu rumah asing. Syarat–syarat kelayakan tersebut ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Syarat-syarat kelayakan pembantu rumah asing ialah:-
Perempuan;
Berusia tidak kurang daripada 21 tahun dan tidak melebihi 45 tahun;
Disahkan sihat oleh pusat-pusat perubatan yang berdaftar dengan FOMEMA Sdn Bhd;
Berada di negara asal; dan
Masuk/datang ke Malaysia menggunakan Visa Dengan Rujukan (VDR) yang diperoleh di pejabat perwakilan Malaysia di negara berkenaan
Syarat-Syarat kelayakan Majikan ialah:-
Majikan mestilah bekerja;
Hanya satu pembantu rumah asing sahaja untuk satu keluarga;
Untuk memohon pembantu rumah asing kedua mestilah mempunyai alasan yang kukuh;
Majikan yang telah diisytiharkan muflis tidak layak memohon; dan
Kelayakan gaji untuk majikan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima pelbagai aduan tentang perkhidmatan agensi pembantu rumah asing setiap tahun. Jumlah aduan yang diterima antara tahun 2006 hingga 2009 seperti berikut:
Jenis-jenis aduan yang diterima boleh dikategorikan seperti dibawah:-
BAYARAN TERLAMPAU TINGGI (OVERCHARGING)
Agensi pembantu rumah asing mengenakan bayaran terlampau tinggi untuk
cukai / Levy
kebenaran untuk masuk / permit
proses imigresen / Immigration process
Tiket dan sebagainya
Pengangkutan
Insurans P.A
Makanan dan tempat tinggal
Pos dan dokumen
Bayaran untuk pengambilan pembantu
Bayaran agensi dan 5% servis tax
Bayaran perubatan
Bayaran stamp dan bank
KEGAGALAN PEMULANGAN WANG DEPOSIT SELEPAS PEMBATALAN KONTRAK/PERJANJIAN
Agensi-agensi pembantu rumah asing selepas gagal menunaikan janji untuk membekal pembantu dalam masa yang dijanjikan tidak memulangkan wang deposit. Pengguna terpaksa menelefon berkali-kali untuk mendapatkan balik wang tersebut atau langsung tidak dapat.
KITAR SEMULA PEMBANTU RUMAH ASING / PEMBANTU LARI DARI RUMAH DAN BAYARAN TERLAMPAU TINGGI UNTUK PENGGANTIAN PEMBANTU BARU
Agensi pembantu rumah asing telah membuat empat kali ganda untung daripada pembantu rumah asing yang melarikan diri. Ini adalah salah satu cara tipu muslihat yang digunakan dikenali sebagai “recycle maid”. Ini bermakna selepas tiga bulan, pembantu rumah asing mula memberi masalah kepada majikan dan akhirnya melarikan diri kepada agensi. Agensi tersebut menghantar pembantu tersebut kepada rumah lain dan proses ini berlanjutan. Dalam setahun seorang pembantu rumah boleh dikitar semula sebanyak empat kali. Caj yang dikenakan kepada majikan untuk perkhidmatan pembantu adalah lebih kurang RM6,000. Kegiatan kitar semula itu membolehkan agensi pekerjaan telah mendapat keuntungan RM24,000 setahun. Majikan mesti membuat laporan polis apabila pembantu rumah melarikan diri, walaupun ada juga agensi yang tidak membenarkan majikan membuat laporan polis. Tujuan untuk membuat laporan polis untuk mengelakan diri daripada apa-apa tanggungjawab terhadap pembantu rumah yang melarikan diri.
MAKLUMAT TIDAK TEPAT / TIDAK ADA PENGALAMAN ATAU LATIHAN
Agensi pembantu menunjukkan biodata pembantu dan memberikan maklumat palsu tentang kemahiran pembantu rumah asing dalam sesuatu bidang, sebaliknya pembantu tersebut tiada pengalaman.
KONTRAK LEBIH KEPADA SEBELAH AGENSI PEMBANTU RUMAH
Draf kontrak yang disediakan oleh agensi dan terma-terma dalam kontrak adalah lebih berpihak kepada agensi sendiri atau melindungi mereka daripada sebarang tanggungan.
PEMBANTU MEMBAWA PENYAKIT
Pembantu rumah asing yang gagal membuat pemeriksaan kesihatan tidak dibenarkan bekerja. Mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik yang berdaftar dengan FOMEMA Sdn Bhd. Walaupun melalui pemeriksaan dari FOMEMA masih terdapat pembantu rumah asing berpenyakit yang dibekal oleh agensi.
MASALAH TINGKAH LAKU
Apabila pembantu tersebut mula bekerja sikap mereka bertukar dan enggan melaksanakan tugas yang diberikan atau gagal mengikut arahan majikan. Pembantu rumah tidak suka membuat kerja dan tidak mendengar arahan walaupun selepas kaunseling daripada pihak agensi. Mereka selalu berpura tidak sihat yang menyebabkan tidak dapat membuat kerja dengan baik, menjaga anak atau orang tua majikan.
Majikan juga berhak untuk membatal perkhidmatan agensi pembantu rumah asing jika pembantu rumah asing memberikan masalah berterusan atau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan. Mengikut Seksyen 63(3) Akta Pelindungan Pengguna 1999 notis pembatalan diberikan dalam bentuk bertulis. Majikan yang ingin membatal perkhidmatan agensi mesti memberi surat pembatalan kepada agensi bersama menyatakan sebab-sebab pembatalan. Seksyen 64 (1) Akta Pelindung Pengguna 1999 menyatakan pengguna berhak untuk mendapat bayaran balik dari wang yang telah dibayar melainkan jika mahkamah atau tribunal mengikut mana-mana yang berkenaan, memerintahkan bahawa pembekal boleh menyimpan semua atau mana-mana bahagian wang yang telah dibayar. Kebiasaanya agensi hanya akan memulangkan baki “advance salary” daripada bayaran yang telah dibuat.
Majikan pembantu rumah asing juga mempunyai tanggungjawap tersendiri untuk menjaga pembantunya seperti menyediakan kemudahan bilik tinggal yang sesuai dan lengkap dengan kemudahan asas, makanan berkhasiat dan rehat secukupnya. Majikan bukan islam mestilah menghormati pembantu rumah yang beragama Islam dengan membenarkannya melakukan ibadat atau puasa bulan Ramadan atau tidak menyuruh melakukan kerja-kerja yang bertentangan dengan agama Islam. Gaji hendaklah dijelaskan selewat-lewatnya pada minggu terakhir setiap bulan dan menyimpan rekod-rekod bayaran gaji tersebut. Paling penting ialah majikan tidak dibenarkan memukul atau apa-apa perbuatan yang mendatangkan kecederaan kepada pembantunya.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Syarikat pengeluar kenderaan Mazda telah menarik balik model Mazda 3 dan Mazda 5 di seluruh dunia.
Menurut Tamara Mlynarczky, wakil daripada syarikat Mazda, kereta Mazda ditarik balik akibat masalah pada stereng berkuasanya (power steering). Sebanyak 500,000 buah kereta Mazda di seluruh dunia telah mengalami masalah stereng ini.
Penarikan balik ini melibatkan 215,000 unit kereta Mazda keluaran 2007 – 2009 di Amerika Syarikat. Selain itu, ia juga melibatkan kereta Mazda di Asia dan Eropah.
Agensi Keselamatan Persekutuan Amerika Syarikat menyatakan bahawa kehilangan kuasa bantuan pada stereng berkuasa akan mengurangkan keupayaan untuk mengawal kenderaan dalam keadaan biasa. Selain itu ia akan meningkatkan risiko kemalangan.
Walau bagaimanapun, Mazda percaya kehilangan kuasa pada stereng berkuasa ini tidak akan mengakibatkan sebarang kemalangan, tetapi mereka bersedia untuk menarik balik kenderaan yang terjejas dengan masalah ini.
Mazda telah mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang sama di Jepun setahun yang lalu. Oleh kerana kadar kejadian yang rendah di Amerika Syarikat, maka Mazda hanya mengeluarkan notis perkhidmatan teknikal kepada pengedar di Amerika Syarikat untuk menyelesaikan masalah ini.
Mazda menyatakan bahawa masalah pada stereng ini berpunca daripada karat yang terbentuk dalam paip tekanan tinggi dalam sistem stereng berkuasa. Partikel ini akan masuk ke dalam pam stereng berkuasa dan menyebabkan ia terhenti untuk mengelakkan kepanasan yang berlebihan.
Pemilik kereta Mazda 3 dan Mazda 5 di Malaysia dinasihatkan supaya menghantar kereta mereka ke bengkel untuk pemeriksaan pada sistem stereng berkuasa sekiranya mereka meragui status keselamatan kereta mereka. Hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna di talian 03-7877 9000 jika anda menghadapi masalah seperti yang dinyatakan di atas.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Syarikat Sensio Inc, Montreal Quebec, Canada dengan kerjasama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) telah mengumumkan penarikan balik Bella Kitchen 5-quart Slow Cooker daripada pasaran luar negara.
Butang kawalan pada Slow Cooker ini dikatakan boleh mengalami kepanasan yang melampau, cair dan menyebabkan kebakaran. Syarikat Sensio telah menerima 60 laporan daripada pengguna dan 3 laporan adalah mengenai panel pada alat ini telah terbakar. Setakat ini sebanyak 25000 alat pemanasan slow cooker ini telah ditarik balik daripada pasaran.
Pengguna-pengguna di Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati apabila hendak membeli barangan tersebut. Sila dapatkan maklumat lanjut daripada pengedar dan syarikat tersebut sebelum membeli.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Syarikat Sharp Electronics Corporation, Mahwah New Jersey dengan kerjasama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) telah mengumumkan penarikan balik televisyen LCD jenama Sharp yang bersaiz 32-inci.
Penarikan balik itu disebabkan oleh pemegang kepala televisyen tersebut yang dikatakan boleh patah dan menyebabkan televisyen ini jatuh. Keadaan ini boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan bayi.
Sebanyak 9,000 televisyen telah ditarik balik daripada pasaran luar negara . Berikut adalah nombor siri televisyen yang terlibat dalam penarikan balik itu:
0028 32837 hingga 0028 35190
0048 57501 hingga 0048 59020
0048 61401 hingga 0048 64020
0048 72001 hingga 0048 78800
Pengguna-pengguna di Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati apabila hendak membeli televisyen jenama tersebut. Jika terdapat nombor siri seperti yang dinyatakan pada label televisyen itu, elakkan daripada membelinya dan laporkan kepada Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78764648.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pada musim perayaan tahun ini, semua warga kota dan desa sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh gembira dan berseronok. Cuti yang panjang sempena perayaan tahun ini memberi peluang kepada semua rakyat yang beragama Islam untuk berkampung di kampung halaman mereka dengan keluarga tersayang.
Semasa ingin pulang ke kampung, semua warga kota mahupun desa dinasihatkan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mereka bagi memastikan keselamatan mereka dan tidak menghadapi sebarang gangguan semasa dalam perjalanan. Antaranya, angin dalam tayar, enjin, brek, tayar simpanan, bateri dan komponen penting yang lain. Selain itu, komponen lain yang juga perlu diberikan perhatian alat pengilap cermin.
Berikut adalah beberapa panduan cara penjagaan pengilap cermin supaya ia tahan lama atau memanjangkan tempoh guna sebelum ia diganti baru.
Langkah pertama ialah pastikan getah pengilap itu dibersihkan bagi mengelakkan habuk halus atau pasir terlekat padanya akan menyebabkan cermin kenderaan bercalar apabila ia bergerak. Elakkan getah pengilap terkena bahan yang boleh mencairkan atau mengeraskan getah seperti turpentin, minyak tanah atau sebarang jenis asid.
Pada masa sama, pemandu dinasihatkan supaya memastikan semburan air untuk mengilap cermin turut berfungsi untuk mengilap cermin. Semburan air campuran syampu yang disyorkan oleh kedai aksesori perlu digunakan setiap kali pengilap itu berfungsi. Ia bertujuan bagi melicinkan permukaan cermin, sekali gus memudahkan tugas mencuci kekotoran yang terlekat pada cermin.
Pemilik tidak perlu mendapatkan bantuan orang lain untuk menukar pengilap cermin ini kerana ia mudah dilakukan sendiri. Yang penting mereka mendapatkan alat pengilap baru dari mana-mana kedai aksesori mengikut saiz yang sesuai dengan kereta. Untuk memudahkan orang ramai, cara memasang dan menanggalkan alat pengilap ini juga disediakan di belakang pembungkusnya.
Alat pengilap cermin juga menyediakan pelbagai jenama sama ada diimport atau buatan tempatan. Melindungi kenderaan daripada pancaran sinaran matahari juga dianggap langkah bijak untuk memberi ketahanan kepada getah pengilap. Penjagaan rapi terhadap alat pengilap cermin dapat memastikan hayat ketahanan alat pengilap cermin itu panjang dan selesa digunakan ketika hujan. Semua pemandu diharap dapat memeriksa kenderaan mereka sebelum tayar kenderaan bergolek ke kampung halaman dengan selamat.
Mageswaran A/L Senderal
ERA Consumer Malaysia
- Details
Satu kajian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna Hong Kong menemui bahan kimia bertoksik dan agen penyebab kanser dalam pengilat kuku. Methanol dan benzena telah ditemui dalam pengilat kuku, yang dalam jenama tertentu, kandungan methanol adalah 20 kali lebih tinggi daripada tahap selamat.
Kajian ini meliputi 42 jenama pengilat kuku yang berharga antara RM2.50 hingga RM90. Bahan yang diuji termasuk logam berat – plumbum, merkuri dan arsenik, phthalates dan kompaun organik.
Semua jenama mempunyai kandungan logam berat yang mematuhi tahap yang ditetapkan dalam Standard Kebersihan Untuk Kosmetic (Mainland’s Hygienic Standard for Cosmetic).
Benzena, sejenis agen penyebab kanser, yang sememangnya tidak sepatutnya digunakan dalam kosmetik, telah didapati dalam 4 jenama dengan kepekatan dari 9.7ppm hingga 260ppm. Penemuan ini juga mendapati bahawa 4 jenama mengandungi 41,000ppm methanol, iaitu 20 kali lebih tinggi daripada tahap selamat yang ditetapkan dalam standard.
Benzena apabila meresap masuk ke dalam tubuh manusia akan mengakibatkan kematian. Pada kepekatan yang rendah, benzena akan menyebabkan kepeningan, dengupan jantung yang tinggi, sakit kepala dan pengsan.
DEHP, sejenis phthalates yang dilarang penggunaannya merupakan bahan asas dalam penghasilam kosmetik di China dan Kesatuan Eropah, turut ditemui dalam kepekatan setinggi 10ppm dalam jenama yang diuji.
Kajian pada haiwan menunjukkan bahawa pendedahan phthalates pada kepekatan yang tinggi akan mengakibatkan kesan endokrin dan kecacatan kelahiran.
Satu sampel yang diuji mengandungi 27% toluene, yang melebihi had 25% yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Toluene yang digunakan dalam produk pengilat kuku akan memberi kesan buruk kepada sistem saraf dan merengsakan salur penafasan.
0.03% methyl methacrylate (MMA) dijumpai dalam satu sampel yang diuji. Oleh sebab kesan alahan yang serius, MMA telah dilarang oleh Health Canada untuk digunakan dalam pengilat kuku.
Berikut adalah jenama pengilat kuku yang telah dikenal pasti mengandungi bahan kimia yang bahaya:
1. SKIN FOOD Jojoba Pure Nail PK004 (benzene 9.7 ppm, toluene 14%)
2. SKIN FOOD Milk Creamy Nail Base Coat (benzene 11 ppm, toluene 17%)
3. BNC manicure vitamin Super Nail Hardener (benzene 260 ppm and methanol 41,000 ppm)
4. Volili 846 (benzene 30 ppm, methanol 62.3 ppm, DEHP 10 ppm and MMA 0.03%)
5. Flower Nail Polish (methanol 80.5 ppm and toluene 27%)
Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa produk pengilat kuku yang sedia ada. Jika produk berjenama seperti yang dinyatakan di atas atau mengalami kesan sampingan apabila menggunakan pengilat kuku, maka laporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Menurut Seksyen 140, Akta Perlindungan Pengguna 1999, resit bermaksud:
(1) Seseorang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang atau perkhidmatan hendaklah memberikan resit kepada pengguna bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan.
(2) Pengguna hendaklah dibekal suatu resit bagi apa-apa pembelian barang atau perkhidmatan jika diminta oleh pengguna
(3) Sesuatu resit yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah mengandungi butir-butir yang berikut:
(a) nama perdagangan dan alamat pembekal;
(b) tarikh pembelian;
(c) amaun wang yang telah dibayar bagi setiap barang yang dibeli;
(d) jumlah amaun wang yang telah dibayar termasuk suatu penyata berasingan bagi apa-apa amaun yang telah dibayar sebagai cukai;
(e) jika terpakai, buatan dan nombor model barang itu; dan
(f) apa-apa butir lain yang boleh ditetapkan dalam peraturan-peraturan.
(4) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan.
Pengguna adalah orang yang membeli barang atau menggunakan perkhidmatan yang ada di pasaran. Jika pengguna tersebut hendak menukar barang tersebut disebabkan oleh kecacatan, apakah bukti pembelian yang boleh ditunjukkan jika tiada resit? Resit bukan sahaja penting dalam pembelian barangan, tetapi juga dalam semua transaksi dan perkhidmatan.
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) ada menerima aduan daripada seorang pengguna yang telah membayar RM90,000 untuk membuat pengubahsuaian rumah tanpa resit. Alasan yang diberikan oleh pengguna tersebut ialah kontraktor yang membuat pengubahsuaian rumah adalah kawan baiknya. Akan tetapi kontraktor tersebut tidak melaksanakan tugas pengubahsuaian rumah seperti yang dijanjikan.
Resit adalah bukti yang kukuh jika pengguna hendak membuat aduan dan membolehkan menuntut balik barang-barang atau ganti rugi. Jadilah pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.
Minta resit walaupun yang membekalkan perkhidmatan atau barang adalah kawan baik sendiri.
Deivigarani Krisha
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Disediakan oleh:
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) & Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)
Memorandum dihantar kepada
- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
- Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA)
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
- Ketua Setiausaha Negara
Read more: MEMORANDUM MENGENAI MASALAH BEKALAN AIR DI BANGUNAN BERTINGKAT.
Subcategories
Page 207 of 232