- Details
IPOH, 31 JULAI 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencatatkan sejarah pada hari ini apabila menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records kerana telah berjaya memperolehi penyertaan terbanyak bagi pertandingan kepenggunaan yang diadakan bagi tahun 2010.
Pertandingan kepenggunaan sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 ini telah mendapat penyertaan sebanyak 61,044, iaitu yang tertinggi semenjak pertandingan ini diadakan pada tahun 2002.
Sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records ini telah diterima oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA daripada Dato’ Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan. Terdahulu sebelum itu, Dato’ Tan Lian Hoe telah menandatangani sijil pengiktirafan itu yang dibawa oleh wakil rasmi Malaysia Book of Records.
Upacara penerimaan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records telah diadakan semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2010 yang diadakan di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, Ipoh.
Dilaporkan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
- Details
IPOH, 31 JULAI 2010 – Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 diadakan dengan meriah di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill Ipoh, Perak.
Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran Dato’ Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Pertandingan kepenggunaan yang telah masuk tahun ke-9 ini telah mendapat jumlah penyertaan yang amat menggalakkan, yang membolehkan ia tersenarai dalam Malaysia Book of Records, bagi penyertaan pertandingan kepenggunaan terbanyak.
Dalam majlis tersebut, semua pemenang bagi tujuh jenis pertandingan kepenggunaan telah menerima hadiah mereka. Selain itu, penyertaan pertandingan kepenggunaan bagi sekolah terbanyak juga menerima hadiah mereka.
Selain acara penyampaian hadiah, turut diadakan gerai pameran oleh beberapa pempamer, antaranya FOMCA, Forum Air Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Negeri Perak danLembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Pertandingan mewarna kepenggunaan akhir juga diadakan pada majlis penyampaian hadiah tersebut, yang disertai oleh lebih 500 orang kanak-kanak di sekitar Ipoh. Polis Diraja Malaysia pula telah mengadakan demontrasi ragut, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengadakan pemeriksaan kesihatan dan derma darah.
Dalam pada itu, lebih 300 orang telah menyertai ceramah Kempen Konsumer Kebangsaan yang turut diadakan pada pada hari tersebut.
Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA dan Dato’ Sri Edmund Santhara, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Masterskill Education Group Berhad,
Dilaporkan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
- Details
29 Julai 2010, Shah Alam – FOMCA dan 15 badan bukan kerajaan lain telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor tentang penangguhan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor di pejabat Menteri Besar di sini hari ini.
Penyerahan memorandum tersebut diketuai oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA kepada YB Elizabeth Wong, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, yang mewakili Menteri Besar Selangor.
(Muat turun disini MEMORANDUM BERSAMA - KRISIS AIR SELANGOR, KUALA LUMPUR dan PUTRAJAYA "ISU PENANGGUHAN PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR")
Memorandum tersebut mengandungi analisis tentang isu bekalan air di negeri Selangor dan keprihatinan NGO-NGO yang terlibat tentang penangguhan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor yang bakal menyebabkan krisis bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada tahun 2014.
16 NGO yang terlibat dalam penyerahan memorandum tersebut ialah:
1. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
2. Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan
3. ERA Consumer Malaysia
4. Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
5. Forum Air Malaysia
6. Persatuan Pengguna Klang
7. Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling
8. Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia
9. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
10. Persatuan Kebajikan Pengguna Selangor
11. Persatuan Alam Sekitar Selangor
12. Selangor Water Watch
13. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
14. Majlis Belia Malaysia (MBM)
15. Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO)
16. Dewan Perniagaan Punjabi Malaysia
Muat turun disini MEMORANDUM BERSAMA - KRISIS AIR SELANGOR, KUALA LUMPUR dan PUTRAJAYA "ISU PENANGGUHAN PROJEK PENYALURAN AIR MENTAH PAHANG-SELANGOR"
Dilaporkan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
- Details
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Malaysia) telah menerima penghargaan khas pada Majlis Kemuncak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 yang diadakan pada 24 Julai 2010 di Dataran Pahlawan, Melaka.
Penghargaan Khas ini diberikan sebagai menghargai peranan yang telah dimainkan oleh FOMCA sepanjang tahun 2009 dan 2010 khususnya berkaitan dengan program kesedaran kepenggunaan, Penghargaan khas ini telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kepada Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA. Turut sama dalam majlis tersebut ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka.
Selain FOMCA, tiga lagi persatuan pengguna turut menerima penghargaan khas pada majlis tersebut, iaitu Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Majlis Kemucak Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 berlangsung selama dua hari, iaitu pada 24 dan 25 Julai 2010, yang diisi dengan beberapa aktiviti, antara lain, gerai pameran, ceramah kesedaran, pertandingan mewarna kepenggunaan untuk kanak-kanak dan sebagainya.
Mohd Yusof Abdul Rahman
27 Julai 2010
- Details
Nanoteknologi melibatkan sesuatu bahan atau sebatian dalam skala nanometer - satu per bilion meter. Pasaran untuk produk yang mengandungi bahan nano dijangka mencapai RM8.84 trilion pada tahun 2015.
Laporan Government Accountability Office (GAO) untuk nanoteknologi menyatakan bahawa:
nanoteknologi digunakan secara meluas dalam perdagangan, tetapi pihak berkuasa mempunyai halangan untuk menentukan risikonya.
GAO mengenal pasti kebanyakan produk yang terdapat di pasaran adalah hasil daripada nanoteknologi. Sebagai contoh, makanan, kosmetik dan pertanian.
Namun, sejauh manakah nanoteknologi mendatangkan bahaya terhadap kesihatan manusia dan persekitaran? Tiada bukti yang kukuh bahawa ia adalah selamat, dan hanya bergantung kepada kombinasi dan tahap toksik bahan nano itu serta cara pendedahannya.
Walaupun semakin hari semakin banyak pertubuhan yang terlibat dengan kajian nanoteknologi, tetapi pengetahuan saintis kepada risiko nanoteknologi adalah rendah.
Kebelakangan ini, Kesatuan Eropah telah menjalankan penilaian risiko pada nanoteknologi. Penemuan baru ini mendorong para saintis mencadangkan bahan nano dilarang dalam produk makanan sehingga risikonya diketahui. Saintis tidak dapat memastikan sama ada bahan nano boleh berpindah daripada bungkusan ke dalam makanan atau tidak.
Dalam usaha untuk menilai bahan nano, pihak berkuasa berulang kali mengunakan ungkapan seperti ’ketidakpastian, pengetahuan terhad, sukar untuk dikesan dan diukur keracunannya’ dalam produk yang berkaitan dengan makanan. Penggunaan ungkapan ini menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
Oleh yang demikian, pihak berkuasa Keselamatan Makanan Europah berpendapat bahawa kekurangan pengetahuan terhadap nanoteknologi telah menyusahkan proses penilaian risiko. Ia hanya dapat dilakukan mengikut kes demi kes berdasarkan keperluan pasaran.
April lalu, Parlimen Eropah mengatakan bahawa semua produk nano harus ditarik dari pasaran sehingga keselamatannya dibuktikan. Selain itu, satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengawasi keselamatan nanoteknologi mencadangkan agar semua makanan nano dinilai untuk keselamatannya sebelum diluluskan untuk kegunaan dan pelabelan.
Kesimpulannya, penilaian keselamatan sepatutnya dilakukan sebelum sebarang produk nano dipasarkan. Keselamatan pengguna tidak boleh dikompromikan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Katil bayi Pottery Barn Kids yang dikeluarkan oleh syarikat Pottery Barn Kids California didapati tidak selamat digunakan dan telah ditarik balik daripada pasaran dengan kerjasama Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna di Amerika Syarikat atau U.S Consumer Product Safety Commission. Kedua-dua oganisasi tersebut telah menerima 36 buah aduan daripada pengguna tentang katil-katil bayi tersebut telah patah atau tertanggal.
Tujuh kecederaan pada bayi telah dilaporkan, yang menyebabkan kaki dan tangan bayi tersangkut di celah-celah katil. Apabila terdapat celah-celah yang patah, kepala seorang bayi telah tersangkut dan sesak nafas. Seorang lagi bayi telah terjatuh dan mengalami kecederan ringan.
Katil- katil bayi ini diperbuat dari negara Kanada, Malaysia, China, Taiwan, Vietnam, Indonesia dan Italy.
Pottery Barn Kids drop-side cribs
Penguna-pengguna harus berhati-hati apabila hendak membeli katil bayi ini dan pastikan ciri-ciri keselamatan pada katil tersebut berfungsi dengan baik
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
- Details
Perubahan iklim secara meluas digambarkan sebagai salah satu ancaman terbesar bagi manusia. Peningkatan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida, metana, karbon monoksida dan nitrogen dioksida ini telah meyebabkan kesan yang serius kepada pengguna seperti banjir, ribut taufan, kepanasan yang melampau dan pelbagai bencana alam yang lain.
Laporan yang dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Change ( IPCC), sebuah badan yang mempunyai saintis-saintis dan pakar kaji cuaca dari seluruh dunia, telah memaklumkan bahawa sejak Revolusi Industri, pembebasan gas karbon dioksida telah meningkat daripada 280ppm kepada 379ppm dalam tempoh masa 150 tahun terakhir.
Menyedari ancaman ini, sesetengah kerajaan dan industri di seluruh dunia telah berganding bahu dan mengambil inisiatif untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau (GHG) di semua peringkat Salah satunya adalah dengan menggalakkan industri untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Banyak syarikat kini yang sedar akan tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar. Namun masih terdapat segelintir syarikat yang masih tidak begitu peka atau tidak tahu cara-cara untuk memastikan organisasi mereka lebih mesra alam dan tidak membawa kesan buruk kepada alam sekitar.
Apabila sesebuah organisasi mengambil inisiatif untuk mengeluarkan barangan yang mesra alam, maka syarikat tersebut secara tidak langsung akan dapat menaikkan imej syarikat mereka dan boleh dilihat sebagai satu entiti yang mempunyai tanggungjawab sosial. Tetapi, terdapat pula sesetengah syarikat yang membuat dakwaan palsu dan mengelirukan pengguna dengan mengatakan bahawa syarikat mereka tidak mengeluarkan gas rumah hijau dan sebagainya. Siapakah yang boleh menentukan sama ada dakwaan syarikat-syarikat tersebut adalah benar? Oleh itu satu garis panduan umum perlu dibangunkan sebagai sumber rujukan.
Dokumen standard ISO 14064:2006 dibangunkan untuk tujuan membantu organisasi dalam mengkuantifikasi dan melaporkan pembebasan gas rumah hijau, dan bagaimana melakukan verifikasi terhadap laporan tersebut. Dokumen standard ISO 14064 :2006 ini terdiri daripada 3 bahagian. Bahagian pertama menetapkan keperluan untuk merancang dan mengembangkan organisasi peringkat persediaan GHG. Bahagian kedua menerangkan syarat terperinci untuk mengukur, pemantauan dan laporan pengurangan pembebasan dan tambahan pengeluaran daripada projek gas rumah hijau. Bahagian ketiga memberi keperluan dan panduan untuk melakukan validasi dan pengesahan maklumat GHG.
Standard ISO 14065:2007 pula menetapkan prinsip dan syarat untuk pihak yang melakukan verifikasi dan penilaian gas rumah hijau. Pihak yang melakukan penilaian dan verifikasi tersebut adalah bertanggungjawab untuk melakukan penilaian objektif terhadap penyataan organisasi mengenai pembebasan gas rumah hijau dan menerbitkan pernyataan secara bertulis seperti yang diakui oleh sesebuah organisasi itu. Tujuan standard ini adalah untuk memastikan bahawa badan verifikasi atau penilaian memiliki kompetensi dan sistem yang objektif untuk memberikan penilaian terhadap pernyataan atau dakwaan mengenai gas rumah hijau oleh sesebuah organisasi.
Sektor industri digalakkan untuk mendapatkan pensijilan standard ISO ini. Selain mendapatkan keuntungan, inisiatif-inisiatif industri dalam mendapatkan pensijilan ini akan sedikit sebanyak memberikan peluang untuk mereka memainkan peranan sebagai sebuah industri yang peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pengeluar dan pengedar alat mainan dikehendaki meletakkan tanda pematuhan standard keselamatan alat mainan yang diluluskan oleh kerajaan mulai 1 Ogos 2010. Tanda pematuhan tersebut bagi menunjukkan bahawa alat mainan itu telah diuji tahap keselamatannya dan selamat untuk dimain oleh kanak-kanak.
Logo yang berwarna hitam putih ini atau MC (Malaysian Conformity) dengan nombor siri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mesti diletakkan pada setiap alat mainan yang hendak dijual.
Ini membuktikan bahawa alat mainan ini telah diuji untuk keselamatannya oleh makmal yang diiktiraf oleh International Laboratory Accre ditation Cooperation atau Asia Pacific Laboratory Corporation.
Di bawah peraturan baru standard keselamatan bagi alat mainan, sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999, industri alat mainan (pengimpot, pembuat tempatan dan pembungkus) perlu membekalkan sijil untuk produk mereka apabila memohon tanda MC daripada kementerian.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Mahani Tan Abdullah memberitahu bahawa semua industri mesti memperolehi tanda pematuhan dahulu sebelum mengimport, mengeluarkan atau membungkus sebarang alat mainan di Malaysia.
Alat mainan yang sedia ada di pasaran masih boleh memohon untuk tanda MC. Ini melibatkan 3.9 juta alat mainan yang ada di pasaran.
Alat mainan yang telah dijual di pasaran tetapi masih belum mempunyai tanda MC dibenarkan terus dijual sehingga 31 Januari 2011 bagi membolehkan alat mainan itu habis jual. Mulai 1 Februari 2011, hanya alat mainan yang mempunyai tanda pematuhan standard keselamatan alat mainan sahaja dibenarkan dijual di pasaran.
Nombor siri pada tanda MC membolehkan KPDNKK mengambil tindakan pada setiap aduan yang diterima tentang alat mainan. Sebelum peraturan ini dilaksanakan, tiada sebarang tanda pada alat mainan yang membolehkan pengguna mengetahui sama ada alat mainan itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa atau tidak.
Selepas penguatkuasaan peraturan ini, pengguna boleh merujuk kepada tanda MC sebagai simbol keselamatan sesuatu alat mainan. Alat mainan yang dipasarkan perlu dilabel dengan amaran atau maklumat dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia atau kedua-duanya. Bahasa lain juga dibenarkan.
Pengguna seharusnya berhati-hati semasa memilih dan membeli sebarang alat mainan di pasaran.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat atau U.S Consumer Product Safety Commission bersama-sama dengan syarikat pengimport Baja Inc.,d/b/a Baja Motorsports telah menarik balik 308,000 motosikal yang bernama Baja Motorsports jenis Mini Bikes and Go-Carts dari pasaran.
Penutup gas pada motosikal ini dikatakan boleh tertanggal atau bocor daripada tangki minyak yang boleh menyebabkan api dan seterusnya mengakibatkan pengguna melecur. Selain itu, wayar yang mengawal kelajuan pada motosikal tersebut juga boleh tertanggal dan ini menyebabkan motosikal tersebut bergerak dengan laju secara tiba-tiba.
Syarikat tersebut telah menerima sembilan aduan mengenai bahaya motosikal tersebut daripada pengguna. Satu aduan telah diterima tentang seorang kanak-kanak telah melecur dengan teruk. 25 aduan lagi telah diterima mengenai wayar yang mengawal kelajuan dan kemalangan pada wajah dan bahagian badan yang lain.
Nombor model motosikal yang telah ditarik balik seperti berikut:
Mini Bikes: HT65, MB165, WR65, MB196, DB30, WR90 and DR90 and
Go- Carts: BB65, SD65, DN65 and TR65.
Baja Motorsports Mini Bike
Baja Motorsports Go-Cart
Para pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati apabila hendak membeli motosikal dari jenama ini dan sekiranya terjumpa di pasaran, dilaporkan kepada Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78774741.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Baru-baru ini, gelombang panas telah melanda di negara-negara yang terletak di hemisfera utara yang baru memasuki musim panas.
Di Eropah, banyak negara seperti Jerman, Sweden, Itali, Sepanyol dan Perancis yang sedang mengalami ‘serangan’ gelombang panas ini. Di Jerman, purata suhu mencecah 34 darjah selsius. Di Sweden pula, suhu yang tinggi menyebabkan landasan keretapi telah membengkak dan menyebabkan jadual keretapi tergendala. Di Itali dan Sepanyol, purata suhu yang mencecah 40 darjah selsius di mana ia memaksa kerajaan Sepanyol untuk mengumumkan darurat di lapan buah negeri.
Di Rusia pula, sebanyak 285 orang lemas semasa beriadah di sungai dan kolam untuk menyejuk suhu badan mereka. Suhu tinggi juga menyebabkan kebakaran hutan di negara itu.
Di India, suhu tinggi yang mencecah 50 darjah selsius telah menyebabkan kematian sebanyak 300 orang. Mengikut laporan, sekadar minggu lepas di bahagian utara india saja, sebanyak 30 orang telah maut akibat daripada kepanasan yang melampau.
Di Arab Saudi, ribut pasir dan cuaca yang panas telah menyebabkan permintaan tenaga elektrik yang tinggi. Oleh sebab itu, bekalan elektrik di sesetengah kawasan di bahagian barat sering terputus kerana tidak dapat menampung permintaan bekalan.
Menurut pakar, salah satu sebab gelombang panas berlaku disebabkan oleh pemanasan yang berterusan di sesuatu tempat yang tekanannya tinggi atau tidak mempunyai hujan atau awan. Ini akan menyebabkan udara dan permukaan tanah terlampau panas dan gelombang panas akan terbentuk. Fenomena El Niño dan La Niña akan menyebabkan kesan pemanasan yang lebih teruk.
Ahli kaji cuaca meramalkan bahawa pada masa depan, seluruh dunia akan mengalami kesan gelombang panas yang lebih teruk dan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Di Malaysia pula, kita sedang mengalami fenomena La Niña yang menyebabkan hujan lebat dengan tidak menentu. Jadi, sebagai pengguna yang bijak, sila ambil langkah-langkah seperti di bawah:
a) Membawa payung jika hendak keluar dari rumah.
b) Elakkan berada di tanah lapang dan di bawah pokok semasa petir berlaku.
c) Mengumpul air hujan untuk diguna semula seperti mencuci kereta, menyiram tanaman dan membersihkan tandas.
d) Membuat persediaan untuk menghadapi banjir sekiranya hujan turun berterusan.
e) Tidak membuat membuang sampah ke dalam longkang agar ia tidak tersumbat.
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
Subcategories
Page 211 of 232