- Details
Walaupun pelbagai siaran dan usaha penerangan dilakukan untuk memberikan gambaran jelas kepada rakyat mengenai Rancangan Malaysia ke 10, namun masih ramai yang kabur mengenai apakah kepentingannya dan perubahannya kepada diri kita sebagai pengguna.
Apabila kita melihat kepada RMK-10, Kerajaan bertekad untuk mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar.
1. Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia
i. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi
Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.
ii. Liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar
Jalan
Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta 49 penduduk.
Bekalan air
Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.
Kemudahan elektrik
Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.
2. Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam
i. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
ii. Mass Rapid Transit
Kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.
iii. Sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di lebih banyak kawasan lagi
Langkah-langkah untuk meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandaraya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.
3. Perumahan asas kepada kesejahteraan hidup rakyat
i. Memperbanyakkan rumah mampu milik
Menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah Rancangan ini.
ii. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.
iii. Satu dana berjumlah 500 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.
4. Alam sekitar tanggungjawab kita
i. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, Kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharu bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharu. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.
ii. Pihak industri diseru untuk mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan Garispanduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru Kerajaan akan direkabina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada Kerajaan juga akan ditambahbaik, dan, sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaiktaraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf Gold Standard.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Berdasarkan kajian yang dibuat kepada pelancong yang datang ke Malaysia, perkhidmatan teksi menduduki tangga pertama tentang perkara yang pelancong tidak suka mengenai negara kita, Malaysia.
Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah menerima 1,232 aduan terhadap pemandu-pemandu teksi di sekitar Lembah Klang, Johor, Selangor dan Pulau Pinang dari bulan Januari hingga November tahun 2009. Daripada jumlah itu, 493 telah dikompaun, 294 diberi amaran, satu digantung permit, 320 masih disiasat manakala 124 dibebaskan kerana tiada kes. Permintaan tambang berlebihan, keengganan mengambil penumpang, tidak menggunakan meter dan enggan memberi resit serta menurunkan penumpang di kawasan larangan merupakan aduan yang paling banyak terhadap pemandu teksi dalam kaji selidik ketidakpuasan pelancong yang datang ke Malaysia.
- Details
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan kemungkinan untuk memansuhkan PMR and UPSR bagi mengelakkan sistem pendidikan negara terus berorientasikan peperiksaan. Cadangan ini telah mendapat sokongan banyak pihak.
Minda pelajar kita telah dibentuk selama ini untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam mencapai graf kecemerlangan ini, guru-guru dan pengusaha pusat tuisyen melakukan analisa terhadap setiap kertas peperiksaan tahunan dan mencipta cara-cara atau strategi untuk menjawab peperiksaan tersebut. Dan setiap kalinya, cara-cara ini berkesan dan pelajar yang mampu mengikuti strategi menjawab soalan, mendapat keputusan yang cemerlang.
Dalam erti kata lain, setiap tahun, cara soalan dibentuk dalam peperiksaan awam adalah serupa. Contohnya, untuk peperiksaan kertas Sejarah PMR 2000, soalan 3 mengenai bab kelima dalam buku teks, dan soalan yang sama akan diulang semula (atau diubah soalannya tetapi masih tajuk yang sama) dalam kertas sejarah 2005. Dan keadaan ini bukan setakat untuk kertas sejarah, tetapi dalam semua matapelajaran utama peperiksaan. Pelajar hanya perlu menghafal dan menuliskan jawapan yang telah diletakkan dalam otak mereka. Mereka tidak perlu berfikir dan tidak perlu memberikan jawapan yang lain, kerana semuanya sudah tersedia. Hanya untuk dihafal.
Inilah cara pendidikan kita sejak dahulu lagi. Isunya di sini, bukan terletak kepada peperiksaan awam yang membebankan atau gagal menyediakan pelajar bijak, tetapi sistem pembelajaran yang telah sekian lama ada di negara kita. Pelajar tidak diberikan kebebasan untuk mengekpresikan pendapat dan hanya dibenarkan untuk menjawab soalan berdasarkan nota matapelajaran dan silibus yang diberikan.
Sebagai contoh jika ditanya apakah itu mesin? Anda tidak akan boleh menjawab “mesin adalah satu teknologi yang memudahkan kerja manusia. untuk mengira, manusia mencipta kalkulator” dan mendapatkan markah untuk itu, anda perlu memberikan definisi mesin yang mana merujuk kepada “suatu alat yang terdiri daripada bahagian yang saling berkaitan dengan fungsi yang berasingan, yang digunakan dalam prestasi beberapa jenis pekerjaan” (www. dictionary.reference.com)
Persoalannya, adakah pelajar faham definisi yang telah mereka hafal ini? Mungkin ya, mungkin tidak. Keadaan ini berterusan sehingga di universiti. Walaupun pendekatan pensyarah berbeza, (dengan tidak menyediakan nota, tetapi senarai rujukan), siswazah telah sekian lama terdidik menggunakan kaedah menghafal untuk menjawab peperiksaan.
Tidak hairanlah, walaupun dengan keputusan cemerlang tidak menjadikan seseorang itu fasih berbahasa bahasa lain atau benar-benar pintar, mereka adalah golongan yang mempunyai daya ingatan yang baik semata dan kemampuan/kemahiran mereka tentulah dipersoalkan.
Jika kementerian melihat kepada dengan mengeluarkan dua peperiksaan utama ini membolehkan pendidikan cemerlang terlaksana, tidakkah kementerian melihat kepada keperluan untuk memansuhkan juga ujian bulanan, peperiksaan penggal/ pertengahan tahun, peperiksaan akhir tahun? Masih banyak lagi peperiksaan yang terpaksa dihadapi pelajar. Ditambah lagi dengan tugasan atau kerja rumah yang diberikan guru. Bukankah itu juga membebankan pelajar?
Di sini bukan peperiksaan itu menjadi isu, tetapi sistem pembelajaran dan pengajaran itu sendiri. Selama 11 tahun di alam persekolahan, pelajar dimomokkan dengan sistem penghafalan makna dan pelajaran. Mereka tidak mendapat ilmu, mereka tidak medapat pengetahuan, mereka cuma menghafal.
Azwa Abd Rahman
Bhgn Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia
- Details
“Gol!!!!!” itulah jeritan yang sering kita dengari sepanjang bulan Piala Dunia 2010 yang berlangsung di Afrika Selatan dari 11 Jun hingga 12 Julai 2010. Sementara menyaksikan perlawanan-perlawanan piala dunia ini dengan kawan-kawan sambil menjerit gol, pernahkah anda terfikir bahawa Piala Dunia 2010 ini mempunyai kesan kepada perubahan iklim?
Mengikut kajian yang dilakukan oleh kerajaan Afrika Selatan dan duta Norway ke Afrika Selatan, piala dunia yang pertama kali mengambil pentas di Afrika Selatan akan membebaskan lapan kali ganda jejak karbon berbanding dengan jumlah jejak karbon yang dibebaskan ke atmosfera pada Piala Dunia 2006 di Jerman.
Pengangkutan tempatan, pembinaan stadium-stadium, tenaga yang digunakan semasa perlawanan berlangsung dan tempat penginapan ribuan peminat bola sepak dari seluruh dunia dijangka menyumbangkan hampir 900,000 ton karbon dioksida. 1.9 juta ton karbon dioksida akan ditambah ke dalam jumlah jejak karbon ini mewakili angka karbon dioksida daripada perjalanan pergi dan balik antarabangsa ke Afrika Selatan.
Angka-angka jejak karbon lain seperti perhimpunan besar bagi menyaksi piala dunia dan sambutan apabila sesebuah pasukan mara ke peringkat seterusnya belum diambil kira lagi.
Dengan bajet sebanyak A$10 juta, kerajaan Afrika Selatan berhasrat untuk menurunkan penggunaan bahan api fosil dengan memasang panel suria matahari dan lampu yang cekap tenaga di jalan raya, lampu isyarat, papan iklan, dan diikuti dengan kempen kesedaran dalam kalangan penduduk.
Brazil yang merupakan tuan rumah bagi Piala Dunia 2014, berhasrat untuk menganjurkan piala dunia yang paling mesra alam dalam sejarah. Dengan memperketatkan syarat mendapatkan geran bagi projek membina dan membaik pulih stadium. Begitu juga reka bentuk projek tersebut perlu mendapat pengiktirafan mesra alam sebelum mendapat geran.
Jadi, bagaimanakah kita boleh membantu untuk mengurangkan jejak karbon kita di samping menikmati kehangatan piala dunia ini?
Ikutilah cara-cara seperti berikut:
- Berkongsi kereta jika ingin menuju ke sesuatu tempat bagi menyaksikan perlawanan.
- Semasa membeli jersi pasukan kesukaan, pilihlah jersi yang mesra alam seperti jersi yang diperbuat daripada penutup botol plastik dan mesra alam.
- Amalkan kitar semula untuk menguruskan bahan-bahan yang boleh diguna semula seperti tin-tin minuman selepas menyaksikan perlawanan.
- Tidak merokok semasa menyaksikan perlawanan.
- Tutupkan televisyen dan Komputer sebelum perlawanan siaran langsung atau tertunda bermula..
Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia
- Details
Apabila seseorang ingin menuntut sesuatu ganti rugi dalam kes sivil, beliau harus memfailkan kes tersebut di mahkamah sivil dalam satu jangka masa yang tertentu. Mengikut Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953, sesuatu tindakan yang terbit daripada kontrak dan tort haruslah dibawa ke mahkamah dalam tempoh masa enam tahun.
Selepas tamat tempoh had masa, sebarang tuntutan tidak boleh difailkan di mahkamah, kecuali, mengikut seksyen 29, di bawah Akta tersebut, ada bukti seperti fraud atau salah (mistake) yang menyebabkan pihak yang ingin menuntut tidak dapat mengenali hak tuntutannya.
Tempoh had masa enam tahun mula dikira daripada tarikh sesuatu insiden seperti hari kemalangan atau hari pengingkaran mematuhi peraturan-peraturan yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan jalan raya, tarikh dan masa kemalangan jalan raya di antara dua kenderaan adalah titik permulaan had masa tuntutan oleh pihak yang ingin menuntut ganti rugi terhadap pihak yang bersalah.
Begitu juga, dalam satu perjanjian kontrak, misalnya dalam perjanjian pinjaman kewangan di antara bank dan peminjam. Apabila si peminjam ingkar dalam membuat bayaran balik pinjaman kepada bank, maka tarikh pengingkaran adalah titik permulaan enam tahun bagi bank untuk memfailkan satu tindakan mahkamah terhadap si peminjam.
Adakalanya pihak menuntut tidak tahu bilakah tarikh permulaan dan penamatan had masa untuk membawa satu tindakan mahkamah terhadap pihak bersalah. Misalnya, mangsa yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Pada hari dan masa kemalangan itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan yang nyata dan merasakan sebarang kesakitan. Tetapi, selepas 2 tahun dari tarikh kemalangan tersebut, mangsa mulai menderitai kesakitan tubuh dalaman yang boleh dihubungkaitkan dengan kemalangan yang berlaku itu. Jadi, dalam situasi ini, titik had masa mula berjalan dari tarikh mangsa merasakan kesakitan atau pengenalan kecederaan dalam tubuh berikutan kemalangan tersebut. Had masa ini juga dikenali sebagai defektif tiada nyata / latent defect.
Selain daripada had masa umum ini, ada juga had masa yang tertentu mengikut Akta-Akta tertentu. Umpamanya, Seksyen 99, Akta Perlindungan Pengguna 1999, menghadkan masa tindakan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia kepada 3 tahun dari tarikh kemungkiran sesuatu perjanjian. Begitu juga, Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966, menentukan had masa 2 tahun bagi pembeli rumah supaya mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju rumah untuk membaik pulih kecacatan perumahan jika pemaju enggan membaik pulih rumah tersebut mengikut Akta ini.
Jadi sebagai pengguna, khususnya pihak yang ingin membawa sesuatu tuntutan ke mahkamah ataupun kepada badan-badan penyelesaian tertentu, jangan terjerumus ke dalam arus perbincangan atau tawar-menawar dengan pihak dituntut dan bersedia memfailkan satu kes tuntutan di mahkamah sebelum had masa tamat. Di sini pengguna harus memahami bahawa pihak menuntut boleh meneruskan tawar-menawar / perbincangan di luar mahkamah untuk satu penyelesaian, walaupun kes telah difailkan di mahkamah.
P. Vasudavan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' telah mengisytiharkan pada setiap hari Sabtu di negeri Selangor bagi mengurangkan penggunaan beg plastik. Pada hari tersebut, beg plastik tidak akan diberikan kepada pelanggan untuk menggalakkan mereka membawa beg sendiri. Sekiranya pengguna inginkan beg plastik, mereka perlu membayar sebanyak 20 sen bagi setiap beg plastik.
Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' ini bertujuan bagi membendung masalah pencemaran yang semakin berleluasa. Sebagai penggantinya, orang ramai digalakkan membawa beg sendiri semasa membeli-belah atau menggunakan beg mesra alam. Bahan campuran kimia boleh merosakkan keseimbangan ekosistem dan memberi kesan buruk kepada bumi iaitu pemanasan global. Bumi ini merupakan satu-satunya rumah bagi manusia, flora dan fauna.
- Details
Menurut satu laporan dari United Nations Environment Programme (UNEP), setiap hari, terdapat 40000 hingga 50000 remaja di Asia yang mula tabiat merokok. Jika pola tabiat merokok ini berterusan, kematian yang disebabkan oleh tabiat merokok dianggarkan akan mencecah sebanyak 4.9 juta setahun menjelang tahun 2020. Asia Pacific Journal of Public Health telah menyatakan bahawa 70% dari 1,1 billion jumlah perokok di dunia adalah dari negara-negara membangun, dengan lebih daripada 50% di Asia sahaja.
Ketagihan kepada nikotin adalah satu perkara yang agak sukar untuk dielakkan.Dengan peningkatan kempen anti-merokok, sesetengah syarikat tembakau meingkatkan tahap nikotin dalam rokok mereka untuk membuat seseorang itu sukar untuk berhenti merokok. Nikotin dengan tar boleh memasuki sistem pengedaran darah dan sampai ke otak dalam masa kurang dari 10 saat.
Dalam masa kurang dari satu minit, nikotin boleh menyebar ke seluruh tubuh. Kemudian meningkatkan denyut jantung dan tekanan darah, memberikan perokok kewaspadaan dan kesan relaksasi. Dalam kurang dari 30 minit, penurunan kesan nikotin boleh turun dalam badan dan perokok menjadi mudah tersinggung dan kurang waspada. Itulah sebabnya mereka mempunyai kecenderungan untuk mengambil dan menyalakanrokok yang lain untuk mendapatkan kesan baru secara berterusan. Ini menjelaskan kesan aditif kepada rokok.
Tar melekat pada lapisan paru-paru dan merosakkan rambutnya seperti unjuran (silia) yang bertujuan untuk memerangkap zarah-zarah berbahaya dari dihirup ke dalam paru-paru. Tar juga menurunkan keanjalan paru-paru, membuatnya lebih keras untuk menyukarkan kebolehan untuk mengepam oksigen yang amat untuk seluruh badab.
Karbon monoksida pula akan terikat dengan hemoglobin, dan mengurangkan kemampuan sel darah merah untuk membekalkan sejumlah besar oksigen ke tubuh badan .
Kesan Jangka Panjang
Seiring dengan waktu, kesan jangka panjang tabiat merokok akan menjadi lebih jelas. Kesan pada kulit boleh dilihat dengan jelas pada seseorang perokok Mulut juga akan berbau dengan kuat disebabkan oleh bahan kimia dalam rokok.
Pengumpulan plak pada arteri akan menyebabkan perokok tersebut menghidapi penyakit jantung. Gangguan kepada fungsi paru-paru boleh menyebabkan penyakit seperti bronkitis kronik dan emfisema, penyakit yang tidak boleh diperbaiki dari sistem pernafasan. Kesan yang paling serius yang ialah penyakit kanser yang boleh membawa kepada kematian.
Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah:
- Melahirkan bayi yang kurang berat badan
- Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
- Lebih terdedah kepada kanser
- Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal
Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok:
- Lebih mudah mendapat lelah
- Mendapat jangkitan paru-paru
- Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
- Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak
Pilihan adalah di tangan pengguna itu tersendiri. Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran dan maklumat telah diberikan kepada pengguna, ia bergantung kepada pemikiran dan kemahuan pengguna tersebut. Persatuan Pengguna- Pengguna Standard ingin memohon agar pengguna pengguna terutamanya pengguna muda tidak melibatkan diri dalam tabiat merokok dan hindarkan diri anda dari asap rokok. Tidak wajar anda gadaikan nyawa anda demi sebatang rokok.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard
- Details
Organisasi U.S Consumer Product Safety Commision di Amerika Syarikat dengan kerjasama syarikat LaJobiInc- New Jersey telah menarik balik sebanyak 217000 katil bayi dari pasaran.
Katil bayi tersebut dikatakan boleh patah dan bayi dalam katil tersebut boleh terjatuh dan tercedera. Apabila katil tersebut patah di tepi, jarak diantara batang kayu tersebut boleh menyebabkan kepala atau leher bayi yang bergerak tersangkut dan ia boleh mengakibatkan bayi tersebut tercekik.
Katil ini diperbuat dari negara China dan Vietnam dan telah dijual secara meluas di pasaran Amerika Syarikat. Pengguna- pengguna di Malaysia harus peka dan ber perhatian apabila hendak membeli katil untuk bayi. Anda dinasihatkan agar berhati- hati apabila hendak membeli barangan tersebut dan jika terdapat label LaJobi, elakkan dari membeli.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia
- Details
Semasa menonton siaran langsung Piala Dunia, kebanyakan orang akan memilih untuk menikmati makanan ringan atau snek – kerepek yang beraneka rasa dan ramuan.
Dengan kerjasama Pusat Keselamatan Makanan, Majlis Pengguna Hong Kong telah mengkaji pelabelan pemakanan pada 32 produk kerepek.
Produk kerepek merupakan makanan proses yang ditambah dengan banyak garam, perisa dan biasanya digoreng. Jadi, kerepek adalah sedap dan rangup, dan ia juga mengandungi tenaga yang tinggi, natrium dan lemak yang berlebihan.
Melalui kajian itu, mereka mendapati bahawa pengambilan yang kerepek yang banyak semasa Piala Dunia akan mengancam kesihatan peminat-peminatnya.
Dari segi kandungan tenaga, pemain bola di atas padang adalah berbeza dengan para penonton yang berdepan dengan televisyen dalam tempoh 90 minit itu. Mereka yang makan kerepek tidak dapat membakar kalori yang berlebihan sehingga 80% itu.
27 daripada 32 sampel yang dikaji mengandungi 500kcal atau lebih tinggi per 100g. Namum, keperluan tenaga seseorang ialah 2000kcal per hari. Jadi, pengambilan 100g kerepek ini menyumbang kepada 25% tambahan tenaga daripada keperluan harian.
Pengambilan tenaga yang berlebihan mengakibatkan penambahan berat badan.
Selain daripada kandungan tenaga yang tinggi, 90% sampel kerepek (29 per 32) didapati mengandungi 21g – 41.6g jumlah lemak per 100g kerepek.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, WHO), makanan yang mengandungi 20g jumlah lemak per 100g dianggap sebagai makanan yang berlebihan dalam jumlah lemak. Seseorang sepatutnya tidak boleh mengambil lebih daripada 60g lemak sehari (kira-kira 4 sudu minyak) daripada diet 2000kcal.
Kelebihan ini menyebabkan menambahkan risiko diabetes dan obesiti.
Kerepek keju mempunyai kandungan lemak yang tertinggi, pengambilan satu pek sampel ini mengandungi 25g lemak yang merupakan 40% lebih daripada cadangan WHO.
Tambahan pula, walaupun kebanyakan kerepek telah dilabel tidak mengandungi lemak trans, tetapi satu sampel telah didapati mengandungi 3g lemak trans per bungkusan (11g per 100g), di mana ia telah melebihi had pengambilan seharian pada 2.2g lemak trans.
Pengambilan lemak trans yang berlebihan membawa risiko pada penyakit jantung.
Selain itu, 50% sampel kerepek (16 per 32) dikesani dengan kandungan natrium (garam) yang tinggi, iaitu dalam lingkungan 612mg hingga 1800mg natrium per 100g.
Menurut WHO, had pengambilan garam seseorang adalah pada 2000mg (satu sudu) sehari. Jadi makanan yang mengandungi lebih daripada 600mg natrium per 100g makanan dianggap berlebihan garam.
Dalam kajian yang dijalankan, keropok udang didapati mengandungi kandungan garam yang tertinggi, seseorang yang makan kerepek udang akan mengambil masuk sebanyak 648mg natrium dan ini telah melebihi 30% daripada had WHO.
Pengambilan garam yang berlebihan akan mengakibatkan penyakit kardiovaskular.
Kajian tersebut mendapati bahawa 40% sampel mengandungi kandungan lemak dan garam yang tinggi, manakala sesetengah mungkin mengandungi kandungan lemak yang tinggi dengan peratusan garam yang rendah dan sebaliknya.
Walaupun maklumat pada pelabelan dapat membantu pelanggan untuk mengetahui keperluan nutrisi mereka, tetapi sering kali mereka akan terkeliru akibat saiz hidangan yang tidak ketara.
Kebanyakan makanan tidak dilabel dengan maklumat per 100g, menjadi halangan bagi pengguna yang ingin membandingkan kandungan pemakanan berdasarkan kiraan per 100g.
Pengguna dinasihati supaya membaca label secara teliti, mengira keperluan pemakanan yang diingini untuk pilihan makanan yang lebih sihat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Sebelum anda menambah susu ke kopi atau teh, mengisi untuk bijirin, atau semasa membaca pelabelan dari setiap produk susu, kebanyakan orang akan membuat pilihan berdasarkan pada kandungan lemak susu: skim, semi-skim atau lemak penuh?
Namum, apakah yang pelabelan ini bererti, dan bagaimana pengguna dapat memastikan semua jenama susu menggunakan panduan yang sama untuk mengukur kandungan lemaknya.
Demi menyelaraskan produk susu, Badan Standardisasi Antarabangsa (International Organization for Standardization, ISO) dan Perpaduan Tenusu Antarabangsa (International Dairy Federation, IDF) telah membangunkan standard yang membekalkan keperluan ujian, dan menyediakan garis panduan bagi menentukan kandungan lemak susu.
Selain daripada susu lembu, standard ini dapat diterapkan pada susu biri-biri dan susu kambing dalam edisi ketiga yang baru dikeluarkan.
Mengikut Silvia Orlandini, Ketua Projek ISO/IDF bagi edisi standard ISO 1211/IDF 1:2010 yang baru dikeluarkan ini, kandungan lemak susu merupakan unsur kualiti yang utama bagi menentukan harga produk susu.
Jadi, metodologi yang selaras ini membolehkan perbandingan produk di antara pelbagai pengeluar. Standard ini juga membantu menangkal dan mencegah susu palsu yang dilancung dengan bahan lain.
Standard ini telah menjadi standard yang penting dalam industri susu sejak tahun 1984 ketika ia pertama kali diterbitkan oleh ISO. Edisi 2010 terkini membawa kandungan yang terkini dan boleh digunapakai secara luasnya, metodologi kini boleh digunapakai untuk susu biri-biri dan susu kambing, sama ada lemak penuh, susu lemak rendah atau susu skim, ia juga boleh digunakan untuk susu yang diawetkan serta susu cair yang diproses secara kimia.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Subcategories
Page 214 of 232