Adakah anda menyapu sos strychnine di atas stik anda? Menggunakan cyanide untuk roti anda? Menambah ais krim dengan thallium.

Jika anda berbuat sedemikianhentikan segera kebiasaan tersebut. Ini kerana ketiga-tiga bahan ini merupakan racun. Strychnine dan thallium adalah racun tikus dan serangga yang membawa maut, manakala cyanine pula akan merosakkan sistem saraf manusia.

Semua orang menikmati telur dalam pelbagai bentuk - telur dadar, telur setengah masak dan telur goreng. Tidak ada orang yang inginkan telur yang ditabur dengan arsenik.

Namun satu kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Utah Amerika Syarikat mendapati bahawa kewujudan arsenik dalam telur merupakan satu keadaan yang biasa dalam kehidupan kita.

Arsenik wujud secara semula jadi dalam kehidupan kita. Ia muncul dalam bentuk organik dan dalam kuantiti yang kecil di udara, air bawah tanah, tumbuhan dan haiwan.

Walaupun arsenik wujud secara semula jadi, tetapi ini bukan sebabnya kita perlu menambah arsenik ke dalam makanan ayam. Arsenik yang dimakan akan ditukar menjadi sebatian bukan organik yang beracun dan bersifat kasinogen.

Perdagangan penternakan, persatuan penternakan dan penternak menyatakan bahawa arsenik adalah baik untuk bidang penternakan. Setiap tahun penternak ayam di Amerika Syarikat akan menambah 1 juta kilogram aditif yang mengandungi arsenik ke dalam makanan ayam. Bahan ini digunakan untuk 70 peratus ayam di Amerika Syarikat untuk mempercepatkan pertumbuhan, menangani penyakit dan menghasilkan ayam yang lebih besar serta sedap.

Ayam yang tercemar dengan arsenik akan turut mencemari kesihatan manusia. Menurut kajian daripada Institute for Agriculture and Trade Policy (IATP) pada tahun 2004 mendapati kandungan arsenik sangat tinggi dalam ayam yang dijual pada rantaian makanan segera. Selain itu arsenik juga dikesani dalam lebih daripada 50 peratus ayam yang dijual dalam kedai.

Jadi kita menghadapi risiko yang tinggi pada pendedahan arsenik.

Jabatan Kesihatan Utah mendapati tahap arsenik yang tinggi dalam tubuh dua orang adik-beradik di Mapleton, Amerika Syarikat. Mereka telah makan telur yang dihasilkan oleh ayam ternakan sendiri yang diberikan makanan berarsenik.

IATP dan Pusat Keselamatan Makanan telah memohon kepada US Food and Drug Administration (FDA) untuk mengeluarkan arsenik daripada senarai aditif makanan haiwan. Penemuan daripada Jabatan Kesihatan Utah membuktikan bahawa perkara ini harus diberi perhatian yang segera.

Pegawai FDA menyatakan bahawa agensi mereka sedang mengumpul data yang berkenaan untuk menunjukkan isu kesihatan ini. Buat sementaranya demi kesihatan dan keselamatan awam makanan ternakan yang mengandungi aditif arsenik perlu diharamkan.

US Environmental Protection Agency telah mengharamkan penggunaan arsenik dalam pengawet kayu dan racun perosak. Namun mengapakah arsenik terus dibenarkan dalam makanan ternakan?

Di Malaysia, tiada satu kajian yang dilakukan ke atas arsenik. Oleh itu kita memang tidak tahu sama ada ternakan kita telah dicemari dengan arsenik dan seterusnya boleh mencemari kesihatan kita. Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia menetapkan tahap pengambilan arsenik harian pada 1mg/kg. Namun kita tidak pasti sama ada kita telah mengambil arsenik yang berlebihan ataupun tidak.

Pengguna mempunyai hak untuk keselamatan, tetapi keselamatan pengguna biasanya tidak diutamakan.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Kuala Lumpur, 10 Ogos 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil bank tempatan dan antarabangsa di bangunan Bank Negara Malaysia pada hari ini.

Dialog yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia ini bertujuan untuk mewujudkan persefahaman dengan wakil -wakil bank, yang sebahagian besarnya daripada Bahagian Khidmat Pelanggan, dalam mengendalikan pelbagai aduan berkaitan perbankan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Dialog tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Abu Hassan Alshari Yahaya, Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara Malaysia, yang turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, Cik Chuah Mei Lin, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia dan Encik Mohamed Rithuan Dato’ Mohamed Shamsudin, Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia.

Dalam dialog tersebut, FOMCA telah membentangkan beberapa jenis aduan tentang sektor perbankan yang sering diterima oleh NCCC. Antaranya ialah kad kredit, pinjaman, kadar faedah yang tinggi, prosedur lelongan yang tidak adil, penggunaan CTOS bagi semakan kredit, penipuan kewangan, terma kontrak tidak adil, iklan produk kewangan yang mengelirukan dan sebagainya.

Dialog yang buat pertama kali diadakan antara FOMCA dengan wakil-wakil bank ini diharap dapat menjalin kerjasama antara FOMCA dengan pihak bank bagi mengatasi pelbagai masalah pengguna yang berkaitan dengan sektor perbankan.

 


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman

Satu standard antarabangsa baru telah dibangunkan yang merangkumi tentang penggunaan simbol tertentu pada kenderaan. Simbol ini dapat memberitahu anda tentang kebocoran tayar, masalah engin dan keadaan tangki kenderaan anda.

ISO 2575:2010, Kenderaan Jalan – Simbol untuk kawalan, indikator dan penunjuk, standard ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada pemandu melalui satu siri simbol yang khas dicipta dalam kereta, trak ringan, lori dan bas, tanpa mengira model mereka.

Berdasarkan persefahaman yang dicapai antara pengeluar automotif, simbol ISO ini dapat mengurangkan kekeliruan simbol antara model yang berlainan, yang menyebabkan pengguna tidak berasa kekeliru apabila bertukar daripada satu kereta ke kereta yang lain.

Pada pertama kali, standard ISO ini telah dimuat dalam CD-ROM yang mengandungi segala grafik yang diperlukan bagi memastikan simbol yang hendak dipamerkan pada kenderaan adalah setara. Grafik dalam CD-ROM terdapat dalam tiga bentuk iaitu Illustrator (ai), Encapsulated Postscript (eps) dan Drawing Interchange Format (dxf) untuk memenuhi keperluan pereka bentuk.

Dr Gary Rupp, ketua projek bagi standard baru ini menyatakan bahawa bukan sahaja grafik dibekalkan, malahan satu senarai tentang maksud simbol baru ini juga disediakan. Oleh itu pengeluar kenderaan dan pembekal dapat memastikan simbol yang dipamerkan dalam kenderaan adalah setara dengan fungsi bahagian tersebut.

Standard baru ini mengandungi 350 simbol yang biasa digunakan untuk tujuan pengawalan, indikator dan sistem infomasi dalam kenderaan. Ia juga membekalkan garis panduan dan warna yang perlu digunakan. Sebagai contoh, merah digunakan sebagai tanda bahaya dan warna lampu biru menunjukkan lampu tinggi pada kenderaan.

Pada masa depan, kereta yang dipasarkan akan mempunyai simbol yang setara, dan ini akan memudahkan pengguna semasa memandu.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Sarapan bijirin merupakan jenis makanan yang digemari orang ramai kerana ia mudah dimakan dan sihat secara semula jadi. Kajian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna Hong Kong mendapati bahawa walaupun sarapan bijirin ini mempunyai serat yang tinggi, tetapi ia juga mengandungi gula yang tinggi.

Dengan kerjasama Pusat Keselamatan Makanan, dalam tempoh 3 bulan iaitu daripada Mac hingga Jun, Majlis Pengguna Hong Kong telah mengkaji pelabelan 38 jenis sarapan bijirin, termasuk 21 sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk dan 17 sarapan bijirin yang dihidang secara panas.

Mereka mendapati bahawa 80% daripada sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Bagi golongan yang perlu mengawal pengambilan gula mereka, mereka perlu berhati-hati semasa makan sarapan jenis ini.

Bagi 21 sampel sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk, setiap 100 gram sampel mengandungi gula dari 4.4 gram hingga 43 gram, iaitu 17 (80%) dianggap tinggi kandungan gulanya apabila merujuk kepada garis panduan Agensi Standard Makanan United Kingdom. Satu sampel didapati mengandungi 43 gram gula per 100 gram bijirin. Seseorang yang makan satu hidangan (28 gram) akan mengambil 12 gram gula atau 24% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Kandungan gula yang tinggi juga didapati dalam sarapan bijirin yang dihidang secara panas. Pek minuman bijirin oat mengandungi peratusan gula yang agak tinggi, iaitu setiap pek (42 gram) mempunyai 12.3 gram gula atau 25% daripada had pengambilan harian yang disarankan. Selain itu, pek minuman gandum mengandungi gula yang tertinggi, iaitu sebanyak 16 gram gula per pek (32 gram) atau 32% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Serat adalah baik untuk kesihatan. Hampir semua sarapan bijirin mempunyai serat yang mencukupi bagi sebagaimana yang dicatatkan pada label ’mengandungi serat makanan’ yang dicatatkan pada Skim Pelabelan Pemakanan. Dalam kajian ini, didapati seratt makanan membentuk 1.9 gram – 14.5 gram per 100 gram makanan, satu sampel tidak mempunyai peratusan yang mencukupi untuk sebagaimana yang dinyatakan pada label ’mengandungi serat makanan’.

Pengambilan gula yang berlebihan akan menambah risiko berat yang berlebihan dan obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan pengambilan gula dalam satu hari tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah tenaga. Sebagai contoh, bagi individu yang memerlukan 2,000kcal tenaga sehari, mereka perlu menghadkan pengambilan gula kurang daripada 50 gram sehari (kira-kira 10 kiub atau 10 sudu atau 40 gram sehari).

Kerajaan telah mengadakan Kempen Kurangkan Penggunaan Gula. Saranan yang diberikan kepada rakyat Malaysia ialah menghadkan pengambilan jumlah gula kepada 10 sudu gula sehari, yang jumlah gula ini termasuk gula dalam minuman dan makanan seperti masakan mahupun kuih-muih.

Rakyat dinasihatkan supaya memeriksa pelabelan makanan dan membaca kandungan gula serta tenaga yang dilampirkan bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Semenjak negara digemparkan dengan berita tentang enam kematian yang disebabkan oleh penyakit Leptospirosis dan Melioidosis. Akhbar-akhbar tempatan mula membangkitkan isu penyakit ini, malah ada yang mengatakan bahawa penyakit ini adalah penyakit baru dan misteri di Malaysia. Pendapat ini adalah salah! Leptospirosis bukanlah penyakit baru di Malaysia, tetapi ia merupakan penyakit yang jarang berlaku.

Apakah itu Leptospirosis?
Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen genus Leptospira, yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.

Leptospirosis di Malaysia?
Leptospirosis di Malaysia telah dikesan buat pertama kalinya pada tahun 1925 oleh seorang saintis bernama Fletcher W. Setelah itu, para saintis telah membuat kajian yang lebih terperinci bagi menjejaki kes-kes Leptospirosis di Malaysia. Sebagai rumusan, para saintis mengumumkan bahawa penyakit Leptospirosis amerupakan endemik di negara kita pada waktu tersebut.

Kes pada tahun 1925 tersebut merupakan kes yang membawa maut (fatal case) yang disebabkan oleh bakteria Leptospirosis icterohemorrhagiae Fletcher W. juga telah mengenal pasti serotip-serotip lain daripada genus Leptospira di dalam sampel-sampel biologi daripada 21 orang pesakit. Pada tahun 1926 pula empat kes telah dikesan di Singapura (yang ketika itu masih sebahagian daripada Malaysia) oleh saintis Galloway.

Pada peringkat awal penyakit ini dikesan di Malaysia, kebanyakan pesakit menunjukkan simptom demam kuning (jaundis), manakala dalam kalangan askar pula, simptom yang ditunjukkan adalah demam panas.

Bilangan kes dan kematian yang disebabkan oleh Leptospirosis pada waktu itu sangat membimbangkan. Para saintis telah menggelar penyakit ini sebagai penularan penyakit baru dalam kalangan masyarakat Malaya.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2006, sebanyak 527 kes leptospirosis telah dicatatkan, dan pada tahun 2007 pula, terdapat peningkatan kes sebanyak 929 kes dilaporkan.

Pada tahun 2010, negara digemparkan dengan berita kematian enam individu akibat Leptospirosis dan Melioidosis Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran. Terbaru, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan, seorang anggota bomba merupakan korban terbaru penyakit ini, yang sekali gus menjadikan angka korban yang kelapan dalam sela masa kurang sebulan.

Apakah penyebab Leptospirosis?
Leptospirosis disebabkan oleh bakteria gram negatif dari genus Leptospira. Leptospira pertama kali dikenal pasti sebagai penyebab Penyakit Weil di Jepun, yang biasa berlaku ke atas pelombong arang batu. Genus Leptospira mempunyai sekurang-kurangnya 18 spesies dikelaskan berdasarkan hubungkait DNA dan lebih daripada 300 serotip berdasarkan ujian makmal.

Leptospirosis yang tergolong dalam kelas zoonosis merupakan penyakit berjangkit paling umum menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan di dunia. Penyakit Weil pula adalah sejenis Leptospirosis tahap serius.

Apakah jenis-jenis haiwan yang boleh menjadi reservoir kepada bakteria ini?
Tikus dan haiwan domestik seperti lembu, khinzir dan anjing sering menjadi reservoir utama bagi bakteria genus Leptospira ini. Haiwan yang telah dijangkiti dengan Leptospira boleh merembeskan bakteria tersebut melalui air kencingnya secara berperingkat-peringkat atau secara berterusan selama berbulan-bulan. Terdapat ada juga kes yang dilaporkan hingga bertahun-tahun haiwan itu masih boleh merembes bakteria tersebut. Malahan, haiwan yang telah mendapat vaksinasi juga boleh merembeskan bakteria ini melalui air kencingnya.

Bagaimanakah bakteria ini boleh tersebar?
Leptospirosis boleh menjangkiti manusia secara langsung mahupun tidak langsung melalui pendedahan kepada air kencing haiwan pembawa tersebut. Bakteria genus Leptospira ini boleh memasuki saluran darah melalui luka, kulit yang melecet dan melalui membran bermukus seperti mata, hidung dan mulut.

Leptospirosis turut disebarkan melalui air mani haiwan yang dijangkiti. Pekerja rumah penyembelihan boleh dijangkiti melalui sentuhan dengan cecair badan dan darah.

Manusia boleh dijangkiti melalui pendedahan kepada air, makanan atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti bakteria ini. Ini juga mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit

Leptospirosis yang sering menerima jolokan demam `swamp’ atau lumpur, ini mulai ‘membina reputasi’ sebagai penyakit pekerjaan dalam kalangan tukang paip dan pekerja loji kumbahan sekitar tahun 1883. Lantas tidak hairanlah apabila kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada kes Leptospirosis yang melibatkan manusia berlaku di tempat kerja.

Walaupun Leptospirosis dilabelkan sebagai penyakit pekerjaan (occupational disease) tetapi di negara-negara endemik, aktiviti rekreasi dan pengembaraan boleh menjadi faktor risiko utama pendedahan kepada bakteria genus Leptospira ini. Selain itu, orang awam juga boleh terdedah kepada bakteria ini melalui permukaan air bertakung, terutamanya selepas hujan dan banjir. Kawasan yang kotor dan tidak terjamin tahap kebersihannya, adalah lebih berisiko tinggi untuk menjadi kawasan Leptospira.

Jangkitan daripada manusia kepada manusia lain bagi penyakit ini jarang berlaku. Tetapi Leptospirosis ini masih boleh menular melalui hubungan seksual dan melalui penyusuan badan. Bakteria Leptospira masih boleh menjangkiti manusia lain melalui urin walaupun setelah berbulan-bulan selepas jangkitan.

Oleh kerana terdapat pelbagai jenis serotip bakteria Leptospira, maka seseorang pesakit yang telah sembuh daripada penyakit Leptospirosis boleh dijangkiti dengan strain lain dan boleh terus menyebarkan penyakit itu lagi.

Apakah tanda-tanda dan simptom-simptom Leptospirosis?
Petanda-petanda seperti demam panas, sakit-sakit otot, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan mata merah merupakan antara simptom yang dialami oleh pesakit-pesakit Leptospirosis.

Ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerang beberapa hari setelah simptom-simptom di atas mula reda. Penglihatan pesakit pula menjadi sedikit kabur. Simptom-simptom ini boleh berlanjutan sehingga beberapa hari dan mungkin juga berterusan selama berminggu-minggu.

Simptom-simptom leptospirosis lazimnya kelihatan begitu umum dan pesakit biasanya beransur pulih selepas kira-kira lima hari. Jadi, tidak mustahil pada kebanyakan masa, ia sering disalahdiagnosiskan sebagai demam panas, selesema atau petanda biasa yang lain.

Leptospirosis ini boleh menjadi lebih kronik. Ini merangkumi Penyakit Weil, yakni kegagalan ginjal, sakit kuning dan perdarahan pada kulit dan selaput lendir. Meningitis (radang selaput otak) dan pendarahan di paru-paru juga boleh berlaku. Leptospirosis juga lambat-laun boleh membawa maut.

Apakah kesan jangka panjang Leptospirosis?
Proses penyembuhan Leptospirosis memakan masa yang lama. Pesakit-pesakit Leptospirosis kadangkala mengalami keletihan kronik yang berlarutan selama berbulan. Malah, ada juga pesakit yang mengalami depresi dan sakit kepala yang berterusan. Kadangkala bakteria Leptospira ini boleh tinggal di dalam mata untuk satu masa yang lama dan mengakibatkan radang mata yang serius dan kronik.

Siapakah golongan-golongan berisiko tinggi?
Golongan yang kerap terdedah kepada haiwan seperti pekerja zoo, veterinar dan mereka yang membela haiwan peliharaan adalah termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat Leptospirosis. Selain itu, mereka yang bekerja sabagai peladang, pekebun dan rumah penyembelihan juga berisiko tinggi untuk terdedah kepada air, lumpur, tanah yang telah dikontaminasi oleh urin haiwan yang telah dijangkiti.

Golongan penggemar aktiviti sukan air atau rekreasi juga mempunyai risiko pendedahan terhadap air yang dikontaminasikan oleh urin haiwan pembawa seperti tikus, anjing atau khinzir.

Ada juga kajian dari Australia yang mengatakan bahawa lelaki adalah lebih kerap dijangkiti Leptospirosis berbanding wanita.

Bagaimana diagnosis bagi mengesahkan penyakit ini?
Seseorang doktor mungkin mengesyaki Leptospirosis pada seorang pesakit yang mengalami simptom 1-2 minggu selepas terdedah pada urin haiwan pembawa tersebut. Leptospirosis hanya boleh disahkan melalui ujian darah yang menunjukkan kehadiran bakteria Leptospira.

Untuk membuat diagnosis Leptospirosis, dua ujian darah berasingan perlu diambil dalam tempoh lebih daripada dua minggu. Selain itu, bakteria Leptospira juga boleh didapati dari darah, cecair tulang belakang kepada otak dan air kencing.

Apakah langkah pencegahan bagi penyakit ini?
Leptospirosis adalah penyakit yang boleh dielakkan. Beberapa tip langkah penjagaan boleh diamalkan bagi mencegah pendedahan kepada bakteria Leptospira.

Tutup luka dan lecetan kulit dengan balutan yang kalis air sebelum anda memulakan aktiviti/kerja di ladang/kebun atau tempat-tempat yang berpotensi untuk pendedahan kepada bakteria ini

Pakai pakaian pelindung seperti sarung tangan, pelindung mata atau gogel, apron dan but apabila bekerja di ladang ataupun bekerja dengan haiwan-haiwan yang berpotensi untuk dijangkiti dengan Leptospira, terutamanya apabila anda berpotensi untuk terdedah pada urin haiwan tersebut.

Bersihkan diri dan tangan selepas membuat kerja-kerja di ladang dan kebun

Pastikan anda tidak makan atau merokok semasa berada berhampiran dengan haiwan-haiwan yang mungkin dijangkiti ataupun semasa bekerja di kebun/ladang yang anda mungkin terdedah pada tanah yang telah dikontaminasi dengan bakteria tersebut.

Elakkan aktiviti rekreasi atau berenang di tempat-tempat yang berkemungkinan dicemari oleh urin haiwan

Kawal kehadiran tikus di tempat anda dengan memastikan kebersihan yang optimum. Buang semua sampah sarap dan kemaskan buangan sisa makanan, bagi mengelak kehadiran tikus

Sebelum minum atau membuka makanan di dalam tin, pastikan anda membasuh/membilas penutupnya terlebih dahulu bagi mengelak kemungkinan dijangkiti bakteria ini. Tin-tin ini mungkin terdedah pada urin haiwan pembawa Leptospira ketika di dalam stor.

Pastikan haiwan peliharaan anda mendapat vaksin dan rujuk kepada Klinik Veterinar bagi mengelak haiwan peliharaan anda daripada dijangkiti bakteria Leptospira.

Apakah rawatan bagi Leptospirosis?
Leptospirosis biasanya dirawat dengan antibiotik seperti doxycycline atau penicillin. Ujian dan diagnosis mengambil masa yang lama dan pesakit boleh menjadi lebih parah jika terus menunggu. Oleh itu, doktor akan memulakan rawatan dengan pengambilan antibiotik sebelum mengesahkan pesakit dengan Leptospirosis. Rawatan antibiotik adalah kaedah yang paling efektif untuk Leptospirosis jika rawatan itu dimulakan awal.

Safra Aina Adnan
FOMCA

Pada minggu lepas, jam 6 petang, saya telah pergi ke KL Sentral untuk urusan peribadi. Saya membuat keputusan untuk meletakkan kereta di stesen LRT Kelana Jaya dan mengambil tren LRT KL Sentral sebab cara ini merupakan cara yang paling cepat dan mudah pada masa lepas kerja itu. 

Tetapi, sebelum saya memasuki kawasan parkir kereta di stesen LRT Kelana Jaya, saya ternampak penghadang parkir kereta tersebut menunjukkan label “Touch N’ Go Park & Ride”, saya menyangka parkir kereta di situ menggunakan kad Touch N’ Go dan wang tunai, seperti mana hampir semua parkir kereta yang lain. Saya pun memandu kereta saya ke depan penghadang parkir kereta dan ingin mengambil tiket. Tetapi, apa  yang saya tidak jangka ialah tidak ada tiket parkir kereta kerana tempat itu hanya khas untuk pengguna Touch N’ Go sahaja.

Pihak berkuasa keselamatan pengguna di Amerika Syarikat sedang menyiasat satu kes aduan yang diterima dari Connecticut, tentang seorang kanak-kanak hampir tergantung oleh rantai yang ditawarkan dalam set makanan Happy Meal McDonald.

Michael Stephan, kanak-kanak berumur 4 tahun sedang memakai rantai, yang merupakan sebahagian daripada watak Katara dari wayang The Last Airbender, telah pengesan selama beberapa saat. Mengikut laporan The Associated Press, ibunya sempat mengeluarkan rantai itu daripada leher anaknya sebelum kejadian yang lebih serius berlaku.

Maze Stephan, ibu kepada Michael Stephan telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Pengguna (Consumer Protection Department) dan Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika (U.S. Consumer Product Safety Commission).

Maze Stephan memberitahu The Associated Press bahawa itu adalah pengalaman yang paling mengerikan dan beliau hampir kehilangan anaknya. Di samping itu, beliau juga tidak kejadian seumpama itu berlaku kepada kanak-kanak yang lain.

Beliau tidak membuat panggilan kecemasan kerana anaknya telah sedar, tetapi beliau membuat aduan pada malam itu juga.

Walau bagaimanapun, McDonald telah mengemukakan laporan bahawa semua alat mainan telah diperiksa di makmal bebas dan telah dipastikan selamat kepada kanak-kanak serta mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan. Promosi Airbender telah ditamatkan pada 22 Julai.

Selain itu, terdapat juga rekod keselamatan alat mainan di McDonald yang berada pada paras biasa bagi seluruh industri alat mainan. McDonald telah menarik balik 12 juta gelas minuman Shrek kerana telah berlaku pencemaran kadmium.

Menurut Jerry Farrel Jr. dari Suruhanjaya Perlindungan Pengguna, rantai plastik ini boleh dibuka di satu bahagian hujung dan dapat dilonggarkan untuk dimuatkan ke leher kanak-kanak. Suruhanjaya itu akan menentukan sama ada ia akan ditarik balik atau tidak.

Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati tentang produk berkaitan dengan wayang The Last Airbender yang dikeluarkan oleh McDonalds. Sekiranya sebarang kemalangan berlaku, melaporkan kepada pihak Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia di talian 03-7876 4648 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Akhbar hari ini melaporkan tentang air suam di beberapa buah kopitiam di Kuantan mengenakan caj sebanyak 50 sen hingga 60 sen. Beberapa orang pelanggan kopitiam tersebut tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana dianggap sebagai tidak munasabah.

Walaupun harga makanan di restoran termasuk kopitiam adalah tidak dikawal oleh kerajaan, namun ia tidak bermakna mereka boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga makanan dan minuman.

Menurut Akta Kawalan Harga 1946, semua peniaga hendaklah meletakkan tanda harga bagi barang jualan mereka. Tujuan penandaan harga itu bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada hendak melanggan di kedai tersebut atau tidak.

Kebiasaannya pelanggan restoran atau kopitiam akan membayar selepas makan dan minum. Mereka hanya mengetahui harga makanan dan minuman apabila ingin membayar di kaunter. Jika restoran tidak meletakkan tanda harga, maka pengguna boleh mempertikaikan harga yang dikenakan.

Jika pihak restoran enggan melayani bantahan pengguna, maka buat aduan kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di talian hotline: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman

Sesuatu pinjaman kewangan daripada bank adalah tertakluk kepada beberapa syarat dan terma yang ditetapkan. Biasanya syarat dan terma ini termaktub dalam perjanjian bertulis. Sebagai peminjam kita hanya menumpukan perhatian kepada beberapa syarat sahaja, seperti jumlah pinjaman kewangan, peratusan kadar bunga, jangkamasa bayar balik pinjaman dan jumlah bayaran ansuran bulanan. Jarang sekali, seseorang itu, mengambil tahu syarat-syarat lain yang sama pentingnya dan harus difahami, bahkan lebih penting daripada syarat-syarat dinyatakan di atas.

Salah satu syarat yang amat penting adalah peratusan kadar denda dikenakan ke atas peminjam, apabila peminjam mahu melangsaikan pinjaman sepenuhnya, lebih awal daripada tarikh tamat tempuh pinjaman sebenar. Mengikut sesuatu perjanjian pinjaman kewangan yang telah di tandatangani, penyelesaian awal dari tempuh tarikh telah ditetapkan merupakan satu pelanggaran syarat perjanjian dan akan dikenakan denda oleh pihak bank.

Kadar peratusan dan jumlah denda yang akan dikenakan ini adalah berbeza di antara bank. Bank juga sering menetapkan satu jangka masa tertentu dipanggil “log-in-period”, iaitu suatu jangka masa tiga atau lima tahun bermula dari tarikh akhir pinjaman dikeluarkan. Dalam jangka masa ini apabila seseorang mahu melangsaikan pinjaman secara penuh, maka dia akan dikenakan satu denda kadar peratusan yang tinggi. Kadar peratusan denda yang dikenakan pada masa ini boleh mencecah sehingga 4.5% daripada jumlah pinjaman. Selepas ”log-in-period” ini, kadar peratusan ini adalah rendah sehingga tamat tempoh pinjaman.

Pengenaan kadar denda ini juga tidak dimasukkan di dalam perjanjian, kecuali dianggap sebagai satu pengingkaran syarat perjanjian dan akan dikenakan satu denda. Oleh itu, sebagai peminjam, anda haruslah memahami bayaran denda ini sebelum melibatkan diri mereka untuk mengambil satu pinjaman bank ataupun apabila ingin melangsaikan penjaman lebih awal.

Ramai pengguna yang terkejut apabila diberitahu oleh pihak bank tentang bayaran denda yang begitu tinggi semasa menebus balik harta benda dari pegangan bank. Justeru, pengguna perlu mengetahui tentang syarat dan terma pinjaman termasuk denda melangsaikan hutang lebih awal.

 

Vasudavan Perumal
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang tergendala menimbulkan keraguan dan kebimbangan pelbagai pihak. Projek itu dikatakan dapat membantu mengatasi masalah air yang bakal berkurangan di Selangor pada masa akan datang. Ini kerana pembangunan yang pesat di Selangor mengakibatkan pertambahan kawasan-kawasan perumahan dan bandar-bandar baru kerana peningkatan jumlah penduduk. 

Justeru, permintaan terhadap bekalan air naik mendadak. Bekalan air di Selangor pada ketika ini dikatakan hanya mampu menampung jumlah penduduk sehingga tahun 2014, dan terdapat juga kenyataan yang mengatakan jumlahnya mampu membekalkan air sehingga tahun 2019. Namun, kapasiti sebenar air di negeri Selangor masih samar-samar dan mengelirukan semua pihak.

Walau apapun kedudukannya, kita seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang bakal melanda suatu hari nanti. Air merupakan sumber alam yang sangat berharga dan tidak seharusnya dipandang enteng dalam pengurusannya untuk kegunaan sejagat. 

Oleh itu, semua pihak yang terlibat diharap dapat bekerjasama dalam mencapai satu persetujuan yang boleh menguntungkan semua pihak, terutamanya penduduk Selangor. Antara yang boleh dilakukan ialah melantik sekumpulan pakar yang diiktiraf untuk menjalankan kajian anggaran permintaan air untuk masa akan datang, purata penggunaan air pada masa lepas, pada masa ini dan akan datang, serta membuat kajian tentang sumber-sumber lain yang boleh digunakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air daripada satu sumber sahaja.  

Hasil penyelidikan yang teliti itu kemudiannya dibentangkan kepada rakyat  agar mereka sedar bahawa dengan sumber air yang semakin terhad itu, pengguna memainkan peranan yang sangat penting bagi mengatasi masalah ini.

 

Syed Mubashir Syed Muhammad
Forum Air Malaysia