Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengadakan perbincangan dengan industri tentang penguatkuasaan standard keselamatan alat mainan kanak-kanak. Dalam perbincangan tersebut, pihak industri telah memohon agar penguatkuasaan untuk alat mainan tersebut ditangguhkan lagi.

Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Standard Keselamatan bagi Alat Mainan) 2009 telah diwartakan pada 30 Julai 2009 dan akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2010. Tetapi tempoh peralihan telah dilanjutkan sehingga 30 Julai tahun ini.

Selepas 1 Ogos, semua alat mainan yang baru atau diimport diwajibkan memohon Tanda Pematuhan Malaysia (MC Mark, Malaysian Conformity Mark). Sebarang alat mainan baru yang tidak memohon tanda ini tidak dibenarkan dijual di Malaysia.

Tanda pematuhan ini merupakan indikasi bahawa sesuatu barang yang dibekalkan atau dijual di Malaysia telah mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan dan selamat untuk dimainkan oleh kanak-kanak.

Namun, terdapat lagi stok alat mainan yang lama di pasaran yang pihak industri tidak dapat membekalkan sebarang laporan makmal bagi membuktikan pematuhannya kepada standard.

Stok lama ini tidak mempunyai label keselamatan iaitu Tanda Pematuhan Malaysia. Oleh itu status keselamatannya tidak diketahui.

Untuk memastikan keselamatan pengguna, pemantauan terhadap stok lama ini akan dilakukan oleh pegawai penguatkuasa KPDNKK. Jika alat mainan yang bahaya dan tidak mematuhi standard didapati, ia akan ditarik balik daripada pasaran.

Walau bagaimanapun, mengikut laporan berita yang disiarkan oleh akhbar Oriental Post pada 7 Julai 2010, KPDNKK bercadang akan melanjutkan tarikh penguatkuasaan ini bagi membolehkan pihak industri menghabiskan stok yang sedia ada. Jika lanjutan tempoh ini dibenarkan, maka alat mainan stok ini ini bukan sahaja tidak dapat menjamin keselamatan pengguna, tetapi akan mengakibatkan kes-kes kecederaan yang tidak diingini.

Oleh itu, alat mainan yang tidak mempunyai label MC sepatutnya dikeluarkan daripada pasaran. Ini disebabkan alat mainan tersebut tidak dibuktikan keselamatannya.

Pengguna mempunyai hak untuk keselamatan. Oleh itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjamin keselamatan pengguna dengan hanya membenarkan produk yang selamat sahaja dijual di Malaysia.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Dapur merupakan bahagian penting bagi sebuah rumah. Tetapi, dapur merupakan satu tempat yang tidak begitu selamat untuk kanak-kanak terutamanya kanak-kanak kecil. Di dapur terdapat pelbagai bahaya seperti peralatan memasak yang tajam, bahan kimia seperti pencuci pinggan mangkuk, bahan masakan dan sebagainya.

Selain menyimpan dan mengunci semua bahan kimia beracun, terdapat beberapa tindakan pencegahan keselamatan lain yang penting dan perlu diberi perhatian di dapur. Paling penting untuk diingati bahawa kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan bersendirian walaupun untuk beberapa saat di dapur.

Keselamatan Umum
Jangan biarkan terdapat kabel elektrik yang menjuntai di tepi meja. Alat-alat kecil seperti pengadun, pembuat kopi, ketuhar gelombang dan seumpamanya hendaklah dicabut apabila tidak digunakan dan disimpan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Simpan semua peralatan masak selepas digunakan, terutama pisau yang tajam atau peralatan yang hujungnya runcing. Jauhkan semua pisau di luar jangkauan anak anda.

Sampah hendaklah diletakkan di bakul sampah dengan tudung yang tidak mudah untuk dibuka atau menyimpannya di bawah sinki dan kuncikan.

Peralatan dapur
Ketika membeli peralatan baru, cari model yang bersuis dan butang-butang di luar jangkauan anak kecil.

Ajarkan anak pada usia awal lagi untuk mengenai erti "panas" dan sebarang butang pada peralatan tidak boleh disentuh.

Pastikan bahawa anak anda tidak berada di bawah kaki anda apabila anda sedang memasak atau memegang bekas makanan yang panas. Ketika memasak, minyak yang mungkin tumpah atau berhamburan juga membahayakan anak anak jika berada berdekatan.

Jika kemalangan berlaku, kawasan tubuh yang melecur itu hendaklah diletakkan di aliran air sejuk sehingga rasa sakit reda (Jangan gunakan ais, yang boleh menyebabkan radang dingin).

Ketuhar Gelombang
Pastikan ketuhar gelombang mikro sudah diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.

Peti sejuk
Beberapa makanan boleh menjadi racun bagi kanak-kanak, terutamanya jika makan tersebut telah rosak . Makanan-makanan lain seperti sos-sos atau makanan yang belum dimasak boleh membawa bahaya kepada kanak-kanak jika mereka memakannya. Atau, mereka mungkin boleh tercekik atau botol kaca tersebut boleh pecah dan mencederakan mereka.

Untuk mengelakkan kanak-kanak daripada membuka pintu peti sejuk, anda boleh memasang kunci peti ais di bahagian atas pintu. Tapi anak-anak yang kecil ini biasanya tidak mempunyai kekuatan untuk membuka pintu peti sejuk . Jika anda meletakkan hiasan bermagnet pada peti sejuk, pastikan mereka terlalu besar agar tidak boleh masuk ke dalam mulut anak kecil. Pastikan magnet itu sendiri tidak longgar atau tidak mudah tercabut..

Mesin pencuci pinggan mangkuk dan mesin pencuci kain
Kanak-kanak suka menekan butang dan panel kawalan kerana ia boleh menarik perhatian mereka. Cara paling mudah untuk menjaga anak anda daripada bermain dengan kawalan mesin basuh pinggan dan mesin pencuci kain adalah untuk membeli mesin yang sukar bagi kanak-kanak anak untuk mengendalikan dan membukanya. Anda juga boleh mengunci pintu mesin dengan pengikat perkakas sedia ada.

Serbuk dan cecair pencuci pula harus diletakkan di tempat yang tinggi supaya kanak-kanak tidak boleh mencapainya.


Mohana Priya
Persatuan Pengguna- Pengguna Standard Malaysia

WECAM telah dijemput untuk terlibat dalam proses penelitian Rang Undang-Undang Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007. Hasil penelitian WECAM telah diberikan kepada Menteri dan juga parlimen. Terdapat banyak perkara yang tidak kena dengan akta ini.

Baru-baru ini, WECAM telah dijemput untuk menjadi panel Impak Alam Sekitar (EIA) bagi lima projek insinerator oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. WECAM membantah projek ini kerana tidak ada pelan induk bagi projek ini. Selain itu, insinerator dilihat sebagai pilihan yang mudah untuk melupuskan sampah. Rakyat telah dijanjikan satu penyelesaian yang lebih baik untuk pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Sehingga kini, kita tidak melihat apa-apa perubahan. Ini merupakan undang-undang yang perlu ditolak segera.

Sebagai contoh, jika pengguna domestik membuang sisa elektronik seperti bateri dan peralatan elektrik, ia masih sisa pepejal. Jika syarikat pengurusan sisa mengutip dan menguruskannya, maka ia menjadi sisa terjadual. Siapa akan menanggung kos ini?

Penstrukturan semula pengurusan sisa pepejal hanya memberikan tumpuan kepada tapak pelupusan ‘sanitari’ dan insinerator. Terdapat juga tapak pelupusan sanitari yang tidak mempunyai kemudahan mengurangan sisa. Jika ini dianggap sebagai satu perancangan, maka saya khuatir ia menjadi satu kegagalan yang besar.

Salah satu langkah yang perlu diambil adalah mengelakkan percampuran sisa di antara sisa organik dan sisa kering yang lain. Sisa organik boleh dicampur dengan sisa kumbahan untuk menghasilkan gas metana yang banyak. Ini dapat menjana elektrik dengan berkesan. Dengan memisahkan sisa organik daripada aliran sisa pepejal, kita dapat laksanakan kitar semula yang berkesan.

WECAM juga berasa kesal kerana saranan WECAM yang berulang-ulang itu tidak diendahkan langsung. WECAM masih percaya bahawa setiap sisa adalah satu sumber. Ia adalah bergantung kepada kemahuan sesebuah kementerian, sama ada untuk melakukannya atau tidak.

 

Piarapakaran Subramaniam
Setiausaha Agung
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM)

 

Tidak terdapat sebarang maklumat dan data keselamatan mengenai bahan kimia yang dikesani di dalam bijirin sarapan Kellogg yang ditarik balik daripada pasaran pada minggu lalu. 

Kellogg telah menarik balik 30 juta kotak bijirin sarapan daripada pasaran akibat pengeluaran bau yang tidak menyenangkan. Ramai pengguna telah jatuh sakit selepas menghidu dan makan bijirin sarapan itu.

Kajian makmal yang dilakukan gagal mengesan kehadiran sebarang bahan aditif makanan atau bahan daripada bungkusan makanan yang mungkin menjadi punca masalah untuk bau yang aneh ini. Namun, US Environmental Working Group, EWG telah mendapati bahawa bau dalam makanan itu berasal daripada bahan kimia, iaitu Methylnaphthalene.

Amaran telah diberikan kepada orang awam untuk berwaspada kepada demam denggi semasa musim hujan. Keadaan dijangka bertambah teruk akibat fenomena La Nina yang sedang berlaku di rantau ini.

Menteri kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menyatakan kebimbangan beliau bahawa, walaupun kes purata demam denggi telah menurun di seluruh Malaysia, tetapi kes kematian telah meningkat.

“Sehingga 4 Julai 2010, terdapat 24,240 kes dengan 81 kes kematian, berbanding dengan 25,234 kes pada tahun lalu yang hanya mencatat 62 kes kematian. Selangor mencatatkan kes demam denggi yang paling tinggi, yang mencecah 10,699 kes dengan 34 kes kematian,” kata beliau.

Di Sibu sahaja, peningkatan bilangan kes demam denggi mencapai 589% berbanding dengan tahun lalu.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia telah mengumumkan bahawa fenomena La Nina yang akan menyebabkan hujan lebat di Malaysia, sedang berkembang dan menjadi lebih kuat pada masa yang akan datang.

Kempen Menghapuskan Nyamuk Aedes telah dilancarkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai pada minggu lalu bertujuan melibatkan aktiviti-aktiviti menghapuskan habitat nyamuk Aedes seperti aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kampung, kawasan perumahan dan juga kota-kota.

Kementerian juga akan meningkatkan aktiviti penyemburan ubat nyamuk di kawasan-kawasan yang mencatat kes demam denggi yang tinggi. Selain itu, bilik operasi kes demam denggi akan beroperasi pada setiap hujung minggu.

Dengan itu, sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, periksalah sekeliling rumah anda untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan membuangkan air yang bertakung dan menyembur ubat nyamuk.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia

 

NCCC sering menerima aduan tentang perkhidmatan pengeluar kereta tempatan dan kualiti kereta keluaran mereka. Aduan yang dibuat oleh pengguna pengguna terhadap kereta tempatan amat membimbangkan kerana ia boleh memberi kesan kesan negatif kepada industri automotif tempatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengeluaran kereta dijangka merosot kepada 480,000 unit pada tahun 2010, berbanding dengan pengeluaran pada tahun 2009 sebanyak 550,000 unit – yang merupakan pengurangan kira-kira 20 peratus. Menurut beliau kemerosotan itu berpunca daripada jangkaan keyakinan pengguna yang semakin menurun dan kawalan kredit bank yang semakin ketat.

Keyakinan pengguna adalah kunci paling utama kejayaan bagi pengeluar dan penjual. Jumlah aduan yang tinggi diterima oleh NCCC, dan ulasan pengguna di dalam blog, forum serta media massa lain secara terus akan mengurangkan prestasi dan pengeluaran kereta tempatan. Tindakan dan perubahan serta-merta harus dilakukan daripada pihak pengeluar agar meraihkan balik sokongan pengguna tempatan. Masalah utama seperti kerosakan enjin, “overheating” dan sebagainya dalam tempoh masa awal penggunaan lagi seperti dalam minggu pertama selepas menerima kereta tersebut, menyebabkan pengguna tidak berpuas hati dengan kereta tempatan.

Selain itu, harga kereta tempatan yang kian meningkat, yang hampir menyamai kereta import dan juga kadar faedah yang tinggi untuk kereta tempatan membuatkan semua pihak untuk berfikir lagi untuk membelinya kerana kepentingan utama juga diberikan untuk komitmen dan bajet masing-masing.

Komitmen dan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik disediakan pengedar kereta import, menyulitkan pengguna untuk memberikan sokongan kepada kereta tempatan.

Industri kereta tempatan disarankan supaya meningkatkan KUALITI, mengurangkan HARGA dan memberi keutamaan KUALITI PERKHIDMATAN agar ia dapat meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekiranya suatu aduan dikemukakan, pihak yang dipertanggungjawab perlu menyediakan kaedah penyelesaian yang baik dan cepat. Sebelum kereta diberikan kepada pembeli, kereta tersebut dipastikan dupaya “SIFAR KEROSAKAN”. Jangan menyerahkan kereta yang tidak sempurna kepada pembeli kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada semua pihak dan merosakkan nama industri kereta itu sendiri.

NCCC juga turut berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Industri Automotif Tempatan bekerjasama dalam meneliti langkah-langkah pemulihan dan pembaharuan agar meningkatkan sokongan dan keyakinan pengguna. Sekadar promosi tidak memadai, apa yang diharapkan adalah perubahan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

NCCC yakin sekiranya industri kereta tempatan dan kerajaan tampil hadapan untuk memberikan jaminan kualiti dan pengurangan harga dan kadar faedah yang bersesuaian, ia akan meningkatkan pengeluaran dan sokongan pengguna terhadap pengeluar dan kereta tempatan.

Kerajaan kini dalam proses untuk menyemak semula Dasar Automotif Negara. Perundingan sedang dilakukan dalam kalangan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta persatuan industri berkenaan, bagi memastikan Dasar Automotif Negara dapat menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan industri itu. Semakan semula Dasar itu akan menambahbaik lagi garis panduan, dasar dan insentif sedia ada, dengan mengambil kira impak keadaan ekonomi global dan serantau.


Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

ISO 50001 standard untuk pengurusan tenaga telah diluluskan baru-baru ini sebagai draf standard antarabangsa - Draft International Standard (DIS).

ISO 50001 akan membina sebuah kerangka untuk tanaman industri, kemudahan komersial atau semua organisasi yang menguruskan tenaga. Sasaran pelaksanaan yang meluas di seluruh sektor ekonomi nasional menjangkakan bahawa standard ini boleh mempengaruhi hingga 60 peratus daripada penggunaan tenaga di dunia.

Dokumen ini berdasarkan kepada elemen-elemen umum yang terdapat dalam semua standard sistem pengurusan ISO, bagi memastikan tahap dan kesetaraan yang tinggi dengan ISO 9001 (pengurusan kualiti) dan ISO 14001 (pengurusan persekitaran).

ISO 50001 akan memberikan manfaat sebagai berikut:

Kerangka kerja untuk mengintegrasikan kecekapan tenaga dalam amalan pengurusan
Penggunaan aset tenaga yang sedia ada
Permulaan,pengukuran, pendokumentasian, dan pelaporan peningkatan intensiti tenaga dan kesannya yang ditunjukkan pada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG)
Ketelusan dan komunikasi tentang pengurusan sumber tenaga
Amalan Terbaik Pengurusan Tenaga
Menilai dan mengutamakan pelaksanaan teknologi kecekapan tenaga yang baru
Kerangka kerja untuk meningkatkan kecekapan tenaga di seluruh rantaian bekalan
Pembaikan pengurusan tenaga dalam konteks projek pengurangan pembebasan GHG.
ISO 50001 sedang dibangunkan oleh jawatankuasa projek ISO ISO / PC 242 pengurusan tenaga. Sekretariat ISO / PC 242 ini diwujudkan dengan kerjasama ahli ISO Amerika Syarikat (ANSI) dan Brazil (ABNT). 42 buah negara yang menjadi ahli ISO menyertai dalam kerja-kerja pembangunan standard, dengan 10 ahli sebagai pemerhati.

Kini, setelah ISO 50001 telah maju ke tahap draf standard antarabangsa, ahli badan ISO kebangsaan telah dijemput untuk memilih dan memberikan pandangan teks standard selama tempoh lima bulan bagi pungutan suara.

Jika keputusan undian draf standard antarabangsa positif, dokumen tersebut akan diedarkan kepada ahli ISO sebagai Final Draft International Standard (FDIS) atau draf akhir standard antarabangsa. Jika undian adalah positif, maka ISO 50001 dijangka akan diterbitkan sebagai Standard Antarabangsa pada awal tahun 2011.

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Sempena Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) 2010 ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Penguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menganjurkan Pertandingan Kepenggunaan.

Objektif utama penganjuran program pertandingan ini adalah untuk memberi makluman dan kesedaran mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun dalam bentuk pelbagai pertandingan yang dianjurkan. Pendidikan dan kesedaran kepenggunaan tidak hanya diperolehi secara formal melalui ceramah, bengkel, seminar, kempen, penerbitan dan sebagainya, ia juga boleh disemai melalui aktiviti-aktiviti seperti pertandingan.

Sebanyak 7 kategori pertandingan kepenggunaan telah diadakan. Pertandingan-pertandingan tersebut ialah:

Mengarang Esei Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, guru dan pensyarah, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Swasta, Institut Pendidikan Guru dan Kolej.
Melukis Poster Kepenggunaan untuk pelajar sekolah rendah, menengah dan awam
Kartun Kepenggunaan untuk awam
Fotografi Kepenggunaan untuk amatur
Buku Skrap dan Folio Kepenggunaan untuk kelab pengguna sekolah
Mewarna Kepenggunaan untuk kanak-kanak dan pelajar sekolah rendah
Blog Kepenggunaan untuk pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.
Topik pertandingan adalah berkaitan dengan isu kepenggunaan global termasuk amalan penggunaan lestari, perkhidmatan awam, pengurusan kewangan berhemah, keselamatan makanan, perubahan cuaca dan isu-isu berkaitan dengan kepenggunaan.

Bagi menyertai pertandingan ini, mereka perlu membuat kajian melalui pelbagai bahan bacaan dan laman web. Ini secara tidak langsung akan memberikan maklumat kepada mereka tentang ilmu kepenggunaan. Ia juga bertujuan untuk melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk turut serta dalam menjayakan Hari Pengguna Malaysia ini

Pertandingan Kepenggunaan yang memasuki tahun ke-9 ini berlangsung selama 4 bulan, iaitu bermula pada 18 Februari sehingga 31 Jun 2010. Sehingga tarikh tutupnya, jumlah penyertaan pertandingan kepenggunaan pada tahun ini amat mengalakkan, iaitu sebanyak 60,894 penyertaan telah diterima. Jumlah penyertaan pada tahun ini merupakan jumlah terbanyak yang diperolehi sepanjang penganjuran Pertandingan Kepenggunaan bermula tahun 2002 hingga tahun 2010. Pertambahan penyertaan ini disebabkan oleh promosi pertandingan melalui program jangkauan yang diperhebatkan, khususnya di sekolah-sekolah dan komuniti.

Sebanyak 23 pasar raya giant dan 7 buah pusat komuniti telah diadakan program pertandingan mewarna kepenggunaan, yang melibatkan penyertaan sebanyak 6,318 orang. Manakala promosi pertandingan yang diadakan di sekolah seluruh Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 49 buah yang menyaksikan jumlah penyertaan pelajar sebanyak 10,723 orang. Bagi memudahkan penyebaran maklumat tentang pertandingan kepenggunaan ini, FOMCA telah mengadakan laman web khas, iaitu www.mypengguna.com. Laman web ini mengandungi semua maklumat pertandingan kepenggunaan yang diperlukan. Selain itu, beberapa pertandingan juga boleh dihantar secara on-line melalui laman web ini bagi memudahkan para peserta menyertai pertandingan tersebut.

Bagi tahun 2010, FOMCA telah menyediakan hadiah sebanyak RM150,000 bagi keseluruhan pertandingan. Sementera itu, sebanyak RM9,000 diperuntukkan bagi Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah. Semua peserta pertandingan akan diberikan sijil penyertaan.

Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kepenggunaan 2010

Majlis penyampaian hadiah pertandingan kepenggunaan 2010 akan diadakan di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, Ipoh, Perak. Selain penyampaian hadiah bagi semua pertandingan kepenggunaan, pelbagai acara juga diadakan pada hari tersebut, iaitu pertandingan mewarna akhir bagi kanak-kanak pra-sekolah dan sekolah rendah, gerai pameran, demontrasi dan sebagainya. Tetamu dijangkakan mencecah 2,500 orang akan hadir pada majlis ini terdiri daripada semua pemenang di seluruh Malaysia, ibu bapa, penjaga, guru-guru,pensyarah, wakil – wakil dari jabatan kerajaan, dan badan-badan korporat

Majlis ini akan disempurnakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pogram Pertandingan Kepenggunaan ini turut ditaja oleh pelbagai syarikat korporat, antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, GCH (M) Sdn Bhd, Pertroliam Nasional Berhad, Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill, minuman Tropicana Twister, Astro, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dan sebagainya.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membentangkan  Dasar Pengguna Negara yang baru pada akhir tahun ini bagi menggantikan Dasar Pengguna Negara yang sedia ada.

Demikian diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) baru-baru ini.

Langkah kerajaan itu amat dialu-alukan kerana Dasar Pengguna Negara merupakan dokumen yang penting dalam menentukan hala tuju kerajaan dalam bidang kepenggunaan di negara ini.

Kenaikan kadar faedah pinjaman sewa beli menjadi amaran meningkatnya jumlah penarikan semula kereta. Ini sudah pasti akan memberi kesan buruk kepada pengguna dan sosioekonomi!

Bank dan penjual kereta memaklumkan bahawa kadar faedah bagi pinjaman sewa beli telah meningkat lebih daripada 4% dan akan terus meningkat. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, faedah pinjaman sewa beli hanya berada di sekitar 2% dan kini meningkat dengan lebih dua kali ganda tanpa disedari.

Peningkatan kadar faedah ini sudah pasti memberikan kesan negatif kepada rakyat dan sosio ekonomi negara. Berdasarkan aduan yang diterima, menunjukkan jumlah aduan terhadap penarikan semula semakin meningkat. Ini adalah kesan langsung kepada pengguna.

Berikut diperjelaskan kesan daripada kenaikan kadar faedah pembelian sewa beli ini.

Pertama, kita perlu memahami bahawa mungkin terdapat peningkatan kecil dalam ekonomi negara, tetapi tiada peningkatan dalam ekonomi rakyat (aliran kewangan). Gaji pengguna masih sama, manakala kos hidup di Malaysia sangat tinggi berbanding dengan luar negeri. Pada masa kini, kereta merupakan salah satu keperluan asas, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja, kaum wanita dan mereka yang mempunyai keluarga. Dalam keadaan yang sukar dengan cadangan kerajaan menarik semula subsidi, maka kenaikan faedah pinjaman sewa beli akan membebankan rakyat.

Kedua, kenaikan kadar faedah akan menambahkan beban kepada pembeli kereta. Mereka terpaksa membayar lebih, misalnya orang yang membeli kereta pada tahun 2009 hanya membayar RM 530,00 sebulan, tetapi orang-orang yang membeli kereta pada sekarang harus membayar hampir RM 650,00 untuk kereta yang sama.

Setiap orang akan menghabiskan lebih banyak masa untuk urusan kereta mereka. Disebabkan kadar bayaran yang lebih tinggi, menyebabkan mereka mungkin tidak mampu untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan, yang akhirnya menyebabkan kereta mereka akan ditarik balik. Penarikan balik kereta juga memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi dan rakyat, kerana mereka perlu membayar kos penyimpanan dan tarik kereta dengan kos yang begitu mahal. Berapa banyak orang yang mampu menebus kereta mereka secepat mungkin?

Selain daripada kadar tunggakan baki yang kian meningkat, pengguna juga akan terpaksa mengeluarkan wang yang lebih kerana terpaksa mengunakan perkhidmatan pengangkutan lain.

1. Aktiviti harian akan terganggu tanpa kereta
2. Mengalami perasaan malu apabila berdepan dengan rakan, jiran dan keluarga.
3. Terpaksa berhutang lebih dengan bank kerana bayaran akan dikenakan untuk “storage fees” dan kos tarik kereta
4. Mempengaruhi kebahagiaan di dalam keluarga
5. Disenarai hitam oleh bank dan sebagainya

Ramai pengguna yang tidak sedar tentang pindaan Akta Sewa Beli yang akan membawa perubahan dalam proses penarikan semula kereta. Antara pindaan utama Akta ini ialah peluang yang diberikan kepada peminjam yang telah membayar pinjaman lebih daripada satu pertiga pinjaman. Bank diwajibkan untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk proses penarikan semula. Namun secara realitinya, kebanyakan peminjam sewa beli yang bermasalah adalah di bawah kategori peminjam yang menjelaskan kurang daripada satu pertiga, pembeli kereta yang baru dan golongan muda yang baru menjejaki alam perkerjaan. ini.

Oleh itu, kerajaan dan Bank Negara Malaysia perlu mengkaji secara mendalam kesan yang bakal dihadapi oleh pengguna akibat daripada kenaikan kadar faedah sewa beli. Kadar faedah perlu diturunkan sehingga kepada tahap minimum bagi menjaga kebajikan dan masa depan rakyat. Jika ini dilakukan, lebih ramai lagi rakyat yang akan membeli kereta, yang seterusnya akan meningkatkan ekonomi dan aliran kewangan negara.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)