Melangkahkan kaki ke Medan Selera Jalan 223, Petaling Jaya terasa bagaikan seluruh suasana telah bertukar menjadi hitam putih. Seolah-olah seperti anda berada dalam TV dari filem tahun 50-an yang kemudahan-kemudahan yang ada usang dan terbatas.

Tetapi, pengunjung yang datang untuk makan tengah hari nampaknya tidak peduli dengan suasana ini dan terus duduk, makan dan berbual bersama-sama teman. Apa yang menariknya di medan selera ini, pelbagai gerai yang dibuka dengan bermacam-macam pilihan untuk pengunjung.

Di sini terdapat beberapa gerai makanan Cina, Melayu dan India yang menepati selera pengunjung. Harganya juga berpatutan. Lebih menggembirakan untuk dilihat apabila toleransi dan sikap tolong-menolong antara pengusaha gerai sangat baik. Kebanyakan pengunjung datang dari bangunan dan kolej berhampiran.

Sayangnya, persekitaran Medan Selera ini tidak dijaga dengan baik. Gerai-gerai yang berkarat dan hampir roboh, ditambah pula dengan bumbung yang sering menempiaskan air tatkala hujan. Ini menyebabkan pengusaha terpaksa menggunakan plastik-plastik untuk menutupi lauk-pauk dan kuih muih yang dijual. Paling menyedihkan adalah tandas di premis berkenaan yang boleh membuatkan anda jijik untuk berada berdekatan dengannya.

Apakah yang boleh pengusaha gerai-gerai di situ lakukan untuk menaik taraf keadaan di situ? Apakah pula yang pengunjung yang selalu datang di situ lakukan untuk mendapatkan makanan dan persekitaran yang bersih? Bukankah golongan-golongan ini berhak mendapatkan sesuatu yang baik? Adakah jawapannya ada pada Majlis Bandaraya Petaling Jaya atau kerajaan negeri Selangor? Saya masih tertanya-tanya jawapannya.

 


Azwani Abdul Rahman
Bahagian Hak Asasi Manusia
ERA Consumer Malaysia

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini mendapati bahawa makanan yang tinggi kandungan gulanya mungkin akan menambah risiko penyakit tekanan darah tinggi.

Sebanyak 4,528 orang dewasa yang tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit tekanan darah tinggi terlibat dalam kaji selidik ini.

Mereka mengambil 73.7 gram gula fruktosa dalam bentuk gula atau sirup sehari dan menunjukkan risiko gandaan pada tekanan darah di mana tekanan sistolik akan melebihi 160. Secara amnya, tekanan sistolik seseorang dewasa adalah tidak melebihi 120.

Pada pemeriksaan tekanan darah, dua angka didapati. Angka yang lebih tinggi diperoleh pada saat jantung berkontraksi (sistolik), angka yang lebih rendah diperoleh pada saat jantung berelaksasi (diastolik). Tekanan darah kurang dari pada120/80 mmHg diklasifikasikan sebagai "normal". Pada tekanan darah tinggi, biasanya tekanan sistolik dan diastolik akan menaik secara mendadak. Tekanan darah tinggi biasanya terjadi pada tekanan darah 140/90 mmHg atau ke atas.

Dr Michel Chonchol, Profesor Madya Perubatan di Pusat Sains Perubatan Universiti Colorado Denver menyatakan bahawa tekanan sistolik merupakan tumpuan kajian mereka. Ini adalah kerana perubahannya adalah besar.

Dr Chonchol menyatakan bahawa kajian yang terperinci perlu dijalankan untuk membuktikan fruktosa dalam makanan memainkan peranan yang penting dalam penyakit tekanan darah tinggi.

Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association) mencadang supaya mengurangkan makanan dan minuman yang ditambah dengan gula. Mereka berpendapat bahawa pengambilan gula yang berlebihan akan meningkatkan tekanan darah.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Ketika membahaskan tentang Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Pindaan) 2010, beberapa orang Ahli Perlimen telah mencadangkan supaya mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan diwujudkan di sekolah rendah. Ini bertujuan agar ilmu kepenggunaan diberikan secara khusus melalui mata pelajaran tersebut kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah.

Cadangan yang dibuat oleh beberapa orang wakil rakyat itu menunjukkan keprihatinan mereka peri pentingnya pendidikan kepenggunaan diajar kepada kanak-kanak agar mereka dapat terdidik sebagai pengguna yang bijak dan berpengetahuan.

Isu tentang mata pelajaran khusus tentang kepenggunaan ini telah lama diperkatakan oleh pergerakan pengguna di Malaysia. Perjuangan agar ilmu kepenggunaan ini diajar di sekolah memang menjadi perjuangan pergerakan pengguna pada tahun 1980-an. Begitu juga dengan perjuangan agar diwujudkan Kelab Pengguna Sekolah. Beberapa perbincangan juga diadakan dengan pegawai Kementerian Pelajaran tentang perkara ini.

Hasil perbincangan yang dijalankan, dipersetujui bahawa pendidikan kepenggunaan perlu diajar di sekolah, namun ia bukannya dalam satu mata pelajaran yang khusus. Sebaliknya pendidikan kepenggunaan dimasukkan dalam sukatan pelajaran bagi beberapa mata pelajaran, seperti kemahiran hidup, matematik, sains dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menjadikan pendidikan kepenggunaan itu merentasi kurikulum. Semenjak iui ilmu kepenggunaan dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah, termasuk juga sekolah menengah, khususnya bagi mata pelajaran perdagangan, ekonomi dan sebagainya.

Kini cadangan mewujudkan mata pelajaran kepenggunaan timbul kembali. Mungkin cadangan ini perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan keadaan gaya hidup kanak-kanak pada masa ini. Kanak-kanak begitu terdedah dengan pelbagai pengaruh, khususnya pengaruh iklan menyebabkan mereka terpengaruh mengambil makanan dan menggunakan produk berdasarkan pengaruh iklan tersebut.

Hasil daripada tinjauan ketika mengadakan sesi pendidikan kepenggunaan di sekolah rendah, mendapati bahawa kanak-kanak tidak didedahkan dengan pendidikan kepenggunaan, khususnya hak-hak dan tanggungjawab pengguna. Mungkin hak-hak dan tanggungjawab pengguna ada diselitkan dalam beberapa mata pelajaran, lantaran tumpuan tidak diberikan, maka ia terlepas pandang oleh kanak-kanak sekolah tersebut.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia, perlu memberikan perhatian terhadap pendidikan kepenggunaan di sekolah. Aspek pendidikan kepenggunaan merentasi kurikulum masih lagi relevan. Tidak semestinya diwujudkan satu mata pelajaran kepenggunaan yang khusus. Apa yang perlu dilakukan ialah menambah elemen ilmu kepenggunaan dalam sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang berkaitan.

Dengan mendapat ilmu kepenggunaan ini, kanak-kanak sekolah ini dapat dihindar daripada mengambil makanan dan minuman yang tidak berkhasiat, menjalani gaya hidup lestari, menabung untuk keperluan masa hadapan dan sebagainya.

Apa yang penting mereka ini terdidik sebagai pengguna yang bijak dan berpengetahuan dalam menjalani kehidupan mereka seterusnya.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman

Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (Intergovernmental Panel on Climate Change, IPCC) dalam 2007 Climate Change Synthesis Report melaporkan bahawa pemanasan global adalah benar dan sedang berlaku.

IPCC juga menyatakan bahawa 60 peratus daripada jumlah karbon dioksida yang dilepaskan adalah daripada sektor tenaga.

Melalui peningkatan suhu yang dapat diperhatikan dalam purata suhu udara dan laut sedunia, kecairan ais dan salji yang berleluasa dan peningkatan purata paras air laut sedunia jelas menunjukkan pemanasan global sedang berlaku.


Corak cuaca ekstrim yang sedang kita alami pada masa ini merupakan hasil daripada pemanasan global.

Kesan-kesan pemanasan global ini menunjukkan kepentingan untuk memelihara dan menguruskan sumber semula jadi dengan baik.

Di Malaysia, kita masih menggunakan campuran arang batu dan gas asli untuk menjana tenaga dan sebahagian besarnya digunakan untuk menjana tenaga elektrik. Walau bagaimanapun, sumber-sumber asli yang tidak boleh diperbaharui ini akan kehabisan pada masa yang akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) dan Model Ekonomi Baru, kerajaan bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan ekonomi kurang karbon. Ini telah mencadangkan kedahagaan kita terhadap sumber-sumber asli seperti arang batu, minyak dan gas asli harus berhijrah kepada tenaga alternatif yang lebih mesra alam dan lestari. Contohnya, penjanaan elektrik melalui suria, biojisim dan hidro.

Inovasi adalah kritikal dalam perjalanan menuju ke negara maju yang berkecekapan tenaga.

Dalam RMK8, kerajaan telah menggabungkan tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy, RE) sebagai sumber ke-5 dalam campuran tenaga yang sedia ada. RE merangkumi biojisim, biogas, tenaga hidro, angin, ombak, pasang laut, geothermal dan senarai ini masih bertambah.

Pada akhir Disember 2009, jumlah kapasiti RE yang disambung ke grid hanya 53MW daripada sumber RE dan 1MW daripada sel suria fotovoltaik.

Sumbangan RE sebanyak 0.15% ini ke dalam campuran penjanaan elektrik negara kita adalah tidak menghairankan.

Kini, RE merupakan sesuatu yang penting dalam usaha reformasi penggunaan tenaga.

Negara seperti Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Itali mempunyai banyak program RE dan telah menjadi saingan pemerintah-pemerintah dunia dalam pembangunan RE.

Negara-negara di atas telah menunjukkan dunia bahawa RE hanya boleh berkembang dengan usaha kerajaan melalui polisi tenaga sesebuah negara.

Pada 4 April 2010, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju dalam polisi dan pelan tindakan RE baru.

Polisi RE ini menyatakan pertambahan dalam penggunaan sumber RE untuk membekalkan dan menjamin penjanaan eletrik dalam negara dan pembangunan sosioekonomi yang lestari.

Mekanisme Feed-In Tariff (FiT) merupakan langkah asas yang digunakan oleh kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan RE dalam Malaysia.

Ini merupakan mekanisme khas dalam membenarkan elektrik yang dijanakan oleh sumber RE akan dijual kepada pembekal elektrik pada harga dan tempoh yang telah ditetapkan.

Laporan daripada International Energy Agency,United Nations Development Programme dan the Stern Review Report bersetuju bahawa mekanisme Feed-In Tariff
merupakan program insentif kerajaan yang berkesan untuk teknologi yang boleh diperbaharui.

Negara-negara yang telah mengaplikasikan FiT telah menunjukkan kadar petumbuhan yang besar dalam penggunaan teknologi RE.

Dengan polisi dan pelan tindakan RE yang baru berada di atas landasan, Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam penggunaan RE di rantau ini.

Matlamat Malaysia adalah pada hujung RMK10 dan pada tahun 2020, teknologi RE mampu membekalkan 1 giga watts atau 6% dan 2 giga watts atau 11% dalam campuran penjanaan elektrik.

Mekanisme FiT akan berupaya untuk mengelakkan pelepasan sebanyak 11.1 juta dan 42.1 juta ton gas karbon dioksida daripada sektor penjanaan tenaga pada 2015 dan 2020.

Kementerian telah memulakan draf untuk Rang Undang-Undang Tenaga Yang Boleh Diperbaharui. Rang Undang-Undang ini akan merangkumi semua fafaktor kritikal yang diperlukan untuk memastikan kejayaan sektor RE dalam negara kita. Selain itu, akses ke grid tenaga untuk pengeluar swasta dan kadar FiT yang boleh membawa keuntungan yang lumayan dalam pelaburan.

Dengan kerangka undang-undang yang telah berada di atas landasan, kita akan berupaya untuk meninjau semula kegagalan dan halangan-halangan dalam 10 tahun yang lepas apabila kita bermula dengan Polisi Bahan Api Ke-5.

RE memerlukan lebih banyak fokus dan semua pihak mesti memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap perlaksanaan tenaga hijau.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia

Berjuta-juta alat mainan telah ditarik balik daripada pasaran disebabkan kandungan plumbum dan kadmium yang terlalu tinggi, magnet yang berbahaya dan risiko mungkin tercekik.

Dua standard baru telah dibangunkan dalam siri ISO 8124 – Standard Keselamatan Alat Mainan. Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko kecederaan pada kanak-kanak yang mungkin disebabkan oleh benda-benda yang berbahaya.

Standard baru ini dibangunkan di bawah standard generik ISO 8124 yang pada asalnya dicipta untuk meminimumkan bahaya yang akan timbul daripada penggunaan alat mainan secara langsung dan tidak langsung.

Standard yang baru ISO 8124-4:2010, Keselamatan Alat Mainan – Bahagian 4: Aktiviti Ayunan Dan Lonsoran Alat Mainan di dalam dan luar rumah. Ia menggariskan keperluan dan kaedah ujian untuk alat mainan yang mempunyai aktiviti ayunan dan lonsoran. Ia memastikan keselamatan alat mainan untuk kanak-kanak di bawah umur 14 dalam dan luar rumah.

Data kemalangan dan analisis risiko adalah asas untuk pembangunan ISO 8124-3:2020, Keselamatan Alat Mainan – Bahagian 3: Migrasi elemen tertentu. Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko pendedahan kanak-kanak terhadap elemen bertoksik yang mungkin akan membahayakan kanak-kanak apabila tertelan. ISO 8124-3:2010 ini menggantikan edisi tahun 1997 dan ia akan menentukan tahap boleh diterima pada had maksium bagi arsenik, kadmium, plumbum, merkuri dan bahan toksik lain yang mungkin didapati pada alat mainan.

Christian Wetterberg, Pengerusi Jawatankuasa ISO/TC181 Keselamatan Alat Mainan menyatakan bahawa keselamatan alat mainan telah menjadi satu isu sedunia dan semakin hari semakin banyak alat mainan di pasaran yang tidak mematuhi standard ditarik balik.

Oleh yang demikian, ISO 8124 adalah satu-satunya standard untuk keselamatan alat mainan. Ia dapat mengurangkan kemalangan, kecederaan serius pada kanak-kanak.

Pembuat alat mainan harus sedar tentang kepentingan standard ini yang keselamatan kanak-kanak bergantung pada standard ini.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Syarikat Kellogg (K) telah mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses untuk menarik balik 28 juta kotak makanan bijirin kellogg daripada pasaran. Penarikan balik makanan tersebut disebabkan oleh ia mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan .

Syarikat tersebut menyatakan bahawa kesan makanan tersebut kepada kesihatan pengguna adalah kurang risiko, tetapi sesetengah pengguna didapati sensitif terhadap bau tersebut dan boleh mengakibatkan muntah dan cirit-birit.

Berikut adalah makanan bijirin yang telah ditarik balik:

Kellogg's Apple Jacks:

- UPC 3800039136 1: 17 ounce package with Better if Used Before Dates between April 10, 2011 and June 22, 2011
- UPC 3800039132 3: 8.7 ounce packages with Better if Used Before Dates between June 03, 2011 and June 22, 2011

Kellogg's Corn Pops:

- UPC 3800039109 5: 12.5 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011
- UPC 3800039111 8: 17.2 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011
- UPC 3800039116 3: 9.2 ounce packages with Better if Used Before Dates between April 05, 2011 and June 22, 2011

Kellogg's Froot Loops:

- UPC 3800039118 7: 12.2 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011
- UPC 3800039120 0: 17 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011
- UPC 3800039125 5: 8.7 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011

Kellogg's Honey Smacks:

- UPC 3800039103 3: 15.3 ounce packages with Better if Used Before Dates between March 26, 2011 and June 22, 2011

Pengguna-pengguna dinasihatkan agar berhati-hati apabila membeli produk makanan tersebut jika terjumpai di pasaran dan diminta agar melaporkan kepada Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78774741.

 

Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Pembentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membentuk satu pelan pembangunan bagi sistem pengangkutan awam di Malaysia.

Pelan pembangunan itu termasuk dasar-dasar yang akan mencakupi rangka kerja menyeluruh iaitu melibatkan aspek keselamatan pengguna, kecekapan perkhidmatan, rangkaian bersepadu, pengawasan yang berkesan, perancangan bersepadu dan pelaksanaan yang mapan.

Kerajaan telah menunjukkan initiatif untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam. SPAD akan bertanggungjawab mengawal selia dan merancang perkhidmatan ini termasuk rel, bas dan teksi. Antaranya, masalah kesinambungan yang dihadapi semua pengguna perlu diutamakan.


SPAD akan memberi lonjakan baru kepada sistem pengangkutan awam darat terutama di bandar. Ia bertanggungjawab mengemukakan cadangan relevan kepada kerajaan mengenai segala perkara berhubung dengan dasar yang dibangunkan.

Pengerusi SPAD menyatakan bahawa suruhanjaya akan merealisasikan maklamat yang ditetapkan secara holistik dan bukan untuk tujuan tertentu sahaja. Pelan jangka masa panjang akan dikaji. Namun adakah Malaysia berkeupayaan untuk mempertahankan pendekatan holistik ini?

Kesinambungan dan kebolehaksesan merupakan dua unsur yang tidak boleh dipisahkan daripada perkhidmatan pengangkutan awam. Kesinambungan bererti satu sambungan dari rumah ke pengangkutan awam ke destinasi dan sebaliknya. Kebolehaksesan diperlukan untuk penggunaan semua orang, sama ada orang tua, perempuan mengandung, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak dapat menyediakan satu-satu sistem yang sempurna berasaskan teori yang mudah ini. Kita boleh lihat banyak stesen bus yang dibina di kawasan yang jauh dari jalan utama yang menyebabkan pengguna tidak dapat akses ke stesen bus itu. Isu kebolehaksesan merupakan masalah yang menghantui para pengguna OKU.

Oleh sebab SPAD masih dalam peringkat awal penubuhannya, maka keperluan OKU perlu dipertimbangkan. Pembentukan jawatankuasa OKU di SPAD adalah wajar untuk dipertimbangkan. Sebenarnya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dapat dinilai oleh pengguna.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan Malaysia akan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsan-Bangsa Bersatu tentang Hak OKU pada masa akan datang. Artikel 9 dalam konvensyen menyatakan kebolehaksesan merupakan salah satu ciri untuk penyertaan adil OKU dalam masyarakat.

Jadi, Malaysia harus membangunkan dasar pengangkutan awam yang bersesuaian dengan golongan OKU.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

PETALING JAYA, 30 JUN 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) semalam telah mengumumkan pencapaian Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) bagi tahun 2009.

Laporan Kempen 3K 2009 ini telah disediakan untuk diserahkan kepada Petronas, yang merupakan Rakan Kempen Kelima bagi kempen ini.

Kempen 3K telah dilancarkan oleh FOMCA pada bulan Jun 2008, yang turut dianggotai oleh tiga rakan kempen lain, iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Petronas menyertai Kempen 3K pada 1 Januari 2009.


Pada 1 Januari 2009, PETRONAS telah menjadi Rakan Kempen 3K yang kelima.

Tema Kempen 3K ialah “Perubahan Bermula Dengan Saya”. Kempen ini memberikan tumpuan kepada perubahan minda dan sikap pengguna bagi menghadapi cabaran persekitaran ekonomi yang baru.

Laporan Kempen 3K 2009 mengandungi maklumat tentang program dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2009.

Antara program yang telah dijalankan ialah bengkel latihan kepada masyarakat bandar dan luar bandar sebanyak 171 buah yang melibatkan lebih daripada 14,000 orang peserta. Pada tahun 2009 juga enam kempen kebangsaan telah diadakan, iaitu Minggu Tidak Menonton TV pada 21 April 2009, Hari Tidak Berbelanja pada 16 Julai 2009, Kempen Wanita Sebagai Pengguna pada 10 Mac 2009, Kempen Lindungi Anak Kita pada 12 Oktober 2009, Kempen Tanam Sendiri, Jimat Belanja pada 14 November 2009 dan Kempen Gaya Hidup Sihat pada 12 Disember 2009.

Selain itu, sebanyak 25 risalah berkaitan aspek penggunaan berhemat telah diterbitkan pada tahun 2009. FOMCA juga menganjurkan Kempen Cabaran Eko Remaja, mewujudkan laman sesawang khusus untuk Kempen 3K dan program kesedaran di radio.

Laporan Kempen 3K 2009 turut memuatkan hasil kaji selidik yang telah dijalankan ke atas 30 orang peserta yang telah menyertai bengkel latihan Kempen 3K. Kaji selidik ini dilakukan dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan selepas para peserta itu menghadiri bengkel latihan.

Kaji selidik tersebut menunjukkan perubahan yang dilakukan oleh peserta selaras dengan matlamat Kempen 3K. Antaranya ialah menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menggunakan bakul (tidak lagi menggunakan troli) apabila membeli belah, menarik plag apabila tidak menggunakan peralatan elektrik, mengutip dan menggunakan air hujan untuk menyiram tanaman, menggunakan beg 3K untuk membeli belah (tidak lagi menggunakan beg plastik).

Perubahan lain ialah mengosok pakaian seminggu sekali, membaca label makanan, menyediakan senarai barangan sebelum keluar membeli belah, membuat anggaran perbelanjaan sebelum membeli belah dan hanya membawa wang secukupnya sahaja, membuka akaun simpanan di bank, memeriksa resit pembayaran bagi memastikan ketepatan harga, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan, mengurangkan makan di luar, memaksa anak-anak mengurangkan masa menonton televisyen, menanam sayur-sayuran di halaman rumah, mengetepikan wang untuk simpanan dahulu sebelum membelanjakan pendapatan, membeli berdasarkan keperluan, bukannya kehendak dan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli.

FOMCA telah mengadakan sidang media bagi memaklumkan tentang kandungan Laporan Kempen 3K, yang dihadiri oleh Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA dan dua orang wakil daripada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Petronas, iaitu Puan Suzana Che Mat dan Puan Julia Jaafar.

Dalam sidang media tersebut, Dato’ Paul Selva Raj telah menyerahkan satu salinan Laporan Kempen 3K 2009 kepada Puan Suzana Che Mat sebagai simbolik penyerahan laporan tersebut kepada pihak Petronas.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman

 

PMR dan SPM mungkin akan dimansuhkan berikutan cadangan yang dilontarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Cadangan tersebut telah menarik perhatian banyak pihak termasuk ibu bapa, guru, badan bukan Kerajaan (NGO), kesatuan guru, parti politik dan pelajar. 

Pelbagai maklum balas disuarakan mengikut pandangan dan persepsi masing-masing. Berdasarkan hasil penelitian kepada peperiksaan UPSR dan PMR yang dilaksanakan sekarang, Kementerian Pelajaran mendapati sistem pendidikan negara yang sedia ada terlalu berorientasikan peperiksaan. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu SPM. Hanya peperiksaan ini yang dititikberatkan untuk memasuki pengajian tinggi serta dinilai bagi soal kerjaya.

Boleh dikatakan hampir setiap hari, kita akan mendengar masalah berkaitan isu air. Tidak kira sama ada melalui media massa seperti surat khabar, televisyen dan radio ataupun daripada orang yang kita kenali baik keluarga mahupun sahabat handai.

Terbaru sekali ialah masalah banjir. Beberapa lokasi di sekitar tanah air dilanda banjir, contohnya seperti di Felda Jengka 25, Maran yang berlaku kerana pembetung rosak dan telah menjejaskan aktiviti seharian bagi 400 orang penduduk.