- Details
Jika diajukan soalan kepada masyarakat kita pada hari ini tentang apakah itu kitar semula? Pasti ramai yang mampu menjawabnya. Bagi maksud yang lebih tepat, kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru.
Namun jika ditanya kenapakah pentingnya kitar semula? Kemungkinan pelbagai jawapan yang diterima. Dengan kitar semula, kita dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kerana penghasilan barang baru daripada bahan mentah.
Atas kesedaran inilah, banyak kempen berkaitan kitar semula telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Kitar semula merupakan komponen utama bagi pengurusan bahan buangan pada zaman moden ini. Kemudian wujudlah slogan ’3R: Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula)’ bagi menekankan betapa pentingnya kitar semula untuk memastikan alam sekitar kita terpelihara.
Antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah aluminium, plastik dan surat khabar. Aluminium merupakan bahan yang boleh dikitar semula 100%. Menurut fakta, aluminium boleh digunakan semula dalam tempoh 60 hari selepas dikitar semula. Aluminium ini juga boleh dikitar semula untuk tujuan yang sama beberapa kali. Begitulah uniknya sifat aluminium. Selain itu, aluminium yang dikitar semula hanya menggunakan 5% tenaga jika dibandingkan penghasilan aluminium dengan bahan yang baru. Anda boleh mengitar semula semua bahan yang diperbuat daripada aluminium, namun mulalah dengan yang mudah dahulu seperti tin minuman ringan.
Plastik juga merupakan bahan yang penting untuk dikitar semula kerana penggunaannya meluas di Malaysia. Lebih banyak yang dikitar semula, maka berkurangan plastik yang terkumpul di tempat pembuangan sampah. Tenaga yang digunakan untuk menghasilkan plastik daripada kitar semula hanya 2/3 daripada menghasilkan plastik yang baru.
Bahan buangan daripada kertas juga meluas digunakan di negara ini. Contohnya seperti surat khabar, majalah dan surat. Mengitar semula bahan yang diperbuat daripada kertas ini dapat memelihara sumber (pokok), menjimatkan tenaga dan mengurangkan keluasan kawasan pelupusan sampah.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita boleh mengambil inisiatif dengan membuang bahan-bahan buangan ini ke dalam tong kitar semula. Terdapat 165 syarikat kitar semula di Malaysia (www.sisa.my). Begitu juga dengan maklumat mengenai pusat pengumpulan bahan kitar semula di setiap negeri di Malaysia untuk kemudahan orang ramai.
Syed Mubashir bin Syed Mohammad
Forum Air Malaysia
- Details
Sejak zaman dahulu lagi, wangian telah digunakan dalam upacara keagamaan, yang kemudian penggunaannya berkembang sebagai kosmetik serta produk harian. Wangian dikatakan dapat menggambarkan peribadi pemakai.
Tujuan utama wangian adalah untuk menghasilkan bau wangi kepada pemakai, barang kegunaan peribadi atau udara sekeliling selain menjadikan pakaian berbau harum. Secara psikologi, wangian dapat menambahkan rasa bersih apabila menggunakan produk kebersihan diri terutamanya selepas mandi.
Namun, kebanyakan masyarakat tidak menyedari penggunaannya yang berlebihan boleh mendatangkan bahaya kesihatan terutamanya bagi wanita mengandung. Setiap produk wangian mengandungi bahan kimia wangian sama ada asli atau sintetik dan pelarut yang bertindak sebagai media atau foundation yang peratus kandungan kimia adalah 1 peratus sehingga 30 peratus bergantung kepada jenis produk wangian.
Read more: BAHAN KIMIA DALAM WANGIAN BOLEH BERI KESAN BURUK KEPADA KESIHATAN
- Details
Bulan Ogos seumpama bulan malapetaka yang melanda di seluruh dunia. Semenjak kebelakangan ini, media massa sering melaporkan tentang berita-berita yang memilukan hati tentang banjir, gempa bumi dan kebakaran hutan. Bumi telah sakit tenat!
Dalam kancah alam sekitar, kita sebagai manusia sangat lemah dan tidak berupaya untuk menghadapi bencana-bencana ini. Tanah runtuh dan banjir lumpur di China, banjir besar di Pakistan, ribut taufan di Korea dan Jepun, gelombang panas dan sejuk yang melanda di serata dunia, gempa bumi dan kebakaran hutan di Rusia telah menyebabkan bilangan mangsa dan kerugian yang tinggi. Jumlah ini terus meningkat!
Pernahkah sesiapa yang terfikir bahawa skala banjir besar di Pakistan akan melampaui skala bencana tsunami yang berlaku pada tahun 2004 di Acheh yang meragut sebanyak 250,000 nyawa? Plot-plot seperti ini yang sebelum ini hanya boleh didapati daripada wayang-wayang, tetapi kini jelas berlaku di hadapan mata kita.
Para saintis berkata bahawa semua ini hanya merupakan amaran awal. Sekiranya manusia masih degil dan memusnahkan alam sekitar secara berterusan, malapetaka atau bencana yang lebih teruk dan tidak pernah dibayangi bakal berlaku.
Pencinta-pencinta alam telah menyeru agar orang ramai untuk melindungi bumi tercinta kita dengan berhenti mencemarkan alam sekitar. Namun, suara-suara ini adalah lemah dan tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sehingga tidak ramai orang sanggup mendengarnya.
Sebenarnya, kitar semula merupakan amalan yang paling asas dalam kehidupan kita. Hanya dengan membawa bekal makanan sendiri, botol-botol air sendiri demi mengurangkan penggunaan bekas polisterina dan plastik. Kitar semula kertas, menjimat penggunaan air dan tenaga elektrik merupakan langkah-langkah yang ringkas dan mudah, tetapi bermakna.
Berubahlah demi kesejagatan manusia dan dunia. Ingat, perubahan bermula dengan diri kita sendiri!
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Terdapat pelbagai kaedah untuk membayar hutang kad kredit anda. Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah hutang dan pendapatan semasa anda. Situasi ini akan menentukan keupayaan anda untuk berhadapan dengan bayaran bulanan minimum.
Akses situasi kewangan
Akses kedudukan kewangan anda sebelum merancang mengurangkan hutang kad kredit anda adalah penting untuk mencapai matlamat. Hitungkan semua pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Baki jumlah tersebut boleh digunakan untuk tujuan pembayaran atau penggunaan kad kredit anda.
Merancang pengurusan hutang
Anda perlu membuat rancangan untuk mengurangkan hutang kad kredit. Perancangan hutang yang profesional dapat menyingkirkan hutang yang tidak diperlukan. Bagaimanapun, pastikan bahawa anda telah mempertimbang dan memasukkan semua pilihan pelepasan hutang bagi mengurangkan jumlah hutang yang perlu dibayar.
Melaksanakan Perancangan
Ia bukannya mudah, namun hutang kad kredit anda perlu dikurangkan. Anda mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun bagi menghapuskan hutang anda sepenuhnya, namun ia penting bagi meningkatkan tahap kredit anda. Anda harus menyedari bahawa hutang bukan hanya memberi impak kepada anda, juga rumah tangga anda. Memiliki rekod yang bersih dapat menjamin anda untuk meminjam wang sekiranya diperlukan pada masa hadapan.
Setelah mengenal pasti situasi kewangan dan membuat perancangan keseluruhan bagi mengurangkan hutang, anda perlu mempertimbangkan bagaimana untuk berjimat.
Di bawah adalah tip-tip untuk pertimbangan anda:
Lebihkan Pendapatan, Kurangkan Perbelanjaan
Terlebih dahulu, anda perlu memastikan bahawa telah mengeluarkan semua perbelanjaan yang tidak penting. Ia adalah penting bagi memudahkan anda untuk mengenal pasti jumlah yang boleh dijimatkan dengan mengubah tabiat pemakanan, misalnya makan di restoran yang murah (kurangkan makan di luar), membeli barangan runcit berjenama pasar raya berbanding jenama biasa. Anda mungkin perlukan pertolongan bagi menguruskan kewangan anda setiap hari untuk mengurangkan hutang anda.
Kurangan Perbelanjaan
Anda perlu mengenal pasti tujuan perbelanjaan anda. Peluang untuk anda berbelanja adalah lebih tinggi berbanding pendapatan. Ini adalah situasi yang kritikal di mana hutang tidak boleh dihapuskan. Justeru, anda perlu mengurangkan perbelanjaan harian anda terlebih dahulu.
Anda perlu berusaha untuk melalui kehidupan yang sejajar dengan kemampuan anda dan bukannya mewah. Mengurangkan perbelanjaan adalah pilihan yang tepat, mudah dan pantas untuk melihat keberkesanannya.
Pendapatan yang lebih baik
Cari pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih baik dan pastikan anda tidak meninggalkan pekerjaan sekarang sehingga anda mendapat pekerjaan yang baru kerana ia akan menyebabkan stres yang berpanjangan.
Pekerjaan kedua
Dapatkan pekerjaan yang kedua, pekerjaan sementara untuk menambahkan pendapatan kerja sepenuh masa. Hal ini akan bantu menambahkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan dan hutang yang anda tanggung.
Dapatkan khidmat golongan profesional
Sekiranya anda mendapati bahawa anda tidak mampu untuk membayar balik bayaran minimum, pilihan terbaik anda adalah untuk mendapatkan firma pengurangan hutang yang berupaya meringankan beban anda dengan menyediakan pembayaran mengikut keadaan semasa anda.
Anda juga perlu mendapatkan bantuan firma yang pakar yang mampu berunding untuk mendapatkan terma-terma imbalan yang baik bagi pelanggan mereka. Dapatkan juga perhubungan kaunseling kredit yang bukan bermotifkan keuntungan dan syarikat-syarikat konsolidasi perhutangan yang boleh membantu mengurangkan penggenaan bunga atas kad kredit, mengurangkan pembayaran bulanan dan sekaligus memberikan khidmat nasihat kewangan bagi mengelakan masalah hutang kad kredit anda pada masa akan datang.
Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pengurusan hutang dengan bank melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Rajeswary Gunnusen
ERA Consumer Malaysia
- Details
Baru-baru ini, Kabinet Malaysia telah mengambil keputusan yang menggemparkan masyarakat Malaysia dengan mengumumkan bahawa pemandu kedua dan konduktor wanita diwajibkan bagi bas atau van sekolah. Keputusan ini diambil selepas cadangan yang diutarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, baru-baru ini ketika mengulas isu rogol dan cabul yang kian berlaku terhadap pelajar-pelajar sekolah yang menaiki bas atau van sekolah.
Beliau mencadangkan bahawa setiap bas atau van sekolah yang membawa pelajar-pelajar mesti mempunyai pemandu kedua konduktor wanita bagi memastikan keselamatan pelajar-pelajar terjamin. Ini kerana, baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan beberapa kes yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah dirogol dan dicabul oleh pemandu bas atau van sekolah.
- Details
Sejurus selepas promosi pelancongan MATTA Fair diadakan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional mulai menerima pelbagai aduan daripada pengguna tentang pakej pelancongan yang dipromosikan.
Berdasarkan banyak aduan yang diterima itu, maka agensi-agensi pelancongan sewajarnya memberikan maklumat yang beteul, perkhidmatan yang lebih terancang dan mengotakan apa yang dijanjikan. Ini kerana sebarang perubahan pada saat terakhir walaupun dapat diterima oleh sebilangan pengguna, namun sebahagian besar pengguna tidak berpuas hati dan sukar untuk menghadapi kenyataan yang keinginan mereka untuk melancong di beberapa destinasi yang tertentu tidak tercapai.
Apabila kita melihat kepada justifikasi pengguna, ia adalah munasabah kerana wang yang dibelanjakan adalah hasil titik peluh mereka dan simpanan dalam jangkamasa yang lama. Selain itu kita sebagai pengguna berhak untuk membuat pilihan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang dijanjikan. Setiap kita mempunyai pilihan dan impian terhadap percutian.
Selain aduan tentang pertukaran destinasi pelancongan dan tempat penginapan pengguna, terdapat juga aduan tentang penjualan kad keahlian pelancongan. Pengguna disarankan agar tidak tertipu dengan promosi-promosi yang dijalankan di tempat awam dengan menjanjikan manfaat yang menarik. Kebanyakan syarikat yang mengambil bayaran daripada pengguna akhirnya menghilangkan diri serta tidak mempunyai premis. Sekiranya ada premis pun tidak tetap kedudukannya. Risiko penipuan yang tinggi ini menyebabkan pengguna mengalami kerugian dan kehilangan wang simpanan yang tinggi.
Sudah tiba masanya untuk pengguna menjadi lebih proaktif, berfikir panjang sebelum menandatangani sebarang perjanjian. Mereka juga perlu sentiasa sedar bahawa tiada sebarang perkhidmatan percuma di dalam aspek perniagaan. Oleh itu carilah maklumat di dalam forum dan internet sebelum membuat sebarang pembayaran kepada syarikat, simpan segala maklumat dan dokumen dengan sebaik mungkin.
Terdapat juga beberapa agensi pelancongan yang tidak berdaftar dan menjalankan perniagaan ini sebagai perniagaan sampingan. Dalam keadaan seperti ini, pengguna disaran supaya melaporkan epada Kementerian Pelancongan Malaysia ataupun NCCC untuk mendapatkan bantuan dan tindakan lanjut.
Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Rumah boleh menjadi satu perangkap kematian apabila dikaitkan dengan penyakit denggi. Menteri Kesihatan menyatakan bahawa penguatkuasa Kementerian Kesihatan menemui larva Aedes di kediaman mangsa yang meninggal akibat demam denggi. Lebih daripada 50% rumah mangsa ini menjadi tapak pembiakan nyamuk Aedes.
Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 30,350 kes denggi dilaporkan dengan 95 kes kematian telah direkodkan pada tahun ini berbanding dengan 28,659 kes denggi dengan 67 kes kematian pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.
Wabak denggi yang berleluasa ini memerlukan pendekatan proaktif yang serius dalam memeranginya. Adalah penting untuk menyedari bahawa rumah boleh menjadi tapak pembiakan nyamuk Aedes. Namun, kebanyakan rakyat tidak memandang kepentingan dalam menjaga kebersihan rumah.
Menteri Kesihatan juga menyatakan bahawa dalam tempoh satu minggu, 847 kes denggi telah dicatat dengan satu kes kematian dalam Wilayah Perseketuan. Penguatkuasa Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pakar denggi untuk menangani masalah ini.
Biarpun begitu, orang awam perlu bermula daripada rumah untuk menentang demam denggi.
Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi bakal menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat demam denggi. Demam denggi menyerupai demam selesema dan ciri-ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.
Bagi mencegah demam denggi, orang awam disaran supaya memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes akan membiak di tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Pasu bunga, bekas air dan sebarang bekas yang boleh menakung air perlu ditukar tiap-tiap hari untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Kesimpulannya, perlindungan diri merupakan cara yang paling berkesan untuk menentang demam denggi. Jadi bertindak sekarang untuk melindungi kesihatan anda sendiri.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard
- Details
Untuk menangani keseriusan isu-isu kewangan yang dihadapi oleh pengguna-pengguna Malaysia, FOMCA dengan sokongan Bank Negara Malaysia telah menganjurkan program latihan pengurusan kewangan untuk mendidik dan mengajar para pengguna atas keberkesanan dan kepentingan perancangan dan pengurusan kewangan. Salah satu daripada sasaran program tersebut ialah golongan kanak-kanak di tadika.
FOMCA telah bekerjasama dengan tadika Kinderland (Crestar Education Malaysia Sdn. Bhd.) untuk mengadakan latihan program pengurusan kewangan untuk kanak-kanak di empat buah tadika Kinderland di sekitar Selangor. Keempat-empat bengkel tersebut telah diadakan dari tarikh 22 Julai 2010 hingga 5 Ogos 2010. Tadika-tadika yang mengambil bahagian dalam bengkel kewangan tersebut ialah seperti berikut:
Kinderland D’Shire Kota Damansara (22 Julai 2010, 9.30 pagi – 11.30 pagi), 72 orang kanak-kanak
Kinderland Playhouse Seksyen 14, Petaling Jaya (27 Julai 2010, 9.30 pagi – 11.30 pagi), 19 orang kanak-kanak
Kinderland Ara Damansara (3 Ogos 2010, 9.30p agi – 11.30 pagi), 26 orang kanak-kanak
Kinderland Kota Kemuning (5 Ogos 2010, 3.30 petang – 5.30 petang), 19 orang kanak-kanak
Terdapat 136 orang kanak-kanak yang berumur 5 tahun hingga 6 tahun telah mengambil bahagian dalam bengkel kewangan tersebut. Pelatih-pelatih daripada FOMCA dengan bantuan cikgu-cikgu tadika telah mengajar kanak-kanak untuk memahami wang menerusi aktiviti-aktiviti yang menarik dan bersifat interaksi.
Sesi bengkel merangkumi topic-topik berikut:
Mengenali wang
Memahami nilai wang
Mengira wang
Menabung
Keperluan dan kemahuan
Setiap program tersebut ialah sepanjang dua jam dengan menggunakan gambar-gambar yang menarik, permainan kad, video dan lagu untuk mengajar kanak-kanak tentang wang. Kanak-kanak telah diminta untuk melukiskan muka gembira di atas kertas jika mereka suka tentang apa yang mereka belajar daripada program tersebut. Hampir semua kanak-kanak berkata mereka suka dengan apa yang mereka belajar daripada program tersebut.
Yu Kin Len
Pengurus Penyelidikan
- Details
Sejak kebelakangan ini, suhu dunia pada separuh tahun pertama ini dilaporkan sebagai merupakan tempoh yang paling panas sejak dalam sejarah manusia. Ini menunjukkan kesan-kesan perubahan iklim yang semakin jelas dan bertambah teruk. Walau bagaimanapun, angka-angka ini masih belum berupaya menyebabkan kerisauan kepada para pemimpin dunia kerana kesepakatan iklim dunia (global climate deal) masih jauh lagi untuk dicapai.
Negara-negara yang kaya melindungi kebajikan sendiri, manakala negara-negara sedang membangun menggesa bahawa negara-negara kaya patut bertindak dengan lebih proaktif untuk mengatasi masalah perubahan iklim ini. Akibatnya, kesepakatan dan persetujuan tidak dapat tercapai dan hanya mengundang penangguhan tindakan yang mengecewakan.
Kedua-dua negara-negara kaya dan mundur bimbang bahawa kesepakatan iklim akan melambatkan lagi pembangunan ekonomi dengan penurunan daya saing industri domestik di persada dunia. Hakikat yang menyedihkan mengenai tamadun manusia ialah walaupun hidup pada abad ke-21, kita masih tidak dapat menguasai sesuatu yang paling penting, iaitu menetapkan keutamaan.
Apakah keutamaan yang lebih penting? Menyelamatkan bumi kita ataupun industri? Bukankah bumi kita merupakan satu-satunya tempat tinggal kita? Jadi menyelamatkan bumi kita harus menjadi keutamaan. Namun begitu, kepiluan hati dapat dirasai apabila kita bercakap mengenai menyelamatkan bumi, maka kita lebih gemar mengambil sikap tidak peduli dan mengharapkan orang lain untuk melakukannya.
Jikalau kita tidak mengubah cara hidup kita, dalam keadaan ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin dunia masih menekankan kepada aspek pembangunan dan industri, maka kita memang patut menerima bencana-bencana buruk yang bakal menimpa kita pada masa yang akan datang.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) amat mengalu-alukan penubuhan Tabung Amanah Tan Sri P Ramlee oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Penubuhan Tabung Amanah ini bertujuan untuk menghargai usaha Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni.
Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja dikenang kerana kegiatan seninya, tetapi juga usahanya dalam mengeratkan hubungan kaum di negara ini.
Jika kita lihat hasil karya P. Ramlee, ia banyak berkisar tentang aspek kemanusiaan, tanpa mengira kaum, termasuk dari segi pakaian, makanan dan sebagainya. Filem P. Ramlee merangkumi aspek kehidupan berbilang kaum, dengan watak pelbagai kaum diwujudkan dalam filem karyanya. Oleh sebab itu, filem P. Ramlee diminati oleh semua kaum di Malaysia sehingga ke hari ini.
Semangat ini sewajarnya dihayati oleh semua rakyat Malaysia selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Justeru, sekiranya kerajaan ingin mewujudkan anugerah tokoh 1Malaysia, maka P. Ramlee sewajarnya menjadi penerima pertama anugerah tersebut.
FOMCA berharap pengiat seni diMalaysia mencontohi usaha P. Ramlee dalam melahirkan lebih banyak filem yang mencerminkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Datuk Marimuthu Nadason,
Presiden FOMCA
Subcategories
Page 209 of 232