- Details
Beribu-ribu syarikat dan peniaga di Britain bakal menghadapi tuduhan dan dikenakan denda apabila skim ‘cukai hijau’ baru dilaksanakan oleh kerajaan.
Syarikat yang gagal mendaftarkan ‘penggunaan tenaga’ mereka dengan pihak penguatkuasa akan didenda sehingga RM216,000.
Syarikat yang telah mengisytiharkan penggunaan tenaga mereka di bawah Komitmen Pengurangan Karbon (Carbon Reduction Commitment) diperlukan membayar untuk setiap tan gas rumah hijau yang mereka telah hasilkan. Bagi organisasi yang besar, bayaran ini adalah sehingga RM480,000, manakala bagi organisasi yang lebih kecil pula, purata bayaran adalah RM182,400.
Soal selidik yang dijalankan mendapati bahawa kebanyakan organisasi tidak sedar bahawa mereka perlu mengambil bahagian. Manakala terdapat juga segelintir organisasi yang tidak tahu tentang skim ‘cukai hijau’ ini.
Di bawah skim baru ini, sebarang organisasi yang menggunakan lebih daripada 6,000 megawatt jam (megawatt hours, MWh) tenaga elektrik setahun – bil elektrik sebanyak RM2.4 juta mesti mendaftar penggunaan tenaganya.
Organisasi ini perlu membeli permit untuk menampung setiap tan karbon dioksida yang dibebaskan. Bagi yang menggunakan 6,000 MWh tenaga akan dikenakan caj RM182,000.
Skim ini bertujuan untuk mewujudkan insentif tenaga bagi mengurangkan penggunaan tenaga. Bagi organisasi yang merekodkan pengurangan yang terbesar akan mendapat bonus yang dicipta daripada pengurangan yang paling kecil.
Daripada 4,000 organisasi yang layak untuk skim ini di Britain, hanya 1,229 yang telah berdaftar. Oleh itu terdapat beribu-ribu organisasi akan didenda selepas tamat tarikh pendaftaran. Selepas itu, sebanyak RM24,000 denda akan dikenakan serta-merta dan RM2,400 bagi setiap hari.
Di Malaysia, kita masih jauh ketinggalan dalam usaha untuk mengurangkan penggunaan tenaga.
Sebagai contoh, kita sering dapati pendingin hawa dan lampu yang dibuka secara sesuka hati di kompleks membeli-belah mahupun di premis kerajaan.
Di samping itu, kita masih hilang kawal terhadap kenderaan seperti bas yang sememangnya membebaskan banyak karbon dioksida. Lantaran tiada akta atau peraturan yang diperuntukkan, maka bas lama yang tidak cekap penggunaan tenaganya masih digunakan di jalan raya.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah membuat jaminan untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 40% pada tahun 2020 berbanding dengan tahap 2005. Namun, dengan adanya bas-bas yang tidak mematuhi standard pembebasan gas karbon dioksida di jalan raya, dikhuatiri kita akan gagal mencapai apa yang telah dijanjikan.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan, tetapi mereka tidak menguatkuasakan peraturan untuk pembebasan pada bas awam.
Di Amerika Syarikat, standard pembebasan (Emission Standard) dikawal oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar, manakala negara-negara di Eropah menguatkuasakan standard pembebasan Euro 4 (bermula 1 Januari 2010), Euro 5 (bermula 1 Januari 2010) dan Euro 6 (bermula 1 Januari 2014) untuk mengwal pembebasan gas karbon dioksida pada kenderaan berat seperti bas.
Oleh itu, skim ’cukai hijau’ memang tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia buat masa sekarang, walaupun ia merupakan inisiatif yang dapat mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Walau bagaimanapun, kita masih tidak mempunyai keupayaan untuk melaksanakan ’cukai hijau’ seperti di negara maju, kerana kita masih kurang kawalan terhadap kemudahan asas.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) dan Health Canada telah mengumumkan penarikan balik alat mainan Sand & Water Station Toys daripada Pasaran Amerika Syarikat dan Kanada. Sebanyak 56,000 alat mainan telah ditarik balik daripada pasaran Amerika Syarikat dan 7,700 di Kanada.
Alat permainan tersebut mempunyai roda kecil berwarna biru yang dikatakan boleh tertanggal daripada alat permainan yang berbentuk keretapi ini dan ia boleh menyebabkan kanak-kanak kecil tercekik jika tertelan
Setakat ini belum ada laporan daripada pengguna mengenai sebarang kecederaan, tetapi pihak US CPSC dan Health Canada telah mengambil tindakan ini sebagai langkah berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pada minggu lalu, saya telah membeli sebotol 100 Plus dari Carrefour dengan harga yang tertera pada label botol sebanyak RM2.80. Saya fikir hanya RM2.80 yang saya perlu bayar. Tetapi apabila saya memeriksa resit bayaran, harga yang dikenakan adalah RM2.99.
Apabila bertanya dengan jurujual di kaunter, mereka tidak tahu-menahu mengenai harga yang berbeza itu.
Jadi, sayapun menghubungi dengan pegawai di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Saya dimaklumkan bahawa harga pada label adalah harga promosi. Selepas tempoh promosi tamat, mereka masih boleh menjual produk promosi tersebut dengan harga biasa.
Ini telah mengelirukan pengguna. Apa yang ditunjukkan pada label harga tidak sama dengan apa yang perlu dibayar. Selain itu, ia menyebabkan kerugian pengguna. Pihak penjual mendapat stok dengan harga yang lebih rendah semasa promosi. Selepas tempoh promosi tamat, stok tersebut dijual dengan harga yang mahal.
Dalam Akta Perlindungan Pengguna, seksyen 12, subseksyen 1, menyatakan:
“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan —
(a) jika dia memberi seseorang pengguna gambaran yang mengelirukan mengenai harga yang padanya apa-apa barang atau perkhidmatan boleh didapati;” atau
“(b) jika sesuatu gambaran yang diberikan olehnya kepada seseorang pengguna mengenai harga yang padanya apa-pa barang atau perkhidmatan boleh didapati menjadi mengelirukan dan dia tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menghalang”
Jika berdasarkan peruntukan akta tersebut, saya berpendapat pihak pekedai telah melakukan satu kesalahan dari segi undang-undang kerana telah mengelirukan saya dengan tanda harga yang berbeza dengan apa yang perlu dibayar.
Jika produk ini dijual dengan RM2.80 semasa promosi, maka selepas tempoh promosi, label harga perlu ditanggalkan ataupun ia perlu dijual dengan harga promosi sehingga kehabisan stok. Namun, tiada langkah yang dilakukan oleh pihak Carrefour untuk membetulkan kesilapan ini. Mereka menjual dengan harga yang tidak sepadan dengan harga yang ditanda pada label.
Pengguna perlu berhati-hati semasa membeli-belah, terutamanya pada musim perayaan ini. Periksa tanda harga pada label dan harga pada resit bayaran. Jika terdapat sebarang kekeliruan, melaporkan kepapda Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Satu standard ISO yang baru telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO) untuk membantu makmal-makmal mengesan bakteria salmonella dalam air secara konsisten. Standard ini dikatakan selari dan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam subjek yang sama baru-baru ini.
ISO 19250:2010 Kualiti Air - Pengesanan Salmonella spp, menentukan kaedah untuk mengesan bakteria salmonella dalam sampel air dan yang digunakan untuk keperluan air minum dan rekreasi. Bakteria Salmonella wujud secara meluas di seluruh dunia. Patogenesis (cara jangkitan) mereka bervariasi dan bergantung kepada spesies dan sistem perumah (host).
Salmonella biasanya dijumpai dalam perumah seperti manusia, ternakan pertanian dan domestik dan haiwan liar termasuk burung. Salmonella mungkin berada di dalam semua jenis air sisa domestik, pertanian, air tawar, air minum, air laut dan tanah.
Setelah menjangkiti manusia, Salmonella boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan seterusnya menyebabkan seseorang itu sakit untuk satu jangka masa yang panjang.
Menurut PBB, sebanyak 884 juta orang dianggarkan tidak mempunyai akses kepada air minum yang selamat. Secara keseluruhannya, seramai lebih daripada 2.6 bilion orang tidak mempunyai akses terhadap sanitasi asas.
Penerbitan ISO 19250:2010 adalah tepat pada waktunya dan sejajar dengan resolusi yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB yang menegaskan bahawa "Safe and clean drinking water and sanitation is a human essential to the full enjoyment of life and all other human rights”.
Standard ini juga akan membantu untuk memenuhi salah satu daripada tujuan Matlamat Pembangunan Milenium PBB yang mensasarkan pengurangan orang yang tidak boleh mencapai sanitasi atau membeli air minum yang selamat sebanyak 50% menjelang tahun 2015.
Standard ISO 19250:2010 - Water Quality - Detection of Salmonella spp, ini dikembangkan oleh jawatankuasa teknikal ISO ISO / TC 147 - jawatankuasa air kaedah mikrobiologi.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Tribunal Tuntutan Pengguna adalah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Semasa pendengaran, pihak penuntut dan penentang tidak boleh diwakili oleh peguam.
Jika pihak yang menuntut adalah seorang belum dewasa atau seorang yang tidak berupaya, ia boleh diwakili oleh sahabat wakil atau penjaganya. Jika pihak penentang adalah sebuah firma atau syarikat, ia boleh diwakili oleh seorang pekerjanya yang digaji sepenuh masa.
Pendengaran tuntutan dalam Tribunal akan dijalankan di hadapan seorang anggota Tribunal yang digelar sebagai 'Presiden' semasa pendengaran.
Prosiding tribunal bermula apabila Pengguna (selepas ini dirujuk sebagai “pihak menuntut”) memfailkan Borang 1 iaitu pernyataan tuntutan.
Borang 2 iaitu pernyataan pembelaan dan tuntutan balas difailkan oleh Syarikat/Firma (selepas ini dirujuk sebagai “pihak penentang”). Jika pihak penentang mengakui atau mempertikai tuntutan, ia perlu mengisi butir-butir di ruang pernyataan pembelaan. Jika pihak penentang mempunyai apa-apa tuntutan balas hendaklah mengisi di ruang tuntutan balas. Borang 2 perlu diserahkan dalam masa 14 hari selepas penyerahan pernyataan tuntutan.
Borang 3 iaitu pembelaan kepada tuntutan balas perlu difailkan oleh pihak penuntut jika terdapat tuntutan balas. Jika mengakui tuntutan balas pihak penuntut hendaklah menyatakan diruang pembelaan kepada tuntutan balas. Jika mempertikai tuntutan balas hendaklah memberi butir-butir mengapa mempertikaikan.
Borang 4 adalah notis pendengaran dikeluarkan oleh Setiausaha atau Penolong Setiausaha Tribunal yang menyatakan tarikh, masa dan tempat pendengaran tuntutan kepada pihak yang menuntut dan penentang sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh pendengaran.
Borang 5 adalah award bagi pihak yang menuntut jika penentang tidak memfailkan pernyataan pembelaan iaitu Borang 2. Tribunal juga menurut budi bicara menangguhkan pendengaran bagi membolehkan penentang memfailkan pembelaannya.
Borang 6 untuk award jika pihak penentang dalam pernyataan pembelaannya mengakui tuntutan.
Borang 7 untuk award bagi penentang jika pihak yang menuntut tidak hadir untuk pendengaran. Presiden boleh menolak tuntutan jika penentang tidak mempunyai tuntutan balas atau membuat suatu award bagi tuntutan balas jika penentang mempunyai tuntutan balas.
Borang 8 untuk award bagi pihak yang menuntut jika penentang tidak hadir untuk pendengaran. Presiden boleh meneruskan pendengaran tanpa kehadiran penentang atau menangguhkan pendengaran ke suatu tarikh kemudian.
Borang 9 untuk award dengan persetujuan. Semasa pendengaran, jika wajar, Tribunal hendak membantu untuk membuat suatu penyelesaian tuntutan melalui persetujuan.
Borang 10 untuk award selepas pendengaran. Semasa pendengaran, pihak yang menuntut berhak untuk mengemukakan keterangan, memangil mana-mana saksi atau mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda bagi menyokong kesnya.
Borang 11 adalah saman kepada saksi untuk menghadiri pendengaran atau untuk mengemukakan apa-apa dokumen, rekod atau benda lain dalam miliknya.
Borang 12 untuk permohonan mengetepikan award bagi sesuatu pihak yang tidak hadir semasa pendengaran. Borang 12 hendaklah diserahkan dalam masa 30 hari selepas award diterima.
Tribunal boleh menurut budi bicaranya menawarkan kos tidak melebihi dua ratus ringgit kepada mana-mana satu pihak.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Badan pembela pengguna Britain, Which? menyatakan bahawa pelabelan makanan yang mendakwa sebagai ‘tulen’, ‘segar’, ‘semula jadi’ dan ‘benar’ adalah di luar kawalan dan memang mengelirukan pengguna.
Kajian yang dilakukan oleh Which? mendapati 33 peratus pengguna berpendapat bahawa produk yang dilabel ‘buah sebenar’ mengandungi buah sebagai bahan utama dalam produk itu.
Manakala, 43 peratus mempercayai bahawa produk yang dilabel ‘minuman jus’ mengandungi sekurang-kurangnya 25% jus buah-buahan.
Kajian ini menunjukkan bahawa pengguna tidak dapat membezakan istilah yang digunakan pada pelabelan makanan. Pengguna hanya memilih berdasarkan perkataan asas dalam pelabelan seperti buah atau jus, tetapi mengabaikan maksud di sebaliknya.
Istilah ‘jus buah-buahan’ dan ‘jus daripada konsentrat buah-buahan’ adalah tertakluk dalam Undang-undang Pertubuhan Eropah, tetapi ‘minuman jus’ tidak terdapat dalam undang-undang.
Keadaan inilah yang menyebabkan Rubicon Sparkling Passion boleh menggunakan perkataan ‘jus sebenar’ dan ‘minuman jus’ pada pelabelan mereka, meskipun produk mereka hanya mengandungi 5 peratus jus daripada konsentrat buah-buahan. 5 peratus ini bukannya buah-buahan yang sebenar.
Pelabelan pada botol ini menyatakan ia mengandungi buah-buahan segar dan air bawah tanah yang memanfaatkan kesihatan; tetapi Which? menunjukkan bahawa mereka tidak melabelkan kandungan gula yang setinggi 22g per pek.
Which? mendapati pengguna sering keliru tentang istilah rasa dan berperisa, seperti yogurt rasa strawberi yang sebenarnya tidak mengandungi buah strawberi.
Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Pendalaman Britain (British Department of Environment, Food and Rural Affairs) menganggap perisa merupakan sesuatu yang dicipta dan tidak menunjukkan rasa sebenar.
Peraturan Makanan Eropah menyatakan pelabelan sepatutnya tidak mengelirukan pengguna. Agensi Standard Makanan (Food Standard Agency) mengeluarkan garis panduan tentang perkataan dan terma yang boleh digunakan, tetapi ia tidak diikat dengan undang-undang.
Walaubagaimana pun, penggunaan terma ‘organic’ dan ‘free range’ adalah dikawal ketat dari segi undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif Which? Peter Vicary-Smith menyatakan bahawa perkara ini amat penting untuk difahami oleh para pengguna. Perkataan dan terma yang digunakan dalam pelabelan makanan mestilah jelas untuk memastikan pengguna mengetahui apa yang mereka ambil.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Bagi menangani isu perubahan iklim yang membawa kepada pemanasan global, kerajaan telah mengambil langkah dengan menjalankan inventori gas-gas rumah hijau pada tahun 2000 untuk mengenal pasti punca-punca utama yang menyumbang kepada gas-gas rumah hijau di negara ini.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah membuat persediaan serta menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi menangani perubahan iklim dan impaknya melalui dua pendekatan iaitu Pendekatan Mitigasi dan Pendekatan Adaptasi.
- Details
Hanya dengan klik butang tetikus pengguna tidak perlu pergi ke pusat membeli belah, sebaliknya boleh mendapatkan barang-barang yang dikehendaki dengan melayari laman sesawang seperti Ebay.com atau Mudah.com. Pembelian dalam talian mendapat sambutan yang baik daripada pengguna sehingga mereka mendapat pengalaman tersendiri sebagaimana yang dialami oleh beberapa orang pengadu.
“Saya telah ditipu oleh M, setelah membuat pembelian dalam talian. Pembayaran sebanyak RM5000 telah dimasukkan ke dalam akaun M pada 20 Ogos 2010 bagi urusniaga membeli sebuah kamera jenis Canon 5d Mark II. Namun setelah menerima wang melalui perbankan internet, M terus berdalih dan tidak menghantar barang kepada saya. Laporan polis telah dibuat pada 23.08.2010”.
“Saya telah membuat pembelian sebuah beg dalam talian dengan harga RM199. Namun apabila menerima beg tersebut, saya dapati ciri-ciri pada beg itu berbeza dengan apa yang dipapar di laman sesawang. Kualiti beg juga tidak memuaskan. Beg tersebut terdapat kesan kemek (bukan disebabkan pos) dan jahitan yang tidak kemas. Isi tali beg juga kelihatan. Apabila saya menuntut hak saya, penjual tidak mengendahkan permintaan saya. Ada juga unsur-unsur penipuan kerana pihak tersebut mendakwa dia yang mengambil gambar beg itu sendiri, sedangkan beg yang saya terima lain bentuknya. Dalam terma dan syarat dia juga ada menyatakan tentang pengembalian wang penuh jika produk cacat. Tapi dia terus ingin menghilangkan diri”.
Demikian dua contoh aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pembelian dalam talian. Walaupun terdapat kebaikan pembelian dalam talian seperti barang-barang yang dijual adalah murah disebabkan hanya melibatkan pengeluar dan pengguna sahaja. Namun begitu terdapat juga keburukannya seperti tiada penghantaran selepas menerima wang, barang berkualiti rendah atau cacat dan sebagainya.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diketahui oleh pengguna sebelum melibatkan diri dalam pembelian dalam talian:
Sebelum membeli sesuatu barang, layari lebih daripada satu laman sesawang yang menawarkan barangan yang sama untuk membuat perbandingan harga;
Setiap pembelian barang perlu disertakan dengan invois daripada penjual;
Dapatkan data peribadi dan nombor telefon penjual;
Pembelian dalam talian memerlukan data peribadi pembeli seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun atau nombor kad kredit yang dianggap sulit. Pastikan laman sesawang yang dikunjungi diiktiraf dan memiliki sistem sekuriti yang baik;
Pastikan alamat laman sesawang berkenaan tertera `https://’ berbanding `http://.’ Ini kerana `https’ merupakan pangkalan data dan sistem sekuriti yang menjaga segala maklumat peribadi pengguna;
Simpan resit pembayaran;
Berhati-hati apabila membayar menggunakan kad kredit. Jangan dedahkan empat nombor kad kredit yang terakhir;
Faham terma dan syarat sebelum membuat transaksi.
Jadilah pengguna yang bijak, jangan kesal nanti.
Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Sistem meter pukal yang masih diguna pakai pada kebanyakan bangunan bertingkat di negara ini sebenarnya mencekik darah pengguna dengan tarif air yang dua kali ganda lebih tinggi daripada tarif bagi meter individu. Kebanyakan pengguna terutamanya di Selangor tidak dapat menikmati tarif air yang rendah iaitu RM 0.57 setiap meter padu air berbandingkan tarif meter pukal sebanyak RM 1.38 setiap meter padu yang jauh lebih tinggi.
Selain daripada tarif yang lebih tinggi, pengguna juga tidak dapat menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan kadar yang sama. Hak untuk 20 meter padu air yang pertama tidak dapat dirasakan langsung oleh pengguna semata-mata disebabkan sistem meter pukal yang masih diguna pakai dan tidak berjaya ditukar oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Meter pukal ini juga menyumbang serius kepada bil air yang bertunggak yang boleh mencapai beratus ratus ribu dan akhirnya menjadi isu yang kritikal. Sikap tidak bertanggungjawab juga adalah salah satu gejala yang wujud hanya disebabkan sistem meter pukal yang tidak dapat mengagihkan jumlah penggunaan air individu di bangunan bertingkat.
Tarif meter pukal yang tidak seharusnya dikenakan ke atas pengguna juga menyebabkan pengguna tidak puas hati dan tidak mahu membuat bayaran kepada pihak pengurusan bangunan. Pengurusan bangunan yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap menangani masalah ini pada tahap awal lagi pula membawa kepada masalah pemotongan bekalan air ke atas seluruh bangunan bertingkat yang juga mempunyai pengguna yang menjelaskan bil air dengan baik.
Pelbagai masalah yang rumit wujud berpunca daripada sistem meter pukal ini. Misalnya pengguna tidak mahu membayar kos bil air yang tinggi, campur tangan badan pengurusan dalam pembayaran bil air, penyelewengan kuasa, masalah bekalan air yang bocor tidak dapat diselesaikan dan tidak dapat dibendung.
Walaupun kerajaan telahpun memberikan kebenaran untuk migrasi daripada sistem meter pukal ke individu secara total kepada syarikat pembekal perkhidmatan air agar semua pengguna dan penghuni bertingkat dapat menikmati perkhidmatan air yang adil dan saksama, namun di kebanyakan bangunan bertingkat, masalah migrasi ini masih menjadi tanda tanya.
Semua pihak, sama ada badan pengurusan, pemaju, pesuruhjaya bangunan dan syarikat pembekalan perkhidmatan air harus berkerjasama dengan kadar segera untuk menangani masalah ini agar masalah yang bakal ditimpa dan yang sudahpun parah dapat diselesaikan untuk membantu pengguna.
Syarat-syarat yang terlalu tegas dan tidak dapat dicapai untuk usaha migrasi ini juga harus dilonggarkan agar sistem meter individu dapat dilaksanakan keseluruhannya di semua bangunan bertingkat. Sistem migrasi ini juga amat penting untuk memberikan perkhidmatan yang dijanjikan kepada pengguna dan mendidik pengguna untuk menjadi lebih bertanggungjawab.
Ms.Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC) dan Health Canada telah mengumumkan penarikan balik komputer riba jenama Toshiba T Series Notebook daripada pasaran. Komputer riba tersebut dikatakan boleh mengalami kepanasan yang melampau dan boleh terbakar serta mencederakan pengguna.
Setakat ini, syarikat Toshiba telah menerima sebanyak 159 aduan daripada pengguna mengenai masalah ini. Komputer riba yang mengalami kepanasan melampau ini juga dikatakan telah menyebabkan sius hangus dan bekas plastik komputer riba tersebut cair. Setakat ini sebanyak 41,000 komputer riba telah ditarik balik daripada pasaran Amerika Syarikat dan Kanada.
Berikut adalah jenis komputer riba Toshiba yang telah ditarik balik daripada pasaran:
o Satellite T135,
o Satellite T135D
o Satellite ProT130 Notebook Computers
Pengguna-pengguna yang mempunyai komputer riba seperti di atas, diminta agar menghubungi syarikat pembekal atau syarikat Toshiba untuk meminta penjelasan lanjut atau untuk memastikan sama ada produk mereka terlibat dengan penarik balik tersebut.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
Subcategories
Page 206 of 232