Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penurunan gas rumah hijau boleh dilakukan secara mendadak.  Penurunan kadar gas rumah hijau, yang telah menggugat iklim dunia, boleh dicapai oleh industri dengan kos yang berpatutan dan dasar yang bersesuaian.  

Dalam satu siri kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pembangunan Perindustrian (UN Industrial Development Organization, UNIDO), iaitu sebuah agensi PBB,  telah mengenal pasti beberapa langkah yang penting seperti kecekapan tenaga, tenaga yang boleh diperbaharui dan pengumpulan semula gas rumah hijau bagi memastikan suhu purata dunia tidak naik sehingga melebihi 20C pada tahun 2050. UNIDO ialah agensi yang ditugaskan untuk mempromosikan pembangunan lestari dalam sektor industri di negara-negara sedang membangun.

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat dengan kerjasama syarikat Subeam Products Inc, Boca Raton Fla telah menarik balik sebanyak 5,700 buah seterika daripada pasaran Amerika Syarikat. Produk ini dikatakan boleh mengalami kepanasan yang melampau sehingga boleh menyebabkan kebakaran. 

Masalah ini berpunca daripada sistem pendawaian pada seterika tersebut. Sehingga kini, firma tersebut telah menerima 17 aduan, iaitu 3 aduan melibatkan kes kebakaran.  Model yang terlibat dalam penarikan balik tersebut adalah “Sunbeam® Convertible Iron model number of GCSBRS – 103”. Nombor model tersebut boleh dilihat pada bahagian bawah seterika tersebut dan ia juga mempunyai kod data C235 or C237 pada soket.

 

Peningkatan aduan mengenai pengangkutan awam menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem yang sedia ada. Perkhidmatan pengangkutan awam masih merupakan perkhidmatan yang amat diperlukan oleh rakyat di negara ini. Walaupun banyak aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dapat diselesaikan secara individu, namun secara keseluruhan, masalah ini tidak menampakkan secara perubahan yang positif.

Sekiranya keadaan ini berterusan, maka rakyat dan masyarakat antarabangsa akan hilang kepercayaan dan keyakian terhadap mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Umpamanya, seringkali terdapat bas yang mengeluarkan asap yang berlebihan dan rosak di persimpangan jalan; perkhidmatan komuter yang tidak menepati masa; tiada perkhidmatan bas yang mencukupi di sesetengah kawasan; gangguan perkhidmatan yang kerap; khidmat pelanggan yang teruk, telah membangkitkan rasa tidak puas hati dan kemarahan pengguna. Di negara ini, telah sampai tahap yang seseorang itu hanya menggunakan pengangkutan awam kerana terpaksa, bukannya disebabkan ia adalah pilihan yang baik.

Banyak kelemahan yang sedia ada harus diperbaiki dengan kadar segera untuk meningkatkan kualiti dan tahap kepuasan pengguna pengangkutan awam. Antaranya, penyelenggaraan kenderaan yang berkala, penjagaan kenderaan dengan baik, mematuhi tahap PUSPAKOM, pemandu yang dilatih dan bertanggungjawab serta beramah mesra dengan penumpang. Selain itu, syarikat pengangkutan awam perlu memastikan perkhidmatan mengikut jadual, malah memastikan pengguna dapat menggunakan perkhidmatan dalam tempoh masa minimum bagi setiap 30 minit.

Pihak berkuasa pengangkutan awam juga perlu mengadakan banyak perbincangan yang konsisten, dan melakukan perubahan yang dapat dilihat dengan jelas. Suatu dasar pengangkutan awam diperlukan untuk membina hala tuju dengan menggunakan pendekatan yang dapat dikenal pasti oleh semua pihak. Selain itu, negara juga perlu mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dengan sistem pengangkutan awam, sebagaimana yang dilaksanakan di negara negara maju.

Sebarang tindakan dan kegagalan yang dilakukan oleh pemandu mahupun syarikat pengangkutan awam perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan makluman kepada orang ramai. Tindakan tegas ke atas syarikat pengangkutan yang tidak memberikan keutamaan kepada pengguna dan peraturan perlu dikenakan tindakan tegas agar pengguna berasa yakin dengan sistem pengangkutan awam yang baru.

Akhir sekali, satu bentuk saluran tebus rugi perlu disediakan bagi membolehkan pengguna untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dan mendapat ganti rugi yang sewajarnya atas kelemahan perkhidmatan yang disediakan.

Sesuatu industri hanya akan dapat berkembang sekiranya terdapat komitmen kepada pihak pengusaha dan pelanggan serta mempunyai persaingan yang sihat antara pihak yang menyediakan perkhidmatan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

 

Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat telah mengarahkan penarikan balik produk kanak-kanak Refreshing Rings Infant Teethers/Rattles di pasaran Amerika Syarikat disebabkan produk ini boleh menyebabkan bahaya tercekik. 

Menurut Suruhanjaya ini, bahagian-bahagian kecil yang terdapat pada bola produk kanak-kanak tersebut boleh tercabut dan menyebabkan kanak-kanak boleh tercekik. Setakat ini , sebanyak 37000 buah produk kanak-kanak buatan Negara Cina ini telah ditarik balik Suruhanjaya tersebut setelah menerima satu laporan daripada pengguna. Tidak terdapat sebarang laporan kecederaan yang diterima setakat ini.

Karbon dioksida merupakan gas rumah hijau yang paling banyak menyumbang kepada pemanasan global dan perubahan iklim. Manakala di tempat yang kedua pula ialah gas metana. Kebanyakan gas metana dibebaskan oleh sektor penternakan dan pembakaran bahan api fosil. Menurut pakar, 50% daripada gas metana yang terhasil adalah daripada aktiviti manusia dan peratusan ini kian meningkat saban tahun. Punca semula jadi gas metana adalah seperti kawasan paya, laut, kawasan tadahan air, dan tanah lembab

Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa gas metana lebih berbahaya daripada gas karbon dioksida, iaitu gas metana 33 kali lebih cenderung untuk memerangkap tenaga haba dalam atmosfera jika berbanding dengan gas karbon dioksida.

Pada masa ini, hampir semua usaha untuk mencapai persetujuan iklim yang baru tertumpu kepada pengurangan gas karbon dioksida sahaja. Langsung tidak ada sebarang tumpuan diberi kepada gas metana. Walaupun kepentingan utama harus diberikan kepada gas karbon dioksida, namun tidak boleh diabaikan terhadap gas rumah hijau yang lain seperti gas metana.

Ramai pengguna mengadu bahawa surat pemberitahuan lelong oleh pajak gadai tidak diterima. Lelong dibuat sekiranya penggadai gagal menebus barang gadaian mereka pada tarikh yang ditetapkan. 

Apabila hal ini dirujuk kepada pajak gadai, pihak pajak gadai akan menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menghantar surat pemberitahuan tersebut secara pos berdaftar. 

Ini menimbulkan kehairanan kepada penggadai kerana mereka sering menerima surat peringatan daripada pajak gadai supaya membuat bayaran bulanan. Jika surat pemberitahuan lelong dihantar menggunakan pos berdaftar, posman akan meletakkan kad yang berwarna kuning di dalam peti surat sebagai peringatan untuk mengambil surat tersebut sekiranya pemilik rumah tiada di rumah. Namun surat peringatan daripada pihak pos tidak diterima oleh penggadai.

Setiap tahun lebih daripada 2,000 orang kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan yang tidak disengajakan. Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF, seramai berjuta-juta orang kanak-kanak pada setiap tahun dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan, yang sering kali menyebabkan kecacatan seumur hidup.

Laporan “World report on child injury prevention” ini memberikan satu pendekatan yang komprehensif mengenai penilaian kecederaan kepada kanak-kanak yang tidak disengajakan dan kaedah untuk mengelakkannya. Laporan ini juga merumuskan bahawa jika kaedah ini dilaksanakan, ia dapat menyelamatkan nyawa bagi sekurang-kurangya 1,000 orang kanak-kanak di seluruh dunia setiap hari.

FOMCA akan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri tentang penstrukturan semula konsesi lebuh raya. Sebagai permulaannya, dua buah lebuh raya tidak akan dinaikkan kadar tol dalam tempoh lima tahun, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.

Selain itu, tempoh konsesi tol bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, yang menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught,Kuala Lumpur, akan dipendekkan kepada Mei tahun 2011, berbanding tempoh yang sepatutnya pada 2018.

Usaha kerajaan untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya ini pernah ditimbulkan sebelum ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakop. Ia dilakukan akibat daripada rungutan pengguna tentang kenaikan kadar tol yang sering berlaku. Berdasarkan perjanjian konsesi lebuh raya, kadar tol akan dnaikkan setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak membenarkan kenaikan kadar tol, maka kerajaan perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya.

Aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang kualiti perumahan dan pemaju yang tidak bertanggungjawab semakin meningkat. Antara aduan yang paling banyak diterima ialah masalah kualiti rumah yang semakin serius. Tidak ada pendekatan serius daripada mana-mana pihak bagi mengatasi masalah ini. Keadaan ini amat menyedihkan memandangkan kos untuk memiliki rumah yang tinggi dan tempoh untuk membayarnya sangat lama. 

Rumah merupakan aset yang berharga dan memilikinya menjadi impian bagi semua orang. Namun begitu, menduduki rumah baru yang defektif adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh mana mana pembeli, lebih lebih lagi apabila berhadapan dengan pemaju yang tidak bertanggungjawab menyelesaikan maslah yang berbangkit.

Syarikat insurans sering mengamalkan penolakkan tuntutan insurans perubatan, walaupun pemilik insurans telah menjalani ujian perubatan seperti yang diminta oleh syarikat insurans tersebut.

Walaupun laporan perubatan tidak menyatakan apa-apa penyakit semasa menandatangani polisi mereka, masalah akan timbul apabila mereka ingin membuat tuntutan daripada syarikat insurans. Syarikat insurans tidak akan bergantung kepada laporan perubatan sahaja, tetapi mereka akan membuat pemeriksaan di klinik-klinik yang berdekatan dengan rumah pemilik polisi untuk mendapatkan sejarah perubatan mereka. Tujuan utama syarikat insurans berbuat sedemikian adalah untuk mencari alasan bagi menolak tuntutan tersebut..

Persoalannya, mengapa syarikat insurans tidak membuat pemeriksaan ketika menerima permohonan membuat insurans kesihatan. Apa gunanya laporan perubatan jika ia tidak boleh dijadikan sebagai rujukan utama untuk membuat tuntutan?