Banjir besar yang melanda Queensland telah meragut 31 nyawa dan kerugian harta sebanyak USD30billion. Kini air banjir tersebut sedang menuju ke lautan dan mencemar Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef), yang merupakan terumbu karang terbesar di dunia.

Walaupun mengambil masa selama beberapa tahun untuk mengetahui kesan keseluruhan banjir ini, namun ahli sains Australia telah mengutarakan amaran tentang kerosakan yang serius. Buat masa kini, masalah yang terbesar tertumpu kepada bahagian selatan terumbu karang tersebut, yang terdapat 3 buah sungai yang dilimpahi air banjir iaitu Sungai Burdekin, Fitzroy dan Burnett, telah melepaskan berjuta-juta liter air banjir yang tercemar ke dalam laut. Air yang tercemar ini bakal mencemarkan seluruh sistem terumbu karang tersebut sekiranya keadaan banjir bertambah teruk.

Air banjir adalah berbahaya dalam beberapa aspek. Salah satu masalah ialah isi padu air tawar yang mengalir ke dalam laut. Dari delta Sungai Fitzroy sahaja, isi padu air banjir yang mengalir ke dalam laut mampu untuk memenuhi tiga pelabuhan Sydney. Isi padu air tawar yang berlebihan ini akan mengurangkan tahap kemasinan dan mengundang kemusnahan kepada batu karang.

Air banjir ini telah bercampur-aduk dengan pasir, tanah dan pelbagai jenis sampah sarap daripada bandar dan baja-baja daripada kebun-kebun. Air banjir yang keruh ini menghalang sinaran matahari, mengganggu proses fotosintesis dan meliputi permukaan batu karang. Selain itu, bahan kimia daripada sektor industri dan pertanian juga akan mengganggu kesihatan batu karang secara langsung.

Air banjir yang kaya dengan nutrien ini juga membolehkan pertumbuhan microalgae secara berlebihan dan membekalkan makanan yang cukup kepada larva crown-of-thorns starfish. Apabila mencapai umur dewasa, crown-of-thorns starfish ini akan memakan batu karang dan menyebabkan kemusnahan. Bencana yang baru berlaku telah membuktikan bahawa kemusnahan batu karang ini akan berlaku sempena kemunculan crown-of-thorns starfish.

Pada tahun 2008-2009, beberapa siri banjir besar telah membinasakan beberapa kawasan terumbu batu karang. Dengan ancaman pembangunan di kawasan persisiran pantai, perubahan iklim dan asidifikasi lautan, kerosakan dan ancaman yang dihadapi oleh Terumbu Sawar Besar ini akan bertambah teruk. Keadaan yang sama juga akan berlaku di Malaysia sekiranya sikap tidak ambil peduli terhadap perlindungan dan kemampanan alam sekitar.


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

Insurans kini menjadi suatu keperluan asas kepada manusia dalam menjalankan kehidupan harian mereka. Apabila berdepan dengan kecelakaan seperti terbabit dalam kemalangan, masalah kesihatan dan lain-lain, mangsa bukan saja mengalami kesakitan akibat kecederaan atau kesakitan, tetapi juga menghadapi masalah kewangan yang besar.

Dalam situasi sebegini tanpa disedari, insurans memainkan peranan yang penting sebagai jalan keluar daripada permasalahan ini. Walaupun terdapat pelbagai jenis insurans seperti perubatan, pendidikan atau bermacam lagi, namun masih ramai yang belum menyedari kepentingannya.

Justeru, memiliki insurans ketika masih muda dan sihat boleh mendapat pulangan lebih tinggi apabila tamat tempoh matang insurans.

Amalan memiliki insurans kurang mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ini mungkin disebabkan oleh faktor kewangan, seseorang perlu memperuntukkan sejumlah wang untuk membawa premium insurans pada setiap bulan. Ini sekali gus menjadikan insurans sebagai bebanan, sedangkan mereka tidak tahu bila faedah bakal dinikmati.

Dengan dilindungi insurans, seseorang itu yang mengalami kemalangan boleh mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta serta menerima insentif bantuan kewangan sepanjang tempoh rawatan.

Selain itu, dengan memiliki insurans, seseorang diberikan kad insurans yang membolehkan mereka mendapat rawatan lanjutan iaitu kemasukan ke wad rawatan di hospital swasta terpilih dengan mudah. Ini sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan pakar. Insurans memberi kelebihan cukup besar kepada individu serta keluarganya pada waktu sekarang dan masa depan.

Selain daripada memberi perlindungan dari segi nyawa dan perubatan, insurans juga berperanan sebagai suatu tabungan kepada individu itu sendiri pada waktu tua kelak. Sesuatu pakej insurans yang baik biasanya merangkumi 10 peratus nilai daripada jumpah pendapatan bulanan. Pakej itu tertakluk kepada skim perlindungan yang dikehendaki sama ada untuk simpanan, perubatan ataupun kedua-duanya sekali. Anda perlu mengetahui jenis pakej insurans yang ditawarkan sebelum melanggani sesuatu jenis insurans. Selidiki latar belakang syarikat insurans serta kelebihan yang bakal dinikmati daripada pelaburan yang kita lakukan.

Semua pengguna yang masih belum mengambil sebarang insurans, dinasihatkan supaya mengambilnya demi untuk memastikan masa depan yang lebih selamat dan sejahtera.


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia

84% golongan muda menghabiskan masa lapang mereka di internet. Ini menunjukkan gaya hidup orang muda pada masa kini tidak dapat diasingkan lagi dengan dunia internet. Mereka melayari internet untuk pendidikan dan juga keseronokan mengisi masa lapang.

Rangkaian sosial seperti Facebook, Youtube atau Twitter telah menjadi cara baru untuk mereka berkenalan dengan kawan baru dan berkomunikasi antara satu sama lain.

Namun begitu, timbul persoalan sama ada dunia internet yang kian rapat dengan kehidupan anak-anak kita ini selamat? Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) menunjukkan bahawa 60% daripada responden kajian berkata mereka pernah menemui sesuatu yang mereka rasa menjijikkan, membimbangkan dan menakutkan ketika melayari internet. Ini menunjukkan risiko di internet yang sedia ada boleh mengganggu golongan muda.

Kuala Lumpur, 25 Januari 2011 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah melancarkan album lagu dan pertandingan kepenggunaan 2011 di sini pada hari ini.

Album lagu, yang bertajuk ”Hak dan Peranan Pengguna – Ke Arah Penggunaan Berhemat”, memuatkan 10 buah lagu, iaitu sebuah lagu tema berjudul ”Perubahan Bermula Dengan Saya”, 8 lagu berdasarkan 8 hak pengguna dan sebuah lagu instrumental tema. Album lagu ini diterbitkan sebagai bahan pendidikan bagi Kempen Konsumer Kebangsaan yang dianjurkan oleh FOMCA. Album ini akan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai Album Lagu Pendidikan Kepenggunaan Pertama di Malaysia.

Selain itu, FOMCA juga melancarkan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2011. Program pertandingan yang masuk tahun ke-10 ini mengandungi 9 jenis pertandingan yang dibuka kepada semua peringkat masyarakat.

Pada tahun 2010, pertandingan kepenggunaan ini telah disenaraikan dalam Malaysia Book of Records kerana menerima penyertaan yang tertinggi, iaitu 61,044 penyertaan.

Majlis pelancaran album lagu dan pertandingan kepenggunaan telah dirasmikan oleh Tan Sri Jins Shamsudin, iaitu Seniman Negara dan Ahli Dewan Negara. Seramai 200 orang menghadiri majlis pelancaran yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur. Para hadirin juga telah disajikan dengan nyanyian semua lagu yang dimuatkan dalam album lagu kepenggunaan ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, P. Kamanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor dan Harun Salim Bachik, Presiden Persatuan Seniman Malaysia.

Rakyat Malaysia dipelawa untuk menyertai pertandingan kepenggunaan ini. Maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh didapati di laman web: www.mypengguna.com.

 


Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk Marimuthu Nadason telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) bagi sesi 2011-2012. Perlantikan ini yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis Penasihat Pengguna Negara merupakan badan yang ditubuhkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang berperanan sebagai penasihat kepda Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam isu-isu berkaitan kepenggunaan. 

Perlantikan ini merupakan satu catatan sejarah kepada pergerakan pengguna di Malaysia, apabila kali pertama wakil persatuan pengguna dilantik sebagai pengerusi semenjak MPPN ditubuhkan.

Adakah semua bank membuat panggilan telefon kepada pelanggan yang menggunakan kad kredit untuk meminta pengesahan transaksi?

Terdapat juga bank yang memanggil pelanggan mereka untuk pengesahan transaksi sebelum pemindahan wang kepada pihak ketiga. Amalan ini sangat penting untuk mengelakkan enipuan. Bank sepatutnya mengambil pelbagai langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan mereka daripada penipuan.

Sebagai pengguna yang bijak, pengguna hendaklah bertanya kepada bank, sama ada bank tersebut melaksanakan amalan pengesahan kad kredit, sebelum memohon kad kredit. Jika bank tersebut tidak mengamalkan langkah sedemikian, pilih bank lain yang mempunyai amalan tersebut. Pengguna juga perlu berwaspada apabila menerima panggilan daripada pihak bank untuk pengesahan.

Bagaimanakah untuk mengetahui sama ada panggilan tersebut adalah daripada pihak bank? Ramai pengguna yang menerima panggilan palsu daripada pihak yang mendakwa daripada bank sehingga menyebabkan mereka hilang wang yang banyak.

Untuk mengelakkan perkara ini, pengguna hendaklah memberi soalan dan jawapan rahsia kepada pihak bank sebelum memberikan pengesahan. Jangan memberikan soalan dan jawapan rahsia kepada sesiapa sahaja walaupun dengan ahli keluarga.

Bank Negara Malaysia perlu mewajibkan amalan pengesahan transaksi kad kredit kepada kepada semua bank pengeluar kad kredit bagi melindungi keselamatan pengguna kad kredit.


Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Banyak aduan yang telah diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional yang berkaitan penjamin. Ini menunjukkan terdapat banyak kelemahan berkaitan dengan penjamin ini disebabkan oleh pengguna yang tidak sedar mengenai liabiliti dan tanggungjawab mereka sebagai penjamin. Begitu juga pihak bank gagal memberi pengetahuan yang secukupnya kepada penjamin.

Penjamin adalah orang ketiga dalam sesuatu pinjaman atau kontrak. Namun penjamin mempunyai tanggungjawab yang sama seperti peminjam jika peminjam gagal melunaskan pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan. Apabila seseorang menjadi penjamin, ia bermaksud seseorang itu bersedia untuk mengambil tanggungjawab ke atas pinjaman berkenaan dan akan ditanggungjawabkan sekiranya pinjaman itu yang tidak dibayar.

Seringkali seseorang itu terpaksa menjadi penjamin atau `guarantor” kerana akur kepada permintaan rakan ataupun saudara mara. Namun anda perlu menyedari bahawa apabila mnejadi penjamin, anda terikat dengan liabiliti pinjaman tersebut.

Tahukah anda tentang kelayakan dan masalah sebagai seorang penjamin?

Anda perlu terlebih dahulu layak untuk menjadi penjamin iaitu seperti di bawah;

Berumur 18 tahun ke atas
Bukan seorang bankrap
Berfikiran waras dan berkeupayaan dari segi mental untuk memahami dokumen jaminan dan tanggungjawab serta kewajipan seseorang penjamin
Telah bersetuju secara suka rela untuk menjadi penjamin (iaitu tidak dipaksa atau menandatangani kontrak kerana dipengaruhi secara tidak wajar, penipuan, salah representasi atau akibat kesilapan)
Masalah yang bakal menimpa..

Peminjam mungkin tidak membayar pinjaman dan penjamin terpaksa membayarnya.
Peminjam mungkin diisytihar bankrap jika tidak membayar pinjaman. Penjamin juga akan diisytiharkan bankrap jika tidak mampu membayar pinjaman yang dijaminnya.
Peminjam mungkin menghilangkan diri dengan wang dan peminjam terpaksa mengharungi kesulitan dengan bank.
Kemungkinan besar peminjam mempunyai niat untuk menipu.
Pengguna hendaklah bersikap berwaspada dan bertanggungjawab atas segala komitmen berkaitan perjanjian atau pinjaman. Di Malaysia terdapat pelbagai saluran bantuan khidmat nasihat, kaunseling pengurusan kewangan dan pusat aduan yang sedia membantu anda sekiranya menghadapi masalah berkaitan dengan penjamin. Hubungilah mereka untuk mendapatkan khidmat nasihat bagi melindungi diri anda.

 

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia akan mengadakan 63 buah bengkel Latihan Pengurusan Kewangan pada tahun 2011. Bengkel latihan ini bertujuan untuk mendidik masyarakat terutama pengguna muda berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan dengan mudah.

Peserta akan diberikan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran pengetahuan kewangan. Pendidikan ini meliputi topik-topik berkenaan kepentingan perancangan kewangan, memahami nilai wang, menetapkan matlamat kewangan melalui bajet asas, mencapai impian dengan membina kekayaan sendiri, konsep asas pinjaman dan penyelewengan berkaitan kewangan.

Bengkel, yang memfokuskan golongan pengguna berumur 20 hingga 45 tahun, akan memulakan siri bengkel pada awal Januari 2011 hingga April 2011. Berikut adalah senarai bengkel yang akan dijalankan mengikut negeri:

 

Bengkel ini diadakan secara percuma dan terbuka kepada kakitangan agensi kerajaan, NGO, ketua-ketua komuniti, persatuan-persatuan belia negeri dan daerah. Sijil penyertaan dan beg mengandungi modul serta latihan pengurusan kewangan akan diberikan kepada peserta.

FOMCA sangat mengalu-alukan kerjasama daripada ketua-ketua komuniti, NGO, agensi kerajaan agar dapat bekerjasama dalam menjayakan program ini. Sekiranya berminat, sila hubungi Puan Siti Rahayu Zakaria, Pengurus Kanan FOMCA di talian 03-7875 6362 semasa waktu pejabat 9.00 pagi hingga 6.00 petang atau email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

 

Terdapat berbagai-bagai rupa bentuk jalan raya. Ada yang diturap tar seperti di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri. Begitu juga jalan tanah merah, kawasan pedalaman dan ada yang lebih teruk lagi jalan yang berlopak dan berlubang-lubang.

Keadaan permukaan jalan boleh memberi kesan kepada kereta. Antaranya, kesan kepada prestasi bahagian suspensi pada kereta tersebut.

Adakalanya, ia akan mengeluarkan bunyi yang kurang menyenangkan ketika memandu apabila melalui kawasan yang tidak rata. Keadaan ini pasti menimbulkan kegusaran sekiranya secara tiba-tiba kereta rosak di tengah jalan.

Kebiasaannya bahagian suspensi tidak hanya tertumpu pada komponen penyerap hentakan semata-mata. Terdapat peralatan lain juga berkait rapat dengan bahagian terbabit jika berlaku sebarang kegagalan fungsi di situ. Antara komponen sokongan yang saling bersangkutan dengan bahagian ini ialah termasuk absorber top mounting, absorber top mounting plate, pelapik getah bahagian getah bahagian atas dan bawah spring, stabilizer link dan getah pada batang stabilizer.

Dengan hanya menggantikan penyerap hentakan apabila bunyi mula kedengaran ketika kereta dipandu, masih tidak mencukupi. Pemeriksaan terhadap komponen sokongan juga dianggap penting untuk memastikan ia tidak rosak atau haus. Komponen-komponen terbabit berkemungkinan turut mengalami kerosakan disebabkan sistem suspensi yang gagal berfungsi membuat serapan bunyi dan gegaran. Sekiranya pemilik kereta hendak membuat penggantian terlalu banyak komponen di dalam sistem berkenaan, mereka dinasihati supaya menukar keseluruhan bahagian sistem suspensi yang dikenali sebagai set penyerap hentakan bagi mengelakkan pembaziran masa, kerosakan yang berterusan, dakwaan kerosakan palsu oleh mekanik yang tidak bertanggungjawab kerana mementingkan wang dan lain-lain.

Walaupun kos untuk menukar keseluruhan suspensi agak tinggi, tetapi ia adalah murah jika menukarnya satu persatu. Sehubungan dengan itu, pemandu perlu berhati-hati dalam membuat keputusan apabila membuat perbaikan membabitkan komponen dan peralatan pada kereta supaya memastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

 


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia

Kes denggi di Malaysia telah berlarutan selama berdekad-dekad. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengawal penularan penyakit ini, namun bilangan kes denggi masih meningkat dari tahun ke tahun. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, secara keseluruhannya kes denggi di negara ini telah meningkat sebanyak 11% pada tahun 2010, berbanding tahun 2009, iaitu sebanyak sebanyak 46,171 kes. Lima buah negeri telah menunjukkan penurunan dalam jumlah kes, tetapi 10 negeri yang lain pula menampakkan peningkatan secara mendadak. 

Negeri-negeri yang mengalami penurunan jangkitan demam denggi pada tahun 2010 ialah Pulau Pinang yang menurun sebanyak 25%, Selangor sebanyak 12%, dan Perak pula 16%.  Kes laporan denggi telah menunjukkan penurunan yang ketara di negeri-negeri yang dianggap sebagai negeri yang lebih maju. Adakah ini disebabkan penyebaran maklumat dan kempen-kempen yang dijalankan oleh pelbagai pihak itu, tidak sampai ke negeri yang kurang maju?