- Details
Penggunaan kad debit semakin berleluasa di negara ini. Fungsi kad debit berbeza dengan kad kredit. Pengguna yang menggunakan kad debit untuk sesuatu transaksi, tidak akan menjadi penghutang kerana mereka perlu mempunyai wang yang secukupnya dalam kad debit sebelum membeli sesuatu barang. Sebaliknya apabila menggunakan kad kredit, pengguna perlu membayar semula jumlah wang yang telah dibelanjakan itu.
Penggunaan kad debit sebenarnya dapat membantu pengguna untuk belajar menguruskan wang mereka dengan bijak. Tetapi pengguna perlu mempunyai kawalan diri apabila menggunakan kad kredit, jika tidak mereka akan menjadi penghutang.
- Details
Terdapat bank yang masih tidak mengemas kini maklumat pelanggan mereka, seperti alamat dan maklumat hubungan, walaupun selepas pemberitahuan pertukaran baru dibuat. Pemberitahuan mengenai butir-butir maklumat peribadi yang terbaru memang menjadi tanggungjawab pengguna. Selepas pemberitahuan, bahagian perkhidmatan pelanggan bank perlu mengemas kini maklumat tersebut dalam pangkalan data mereka.
Dalam situasi tertentu, akibat kegagalan pihak bank mengemas kini maklumat tersebut menjadi penyebab utama pelanggan kehilangan harta-benda seperti kereta, rumah dan barang kemas yang digadai. Ini berlaku kerana pengguna tidak menerima surat daripada pihak bank, terutamanya tentang pemberitahuan lelong.
- Details
Lebih daripada 6,000 orang perokok telah didenda kerana merokok di zon larangan merokok. Undang-undang yang lebih ketat akan diambil ke atas mereka yang merokok di zon larangan merokok. Tetapi, ini memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berkesan untuk mengurangkan perokok yang merokok di tempat awam.
Kajian menunjukkan bahawa tiada paras yang selamat untuk perokok pasif. Larangan merokok di tempat kerja, pengangkutan awam dan tempat awam tertutup masih belum mencukupi untuk memastikan perokok mematuhnya. Masih terdapat ramai menghisap rokok dengan bebas di tempat awam sama ada yang tertutup atau di stesen bas atau di dalam kedai makan, siber kafe dan di tepi jalan.
Orang ramai masih tidak menghiraukan papan tanda yang menunjukkan tentang larangan merokok. Pekedai-pekedai juga patut bertanggungjawab untuk melarang pelanggan menghisap rokok di dalam premis mereka.
- Details
Masih ramai rakyat Malaysia yang enggan mendapatkan kaunseling apabila menghadapi tekanan. Akhirnya ada yang mengambil keputusan drastik; dan paling membimbangkan ialah membunuh diri. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang pelajar tingkatan lima membunuh diri. Dalam kes yang berasingan, seorang ibu telah membunuh diri selepas mencampakkan anak kecilnya dari tingkat empat sebuah pangsapuri.
Peningkatan taraf hidup dan pembangunan yang pesat negara, kadang-kala telah menyebabkan masalah kepada golongan tertentu. Antaranya masalah tekanan atau stres daripada rutin kehidupan harian sama ada berpunca dari kerja, persekitaran atau individu lain.
- Details
Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Ini sekali gus merekodkan kadar inflasi tahunan kepada 1.8 peratus untuk 2010. Kenaikan kadar inflasi itu berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.
Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus.
Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global. Awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus pada Januari 2011. Ini menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.
- Details
Sebanyak 21 premis telah dikenal pasti sebagai zon larangan merokok. Antaranya ialah hospital / klinik, lapangan terbang, lif dan tandas awam, restoran berhawa dingin, pengangkutan awam, premis kerajaan, institut pendidikan, stesen petrol, kafe internet, pusat membeli-belah dan ruangan pejabat swasta dengan sistem penghawa dingin yang berpusat.
Namun begitu, masih terdapat perokok yang menghisap rokok di kawasan yang disenaraikan. Malah penulis sendiri pernah ternampak orang yang merokok di lobi hotel yang mempunyai sistem penghawa dingin berpusat, tetapi tiada seorang pun yang menghalang dia merokok.
Premis kerajaan merupakan tempat larangan merokok, tetapi puntung rokok masih terdapat di sekitar laluan masuk dan tandas berhawa dingin.
- Details
Lampu isyarat berwarna kuning pada kereta merupakan ciri-ciri keselamatan penting yang membantu pejalan kaki serta pengguna jalan lain untuk mengetahui ke arah mana sebuah kereta akan menghala. Lampu isyarat kuning akan membolehkan pengguna-pengguna jalan raya untuk melihat kereta dengan jelas dan berwaspada terhadap arah tujuan kereta tersebut.
Namun, sekarang ini didapati banyak kereta yang tidak menggunakan lampu isyarat yang betul. Lampu isyarat di sesetengah kereta tidak berwarna kuning, sebaliknya ditukarkan dengan lampu berwarna merah. Lampu merah ini boleh disalahertikan dengan warna ‘casing’ lampu merah yang mempunyai fungsi yang lain pula.
Kekeliruan ini menyebabkan pemandu kereta lain mungkin tidak dapat melihat lampu isyarat kereta tersebut dengan jelas. Lampu isyarat sepatutnya menunjukkan warna yang berbeza secara jelas berbanding dengan lampu lain. Masalah lain adalah, sesetengah kereta mempunyai lampu isyarat yang diletakkan di tengah-tengah ‘casing’ lampu, dan bukannya di bahagian tepi.
Read more: GUNAKAN WARNA LAMPU ISYARAT YANG BETUL PADA KERETA
- Details
Kita sedang dilanda krisis makanan sedunia yang telah berlaku sebanyak dua kali semenjak 3 tahun yang lepas. Harga makanan dunia mencatatkan rekod tertinggi pada bulan Januari 2011, yang disebabkan oleh peningkatan mendadak dalam harga gandum, jagung, gula dan minyak. Walaupun peningkatan harga ini hanya memberi kesanyang kecil kepada inflasi di Amerika Syarikat, namun ia telah memberi kesan yang teruk kepada golongan miskin yang bergantung kepada makanan-makanan asas ini untuk kehidupan.
Menurut ahli ekonomi, kesan daripada krisis makanan ini adalah di luar jangkaan ekonomi. Kekacauan yang berlaku di negara-negara Asia Barat telah menimbulkan banyak persoalan tentang mengapakah ia berlaku sekarang, dan bukannya tahun-tahun sebelum ini. Ramai pakar ekonomi memberi spekulasi bahawa kenaikan harga makanan mungkin merupakan pencetus kepada kekacauan tersebut.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kenaikan harga makanan ini. Namun faktor yang paling ketara ialah keadaan cuaca melampau yang mengganggu pengeluaran pertanian. Di samping itu, cuaca melampau ini dijangka akan meningkat pada masa hadapan dengan peningkatan gas rumah hijau yang dilepaskan ke dalam atmosfera. Ini juga bermaksud bahawa peningkatan harga makanan yang berlaku sekarang mungkin hanya merupakan satu permulaan.
Selain daripada kenaikan harga makanan, banyak harga bahan mentah seperti aluminium dan zink juga sedang meningkat sejak tahun 2009 lagi. Peningkatan ini dipercayai didorong oleh pertumbuhan pesat dalam sektor industri.
Dalam negara-negara sedang membangun seperti China yang mempunyai permintaan daging yang tinggi, juga telah meningkatkan keperluan makanan kepada haiwan ternakan. Selain itu, hasil tanaman dalam sektor agrikultur seperti kapas, juga bersaing untuk menggunakan tanah yang turut diperlukan untuk tanaman makanan. Justeru, pertumbuhan ekonomi serta dasar tenaga yang lemah dan tidak terancang telah memainkan peranan dalam peningkatan harga makanan ini.
Sejak musim panas tahun lepas, cuaca melampau telah melanda hampir keseluruhan benua dunia. Berdsarkan laporan, harga gandum telah naik berlipat-ganda sejak musim panas lepas. Kesan kenaikan harga gandum ini amat jelas dan ia disebabkan oleh pengeluaran dunia yang menjunam mendadak. Musim kemarau dan gelombang panas yang berpanjangan di Moscow telah mencatatkan suhu setinggi 400C dan hampir melumpuhkan pengeluaran gandum di Rusia.
Musim kemarau di Rusia dan Brazil, banjir besar di Australia dan musim sejuk yang melampau di Amerika Syarikat dan China, telah menjejaskan pengeluaran makanan sedunia.
Apakah yang menjadi punca kepada cuaca yang melampau ini?
Jika dilihat daripada sudut kejadian La Niña, yang merupakan satu fenomena cuaca yang biasa. Fenomena ini akan menyebabkan suhu air di kawasan khatulistiwa dan Lautan Pasifik menjadi lebih sejuk. Fenomena ini telah dikaitkan dengan krisis makanan sedunia pada tahun 2007-2008.
Tahun 2005 dan 2010 mencatatkan rekod purata suhu yang tertinggi dalam setahun, walaupun ketika itu sinaran cahaya matahari berdasar pada tahap minimum. Fenomena La Niña sepatutnya menyejukkan suhu Bumi kita. Rekod suhu yang tinggi ini bukan hanya berlaku di Rusia, tetapi di 19 negara yang merangkumi hampir satu perlima daripada kawasan tanah dunia. Kedua-dua musim kemarau dan banjir besar adalah kesan semula jadi daripada dunia yang semakin panas. Kemarau berlaku disebabkan kepanasan yang berpanjangan, manakala banjir pula akibat daripada lautan yang melepaskan lebih banyak wap air.
Kesan perubahan iklim semakin ketara dan boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja, dalam keadaan tiada sebarang persiapan dilakukan untuk menghadapinya. Kesannya telah mulai dirasai pada masa ini dari segi kekacauan politik dan kegawatan ekonomi. Sekiranya tindakan gagal dilakukan untuk menurunkan pelepasan gas rumah hijau, maka lebih banyak bencana alam yang teruk akan berlaku.
Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
- Details
Krisis di Asia Barat dikatakan sebagai punca harga minyak mentah melonjak kepada AS$100 setong. Akibatnya permintaan kepada bio bahan api (biofuel) kian meningkat. Keadaan ini menyebabkan komoditi seperti tebu, yang sebelum ini ditanam untuk menghasilkan gula, kini telah ditukar untuk menghasilkan etanol sebagai bio bahan api.
Begitu juga bencana alam yang berlaku di beberapa buah negara seperti Australia, India, China dan sebagainya, menyebabkan kekurangan bekalan bahan makanan seperti gandum, jagung, bawang dan lain-lain. Akibatnya dunia bakal berhadapan dengan krisis bekalan makanan, sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008 dahulu.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian, PBB (FAO) turut mengakui hakikat ini apabila mengatakan paras harga makanan telah mencapai paras tertinggi pada bulan Disember 2010. Ini berdasarkan kepada indeks harga makanan FAO bagi bakul makanan telah mencecah 214.7 pada bulan Disember 2010, berbanding 213.5 ketika krisis makanan memuncak pada bulan Jun 2008.
Kini krisis harga makanan mulai melanda negara apabila harga bahan makanan mulai meningkat. Walaupun harganya masih pada paras yang terkawal, tetapi jika tiada langkah konkrit yang dilakukan, harga bahan makanan ini akan terus naik.
Sebahagian besar daripada bahan makanan untuk keperluan negara adalah diimport. Bil import bahan makanan negara pada 2009 adalah 26.7 bilion. Ini menyebabkan sebarang keadaan yang berlaku di peringkat global akan memberi kesan kepada bekalan makanan negara. Krisis makanan pada tahun 2008 perlu dijadikan sebagai pengajaran apabila negara menghadapi masalah kekurangan bekalan beras yang meruncing.
Rentetan daripada krisis makanan 2008, kerajaan telah mewujudkan Dasar Jaminan Bekalan Makanan 2008-2010, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 bilion (walaupun dalam perbentangan bajet 2009, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk dasar jaminan makanan negara). Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran bahan pertanian untuk makanan, khususnya pengeluaran beras. Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan pengeluaran beras negara sehingga mencapai tahap kecukupan diri (self-sufficiency) dengan menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi yang kesembilan.
Dengan wujudnya kebimbangan mengenai krisis makanan yang bakal berlaku pada tahun 2011, maka kerajaan perlu meneruskan Dasar Jaminan Makanan ini. Sewajarnya kerajaan mempunyai pelan strategik jangka panjang berkaitan Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Dasar ini bukan sahaja tertakluk kepada beras sahaja, tetapi juga makanan lain yang menjadi keperluan harian rakyat. Sebagai contoh gandum yang menjadi makanan ruji harian, sedangkan bahan mentah ini diimport sepenuhnya. Kajian perlu dilakukan bagi mendapatkan bahan alternatif bagi menggantikan gandum, yang boleh ditanam di negara ini, seperti tepung beras atau tepung ubi.
Dalam pada itu, bagi memastikan bekalan bahan makanan yang diimport sentiasa mencukupi, kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang mencukupi untuk tempoh 3 bulan hingga 6 bulan. Keadaan semasa di negara pembekal utama bahan makanan ini sentiasa dipantau bagi memastikan keadaan di negara tersebut tidak menjejaskan bekalan bahan makanan. Jika ini berlaku, maka usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan bekalan daripada negara lain yang tidak terjejas.
Para pengguna juga perlu memainkan peranan dalam menghadapi krisis makanan ini. Mereka perlu mengamalkan tanaman sayur-sayuran di halaman rumah untuk keperluan sendiri. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian, tetapi juga membolehkan mereka menikmati sayur-sayuran yang segar dan tidak dicemari dengan racun makhluk perosak.
Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
- Details
Sebagai pengguna jalan raya, terutamanya apabila ingin pergi ke destinasi yang tidak biasa dikunjungi, papan tanda merupakan petunjuk dapat membantu. Namun begitu, keadaan ini tidak berlaku sekiranya berada di kawasan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Papan tanda merupakan satu masalah yang utama.
Kebanyakan papan tanda didapati diletak di belakang pokok yang besar, di kawasan yang terselindung dan pelbagai tempat yang tidak banyak membantu pengguna untuk membuat keputusan. Malah terdapat sesetengah papan tanda yang amat mengelirukan.
Papan tanda amat penting bagi negara yang pesat membangun seperti Malaysia, yang mempunyai ramai penduduk yang bukannya penduduk asal sesebuah negeri berkenaan. Selain daripada itu, pengguna yang datang ke sesuatu destinasi untuk tujuan yang penting juga berasa amat bingung dan tidak puas hati setiap kali melihat papan tanda yang tidak berfaedah dan langsung tidak membantu mereka.
Subcategories
Page 194 of 232