- Details
Kad kredit adalah sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai. Ia juga dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutamanya ahli perniagaan. Kini terdapat semakin banyak syarikat yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa dan Master Card.
Menurut Menteri Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di samping itu, beliau juga turut menjangkakan bahawa bilangan pemegang kad kredit di Malaysia akan bertambah pada tahun-tahun yang akan datang.
Namun begitu, penggunaan kad kredit mempunyai kebaikannya dan keburukan yang tersendiri.
Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu bebanan.
Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan wang tunai. Ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka menggunakan kad kredit tersebut, mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Ada juga sesetengah kedai meminta pemegang kad kredit menunjukkan kad pengenalan sebelum membuat bayaran menggunakan kad kredit. Amalan ini bagi memastikan pengguna kad kredit tersebut adalah pemilik yang sebenar. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang.
Selain itu, pengguna juga gemar menggunakan kad kredit apabila berada di luar negara. Sekiranya anda melancong ke luar negara, anda mungkin perlu menukarkan mata wang negara ke mata wang negara yang dilawati. Ini tidak perlu dilakukan oleh pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara automatik setiap kali kad kredit tersebut digunakan. Bagi kebanyakan pelancong, mereka lebih suka menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika berurus niaga terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa.
http://www.konsumerkini.net.my/v1/images/stories/images/images_28092010_debt.gifPemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa masalah. Ini disebabkan tidak semua peniaga mahu menerima pembelian secara kad kredit, terutamanya kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil. Selain itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih-lebihan kerana mereka tidak begitu peka atau perihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan. Oleh sebab itu, sering berlaku pemegang kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak sehingga menyebabkan mereka diisytiharkan muflis.
Jayasilan Kandasamy
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
- Details
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional sering menerima aduan daripada pengguna yang mengadu mereka mengalami kesukaran untuk membuat tuntutan insurans, khususnya insurans hayat. Dalam keadaan seperti ini pengguna seolah-olah dibuli oleh syarikat insurans. Acapkali mereka sering diminta untuk menghantar laporan perubatan dan pelbagai dokumen lain.
Pengguna yang sudahpun mengalami kerugian, kemalangan dan kehilangan nyawa terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan tekanan, namun pihak yang sepatutnya membantu mereka semakin membebankan mereka pula.
Satu lagi perkara sering dihadapi ialah kelewatan mendapatkan tuntutan. Walaupun tuntutan mereka tidak mempunyai kaitan langsung dengan penyakit yang dihadapi, namun syarikat insurans mencari alasan untuk mengagalkan tuntutan mereka dengan pelbagai alasan.
Read more: PENGGUNA SERING MENJADI MANGSA BULI SYARIKAT INSURANS
- Details
Apakah itu aditif makanan?
Aditif makanan adalah makanan yang ditambah dengan sengaja ke dalam makanan bagi tujuan memperbaiki kualiti, persembahan (tekstur, rupa, konsistensi,), perisa, bau, rasa dan jangka hayat penyimpanan tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.
Jenis aditif makanan
Asid alginik
Terdapat pada dinding sel alga perang. Juga dipanggil sebagai algin/ alginate
Fungsinya adalah menyerap air dengan cepat, dan digunakan sebagai agen pengeras pada ais krim.
Terdapat pada ubat pelangsing badan
Asid adipik
Jumlah yang kecil digunakan dalam makanan sebagai penambah perisa.
Klorofil
Pigmen hijau yang dijumpai dalam kebanyakan tumbuhan , alga dan sianobakteria Digunakan untuk mewarnakan makanan untuk memberikan warna hijau
Asid fumarik
Bersifat asid yang digunakan sebagai perasa masam dalam gula-gula dan juga digunakan dalam soda pembuatan kek.
Asid glutamik
Merupakan sejenis asid amino. Digunakan sebagai perasa dalam keju dan sos soya untuk memberikan rasa.
Locust bean gum
Juga dikenali sebagai karobin, E410. Diekstrak daripada biji pokok Carob dan digunakan sebagai agen penebal dan gel dalam industri makanan. Mudah larut dalam air.
Monosodium glutamate, MSG
Juga dikenal sebagai sodium glutamate. Digunakan secara meluas sebagai aditif makanan dan penambah perisa.
Potassium benzoate
Menghalang pertumbuhan kulat dan bakteria. Ia digunakan sebagai agen pengeram (preservative) bagi makanan berasid seperti jus buah-buahan, jeruk dan minuman ringan.
Sorbitol
Digunakan dalam diet sebagai pengganti gula. Biasanya digunakan dalam makanan diet dan ais krim diet. Ia juga berupaya memberikan tenaga.
TBHQ, tertiary butylhydroquinone
Sebagai pengeram (preservative) bagi minyak sayuran tidak tepu. Mengekalkan warna dan tidak menghilangkan bau . Juga digunakan dalam penyimpanan makanan yang disejukkan seperti ikan.
Xanthan gum
Merupakan sejenis polisaccharide yang digunakan dalam salad dan sos salad. Berfungsi untuk mengasingkan minyak. Sesetengah orang akan berasa pening apabila makan salad dan sos yang mengandungi xanthan gum.
Tip bagi pengguna
Label merupakan satu perkara yang sangat penting dalam memberikan maklumat mengenai sesuatu barangan.
Di bawah undang-undang yang sedia ada, aditif makanan yang ditambah harus dinyatakan dalam label.
Pengguna harus menumpukan perhatian pada label untuk mengetahui aditif makan yang terdapat dalam barangan tersebut.
Perkara ini boleh membantu seseorang pengguna untuk membuat pilihan yang tepat dan sesuai.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pengguna Malaysia dikejutkan dengan berita tentang aduan seorang pengguna yang mendakwa telur yang dibeli di Pasar Pulau Tikus, Pulau Pinang adalah telur tiruan. Namun, hasil ujian Jabatan Kimia mendapati empat sampel telur ayam adalah tulen dan keputusan analisis mendapati kandungan protein sampel telur berkenaan adalah sama dengan telur ayam.
Kes masalah makanan dan keracunan makanan dilaporkan banyak berlaku di Tanah Besar China beberapa tahun yang lalu. Pada tahun 2001, terdapat 185 kes keracunan makanan yang menjejaskan sebanyak 15,715 orang dengan mengakibatkan 146 kematian. Kejadian ini bertambah dua kali ganda pada tahun 2002 dan pada 2003, bilangan kes yang dilaporkan adalah sepuluh kali ganda daripada tahun 2001.
Jumlah orang menderita ialah mencecah 29,660 orang termasuk 262 kematian dan pada September 2008 hampir 53,000 kanak-kanak China menderita akibat pencemaran susu bayi dengan 4 orang bayi meninggal dunia.
Seorang maut dan 42 orang mengalami keracunan nitrat di hotel barat daya China pada Oktober 2010 dan 200 pelajar sekolah mengalami sakit perut dan muntah akibat meminum susu sarapan pagi di sekolah pada April 2010. Kesimpulannya terlalu banyak kes keracunan dan makanan tiruan berlalu di negara China dengan mengakibatkan sejumlah besar rakyat mereka.
Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur. Menurut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.
Menurut artikel daripada Xiamen News, sekiranya telur tiruan ini dimakan dalam masa yang panjang boleh mengakibatkan kesan kecacatan otak. Justeru itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan telur tiruan. Sekiranya pengguna ragu-ragu dengan keasliannya sila hubungi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang berhampiran tempat anda.
Berikut adalah tip untuk membezakan telur tiruan dengan telur asli:-
Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.
Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.
Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.
Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.
Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.
Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.
Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.
Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.
Cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan adalah langkah yang seharusnya telah dimulakan dari dahulu lagi. Melalui sistem itu, telur yang dikeluarkan akan dicop dengan label ladang, gred telur dan tarikh ia dikeluarkan bagi menambah keyakinan pengguna terhadap telur tersebut.
Mengikut rekod, terdapat 390 ladang ayam penelur di negara ini dengan kapasiti sebanyak 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta sehari. Pada ketika ini, pengguna diharapkan dapat memanfaatkan maklumat dan label yang diwujudkan agar dapat membuat pilihan yang bijak.
Siti Rahayu Zakaria
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia
- Details
Akhbar pada hari ini menyiarkan berita tentang sekumpulan 50 orang yang dikenakan bayaran sebanyak RM13,000 selepas menikmati hidangan ikan Patin di Temerloh, Pahang. Pelanggan tersebut terkejut kerana dikenakan caj yang begitu tinggi, seolah-olah harga di hotel 6 bintang.
Kes seperti ini telah biasa berlaku sebelum ini. Pelanggan dikenakan harga makanan yang tidak menentu, dan adakalanya tidak munasabah. Namun disebabkan harga makanan di restoran atau gerai bukannya barang kawalan, dan pihak restoran sendiri ada meletakkan senarai harga, maka pihak berkuasa tidak boleh mengambil tindakan terhadap restoran tersebut. Sebelum 1 April 2011, peraturan berkaitan harga tertakluk di bawah Akta Kawalan Harga 1946.
Namun, pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 telah dikuatkuasakan, bagi menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. Di bawah akta ini, selain daripada kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, peniaga juga boleh dikenakan tindakan sekiranya menjual barang dengan harga yang keterlaluan atau tidak munasabah.
Read more: KES IKAN PATIN UJI KEBERKESANAN AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN
- Details
Perubahan iklim telah dikenal pasti sebagai punca berlakunya bencana ataupun krisis paling besar yang melanda dalam sejarah ketamadunan manusia. Sejak tahun 1990-an, banyak perundingan dan perbincangan diadakan bagi mengatasi masalah dunia ini. Namun sehingga kini masih tidak membuahkan sebarang sebarang perjanjian yang benar-benar boleh mengatasi masalah ini.
Tidak ada lagi perjanjian seperti Protokol Kyoto telah mewajibkan negara-negara yang menandatangani perjanjian ini untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memperlahankan proses pemanasan global.
Pelepasan gas rumah hijau yang terlalu tinggi menjadi sebab utama berlakunya pemanasan global, yang sebahagian besarnya berpunca daripada manusia. Dengan itu, perubahan iklim yang asalnya merupakan proses semula jadi di bumi, telah menjadi senjata boleh boleh membinasakan apabila pelepasan gas rumah hijau disumbangkan oleh pembangunan manusia ke dalam atmosfera.
Read more: KAJIAN SEMULA CADANGAN MEMBINA LOJI TENAGA NUKLEAR DI MALAYSIA
- Details
Media massa sering menyiarkan berita tentang keracunan makanan, terutamanya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang makan di kantin atau di asrama sekolah.
Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam laporan media mengatakan bahawa, pada tahun 2009, sebanyak 303 kes keracunan makanan, manakala pada tahun 2010, sebanyak 313 kes keracunan makanan telah dilaporkan di seluruh negara. Beliau juga berkata sebanyak 50 peratus daripada 311 kes keracunan makanan yang dilaporkan sepanjang 2010, berlaku di kantin sekolah.
Keracunan makanan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga boleh membawa kematian kalau masalah keracunan yang dialami adalah kritikal, terutamanya kepada kanak-kanak yang masih lemah daya pertahanan diri mereka. Oleh itu keselamatan makanan hendaklah diberi perhatian.
Keselamatan makanan bermakna apabila makanan dimakan, ia tidak mengandungi bahan pencemaran pada paras yang berbahaya. Semua orang, sama ada yang menghasilkan, mengeluarkan, mengedarkan, menyediakan atau memakan makanan, adalah sebahagian daripada rangkaian makanan. Oleh itu, keselamatan makanan menjadi tanggungjawab bersama yang memerlukan usaha setiap sektor, iaitu kerajaan, industri makanan dan pengguna.
Salah satu sebab mengapa keracunan makanan sering berlaku adalah pengendalian makanan yang tidak sempurna di rumah. Mengendalikan makanan dengan cara yang selamat adalah penting untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan para pelanggan, terutama sekali ketika menyediakan makanan untuk bayi, kanak-kanak, wanita hamil, orang tua dan mereka yang menghidapi masalah imuno. Golongan ini lebih mudah mendapat keracunan makanan daripada orang dewasa yang sihat.
Dengan melaksanakan beberapa amalan mudah dan baik, ia dapat mengelakkan pencemaran serta pertumbuhan dan pembiakan bakteria dalam makanan. Antara amalan tersebut ialah:
• Pilih makanan dengan teliti.
• Cuci dan simpan bersih.
• Asingkan makanan mentah dengan makanan yang telah dimasak.
• Masak makanan dengan sepenuhnya.
• Simpan makanan pada suhu yang selamat.
Sebagai pengguna , anda mempunyai kawalan secara langsung ke atas keselamatan makanan yang disediakan untuk diri dan keluarga anda. Anda boleh melakukan ini dengan melengkapi diri anda dengan ilmu pengetahuan mengenai risiko keselamatan makanan, dan amalan makanan yang selamat bagi mengelakkan risiko tersebut. Anda juga boleh menghadiri atau menghantar anak-anak anda untuk ceramah mengenai keselamatan makanan. Dengan mengambil langkah-langkah yang sesuai, anda boleh memainkan peranan dalam melindungi kesejahteraan diri dan keluarga anda.
Industri makanan juga bertanggungjawab bagi keselamatan makanan yang ditawarkannya kepada pengguna. Pengeluar, pengimport dan pengedar makanan perlu mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi dengan mematuhi syarat-syarat yang ketat. Pengusaha industri makanan yang bertanggungjawab meningkatkan keyakinan awam terhadap produk mereka dengan merangkumkan program memastikan keselamatan makanan dan amalan kebersihan di dalam operasi mereka.
Oleh kerana keracunan makanan di kantin sekolah menjadi isu yang hangat, pihak sekolah dan pengusaha kantin harus memainkan tanggungjawab bagi menggelakkan berlakunya keracunan makanan.
Antara langkah yang perlu diambil oleh pengusaha kantin adalah seperti berikut:
• Pengusaha kantin sekolah haruslah lebih bertanggungjawab tanpa mementingkan keuntungan
• Baki lebihan makanan tidak boleh dijual atau dihidangkan semula kepada murid-murid.
• Menjaga kebersihan diri pekerja dari segi pakaian, fizikal dan kesihatan.
• Penyediaan makanan hendaklah sempurna dengan memastikan bahan penyadiaan hendaklah dibersihkan dengan baik, sistem penyimpanan makanan hendaklah dikawal, bahan tamat tarikh luput hendaklah dilupuskan dan bahan yang telah tercemar hendaklah dibuang secara teratur
• Persekitaran memasak hendaklah dipastikan sentiasa bersih, iaitu kawasan memasak/kantin (lantai) mesti bersih, kantin mesti berjauhan daripada tempat pembuangan sampah, sistem perparitan berhampiran kantin mesti bersih dan sempurna
Antara langkah yang harus dilakukan oleh pihak sekolah dalam menangani masalah ini adalah seperti berikut:
• Melakukan Pemantauan secara berterusan oleh pihak sekolah, sama ada secara secara berjadual atau secara mengejut.
• Mengenakan kompaun kepada pengusaha.
• Menggantung dan membatalkan lesen/tender pengusaha sehingga tahap piawaian kesihatan memuaskan.
• Menganjurkan ceramah kesedaran kepada kanak-kanak tentang betapa pentingnya keselamatan makanan dan bagaimana memastikan makanan yang mereka makanan adalah bersih dan selamat.
Vanitha Vasu
Forum Air Malaysia
- Details
Pemanasan global telah menjadi isu terhangat yang sering disiarkan di dada-dada akhbar dan menjadi topik perbualan komuniti antarabangsa. Tahukah anda bahawa suhu permukaan bumi telah mengalami peningkatan sebanyak 0.74 +/- 0.18 °C ( atau 1.33 +/- 0.32 °F ) dalam tempoh seratus tahun sehingga tahun 2005? Selain itu, menurut laporan terbaru yang telah dikeluarkan oleh Intergovernmental Panel on Climate Control (IPCC) besar kemungkinan bahawa suhu permukaan bumi akan meningkat lagi sebanyak 1.1 hingga 6.4 °C (ataupun 2.0 hingga 11.5 °F). Rajah di bawah menunjukkan graf peningkatan suhu global yang disokong dan disahkan olah pelbagai masyarakat saintifik yang sedang mengkaji fenomena pemanasan global ini di seluruh dunia.
Pemanasan global telah disebabkan oleh beberapa faktor seperti aktiviti pembakaran terbuka, pulau haba serta pembebasan gas karbon monoksida dan karbon dioksida yang berlebihan dalam kehidupan seharian kita. Apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya hal ini tidak dibendung? Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul sekiranya perkara ini tidak dicegah.
Read more: SEMUA ORANG BERPERANAN ATASI MASALAH PEMANASAN GLOBAL
- Details
Pada zaman moden ini kebiasaannya mangsa akan ditawarkan untuk melabur dalam skim yang memberikan pulangan yang lumayan dan jaminan yang tinggi seperti pelaburan emas dan pelaburan berbentuk sijil dividen. Pada mulanya,syarikat-syarikat ini dapat memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada pelanggannya tetapi lama-kelamaan mereka tidak mampu untuk membuat pembayaran kepada semua yang terlibat (skim piramid).
Syarikat-syarikat ini dikatakan melakukan kesalahan kerana mengambil deposit wang tunai tanpa mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Ada antara syarikat-syarikat ini yang sedang disiasat, manakala ada pula yang telah diambil tindakan oleh Bank Negara Malaysia, yang aset-aset syarikat dan akaun-akaun bank dibekukan kerana menjalankan skim pelaburan tanpa lesen.
- Details
PETALING JAYA, 8 April 2011 - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan Minggu Tidak Menonton Tv pada hari ini. Kempen ini akan berlangsung pada 21 hingga 27 April di seluruh negara.
Kempen Tidak Menonton TV merupakan acara di peringkat antarabangsa yang bermula pada tahun 1994 di Amerika Syarikat. FOMCA telah mula mengadakan kempen ini pada tahun 2008, bersempena dengan Kempen Konsumer Kebangsaan.
Bercakap dalam sidang media melancarkan kempen tersebut, Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA berkata, Kempen Tidak Menonton TV ini diadakan disebabkan tabiat menonton televisyen dan peralatan berskrin yang terlalu lama, menyebabkan banyak berlaku masalah, terutamanya kepada kanak-kanak.
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Malaysia, kanak-kanak menghabiskan masa secara antara 3 hingga 5 jam sehari menonton/menggunakan peralatan berskrin (termasuk televisyen, computer dan telefon bimbit). Manakala di Amerika Syarikat pula, masa menonton televisyen sahaja adalah 4.57 jam sehari.
Akibat daripada tabiat menonton tv yang lama ini menyebabkan kanak-kanak dan remaja tidak melakukan aktiviti berbentuk fizikal. Ini menyebabkan mereka menghadapi masalah obesiti, hipertensi dan kencing manis.
Justeru, kempen ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak dan remaja mengurangkan tabiat menonton tv dan peralatan berskrin kurang daripada 2 jam sehari. Sebaliknya, pada tempoh tersebut, mereka melakukan aktiviti lain bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
Antara aktiviti yang boleh diadakan adalah bermain dengan haiwan peliharaan, mewarnakan lukisan atau mencantumkan gambar), atau aktiviti berkeluarga seperti melawat muzium atau zoo, bermain kad atau permainan dalam rumah yang lain, menyusun gambar keluarga dalam album dan sebagainya.
Sepanjang kempen ini diadakan, FOMCA akan menjalankan beberapa aktiviti, antaranya mengedarkan risalah kempen di seluruh Lembah Klang dan bandar-bandar utama di seluruh Malaysia. Selain itu, risalah kempen juga diedarkan kepada kanak-kanak di Tadika Kinderland.
FOMCA juga akan melakukan aktiviti kempen di Tadika Kinderland, Kota Kemuning. Pada 27 April 2011, kanak-kanak di tadika tersebut akan berkongsi pengalaman mereka apabila tidak menonton telivisyen sepanjang kempen diadakan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ooi Geok Ping, wakil Tadika Kinderland.
Laporan oleh:
Mohd Yusof Abdul Rahman
’Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Mengenai Minggu Tanpa Televisyen
NO TV WEEK !!!
Tutupkan TV dan Hidupkan Kekeluargaan!
21 – 27 April ialah Minggu Tidak Menonton TV!
Ini ialah tahun ketiga FOMCA menganjurkan kempen ini sempena Kempen Konsumer Kebangsaan (atau Kempen 3K) 2008-2012. Dalam kempen ini, orang ramai diminta untuk menutupkan TV mereka selama seminggu. Ini juga boleh dilanjutkan lagi dengan Minggu tanpa Skrin yang mana merangkumi komputer, telefon bimbit, alat permainan video dan juga alat elektronik yang berskrin. Tujuan kempen ini ialah untuk menggalakkan orang ramai terutamanya ibu bapa untuk menghabiskan masa lapang bersama anak-anak mereka dengan melakukan aktiviti lain yang lebih aktif dan berinteraksi.
Pada tahun ini, FOMCA akan mengadakan kempen ini dengan menjemput orang ramai untuk menyahut cabaran dengan tidak menonton TV selama seminggu dan menggantikan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang lain. Anda boleh menganjurkan Minggu Tidak Menonton TV di rumah, di pejabat atau di kelas anda dengan menjemput semua orang untuk menyertai kempen tersebut. Anda boleh memuat turun kad laporan untuk mencatat jenis aktiviti yang anda lakukan ketika tidak menonton TV atau menggunakan sebarang alat elektronik yang berskrin. Anda juga boleh memuat turun brosur Minggu Tidak Menonton TV untuk mendapat 60 idea aktiviti-aktiviti yang anda boleh jalankan dalam Minggu Tidak Menonton TV.
Kongsikan cerita atau pengalaman anda dengan kami menerusi e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.. Perubahan bermula dengan anda!
Muat Turun Kad Laporan Kanak-kanak
Muat Turun Brosur Minggu Tanpa Televisyen
Subcategories
Page 190 of 232