- Details
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan 10 peratus daripada jumlah penduduk di dunia ini. 80 peratus daripada golongan OKU ini berada di negara-negara membangun.
Malaysia mempunyai penduduk seramai lebih kurang 28 juta orang. Berdasarkan statistik PBB itu, jumlah OKU di Malaysia dianggarkan seramai 2.8 juta orang. Namun begitu, OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seramai 280 ribu sahaja, 10% daripada anggaran penduduk OKU di negara kita.
Jumlah ini tidak menggambarkan keadaan yang sebenar bagi golongan OKU di negara kita. Sebahagian besar golongan OKU diabaikan oleh pihak kerajaan, yang keperluan mereka tidak dipertimbangkan. Oleh itu, mereka tidak dapat menikmati kemajuan negara.
Golongan OKU perlu diberikan keutamaan, namun dalam konteks Malaysia, golongan OKU tidak didahulukan, malah sering diketepikan. Malaysia telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak OKU Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi hak OKU tidak diberikan dengan sama rata.
Konvensyen ini menjamin golongan OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya serta penyertaan penuh serta efektif dalam masyarakat di semua aspek kehidupan - aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya. Biarpun begitu, keadaan ini berbeza di Malaysia, OKU tidak diberi peluang untuk memajukan mereka.
Apabila jumlah OKU di sesuatu kawasan tidak diketahui, sememangnya kita telah gagal merancang untuk mereka. Sebagai contoh, sekolah-sekolah khas tidak dapat disediakan, kemudahan-kemudahan mesra OKU juga tidak dapat dibekalkan dan peluang pekerjaan tidak dapat memenuhi keperluan jumlah OKU yang berkemampuan untuk bekerja.
Pendaftaran OKU adalah secara sukarela, dan usaha JKM untuk mendaftarkan OKU pun secara sukarela. Justeru, statistik yang diperolehi adalah tidak tepat. Apabila jumlah OKU tidak dapat dikenal pasti, maka pelan pembangunan negara tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Kesimpulannya, pendaftaran OKU adalah penting. Dengan berpandukan kepada data yang sedia ada, kerajaan dapat merancang pembangunan negara dengan mempertimbangkan keperluan OKU, dan OKU dapat menyumbangkan tenaga mereka dalam kemajuan Negara.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
14 April 2010
- Details
Langkah Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjadikan Pulau Redang sebagai destinasi ekslusif bagi golongan elit apabila tidak akan meluluskan lagi pembinaan hotel bajet amat tidak wajar.
Pulau Redang adalah pulau awam yang boleh dikunjungi oleh setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan. Jika hasrat Kerajaan Terengganu dilaksanakan, ia seolah-olah menafikan hak rakyat untuk mengunjungi pulau tersebut dengan tidak menyediakan kemudahan penginapan yang mencukupi.
Kerajaan Terengganu sepatutnya menyokong usaha Kementerian Pelancongan untuk menggalakkan rakyat tempatan melancong ke dalam Negara, termasuk pulau-pulau yang berada di perairan Malaysia.
Usaha Kerajaan Terengganu untuk menarik pelancong elit masih boleh dilakukan tanpa menjejaskan kedudukan golongan yang lain dengan memperbanyakkan kemudahan yang mereka ingini.
Tidak sewajarnya wujud sesebuah tempat di dalam negara ini yang hanya dihadkan untuk golongan tertentu sahaja, melainkan jika ia adalah pulau persendirian seperti Pulau Pangkor Laut.
Mohd Yusof Abdul Rahman
13 April 2010
- Details
Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan di bawah Akta Persaingan. Demikian menurut kenyataan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini.
Penubuhan Suruhanjaya Persaingan bertujuan untuk memantau kegiatan bersifat monopoli dan mengendalikan sebarang aduan yang berkaitan dengan kegiatan tersebut.
- Details
Usaha kerajaan untuk melarang penjualan rokok paket 14 batang amat wajar dilakukan. Langkah ini bertujuan untuk membendung tabiat merokok, khususnya golongan pelajar dan remaja.
Walaupun sebelum ini kerajaan telah meletakkan harga minimum bagi rokok berpaket 20 batang sebanyak RM6.40 pada 1 Januari 2010, namun begitu dengan adanya penjualan rokok berpaket 14 batang, yang tidak ditetapkan harga minimum, maka golongan ini beralih kepada rokok berpaket ini.
- Details
Obesiti didefinisikan sebagai lebihan lemak tubuh yang boleh menyebabkan masalah kepada kesihatan. Obesiti berlaku apabila saiz atau bilangan sel lemak di dalam tubuh meningkat (Myers, 2004).
Indeks jisim tubuh atau Body Mass Index (BMI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan data asas tahap kegemukan dan obesiti. BMI digunakan dengan mengira berat badan dalam unit kilogram (kg) dan dibahagikan kepada tinggi dalam unit meter kuasa dua (m2 ).
Read more: OBESITI DI MALAYSIA - APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN?
- Details
Kuala Terengganu - Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) sedang menjalankan Kempen Kesedaran Kecekapan Tenaga Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai SWITCH!
Program yang diadakan pada hujung minggu itu, melibatkan pengguna daripada daripada pelbagai lapisan. Puan Lim Shok Hong, Pengurus Persatuan Pengguna Air dan Tenaga (WECAM) berkata, “Peserta program agak terkejut apabila mengetahui bahawa mereka sendiri boleh mengira kos tenaga elektrik. Peserta juga didedahkan kepada kalkulator audit tenaga dan pemilihan produk elektrik yang cekap tenaga di laman web SWITCH!.”
Read more: PROGRAM `SWITCH’ UNTUK DIDIK PENGGUNA JIMATKAN TENAGA
- Details
Kementerian Kerja Raya telah memberikan cadangan agar syarikat konsesi lebuh raya dibenarkan untuk menaikkan kadar tol sekiranya ada jalan alternatif kepada pengguna yang tidak ingin menggunakan lebuh raya tersebut.
Cadangan ini, sekiranya dilaksanakan, akan memberikan kelegaan kepada para pengguna lebuh raya. Sebelum ini, pengguna terpaksa menerima kenaikan kadar tol walaupun tidak mempunyai jalan alternatif lain sekiranya ingin mengelak daripada menggunakan lebuh raya.
Tujuan lebuh raya diwujudkan adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna, sekiranya mereka ingin membuat perjalanan dengan selesa dan menjimatkan masa. Sebaliknya pada masa ini, lebuh raya menjadi jalan utama kepada para pengguna kerana tidak ada jalan alternatif yang baik disediakan.
Walaupun sebelum wujudnya lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri merupakan jalan utama, namun kerana jalan-jalan ini tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ramai pengguna terpaksa menggunakan lebuh raya.
Malahan berdasarkan kenyataan Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS), kebanyakan kemalangan, terutamanya kemalangan semasa musim perayaan, berlaku di jalan persekutuan dan jalan negeri. Ini menunjukkan tahap keselamatan di jalan persekutuan dan negeri agak membimbangkan.
Cadangan Kementerian Kerja Raya ini perlulah diberikan perhatian yang serius. Selain daripada cadangan ini menjadi alasan agar syarikat konsesi lebuh raya tidak sewenang-wenangnya meminta agar kadar tol dinaikkan, ia juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membuat penambahbaikan terhadap keadaan jalan raya di negara ini.
Apa yang dikhuatiri ialah walaupun syarikat konsesi lebuh raya dapat menunjukkan wujudnya jalan alternatif bagi membolehkan mereka menuntut kenaikan kadar tol, namun tidak ada maknanya jika pengguna akhirnya terpaksa menjadikan lebuh raya sebagai jalan utama kerana keadaan jalan alternatif yang mendukacitakan dan membahayakan nyawa.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
7 April 2010
- Details
Kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa Bank Negara hendaklah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan pengguna, sebelum melaksanakan skim baru insurans pihak ketiga, amat dialu-alukan.
Kenyataan ini selaras dengan slogan pentadbiran Perdana Menteri di bawah gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian DiUtamakan”.
Pelbagai pihak membantah cadangan skim baru insurans pihak ketiga ini kerana ia tidak memberi manfaat kepada pengguna, sebaliknya lebih menyebelahi kepada syarikat insurans.
Walaupun terdapat dakwaan syarikat insurans bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menampung tuntutan kemalangan pihak ketiga ini, namun inilah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh mereka.
Rata-ratanya pemegang skim insurans pihak ketiga adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mampu untuk membeli skim insurans komprehensif yang premiumnya tinggi.
Biasanya mereka ini akan membeli insurans pihak ketiga selepas selesai menjelaskan keseluruhan bayaran kereta mereka. Biasanya pengguna membeli insurans komprehensif disebabkan keperluan syarikat kewangan sebelum mereka menyelesaikan bayaran ansuran kereta tersebut. Selain itu, pemilik kereta lama juga biasanya akan membeli skim insurans pihak ketiga kerana nilai kereta mereka yang rendah.
Sewajarnya pihak berkuasa memberikan perhatian kepada kebajikan pengguna seperti ini agar mereka tidak menjadi mangsa kepada syarikat insurans yang lebih berminat untuk mengaut keuntungan semata-mata.
MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
7 April 2010
- Details
Jabatan Kastam dan Cukai Hong Kong telah melarang penjualan puting kanak-kanak berjenama “Gino” kerana produk ini mengandungi bahan-bahan yang boleh menyebabkan kanser. Puting kanak-kanak jenama ini mengandungi N-nitrosomorpholine yang berlebihan.
Pegawai Jabatan tersebut telah membuat pemeriksaan di kedai-kedai yang menjual produk kanak-kanak dan mendapati bahawa puting kanak-kanak jenama “Gino” ini tidak selamat untuk digunakan. Produk ini juga gagal memenuhi keperluan amaran pada pembungkusannya.
Kajian yang dilakukan ke atas haiwan mendapati pendedahan pada N-nitrosomorpholine akan menyebabkan penyakit pada hati dan organ-organ lain, antaranya seperti pertumbuhan tumor pada paru-paru, hidung dan ginjal.
Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli puting kanak-kanak jenama “Gino” ini sekiranya terdapat di pasaran di Malaysia. Laporkan sebarang penjualan produk ini kepada pihak berkuasa atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
5 April 2010
- Details
Cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenakan denda yang berat bagi kesalahan jualan langsung dan gores dan menang amat dialu-alukan. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, cadangan itu akan dimasukkan dalam pindaan Akta Jualan langsung 1993 dalam persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Dalam pindaan tersebut, pihak yang disabitkan kesalahan melakukan aktiviti jualan langsung secara haram, akan dikenakan hukuman denda sehingga RM5 juta.
Read more: KENAKAN HUKUMAN BERAT KESALAHAN JUALAN LANGSUNG & GORES DAN MENANG
Subcategories
Page 222 of 232