- Details
Pada 25 Mac 2010, Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna (Consumer Product Safety Commission – CPSC) dan Health Canada telah mengeluarkan arahan untuk menarik balik barangan kanak–kanak, iaitu Wooden gates.
Wooden gates ialah pintu pagar yang dibuat daripada kayu bagi menghalang kanak-kanak daripada menaiki tangga. Wooden gates tersebut dikeluarkan oleh syarikat Miamisburg, OH-Evenflo Co.Inc. Menurut CPSC, pintu pagar tersebut boleh terbuka atau patah, yang boleh menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak kecil.
Syarikat Miamisburg, OH-Evenflo Co.Inc ini telah menerima 142 laporan mengenai pintu pagar yang patah dan tertanggal. Seramai tiga orang kanak-kanak kecil dilaporkan telah melepasi pintu pagar itu dengan mudah. Seorang kanak-kanak telah terjatuh lima anak tangga. Kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut adalah hentakan kuat pada kepala, calar dan lebam.
Sebanyak 150,000 Top of Stairs Plus Wood Gates ini telah ditarik balik daripada pasaran Amerika Syarikat dan 33,000 lagi telah ditarik balik secara sukarela di pasaran Kanada. Nombor kumpulan pengeluaran (batch) yang telah ditarik balik adalah 10512 dan 10502 yang boleh didapati pada pelekat di bahagian bawah produk tersebut.
Pengguna di Malaysia adalah dinasihatkan supapa berhati-hati apabila ingin membeli produk ini di pasaran. Laporkan dengan segera kepada Persatuan Pengguna–Pengguna Standard Malaysia di talian 03-78774741 atau di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-78779000, jika terdapat produk Wood gates yang bernombor kumpulan pengeluaran (batch) yang telah ditarik balik itu.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna – Pengguna Standard Malaysia
- Details
Jabatan Kesihatan Hong Kong telah mengisytiharkan penarikan balik Pil Po Chai yang dikilangkan oleh Li Chung Shing Tong (Holdings) Ltd HK. Penarikan balik ini melibatkan Pil Po Chai jenis kapsul dan botol
Pihak berkuasa Kesihatan Hong Kong telah mengesan bahan kimia phenolphthalein dan sibutramine di dalam Pil Po Chai jenis kapsul. Phenolphthalein digunakan sebagai penunjuk asid-bes, pewarna dan laksatif.
Oleh sebab sifatnya yang bertoksik, maka penggunaannya boleh membahayakan kesihatan. Sibutramine pula boleh menyebabkan kesan sampingan seperti pening kepala, sembelit, pedih ulu hati, mulut kering, lemah badan, sakit belakang, cemas, perubahan selera makan, muka menjadi merah, gejala selesema dan kesakitan semasa datang haid.
Jabatan Kesihatan Hong Kong menarik balik dua kumpulan pengeluaran (batch) yang telah dipasarkan iaitu Batch No 21217 dan Batch No 21133 kerana kedua-duanya dihasilkan daripada punca pencemaran yang sama. Kedua-dua kumpulan pengeluaran ini telah diekspot ke Macao, Hong Kong dan Singapura.
Sehingga kini, masih belum terdapat sebarang laporan berkaitan kesihatan tentang Pil Po Chai. Namun begitu, arahan penarikan balik Pil Po Chai ini merupakan langkah pencegahan untuk melindungi kesihatan masyarakat, kerana produk-produk ini digunakan secara luas dan umum dalam kalangan masyarakat tempatan, terutamanya kanak-kanak dan orang tua.
Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa pek Pil Po Chai yang dibeli. Sekiranya nombor kumpulan pengeluaran adalah sama seperti nombor yang ditarik balik, maka mereka hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa, iaitu Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
Pengenalan
Pada masa sekarang cukai penggunaan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Cukai jualan dikenakan pada kadar 5% dan 10% manakala cukai perkhidmatan dikenakan pada kadar 5%. Kedua-dua cukai tersebut dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan tertentu.
Cukai Jualan dikenakan di peringkat pengimportan dan pengilangan, manakala cukai perkhidmatan dikenakan di peringkat penggunaan.
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan bagi menggantikan kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Lebih daripada 140 buah negara telah melaksanakan GST.
Apa itu GST?
GST adalah cukai penggunaan secara menyeluruh yang dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah bagi setiap peringkat rangkaian pengedaran.
GST dikenakan ke atas semua barang dan pekhidmatan termasuk yang diimport melainkan barang dan perkhidmatan yang dikecualikan oleh kerajaan.
GST mempunyai satu mekanisme yang membenarkan peniaga menuntut kembali GST yang dibayar ke atas input perniagaan secara automatik. Tuntutan dalam bentuk kredit cukai yang dibuat dengan menolak cukai input yang ditanggung dengan cukai output yang dikutip.
Kadar GST
Kadar GST dicadangkan pada 4% iaitu lebih rendah daripada kadar cukai jualan (5% dan 10%) dan cukai perkhidmatan (5%) yang dikenakan pada masa sekarang.
Mengapa GST perlu Dilaksanakan?
Perlaksanaan GST merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyusun semula sistem percukaian negara supaya ia lebih berkesan, saksama, efisien dan telus.
Malaysia telah mengalami bajet defisit selama 46 tahun, semenjak 52 tahun yang lalu. Pada tahun 2009, bajet defisit dianggarkan sebanyak 7.6%, yang merupakan tertinggi semenjak tahun 1987.
Pada masa ini, 40% daripada sumber pendapatan negara diperolehi daripada sector minyak dan gas. Keadaan ini menunjukkan sumber pendapatan negara yang agak sempit, dan tidak boleh bertahan dalam tempoh yang panjang.
Keadaan di peringkat sejagat pada ini telah bergerak ke arah sistem percukaian tidak langsung.
GST juga bagi mengatasi kelemahan yang berlaku dalam cukai jualan dan perkhidmatan.
Bagaimana GST Dilaksanakan?
GST adalah cukai penggunaan yang dikenakan ke atas aktiviti nilai tambah pada setiap peringkat rangkaian pengedaran.
Apakah barang atau perkhidmatan yang dikenakan GST?
Semua barang dan perkhidmatan dikenakan pada kadar standard iaitu 4% melainkan barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai iaitu pembekalan berkadar sifar dan pembekalan yang dikecualikan.
Apakah barang-barang yang tidak dikenakan GST?
Hampir semua barang makanan asas rakyat Malaysia seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, ikan, telur, daging, ayam, gula dan tepung tidak dikenakan GST (pembekalan berkadar sifar).
Selain daripada itu, barang yang dieksport juga tidak dikenakan GST bagi menjadikan eksport negara lebih kompetetif di peringkat antarabangsa. Ia juga selari dengan amalan di negara-negara lain.
Apakah Perkhidmatan yang tidak dikenakan GST?
Perkhimatan asas yang digunakan rakyat Malaysia seperti pengangkutan awam, pendidikan, kesihatan, tol lebuhraya juga tidak dikenakan GST (pembekalan yang dikecualikan). Layanan yang sama juga diberi kepada perkhidmatan kewangan.
Selain daripada itu, terdapat juga perkhidmatan terutamanya yang dieksport tidak dikenakan cukai (pembekalan berkadar sifar).
Jualan Tahunan (Threshold)
Bagi mengurangkan beban cukai yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah, hanya perniagaan yang mempunyai jualan tahunan melebihi RM 500,000 setahun sahaja yang dibenarkan untuk mengenakan GST ke atas jualan mereka.
Perniagaan kecil seperti kedai runcit di kawasan luar bandar akan terkeluar daripada sistem GST dan boleh menjual barang keperluan tanpa mengenakan GST. Ini akan membantu rakyat secara keseluruhannya.
Kesan Perlaksanaan GST - Adakah GST akan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan naik?
Impak GST ke atas Indeks Harga Pengguna
Kajian yang dijalankan mendapati Indeks Harga Pengguna (IHP) akan mengalami penurunan sebanyak 0.10%.
Namun begitu tidak dinafikan bahawa harga barang-barang dan perkhidmatan tertentu akan naik, manakala terdapat pula harga barang dan perkhidmatan yang lain akan menurun.
Sebagai contoh, perubahan harga beberapa barang dan perkhidmatan adalah seperti berikut:
Penurunan harga ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya:
- Penurunan kadar cukai kerana GST dikenakan pada kadar 4%. Kebanyakan barang dan perkhidmatan pada masa sekarang dikenakan cukai jualan (5% dan 10%) dan cukai perkhimatan (5%) dan
- Terdapat barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST.
Impak ke atas perbelanjaan isi rumah
Purata perbelanjaan isi rumah mengikut strata menunjukkan penurunan dalam perbelanjaan isi rumah sekiranya GST pada kadar 4%. Secara keseluruhannya, purata penjimatan bagi setiap isi rumah di Malaysia adalah dijangkakan sekitar RM 5.97 sebulan atau RM 71.64 setahun.
Penjimatan pebelanjaan mengikut strata pada kadar GST 4% (RM/bulan)
Normal 0 false false false MicrosoftInternetExplorer4
|
Malaysia |
Semenanjung |
Sabah |
Sarawak |
|
|
Keseluruhan |
5.97 |
6.35 |
2.59 |
6.38 |
|
Bandar |
7.17 |
7.41 |
3.53 |
8.46 |
|
Luar Bandar |
3.62 |
3.89 |
1.61 |
4.36 |
Langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan bagi membendung aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan.
Kerajaan sedar bahawa terdapat peniaga-peniaga yang tidak beretika akan menaikkan harga apabila GST dilaksanakan. Alasan yang akan diberikan oleh mereka ialah kerajaan telah mengenakan cukai baru sebanyak 4%.
Dalam memastikan kepentingan pengguna terjamin, kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut untuk menangani aktiviti yang tidak beretika tersebut:
- • Menggubal peraturan untuk mengawal aktiviti pengambilan untung berlebihan (profiteering) dalam Akta Kawalan Harga 1946.
- • Menubuhkan Majlis Kawalan Harga
- • Langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dan tegas serta hukuman yang berat, dan
- • Panduan Harga Pengguna akan dikeluarkan secara berjadual.
Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna dalam membendung aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan?
Pengguna juga boleh memainkan peranan dalam membendung aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan ini. Pengguna sepatutnya:-
- membuat perbandingan harga sebelum berbelanja
- sentiasa merujuk kepada panduan harga pengguna
- melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah kepada pihak berkuasa atau persatuan pengguna, dan
- berbelanja secara berhemat.
Panduan Harga Pengguna
Panduan harga pengguna akan dikeluarkan oleh kerajaan sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tarikh pelaksanaan GST. Ian merupakan panduan kepada pengguna untuk membuat perbandingan harga. Panduan ini mengandungi sebanyak 350 harga barang dan perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan GST.
Pendirian FOMCA tentang GST
- FOMCA menyokong perlaksanaan GST berdasarkan kepada beberapa perkara:
- Untuk memastikan peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk pengambilan keuntungan berlebihan (profiteering), Kerajaan akan menguatkuasakan dengan tegas peraturan Anti-Profiteering, yang sedang dirangka.
- Majlis Kawalan Harga mesti berfungsi dengan berkesan untuk memastikan harga barang dan perkhidmatan adalah berpatutan
- Panduan Harga Pengguna yang terkini dan komprehensif disediakan bukan sahaja untuk pengguna bandar tetapi juga untuk pengguna di kawasan luar bandar.
- FOMCA juga mengesyorkan agar Akta Persaingan diluluskan dengan segera untuk memastikan persaingan sihat dalam pasaran yang akan menguntungkan pengguna.
- Satu Jaringan Sosial yang telus dan komprehensif disediakan untuk memastikan masyarakat miskin dan terpinggir menikmati keperluan-keperluan asas seperti makanan, pendidikan, kesihatan, air dan tenaga.
- Perbelanjaan Kerajaan akan lebih telus untuk meyakinkan rakyat bahawa wang yang dikutip daripada Cukai GST akan benar-benar memanfaatkan rakyat. Tidak akan ketirisan dalam sistem perbelanjaan hasil Kerajaan.
Dalam semua aspek perlaksanaan GST, Kerajaan mesti menyedarkan dan mendidik pengguna di semua peringkat melalui komunikasi yang jujur dan telus.
- Details
Mengikut laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Environmental Program, UNEP), air kotor akan menyebabkan kematian kanak-kanak pada kadar yang lebih tinggi daripada peperangan.
Dalam sebuah kajian bertajuk “Sick Water” yang dikeluarkan semasa Hari Air Sedunia, UNEP melaporkan bahawa kekurangan air bersih menjadi punca bagi kematian 1.8 juta kanak-kanak berusia kurang daripada 5 tahun. Mereka terpaksa bergantung pada air kotor yang tercemar untuk kehidupan harian.
Berdasarkan laporan UNEP ini, setiap hari, 2 juta tan kumbahan yang dikeluarkan akan mencemarkan 2 billion tan air bersih dan meninggalkan “zon mati” di lautan. Akibatnya, pencemaran ini telah membunuh terembu karang, ikan-ikan dan hidupan lautan yang lain.
Kumbahan ini, sebahagian besar adalah sisa pembentungan, sisa industri, sisa racun perosak daripada sektor pertanian serta sisa haiwan daripada sektor peternakan. Kebanyakan sisa ini dihasilkan oleh negara-negara sedang membangun dan disalur ke dalam laut tanpa sebarang rawatan, mencemarkan punca air bersih dan hidupan di dalamnya.
Air kotor ini telah menjadi media bagi pembiakan dan penyebaran pelbagai penyakit, sebagai contoh cirit-birit akibat pencemaran air dan makanan membunuh 2.2 juta orang setiap tahun.
UNEP mengesyorkan bahawa sistem kitar semula air dan sistem rawatan pembentungan yang berkesan perlu dibina bagi meningkatkan kualiti air bersih di negara-negara sedang membangun.
Selain itu, UNEP juga menyaran agar tanah limbah yang merupakan sistem tapisan semulajadi dilindungi, sisa haiwan dijadikan baja organik dan mengurangkan penggunaan racun perosak.
Mengikut Pengarah UNEP, Achim Steiner, jika kita hendak melindungi bumi ini yang akan mempunyai populasi 9 billion orang pada tahun 2050 berbanding dengan 6 billion orang sekarang, rakyat bumi ini perlu bertindak secara proaktif dalam pengurusan air limbah.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
- Details
US Food and Drug Administration (FDA) mengumumkan pencemaran vaksin Rotarix daripada GlaxoSmithKline (GSK). FDA telah mencadangkan supaya para doktor berhenti menggunakan vaksin sehingga siasatan lanjut dilengkapkan.
Pasukan penyelidikan dari Amerika Syarikat telah mengenal pasti circovirus 1 yang berasal daripada khinzir di dalam vaksin ini. Kajian lanjutan yang dijalankan oleh GSK dan FDA telah mengesahkan penemuan pencemaran tersebut.
- Details
BPA, atau bisphenol A, wujud merata-rata tempat di dunia kita. Ia telah dicipta sejak 40 tahun dahulu, dan beberapa juta ton BPA dihasilkan setiap tahun. BPA digunakan dalam pelbagai produk plastik dan biasanya wujud dalam botol air polikarbonat dan lapisan ekposi tin.
Sejak kebelakangan ini, banyak kajian telah menunjukkan bahawa sebenarnya BPA boleh mengancam kesihatan manusia. Ia telah menyebabkan kesan negatif ke atas tikus yang didedahkan dengan BPA. Sebagai contoh, ia boleh menyebabkan penyakit kanser, kecacatan sistem pembiakan dalam jantan, keawalan dalam puberti betina, kegemukan dan pelbagai masalah perangai yang pelik.
- Details
Pengilang kayu hoki Bauer telah menarik balik ribuan kayu hoki dari pasaran apabila mendapati bahawa cat yang digunakan untuk permukaan kayu hoki itu mengandungi kandungan plumbum yang tinggi.
Pengilang telah menarik balik sebanyak 13 model yang wujud di pasaran. Bauer juga menarik balik 100,000 unti kayu hoki daripada kedai selepas Health Canada mendapati bahawa kandungan plumbum di dalam cat melebih tahap keselamatan.
Plumbum merupakan neurotoksin yang sangat poten (berbahaya). Plumbum akan bertumpuk (terkumpul) dalam tisu-tisu lembut badan dan tulang. Plumbum boleh menyebabkan masalah pembelajaran, penguasaan bahasa dan tingkah-laku seperti lemah dalam pelajaran serta tabiat lebih agresif.
Wanita hamil dan kanak-kanak kecil paling mudah terjejas dengan plumbum, kata kumpulan gabungan itu dalam satu kenyataan. Plumbum juga telah dikaitkan dengan masalah mandul dan pengguguran.
Pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli kayu hoki ini sekiranya terdapat di pasaran di Malaysia.
Laporkan sebarang penjualan produk ini kepada pihak berkuasa atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.
- Details
PETALING JAYA, 20 MAC – Dalam buku teks ekonomi, pengguna dianggap sebagai raja. Mereka boleh membuat sebarang keputusan untuk membeli barang atau menggunakan perkhidmatan tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun.
Demikian menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Dalam era teknologi maklumat pada masa ini, segala maklumat boleh diperoleh dengan mudah. Oleh itu tidak ada sebab mengapa seseorang boleh mudah terpedaya apabila membeli barang atau menggunakan perkhidmatan,
Prof. Ariff berkata demikian ketika melancarkan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) dan jurnal CRRC Consumer Review pada hari ini di sebuah hotel di sini. Turut hadir, Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC dan Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif CRRC.
Namun begitu, jika pengguna mempunyai kedudukan yang istimewa dalam pasaran, mengapa perlunya perlindungan pengguna? Persoalan ini dilontarkan oleh Prof. Ariff.
Ini berlaku, jelas Prof Ariff, disebabkan oleh sikap pengeluar, pemborong dan peniaga sering yang mengambil kesempatan atas kelemahan pengguna sendiri menggunakan kuasa yang ada pada mereka.
Kerajaan pula yang sepatutnya melindungi kepentingan pengguna, turut mengambil kesempatan ke atas pengguna, tambah Prof. Ariff.
Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan, yang antara lain untuk meningkatkan daya beli pengguna. Begitu juga kerajaan sering menggunakan institusi milik kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk tujuan ini.
Umpamanya ketika negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi dahulu, kerajaan telah mengurangkan caruman KWSP bagi membolehkan pengguna mempunyai wang yang lebih untuk dibelanjakan. Sedangkan lebihan wang tersebut sewajarnya digunakan untuk tujuan lebih bermanfaat, seperti menabung, melabur dalam amanah saham dan sebagainya.
Perbelanjaan secara berlebih-lebihan ini digalakkan oleh kerajaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Akibatnya pengguna yang tidak bijak berbelanja, akan berhadapan dengan masalah kewangan.
Pergerakan pengguna seperti FOMCA, menurut Prof. Ariff, perlu memainkan peranan bagi membanteras amalan berbelanja secara berlebih-lebihan ini.
Beliau mengambil contoh beberapa negara maju, seperti Amerika Syarikat, yang rakyatnya sebenarnya hidup dalam kredit. Namun begitu, di negara tersebut wujud beberapa agensi yang membantu rakyat mereka yang menghadapi masalah kewangan, seperti kupon makanan untuk golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya, warga tua, pengganggur dan sebagainya.
Keadaan seperti ini tidak berlaku di Malaysia. Rakyat yang menghadapi masalah kewangan dibiarkan begitu sahaja sehingga mereka diisytiharkan muflis.
Bagi Prof. Ariff, apa yang disebut dalam buku ekonomi bahawa pengguna adalah raja kurang tepat. Pengguna adalah raja sekiranya mereka berada dalam kumpulan, bukannya secara individu. Justeru, pergerakan pengguna seperti FOMCA berperanan penting bagi menjadikan pengguna sebagai raja.
Dalam hal ini, menurut Prof Ariff, persaingan turut berfungsi membantu pengguna dalam pasaran. Lebih banyak persaingan dalam sektor perniagaan, maka pengguna akan mendapat kualiti barang dan perkhidmatan yang lebih baik. Malah bagi beliau sendiri, persaingan adalah ibu kepada inovasi. Akibat daripada persaingan yang hebat ini, pengeluar dan penyedia perkhidmatan akan berusaha untuk melakukan penyelidikan bagi menghasilkan barang yang baru dan meningkatkan barang yang sedia ada agar lebih berkualiti.
Malangnya di Malaysia, masih belum wujud Akta Persaingan yang menyekat kegiatan perniagaan yang bersifat monopoli. Negara lebih rendah kedudukan ekonominya daripada Malaysia, seperti Vietnam dan Kemboja telah mempunyai Akta Persaingan.
Mengulas tentang isu subsidi, beliau berkata, subsidi sepatutnya dimansuhkan bagi barang berasaskan pemintaan (demand based products). Harga barang tersebut ditentukan oleh pasaran yang mempunyai persaingan yang sihat. Namun bagi barang berasaskan keperluan (need based products), maka subsidi perlu dikekalkan, malah hendaklah ditambah, seperti sektor penjagaan kesihatan awam, pendidikan dan sebagainya.
Beliau turut menyentuh tentang cukai barang dan perkhidmatan (GST). Menurut beliau, GST adalah cukai berasaskan penggunaan. Lebih banyak barang dibeli, maka lebih banyak cukai yang perlu dibayar. Dalam hal ini, golongan berpendapatan tinggilah yang banyak membayar cukai kerana mereka membeli lebih banyak barang, khususnya barang mewah. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula, terdapat beberapa barang yang dikecualikan GST, bagi memastikan harga barang tersebut pada kadar yang berpatutan.
Tentang penubuhan CRRC pula, Prof. Ariff yang menjadi pernah Pengarah Eksekutif MIER sehingga tahun 2009, memuji usaha FOMCA menubuhkan pusat penyelidikan sendiri.
Menurut beliau, peranan pusat penyelidikan bukannya untuk mempengaruhi agensi kerajaan dalam menggubal dasar, tetapi membantu mereka membuat sesuatu dasar yang bijak!
Mohd Yusof Abdul Rahman
- Details
PETALING JAYA, 20 Mac - Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) bakal menjadi pusat penyelidikan kepenggunaan yang unggul di negara ini.
Demikian harapan Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) ketika menyampaikan ucapan beliau ketika majlis pelancaran CRRC di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas tentang penubuhan CRRC, Datuk Marimuthu yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC, berkata, isu kepenggunaan yang semakin kompleks pada hari ini menyebabkan perlunya wujud sebuah pusat penyelidikan yang khusus untuk mengalisis isu-isu kepengggunaan secara lebih mendalam. Hasil daripada analisis dan kajian tersebut boleh digunakan oleh pihak-pihak berkenaan, terutamanya para penggubal dasar.
Dalam ucapan beliau, Datuk Marimuthu menyentuh tentang wujudnya beberapa kuasa yang mempengaruhi isu pengguna, iaitu globalisasi, kenaikan harga makanan dan tenaga, kekurangan bekalan air dan isu pemanasan global.
Selain itu, ujar beliau lagi, isu berkaitan teknologi maklumat juga merupakan kuasa yang mempengaruhi pengguna, bukan sahaja generasi pada hari ini, tetapi juga generasi akan datang. Menerusi internet dan media sosial yang baru, syarikat boleh terus mendekati kanak-kanak dan remaja, melepasi peranan ibu bapa sebagai pengawal mereka. Di Malaysia, laman web yang paling popular dilayari oleh kanak-kanak ialah laman web rangkaian makanan segera.
Datuk Marimuthu turut menjelaskan bahawa peranan kerajaan semakin terhad dalam menjaga kepentingan pengguna disebabkan oleh kuasa global ini. Kerajaan hanya mampu meningkatkan peraturan yang berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pengguna melalui undang-undang, dasar, penguatkuasaan dan program pendidikan kepenggunaan tertentu, namun pengaruh globalisasi dan teknologi yang wujud pada masa ini menyebabkan kuasa mereka semakin berkurangan.
Justeru, bagi memastikan kewujudan pergerakan pengguna masih relevan, maka lebih banyak strategi dan pendekatan jangka panjang perlu dimainkan oleh pergerakan pengguna dalam memdepani isu-isu kepenggunaan. Penubuhan CRRC merupakan strategi dan pendekatan jangka panjang dalam melindungi kepentingan dan kesejahteraan pengguna, tambah Datuk Marimuthu lagi.
CRRC telah ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2008, apabila pendaftarannya sebagai syarikat berhad menurut jaminan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
CRRC menjalankan penyelidikan dan kajian berkaitan isu-isu perlindungan pengguna seperti harga makanan dan jaminan makanan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, jenayah di kawasan perumahan dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.
Pada masa ini, CRRC memantau harga bagi 32 barang makanan. Begitu juga CRRC telah menjalankan penyelidikan tentang perbelanjaan isu rumah, corak penggunaan golongan kanak-kanak dan remaja, pemasaran makanan ringan dan alat permainan kepada kanak-kanak. CRRC turut telah menganjurkan perbincangan meja bulat bagi harga makanan dan jaminan makanan.
CRRC masih menjalankan kajian tentang beberapa isu penting yang memberikan kesan kepada para pengguna di kawasan bandar dan luar bandar. Demikian juga CRRC turut terlibat dalam kajian pembaharuan undang-undang pengguna yang ada masa ini, untuk tujuan semakan semula bagi meningkatkan peraturan berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pengguna.
Pada masa akan datang, CRRC akan menjalankan kajian tentang pengangkutan awal, penjagaan kesihatan, kesan pemansuhan subsidi kepada pengguna, kesan penggunaan internet kepada kanak-kanak dan remaja serta pendidikan celek kewangan untuk kanak-kanak dan remaja. Beberapa program ini dijalankan dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Dato’ Paul Selva Raj
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)
{morfeo 2}
- Details
PETALING JAYA, 20 MAC - Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) telah dilancarkan secara rasmi pada hari ini. Majlis pelancaran telah dilakukan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di sebuah hotel di sini.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah CRRC dan Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif. CRRC.
CRRC, yang merupakan bahagian penyelidikan FOMCA, telah ditubuhkan pada tahun 2008. Ia merupakan penaikan taraf Pusat Sumber NGO (NGO Resource Centre) yang telah ditubuhkan oleh FOMCA pada tahun 1992.
Pada 16 September 2008, CRRC telah diluluskan pendaftarannya sebagai syarikat berhad menurut jaminan, di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
CRRC memberikan tumpuan kajiannya berdasarkan kepada kaedah dan pendekatan berasaskan bukti bagi mendapatkan penyelesaian yang konkrit dan boleh dilaksanakan bagi menangani isu-isu berkaitan perlindungan pengguna.
Dalam usaha tersebut, CRRC menjalankan kaji selidik, kajian literatur, perbincangan meja bulat, perbincangan kumpulan fokus, pengumpulan pandangan pakar dan sebagai kaedah penyelidikan yang lain.
Pada ini, CRRC menjalankan beberapa aktiviti, antaranya:
Mengendalikan laman web yang memberikan tumpuan untuk mendidik pengguna tentang isu semasa.
Membantu akhbar New Straits Times dalam projek menganalisis perbelanjaan isi rumah.
Memantau harga bagi 32 barang
Mengadakan perbincangan meja bulat bagi harga makanan dan keselamatan makanan di Malaysia
Membuat kajian terhadap pemasaran makanan ringan kepada kanak-kanak
Menjalankan kajian tentang pemasaran alat permainan kepada kanak-kanak
Memantau iklan yang tidak beretika
Menjalankan kajian terhadap permasalahan yang dihadapi pengguna di kawasan luar bandar dan bandar.
Membuat kajian terhadap pembaharuan undang-undang kepenggunaan di Malaysia dan juga mengendalikan kajian tentang corak penggunaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah CRRC Consumer Review, yang merupakan jurnal dwi-tahunan terbitan CRRC.
Jurnal ini memuatkan kumpulan rencana yang ditulis oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing berkaitan isu kepenggunaan.
CRRC Consumer Review memberikan tumpuan dalam menganalisis isu-isu yang memberi kesan kepada pengguna serta memberikan cadangan penyelesaian yang konkrit dan boleh dilaksanakan oleh semua pihak, khususnya agensi kerajaan yang membuat dasar yang berkaitan dengan kepentingan pengguna.
Keluaran pertama CRRC Consumer Review mengandungi lapan tajuk rencana, yang bertemakan Harga Makanan dan Keselamatan Makanan di Malaysia.
Mohd Yusof Abdul Rahman
{morfeo 2}
Subcategories
Page 224 of 232