GlaxoSmithKline (GSK) mengumumkan bahawa produknya, Krim Pelekat Gigi Polident (Polident Denture Adhesive Cream) yang dipasarkan di Malaysia, selamat dan berkesan apabila digunakan menurut arahan yang ditetapkan.

Pengumuman ini dibuat selepas syarikat induk GSK, iaitu GlaxoSmithKline PLC menarik balik secara sukarela produk pelekat gigi yang mengandungi zink, yang dikatakan boleh menyebabkan risiko keselamatan apabila digunakan dalam tempoh yang lama.

GSK telah didakwa di mahkamah kerana telah menjual produk pelekat gigi yang mengandungi zink.

Sekumpulan pengguna di California mendakwa GSK telah menjual krim pelekat gigi super poligrip yang mengandungi zink, walaupun menyedari bahawa zink boleh menyebabkan masalah keselamatan yang serius, termasuk penyakit neurologik.

GSK mengatakan produk Krim Pelekat Gigi Polident yang dijual di Malaysia tidak mengandungi zink. Oleh itu ia tidak terlibat de penarikan balik itu.

Mohd Yusof Abdul Rahman

19 Februari 2010

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional semenjak tahun 2006 tentang perkhidmatan perbankan, didapati jumlah kian meningkat setiap tahun.

Peningkatan ini disebabkan oleh tahap pengendalian aduan oleh sesetengah pihak bank masih kurang memuaskan. Banya masalah yang dihadapi pengguna adalah berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan operasi. Sepatutnya masalah ini diperlu diambil tindakan segera oleh pihak pengurusan bank.

Kuala Lumpur, 18 Februari 2010 - Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada tahun 2009, 92 peratus daripada responden mengenali FOMCA sebagai sebuah persatuan pengguna.

Ini didedahkan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam ucapan beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010.

 


Menurut beliau lagi, kajian tersebut juga menunjukkan bahawa tahap kesedaran pengguna dalam kalangan rakyat Malaysia hanya 58 peratus sahaja, yang kebanyakannya berkaitan dengan tahap pendidikan seseorang. Pengguna yang berpendidikan tinggi mempunyai tahap kesedaran yang lebih tinggi berbanding pengguna yang berpendidikan rendah.

Bagi peringkat umur pula, kajian itu mendapati belia berumur 15 hingga 20 tahun mempunyai tahap kesedaran pengguna yang rendah berbanding golongan yang lebih dewasa.

Lebih memeranjatkan lagi hasil kajian tersebut ialah kesediaan pengguna melaksanakan hak mereka sebagai pengguna. Lebih daripada 90 peratus pengguna di Malaysia tahu bahawa pengguna perlu diberi layanan yang adil dan bertindak apabila ditipu. Mereka juga bersetuju bahawa pengguna perlu bersatu padu dan mementingkan kepentingan masyarakat dalam tindakan mereka. Namun begitu kurang daripada 60 peratus sahaja yang mengamalkan hak mereka sebagai pengguna.

Malahan 91 peratus responden mengakui tentang kepentingan menjadi ahli persatuan pengguna, tetapi hanya 27 peratus sahaja yang menganggotai persatuan pengguna.

Mohd Yusof Abdul Rahman
18 Februari 2010

 

Kuala Lumpur, 18 Februari 2010 - Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melancarkan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010, anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) di Dewan Serbaguna, Institut Pengurusan Wanita, di sini hari ini.

Dalam ucapannya Datuk Sri Ismail Sabri memuji usaha yang dilakukan oleh FOMCA mengadakan pertandingan kepenggunaan selama 4 bulan untuk disertai oleh semua peringkat masyarakat.


Kementerian sendiri, menurut Dato’ Sri Ismail Sabri, akan mengubah konsep sambutan Hari Pengguna Malaysia, yang diadakan pada 26 Julai, kepada sambutan selama sebulan, yang dikenali sebagai Bulan Sambutan Hari Pengguna Malaysia.

“Saya berpandangan bentuk sambutan ini akan lebih berkesan bagi memberikan pendidikan dan kesedaran kepenggunaan kepada orang ramai kerana ia melibatkan jangka masa yang lebih panjang dan pelbagai program dan aktiviti boleh dilakukan dalam tempoh tersebut,” ujar Dato’ Sri Ismail lagi.

Dato’ Sri Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa hasil kajian yang telah dilakukan oleh Kementeriannya pada tahun 2009. Antaranya, tahap kesedaran pengguna di Malaysia hanya 58 peratus. Selain itu, 92 peratus responden kajian tersebut mengenali FOMCA sebagai sebuah persatuan pengguna.

Dalam pada itu, Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA, dalam ucapan alu-aluannya, mengatakan FOMCA menganjurkan sembilan kategori pertandingan pada tahun 2010.

Antara pertandingan tersebut ialah pertandingan esei kepenggunaan, melukis poster, buku skrap dan polio, mewarna, fotografi dan blog kepenggunaan.

Datuk Marimuthu juga menyentuh tentang tumpuan topik pertandingan kepenggunaan yang menjurus kepada Kempen Konsumer Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, ”Perubahan Bermula Dengan Saya.”

Selain itu, isu tentang pemanasan global turut diketengahkan. Ini kerana, menurut Datuk Marimuthu, memberikan kesan kepada pelbagai masalah, seperti alam sekitar, kekurangan bekalan makanan, penularan wabak penyakit dan sebagainya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Mohd Zain Mohd Dom, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Puan Mahani Tan Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha, dan Dr. Mohd Mokhtar Tahar, Pengarah, Bahagian Kepenggunaan.

Mohd Yusof Abdul Rahman
18 Februari 2010

 

Baru–baru ini Health Canada telah mengeluarkan arahan untuk menarik balik satu produk  berjenama Complete 7-Day Cleanse daripada pasaran di Kanada kerana produk tersebut disyaki mendatangkan bahaya kepada pengguna. Menurut Health Canada, produk tersebut yang bertujuan untuk ‘membersihkan’ badan daripada dalam tetapi kini mengesyaki bahawa kombinasi kandungan  dalam produk tersebut boleh mendatangkan kesan sampingan di mana ia akan menyebabkan seseorang pengguna itu mengalami dihidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan. 

Pasar raya besar mulai wujud di Malaysia semenjak tahun 1980-an. Antara pasar raya besar ini ialah Giant, Jaya Jusco, Makro, Parkson, Carrefour dan Tesco. Pasar raya telah mendapat sambutan hangat dan semakin popular dalam kalangan Malaysia, kerana tarikan konsep ‘semuanya di bawah satu bumbung’.

Peningkatan kos sara hidup dan keperluan terhadap ‘wang’ telah meningkatkan peluang dan permintaan terhadap barangan yang berharga rendah di pasar raya. Para penjual yang mampu menawarkan barangan pada harga yang rendah akan memperoleh jualan daripada pengguna yang kini semakin cermat dengan perbelanjaan masing-masing.

Tahun Baru Cina yang kian hampir ini telah menyebabkan pusat membeli belah dibanjiri oleh orang ramai untuk membuat persiapan untuk perayaan tersebut. Bagi mereka yang tidak menyambut perayaan tersebut, mereka turut membeli belah disebabkan oleh jualan murah yang diadakan di serata tempat.

Akhbar Reuters pada 22hb Januari 2010 telah melaporkan bahawa 4.2 juta buah kereta Toyota baru-baru ini telah ditarik balik (recalled) daripada pasaran seluruh dunia. Pada tahun 2009, Toyota telah mengeluarkan 9 arahan tarikan balik besar-besaran; kereta buatannya dan salah satu punca penarikan balik adalah sama dengan punca penarikan balik baru-baru ini iaitu berkaitan ’accelarator pedal’. Hari ini akhbar Yomiuri Shimbun di Jepun telah melaporkan bahawa satu lagi notis penarikan balik kereta Toyota model hibrid Prius, Sai dan Lexus akibat salah fungsi sistem brek kereta, telah dikeluarkan oleh Toyota. Kali ini melibatkan 437,000 kereta di seluruh dunia.


Bulan lalu Honda pula mengeluarkan notis penarikan balik kereta model Fit, Jazz dan City akibat kegagalan suis tingkap kereta – faulty window switch. Penarikan balik ini akan melibatkan 646,000 unit kereta di seluruh dunia. Baru-baru ini lebih daripada 370,000 lagi kereta Honda ditarik balik dan 17,000 daripada unit yang ditarik balik adalah di Jepun, Australia dan negara Asia yang lain. Penarikan balik kali ini disebabkan salah fungsi ’air-bag’.

Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) sangat bimbang tentang ketiadaan agensi kerajaan seperti ”National Highway Traffic Safety Administration” NHTSA di Amerika Syarikat yang dapat melaksanakan tanggungjawab melindungi pemilik kereta persendirian dan awam daripada produk (kereta / kenderaan dan alat-ganti) yang tidak mematuhi standard keselamatan.

Kami juga sangat khuatir dengan ketiadaan peruntukan untuk menghukum pengeluar, penjual, pengedar perkakas atau kelengkapan perlindungan diri untuk pengguna jalan-raya – seperti topi keledar, ’visor’, tali pinggang keselamatan, baju dengan ’reflector’ dan lain-lain yang tidak mematuhi keperluan standard keselamatan.

Pada tahun lalu (2009) Standards Users telah menulis kepada beberapa agensi di bawah Kementerian Pengangkutan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya, MIROS dan Jabatan Pengakutan Jalan untuk mendapatkan maklumat tentang produk-produk berkaitan yang ditarik balik disebabkan tidak mematuhi standard keselamatan. Antara peralatan melindungi diri - mengikut Akta Pengangkutan Jalan, adalah topi keledar motosikal.

Malangnya JKJR telah memberitahu (secara bertulis) bahawa tiada penarikan balik dilakukan. Penunggang motosikal yang didapati memakai topi keledar yang tidak diiktiraf mengikut Standard Malaysia (MS) (MS 1:1996 – Spesifikasi Topi Keselamatan Untuk Pengguna Kenderaan), akan/telah diberi topi keselamatan yang baru, tanpa apa-apa tindakan terhadap penjual topi keledar (yang tidak selamat) di pasaran. Sehingga akhir tahun 2008, lebih daripada 70,000 unit topi keledar telah diedarkan. Standards Users berpendapat bahawa cara ini hanya akan membebankan Kementerian dan tidak ’sustainable’ (mapan) kerana bergantung kepada sumbangan pihak luar (persendirian serta agensi kerajaan lain).

Jika ditinjau kes penarikan balik secara sukarela oleh Toyota dan Honda dan juga atas penarikan balik atas desakan NHTSA, Amerika Syarikat ia memberikan maklumat tentang faktor-faktor yang boleh digunapakai untuk menjayakan program dan dasar keselamatan jalan raya di Malaysia.

Faktor pertama adalah peraturan kendiri sahaja tidak mampu menjamin keselamatan produk dan perkhidmatan untuk pengguna. Walaupun Toyota dan Honda merupakan pengeluar kereta terbesar di dunia dan boleh dikatakan mempunyai imej yang secara relatif mempunyai nilai pasaran yang tinggi tetapi masih memerlukan pantauan dan penguatkuasaan agensi seperti NHTSA untuk mendesak penarikan balik kereta yang tidak selamat dari pasaran. Faktor kedua adalah keperluan undang-undang yang menggariskan kriteria keselamatan sesebuah kenderaan dan alat-alat ganti yang jelas dan penguatkuasaan (pemantauan) yang efektif.

Selain daripada pendidikan untuk mewujudkan kesedaran kepentingan keselamatan jalan-raya, JKJR, JPJ, MIROS, dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (STANDARDS MALAYSIA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) perlu membangunkan garispanduan untuk pengeluar, pengimport dan pengedar kenderaan dan alat-alat ganti kenderaan untuk mengeluarkan, mengimport atau mengedar kenderaan dan alat-alat ganti yang diiktiraf selamat. Jika didapati keperluan tersebut tidak dipatuhi, pengeluar, pengimport atau pengedar dengan arahan pihak berkuasa perlu menarik balik atau melaksanakan tindakan pembetulan ke atas masalah keselamatan tersebut.

Standards Users berpendapat bahawa fungsi dan peranan agensi-agensi berkaitan keselamatan jalan raya (udara dan juga laut) perlu ditinjau supaya peranan penguatkuasaan aspek-aspek keselamatan digariskan dengan jelas dan dilaksanakan oleh satu agensi khas untuk tugas tersebut.

Jelas sekali disini, wujud keperluan Akta Keselamatan Kenderaan atau Peraturan Keselamatan Kenderaan yang merangkumi keperluan penarikan balik kenderaan atau alat-alat ganti kenderaan yang tidak memenuhi keperluan standard keselamatan.

Sebagai langkah melindungi diri mereka, pengguna kenderaan dan jalan raya di Malaysia, berhak mendapatkan maklumat betul mengenai tahap pematuhan standard keselamatan sesuatu kenderaan yang mereka beli. Pengguna juga perlu tahu rekod prestasi keselamatan sesuatu model kereta yang mereka ingin beli. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kenderaan di Hong Kong memberikan maklumat seperti di atas kepada pengguna yang ingin membeli kereta. Maklumat prestasi keselamatan sangat membantu pengguna mendapatkan nilai wang yang berpatutan (value for money) semasa membeli kereta atau motosikal.

Y.Bhg Dato’ Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima lebih daripada 1100 aduan yang berkaitan dengan pembelian kereta persendirian. Maklumat yang paling penting adalah sebanyak 274 aduan daripada 1100 aduan tersebut adalah berkaitan dengan isu kualiti dan keselamatan. Antara aduan kualiti dan keselamatan yang diterima adalah:

enjin kereta tiba-tiba memanas melebihi had kritikal
semua meter penunjuk pada ’dashboard’ (aras minyak, suhu enjin dan kelajuan) tidak berfungsi
’power window’ cepat rosak
Aduan berkaitan kualiti dan keselamatan kereta paling banyak diterima untuk kereta jenama tempatan dan jenama Kia (sumber data aduan daripada NCCC).

Dengan meningkatnya kesan pemanasan global dan Malaysia tidak ketinggalan merasakan kesan perubahan iklim, sektor pengangkutan menjadi salah satu sasaran utama dalam mengurangkan pengeluaran gas-gas rumah hijau. Beberapa pengeluar kereta berjenama telah melancarkan model hibrid dan juga model kereta mereka yang cekap penggunaan bahanapi. Walaupun beberapa pengeluar mungkin telus dalam tuntutan cri-ciri mesra alam sekitar jenama atau model mereka, tetapi ada juga tuntutan yang menyeleweng dan tidak memberikan maklumat secukupnya tentang ciri-ciri mesra alam sekitar sesuatu model.

Kementerian Pengangkutan harus meninjau dasar kerajaan berkaitan sistem pengangkutan dan juga infrastruktur pengangkutan bersama-sama dengan lain kementerian dan agensi kerajaan supaya sektor pengangkutan dapat menyumbang kepada pengurangan pengeluaran karbon sebanyak 40% yang dijamin oleh Perdana Menteri kita sejurus selepas beliau kembali daripada persidangan COP ke-15 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan Disember lalu (2009).

Standards Users berharap Kementerian Pengangkutan dapat mengorak langkah dengan kadar segera untuk menangani isu-isu keselamatan kenderaan dan alat-alat ganti kenderaan yang tidak selamat di pasaran. Ini termasuk isu-isu keselamatan peralatan perlindungan diri untuk pengguna jalan raya- yang tidak mematuhi standard keselamatan.

9 Februari 2010 - Sejak beberapa tahun yang lalu, pihak kami telah mengutarakan isu berkaitan dengan penapis air. Akan tetapi, ia tidak berada di bidang kuasa mana-mana pihak. Pihak kami telah bertekad untuk mengkaji perkara ini lebih mendalam dan memberikan memorandum keapda pihak berkuasa mengenai maklumat mengelirukan yang disampaikan kepada pengguna untuk menyakinkan pembelian penapis air.

9hb Februari 2010 - Hampir 3 tahun telah berlalu selepas Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awan 2007 digubal. Peraturan-peraturan yang sedang disediakan akan menentukan masa depan pengurusan sisa di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Pengurusan sisa bermula di rumah dan juga pejabat kita semua. Tambahan pula, kita perlu menguruskan pembungkusan yang kita beli kerana ia akan dibuang sebagai sisa. Cara terdahulu adalah membuang dan menanam semua sisa ini dalam tapak pelupusan sampah. Akan tetapi, cara ini lebih memudaratkan alam sekitar daripada beberapa industri di Malaysia.


Satu perkataan yang kini banyak digunakan adalah ‘Tapak Pelupusan Sanitari’. Tapak pelupusan merupakan kaedah terakhir untuk pelupusan sampah. Di Jepun, terdapat kawasan-kawasan kediaman yang ‘sifar tapak pelupusan’.

Pihak FOMCA juga mendapat maklumat mengenai hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ingin membina 13 insinerator. 4 insinerator bersaiz kecil telahpun diluluskan.

Insinerator dilabelkan sebagai pencemar. Di dalam pelbagai keadaan kita tidak menggunakan kaedah perbandingan yang tepat di antara, kitar semula, pengkomposan, Refuse Fuel Derive (RDF), dan kaedah-kaedah lain. Adakah kita mempunyai bukti kukuh bahawa kaedah mana yang bersesuaian di Malaysia, atau kita terikut-ikut pilihan yang diberikan oleh golongan tertentu.

FOMCA berharap pengurusan sisa pepejal tidak termaktub kepada 3 pemegang konsesi yang kemudiannya mengkontrakkan kepada subkontraktor lain. Jika ini berlaku, ia kelihatan sebagai membantu pemegang konsesi E-Idaman, Alam Flora and Southern Waste Management secara terbuka. Tiada individu di dunia ingin membuat perniagaan yang membawa kerugian.

FOMCA berharap

Polisi pengambilan balik (Take back policy) diwujudkan dengan peraturan ketat – ini dapat membantu pengguna melakukan aktiviti kitar semula dengan senang.
Fasiliti untuk penerimaan barangan boleh dikitar semula mesti ditempatkan supaya rakyat mudah menggunakan fasiliti ini – kemudahan kitar semula masih jauh ketinggalan dan tidak berada di kawasan kediaman atau kawasan-kawasan strategik.
Satu industri pengurusan sisa yang sahih patut diwujudkan kerana ia tidak patut mengamalkan monopoli dan mencemarkan alam sekitar – tugas utama industri pengurusan sisa pepejal adalah untuk mengurangkan pencemaran bukannya menambahkan lagi beban pencemaran.
Semua agensi yang meluluskan dan syarikat yang membekalkan teknologi patut bertanggungjawab jika sistem dan teknologi ini gagal – sikap menuding jari merupakan tabiat biasa pelbagai pihak apabila sebarang kegagalan telah berlaku.
Jika seorang ibu, pelajar atau pemilik perniagaan tidak tahu akan kesan penghasilan sisa oleh mereka kepada alam sekitar, maka sebarang sistem kita cipta akan gagal.

DATUK MARIMUTHU NADASON
Presiden
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA)